Abang Patdeli
bin Abang Muhi, A.B.K.
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Prawacana
Makalah ini akan membicarakan
perihal kearifan lokal dalam cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh para penulis
Sarawak dan Kalimantan Timur. Cerpen-cerpen penulis Sarawak yang dibicarakan
ialah beberapa buah cerpen yang telah dinilai dan dipilih sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) bagi genre cerpen dari tahun 2000
hingga 2006—cerpen-cerpen itu belum lagi diterbitkan dalam bentuk antologi,
bagaimanapun, telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan di Sarawak dan
beberapa majalah serta buletin yang diterbitkan di Sarawak dan pada peringkat
nasional. Ada 30 buah cerpen yang telah dipilih sebagai pemenang HPPS genre cerpen
dari tahun 2000 hingga 2006, selain cerpen-cerpen yang diterbitkan dalam buku
antologi “Ketipung Bunga Jambu” (1995) dan “Menganyam Kedukaan” (2000)—kumpulan
cerpen dan puisi yang memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 1991,
1991/1992 dan 1992/1993.
Cerpen-cerpen penulis Indonesia,
khususnya Kalimantan Timur, yang akan dibicarakan ialah cerpen-cerpen yang
termuat dalam antologi Kalimantan Timur
dalam Cerpen Indonesia (2011). Antologi itu memuatkan 46 buah cerpen.
Penelitian ini bukanlah suatu
penelitian perbandingan yang tuntas, sebaliknya adalah usaha awal penulis untuk
memperkenalkan, mempromosikan dan menyebarluaskan istilah atau konsep kearifan
lokal dalam konteks penelitian
ciptaan-ciptaan atau karya-karya kesusasteraan. Genre yang dipilih ialah cerpen
sebagai suatu langkah permulaan. Tentunya, pada waktu-waktu mendatang, lebih
banyak penelitian dilakukan untuk menyemarakkan perkembangan ilmu tentang
kearifan lokal dalam pelbagai domain.
Pengertian Kearifan Lokal
Kata majmuk kearifan lokal terdiri
daripada dua konsep kata, yakni, kearifan (wisdom)
dan lokal (local). Menurut Kamus
Bahasa Melayu Nusantara (2003:139), “kearifan” bermaksud perihal arif;
kebijaksanaan; kecendekiaan. Manakala, kata lokal diertikan sebagai “di dalam
negeri” (2003:1637). Untuk sementara
waktu, kearifan lokal bolehlah diertikan sebagai kebijaksanaan lokal (local wisdom).
Dari perspektif falsafah, kearifan
lokal itu dapat diertikan sebagai suatu sistem pengetahuan masyarakat lokal (indigenous knowledge system) yang bersifat empirikal dan pragmatik. Menurut Profesor Dr. Chatcharee Naritoom : Local wisdom is the knowledge that
discovered or acquired by local people through the accumulation of experience in
trials and integrated with the understanding of surrounding nature and culture
(kearifan lokal adalah pengetahuan yang ditemukan atau diperoleh oleh
orang-orang lokal melalui penghimpunan pengalaman-pengalaman hidup yang
dipelajari dan terintegrasi dengan kefahaman tentang persekitaran alam dan
budaya).
Sesungguhnya kearifan lokal secara
konseptualnya adalah merupakan kebijaksanaan manusia yang berteraskan pada
falsafah nilai-nilai, etika, cara dan perilaku yang mengakar secara
tradisional. Umumnya, kearifan lokal itu dianggap sebagai pandangan hidup, ilmu
pengetahuan dan pelbagai strategi kehidupan yang dilakukan oleh masyarakat
lokal atau peribumi dalam mendepani berbagai-bagai permasalahan bagi memenuhi
keperluan hidup mereka.
Sama ada kearifan lokal itu
signifikan dan berfaedah ataupun tidak adalah bergantung pada masyarakat lokal
yang mewarisi sistem ilmu pengetahuan itu, sekali gus mahu menerima dan mengaku
perkara itu sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Jika itu terjadi,
maka, kearifan lokal itu dapat dianggap sebagai salah satu tunjang budaya
lokal. Justeru, kearifan lokal adalah sinonim dengan persoalan identiti, dan
sebagai sistem ilmu pengetahuan lokal, kearifan lokal itulah yang menjadi ciri
pembeza satu masyarakat lokal dengan masyarakat lokal yang lain. Tipe-tipe
kearifan lokal yang lazimnya wujud ialah :
i.
Kearifan
lokal dalam hubungannya kepercayaan, termasuklah nilai-nilai adat dan etika Masing-masing masyarakat mempunyai
kepercayaannya yang tersendiri. Ada masyarakat yang masih mempercayai roh dan
semangat padi, sungai, laut, hutan dan sebagainya.
ii.
Kearifan
lokal dalam hubungan sesama manusia. Setiap masyarakat mempunyai cara dan
fahaman yang berbeza apabila berinteraksi antara mereka. Cara orang Iban
melayani tetamu ke rumah panjang mereka ketika perayaan Gawai Dayak adalah
berbeza dengan cara orang Bidayuh.
iii.
Kearifan
lokal dalam hubungannya dengan makanan. Para nelayan keturunan Melanau di
Mukah, Sarawak masih ada lagi yang percaya akan kaul sebagai salah satu upacara untuk menjaga sumber kehidupan
mereka.
iv.
Kearifan
lokal dalam hubungannya dengan pengubatan. Masyarakat-masyarakat tertentu
mempunyai cara dan kaedah pengubatan tradisional masing-masing. Malah, ada yang
mempercayai tumbuhan-tumbuhan dan herba-herba yang berbeza dengan khasiat yang
berbeza.
v.
Kearifan
lokal dalam hubungannya dengan sistem produksi. Masih ada masyarakat yang
mengamalkan cara bergotong-royong, bedurok,
berderau dan seumpamanya dalam mengusahakan sawah padi mereka.
vi.
Kearifan
lokal dalam hubungannya dengan perumahan. Bahan untuk membina rumah bagi
sesetengah masyarakat adalah disesuaikan dengan iklim dan bahan-bahan yang
terdapat di daerah masing-masing.
vii.
Kearifan
lokal dalam hubungannya dengan pakaian. Ada yang mengikut iklim, dan ada yang
mengikut bahan-bahan utama yang terdapat di kawasan-kawasan tersebut.
Kearifan sosial adalah bersumberkan
empat potensi utama, yakni potensi manusia, potensi agama, potensi budaya dan
potensi alam. Dengan perkataan lain, kearifan lokal dapat dimengerti sebagai
gagasan-gagasan, nilai-nilai dan pandangan-pandangan setempat yang bersifat
bijaksana, penuh kearifan dan bernilai baik yang terwujud dan diikuti oleh para
anggota masyarakatnya. Dalam disiplin antropologi, istilah yang digunakan ialah
local genius (genius lokal).
Kearifan lokal juga merupakan ilmu
pengetahuan lokal yang tercipta hasil daripada adaptasi sesuatu komuniti yang
berasalkan daripada pengalaman hidup yang dikomunikasikan daripada satu generasi
kepada satu generasi yang seterusnya. Justeru, kearifan lokal ialah ilmu
pengetahuan lokal yang digunakan oleh komuniti atau masyarakat lokal untuk
kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam suatu persekitaran yang bersatu
dengan sistem kepercayaan, norma, budaya, dan diekspresikan dalam tradisi dan
mitos yang dianuti dalam jangka waktu yang panjang.
Sesungguhnya, masing-masing
komuniti, daerah dan kumpulan etnik baik di Sarawak mahupun di Kalimantan Timur
memiliki ilmu pengetahuan tradisional yang secara empirikal adalah nilai-nilai
yang dipercayai dan diyakini oleh sesuatu komuniti itu sebagai ilmu pengetahuan
bersama (common knowledge) dan
persekitaran alamnya. Kearifan lokal dalam sesuatu komuniti itu mempunyai
fungsi-fungsi tertentu. Antaranya :
- Penanda identiti sesuatu komuniti.
- Unsur perekat antar-anggota, antar-agama dan
antar-kepercayaan.
- Unsur kultur yang bugar dan berkembang hidup dalam
masyarakat tanpa paksaan.
- Unsur kebersamaan bagi sesuatu komuniti.
- Mekanisme bersama bagi mempererat hubungan sesama
komuniti dan mempertahankan kepentingan bersama.
- Kearifan lokal juga merupakan ilmu pengetahuan lokal
yang tercipta hasil daripada adaptasi sesuatu komuniti yang berasalkan
daripada pengalaman hidup yang dikomunikasikan daripada satu generasi kepada
satu generasi yang seterusnya.
Justeru, kearifan lokal ialah ilmu
pengetahuan lokal yang oleh komuniti atau masyarakat lokal untuk kekal berdaya
tahan dan berdaya saing dalam suatu persekitaran yang bersatu dengan sistem
kepercayaan, norma, budaya, dan diekspresikan dalam tradisi dan mitos yang
dianuti dalam jangka waktu yang panjang
Kearifan Lokal dan Teks Sastera
Menurut S. Prasetyo Utomo (2008),
teks sastera yang dicipta sasterawan dengan kearifan lokal tidak hanya memberi
nuansa sosial – budaya, bagaimanapun, juga mengekspresikan idiom-idiom estetika
di dalamnya. Teks sastera tidak dicipta dengan keeksotikan semata-mata. Bukan
hanya warna subkultur yang kuat mewarnai karya sastera, sebagaimana teks
sastera dekade 80-an, tetapi juga berkembang eksplorasi bahasa dan stail untuk
mencapai nilai estetik.
Justeru, kearifan lokal tidak dengan
sendirinya membentuk sastera lokal, yang diminati masyarakat setempat dalam
kurun waktu yang terbatas. Kearifan lokal yang menjadi obsesi sasterawan yang
tajam perenungannya, boleh menjadi teks sastera yang digemari pembaca secara
lintas waktu. Cukup banyak teks sastera yang ditulis dengan kekuatan kearifan
lokal seperti itu, dan menjadi bacaan yang tidak hanya laris, melainkan
bermuatan nilai estetik.
Gao Xingjian dalam Pidato
Nobelnya pada 7 Disember 2000 yang bertema “Persoalan Bagi Sastera”
(2006),antara lain berbicara tentang hakikat sastera : Daripada pengalaman saya menulis—dapat saya katakan bahawa sastera itu
adalah penegasan manusia atas nilai dirinya, dan bahawa ini sahih selama
menulis—karya sastera lahir utamanya dari keperluan untuk kecukupan diri
penulisnya. Kuat lemah pengaruhnya kepada masyarakat akan terlihat setelah
selesainya suatu karya, dan pengaruh itu pasti tidak ditentukan oleh keinginan
penulisnya...sastera bukanlah hiasan untuk kekuasaan atau komoditi yang harus
mengikut trend sosial, sastera memiliki kriteria guna kendiri: kualiti
estetiknya. Nilai estetiknya yang berhubungan dengan emosi-emosi manusia adalah
satu-satunya kriteria yang harus ada dalam karya sastera.
Kesusasteraan menurut SN Shahnon
Ahmad (2008) ialah keperihalan manusia yang signifikan dalam berbagai-bagai
latar dan situasi lewat pengucapan pengarang dengan berbagai-bagai kaedah,
bergantung pada kekuatan daya kreativitinya, melalui kepelbagaian gaya bahasa
figuratif, bertujuan meninggalkan kesan kompak
lagi bermakna.
Karya sastera adalah
merupakan hasil kreativiti sasterawan, yakni sebagai hasil ekspresi dan
artikulasi dalam dirinya dalam bentuk hasil seni. Hasil ekspresi dan artikulasi
itu adalah bersumber daripada gabungan dua unsur utama, iaitu kehidupan nyata
dan imaginasi pengarangnya. Lewat karya sastera itulah para pengarang
mengekspresikan, mengartikulasikan dan menyampaikan gagasan-gagasannya,
pemikiran-pemikirannya, pandangan hidupnya dan tanggapan pengarang (yang juga
memanifestasikan pandangan dan tanggapan masyarakat) terhadap aneka fenomena
kehidupan serta permasalahan-permasalahan dalam masyarakat.
Budaya mahupun kearifan lokal yang
terdapat dalam persekitaran dan lokasi masyarakat tertentu sesungguhnya dapat
mempengaruhi pembentukan keperibadian seseorang. Hubungan antara persekitaran
dapat mempengaruhi seseorang, dan seseorang juga dapat mempengaruhi
persekitarannya.
Kumpulan sosial yang mempunyai
identiti budaya yang paling jelas, menurut Robert Escarpit (2008), ialah
kumpulan budaya (kultur). Menurutnya lagi, kategori “berbudaya” salanya adalah
makna kesusasteraan itu sendiri. Orang-orang “sastera” beliau definisikan
sebagai mereka yang telah memperoleh pembinaan intelektual dan pendidikan
estetika yang cukup mendalam sehingga dapat memberikan penilaian sastera secara
peribadi, memiliki cukup waktu luang untuk membaca, dan mempunyai sumber
kewangan yang memungkinkannya membeli buku secara teratur. Seterusnya belau
menegaskan :
..Banyak orang yang “sastera”
tidak mempunyai pendapat tentang sastera, tidak pernah membaca dan tidak pernah
membeli buku, tetapi sebenarnya mereka memiliki kemungkinan untuk melakukannya.
Lewat karya-karya sastera, dan dalam
konteks makalah ini, cerpen, para pengarang menyampaikan nilai-nilai seperti
kearifan lokal yang menurutnya akan memberikan manfaat bagi para pembaca yang
menikmati karya-karya sastera yang mereka ciptakan.
Senario
Penulisan Cerpen di Sarawak
Orang Sarawak, khususnya orang-orang yang
terpelajar mula bergiat aktif dalam bidang penulisan bermula pada tahun 1930
apabila terbitnya akhbar berbahasa Melayu yang pertama di negeri itu, yakni
akhbar Fajar Sarawak. Namun demikian,
pertumbuhan kesusasteraan Melayu dalam bentuk cetak sudah bermula sejak tahun 1876 apabila
terbitnya buku berjudul Hikayat Panglima Nikosa yang dikarang
oleh Ahmad Shawal Abdul Hamid. Tradisi penulisan karya-karya sastera itu terus
berkembang, kendatipun banyak hambatan dari segi dana penerbitan dan media
penampungan karya-karya tersebut, di samping kekangan dari aspek politik.
Yang
dinamakan sastera akhbar itu tumbuh segar dan mekar di negeri Sarawak lantaran
wujudnya pelbagai akhbar di negeri itu yang turut menyediakan ruang untuk
menyiarkan karya-karya sastera, terutamanya genre puisi dan cerpen. Selain
Fajar Sarawak (1930) pernah juga hadir akhbar Utusan Asas (1948) yang ditukar namanya kepada Utusan Sarawak pada tahun 1949 (Jaraiee Sawal, 1988). Kedua-dua
akhbar yang walaupun tidak bertahan lama ini, ada menyiarkan karya-karya
sastera, khususnya puisi.
Penulisan
cerpen di Sarawak dikatakan telah bermula pada tahun-tahun 1930-an, yakni
sebelum zaman Perang Dunia Kedua. Menurut Hamzah Hamdani (2004), Mohammad
Bujang atau nama penanya Melati Sarawak menulis cerpen yang pertama yang
disiarkan dalam akhbar Warta Malaya
pada tahun 1937, dan tidak pula dinyatakan judul cerpen tersebut. Cerpen-cerpen
Mohammad Bujang juga disiarkan dalam akhbar Warta
Ahad dan Warta Jenaka.
Jaraiee Sawal (1988) antara
lain menegaskan:..dalam penulisan cerpen,
barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dari tahun 1949 hingga 1963,
apa-apa yang termuat dalam Utusan Sarawak sungguh mengecewakan. Untuk selama
lebih sepuluh tahun itu tidak sebuah cerpen pun disiarkan. Sebagaimana
ketandusan puisi untuk beberapa tahun, ketandusan cerpen ini juga sukar
difahami.
Pada hemat pemakalah, permasalahan
itu mungkin disebabkan selepas Perang Dunia Kedua, wujud gerakan penentangan
yang hebat terhadap kolonialisme serta tercetusnya peristiwa pembunuhan Gabenor
Sir Duncan Stewart pada tahun 1949 yang menyebabkan akhbar-akhbar berbahasa
Melayu tidak berani menyiarkan cerpen-cerpen yang bertemakan semangat
nasionalisme kerana takut ditangkap dan dipenjarakan dengan dikaitkan sebagai
bersekongkol dengan para pejuang kemerdekaan pada waktu.
Kegiatan penulisan cerpen di Sarawak
tidaklah begitu menggalakkan , khususnya pada tahun-tahun 1950-an,
bagaimanapun, perkembangan yang agak rancak dapat diperhatikan pada tahun-tahun
1960-an hingga kini dengan wujudnya pelbagai media seperti Utusan Sarawak, Mingguan
Sinar, Cermin Rakyat (sudah tidak
diterbitkan), Mingguan Malaysia, Berita Minggu, The Borneo Post (kini dalam Utusan
Borneo), majalah Dewan Sastera ,
majalah Tunas Cipta dan pelbagai
surat khabar serta majalah-majalah yang lain.
Karya-karya kesusasteraan yang
termuat dalam Utusan Sarawak khasnya
semenjak tahun 1968 memang banyak dan amat menggalakkan. Bermula dengan keluar
20 Mei 1968, Utusan Sarawak menyediakan
ruangan khas untuk puisi dan cerpen yang berterusan hingga penerbitannya
diberhentikan dalam tahun 1971 (Jaraiee Sawal, 1988).
Nawawi Abdul Rahman ( Utusan
Sarawak, 23 Mei 1970) lewat rencananya berjudul “Cerpenis Kita Masih
Berorientasikan Persoalan Diri Sendiri” mengartikulasikan :
...Penulis-penulis muda kita masih begitu rajin
mempersoalkan tentang persoalan diri sendiri. Masih begitu terpesona dengan
kisah cinta dan peristiwa cinta dan lain-lain yang pernah menggores hati
nubarinya. Hal ini disebabkan kemampuan berfikir dan mencari bahan-bahan
fikiran tidak ada pada diri mereka. Hampir setiap ciptaan cerpen yang dimuat
dalam akhbar ini bersikap demikian...Harus disesuaikan dengan keadaan kita
sekarang yang penuh dengan seribu satu macam persoalan hidup yang bertalian
mendakap penghidupan kita. Tidak kurang pula soal pembangunan dan
kemasyarakatan yang minta diselongkar.
Rencana
Nawawi Abdul Rahman itu memperjelaskan memang wujud beberapa cerpenis muda
dalam tahun-tahun awal 1970-an yang giat menulis, bagaimanapun, cerpen-cerpen
mereka dari segi kualiti tidak begitu membanggakan—ini mungkin disebabkan dalam
tahun-tahun sebelum 1977, para penulis, termasuklah para cerpenis tidak begitu
menguasai kiat atau selok-belok menulis cerpen dalam bahasa kebangsaan (bahasa
Melayu baku) yang persis dan benar.
Penubuhan
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pada tahun 1977 telah membuka
lembaran baharu dalam ranah penulisan cerpen di negeri Sarawak—melalui pelbagai
bengkel penulisan cerpen, sayembara penulisan cerpen dan aneka bentuk hadiah
serta anugerah cerpen seperti Peraduan Menulis Sastera Kreatif, Hadiah Sastera Perdana (peringkat
nasional) dan Hadiah Penghargaan Penulis
Sarawak (HPPS) kegiatan penulisan
cerpen semakin menyerlah dan semarak.
Kini
para cerpenis Sarawak (yang dimaksudkan penulis atau cerpenis Sarawak ialah
mereka yang merupakan penduduk asal negeri Sarawak serta memiliki kad
pengenalan diri rakyat negeri itu, dan bukannya orang Semenanjung Malaysia,
Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan yang bermastautin di Sarawak) bukan
sahaja berkarya pada peringkat negeri Sarawak, malah ikut serta merancakkan dan
menyemarakkan perkembangan sastera kebangsaan pada peringkat nasional. Bahkan,
ada yang berkarya lewat media alternatif, alam maya dan siber.
Penulis-penulis Sarawak mengarang dalam pelbagai genre
sama ada puisi, cerpen, novel, naskhah drama ataupun esei kritikan—paling tidak
seorang penulis menekuni dua genre, puisi dan cerpen, novel dan cerpen, cerpen
– naskhah teater ataupun cerpen – esei kritikan. Bagaimanapun, bagi maksud
makalah ini, hanya mereka yang menekuni genre cerpen secara serius dan sudah
terbukti dan terserlah bobot mereka dalam penulisan cerpen sahaja yang akan
dikategorikan sebagai cerpenis negeri Sarawak. Memang ada penulis yang memiliki
kekuatan penulisan yang seimbang dalam pelbagai genre itu seperi Awangku Merali
Pengiran Mohamad (cerpen dan naskhah teater), Jong Chian Lai (cerpen dan
novel), Abdillah S.M. (puisi dan cerpen), Jais Sahok (cerpen, novel dan esei kritikan)
dan Abang Patdeli Abang Muhi (cerpen dan esei kritikan).
Penulis-penulis seperti Majuni Palira, Hajijah Jais,
Ratnawati Jamil, Roslan Jomel, Abang Median Abang Said, Rafaie Ismail, Lucas
Takip, Jiso Rutan, Norasmah Othman Pawi dan Sriwati Labot memang menekuni genre
cerpen secara serius, dan dalam genre lain mereka tidak begitu menonjol.
Sayangnya, beberapa orang daripada mereka tidak begitu aktif—yang masih
bertahan hingga kini ialah Majuni Palira (arwah), Hajijah Jais dan Roslan
Jomel, manakala, yang lainnya kemunculan mereka tenggelam-timbul.
Nama-nama lain dalam dunia penulisan cerpen di Sarawak
ialah Zakeria Embi, Douglas Jaga, Dahiri Saini, Livis Empanang Taka, Nur Ain, Roziah Taib, Rabian Ahim, Azeman
Jarani, Robin Junang, Iqmal Hisham Ahmad Dolek, Khatem Ariffin, Jamilah
Morshidi, Abdul Malek Haji Bedu, Beb Sabariah, Noami Patrick, Laminang Chamong,
Harun Siji, Jaya Ramba, Adha Sarbini, David Belulok, Poul Nagang, Naziah
Naziri, Zaini Ozea, Saiee Driss, Latifah Haji Shebli, Kahmis Salleh, Jeniri
Amir, Mohamad Sebli, Mohtadi Morshidi, Norasmah Pawi dan Shahri Abdul
Rahman—penulis-penulis seperti Dahiri Saini, Robin Junang, Jaya Ramba dan Beb
Sabariah, sekadar menyebut beberapa nama, masih giat menulis cerpen hingga
kini.
Yang jelas, dunia penulisan cerpen didominasi oleh
penulis-penulis lelaki, bagaimanapun, kehadiran cerpenis seperti Hajijah Jais
dan Ratnawati Jamil cukup terasa kehadiran mereka dalam dunia penulisan cerpen
di negeri itu, malah pada peringkat nasional—karya-karya mereka turut
dibicarakan dan dikritik oleh para pengkritik yang berwibawa dalam dunia
sastera di Malaysia.
Cerpenis-cerpenis
Sarawak, khususnya dalam era 1980-an dan hingga kini sudah cukup prolifik dan
produktif. Malahan, kualiti cerpen-cerpen mereka mencapai tahapan yang cukup
tinggi, dan banyak sudah menembusi dada-dada media pada peringkat nasional yang
bergengsi;berprestij dan berpengaruh, seperti majalah Dewan Sastera.
Para penulis-penulis veteran dan mapan terus berkarya,
manakala penulis-penulis baharu terus tumbuh segar dan mekar—mereka seiring dan
sejalan menyemarakkan dunia penulisan cerpen di negeri itu, malah sudah cukup
ramai yang menempatkan diri dalam arus perdana sastera kebangsaan (mainstream literature).
Kini, para penulis, khususnya cerpenis Sarawak yang
multi-etnik itu bukan lagi mereka terpinggir dan dipinggirkan daripada sastera
arus perdana atau kanon sastera (mainstream)—mereka
sudah cukup berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan—zaman meminta-minta
ataupun merayu-rayu untuk diberikan ruang dan peluang khas ataupun kuota khusus
untuk penulis dan karya-karya penulis Sarawak oleh media-media cetak arus
perdana sudah lama berakhir.
Sesungguhnya masyarakat Sarawak yang multi-etnik itu
telah menjadi sumber inspirasi yang utama kepada para cerpenis Sarawak—negeri
itu didiami oleh etnik Melayu Sarawak, Iban, Cina, Bidayuh, Kayan, Kenyah,
Kelabit, Lun Bawang, Melanau, Penan, Lara, Selakau, Jawa, Bugis, Tanjong,
Kejaman, Sihan, Narum, Jatti Miriek, Lahanan dan pelbagai etnik yang lain. Kaum
Bidayuh pula dibahagikan kepada pelbagai sub-etnik yang lain seperti Bidayuh
Biatah, Jagoi, Singgai dan Bukar Sadong, manakala, suku Melanau pula terdiri
daripada antaranya sub-etnik Mukah, Rajang, Seduan, Dalat dan Matu.
Cerpenis mapan dan versatil seperti Awangku Merali
mengungkapkan tema tentang weltanshauung
Melayu, selain permasalahan suku kaum Penan. Jong Chian Lai pula banyak menulis
tentang dunia kehidupan suku kaum Iban.
Justeru,
segala kegiatan penulisan dan penciptaan cerpen adalah bersumberkan hidup serta
kehidupan, keagamaan, kepercayaan dan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di
negeri itu, selain mengungkapkan pelbagai tema dan persoalan yang sejagat
sifatnya seperti soal politik, ekonomi, sains, teknologi, persekitaran dan
kasus-kasus globalisasi—apa pun, cerpen-cerpen para penulis Sarawak amat kaya
dengan warna-warna lokal, dan kini sudah mula menerokai dan menggarapkan
tema-tema yang lebih mencabar serta lebih meluas dimensi dan perspektifnya.
Dalam kegiatan kepengarangan mereka itu, ia banyak
bergantung pada pengalaman mereka yang sekali gus merupakan pengalaman dan
denyut nadi kehidupan masyarakatnya—mereka menulis untuk mempertinggi darjat
dan harkat kehidupan manusia, sekali gus mengungkapkan apa juga masalah dan
permasalahan manusia dan kemanusiaan secara jujur.
Kearifan Lokal dalam Cerpen Penulis Sarawak
Cerpen ialah salah satu genre karya
sastera yang memiliki unsur-unsur intrinsik sesungguhnya adalah merupakan
fragmen sebuah dunia—dunia aneka kemungkinan yang dihuni oleh pelbagai watak
dengan aneka perwatakan dan permasalahannya. Watak-watak dengan pelbagai
perwatakan, permasalahan dan pengalaman hidup itu pula memerlukan aneka latar
tempat atau ruang, latar waktu dan latar suasana seperti halnya kehidupan
manusia dalam realiti hidup yang sebenar.
Latar-latar itu dalam realiti
kehidupan yang sebenar mencakupi permasalahan sosiobudaya, sosiopolitik dan
sosioekonomi yang membawa kepada terbentuknya sesebuah cerpen sebagai suatu
genre sastera. Justeru, pemahaman terhadap kearifan lokal dalam sesebuah cerpen
itu tidak dipisahkan daripada latar dan persekitarannya, kebudayaannya dan
peradabannya.
Kebudayaan adalah unsur ekstrinsik
yang harus ada dalam sesebuah karya sastera. Edward B. Tylor (dalam A. Aziz
Deraman, 2001) menegaskan bahawa : Kebudayaan adalah keseluruhan kompleks yang
mengandungi antaranya pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila,
undang-undang, moral, adat resam, dan apa-apa juga kebolehan serta kebiasaan
(tabiat) yang didapati oleh manusia ahli sesebuah masyarakat.
Setiap kebudayaan dapat tumbuh dan
berkembang sejajar dengan nilai, norma, aturan dan ilmu pengetahuan
masing-masing. Latar memberikan identiti, ciri, sifat dan kekhasan sesuatu
masyarakat. Kearifan lokal adalah merupakan suatu bentuk kebudayaan, dan ia
adalah merupakan adat-istiadat, norma dan kebiasaan yang telah mentradisi dalam
sesebuah masyarakat yang mengamalkannya secara turun-temurun.
Dari perspektif Islam, perkahwinan
adalah sunah yang seboleh mungkin ditunaikan. Bagi sesetengah suku kaum pula,
perkahwinan dianggap sebagai sesuatu yang sakral. Betapa indahnya kehidupan
manusia dunia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan
bosannya kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya mahupun
perempuan semuanya. Justeru, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan
adalah merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan.
Dalam masyarakat Melayu silam malah
hingga kini, lelaki mahupun perempuan yang tidak berkahwin hingga ke usia yang
lanjut akan ditanggapi dengan pelbagai persepsi yang sarat dengan prejudis.
Mereka dicap sebagai bujang terlajak, bujang tua, lalo (dalam bahasa Melayu
Sarawak), anak dara tua atau andartu, dan pelbagai tanggapan negatif yang lain.
Dari aspek kearifan lokal,perkahwinan itu perlu diteruskan sebagai tradisi yang
menjadi landasan untuk membentuk keluarga dan rumah tangga. Daripada institusi
keluarga ia akan berkembang menjadi institusi sosial dan akhirnya menjadi
institusi negeri dan negara. Kehidupan berumah tangga tidak selalunya indah,
khususnya apabila usia perkahwinan dan pasangan masing-masing kian lanjut.
Justeru, institusi keluarga yang harmoni harus dipertahankan.
Kearifan lokal dalam hubungannya
dengan institusi kekeluargaan dan hubungan sesama manusia ini amat dititikberatkan
oleh masyarakat Melayu. Hajijah Jais dalam cerpennya “Lalo” (Ketipung Bunga Jambu, 1995) secara bijak menyirat perihal kearifan lokal
ini :
Dia hanya mampu tersenyum. Dulu dia memang tidak ingin
kahwin. Namun setelah melewati usia tiga puluhan, kecenderungannya berbeza.
Keinginannya untuk hidup berteman dan berkeluarga bagaikan menjadi
tanggungjawab yang belum tertunai. Teringat dia akan hari tuanya. Sampai bila
dia harus berharap pada keluarganya atau pada pembantu rumahnya. Mereka pun
mempunyai keluarga sendiri, tanggungjawab sendiri...Ibunya sering meleterinya.
Baik ketika orang tua itu datang mengunjunginya ke bandar atau ketika dia
pulang ke kampung...
Masyarakat Bidayuh juga kaya dengan
adat-istiadatnya, khususnya yang berkaitan dengan rumah. Secara tradisi, mereka
lebih gemar membina rumah daripada kayu-kayu yang terdapat di hutan-hutan yang
berdekatan dengan perkampungan mereka. Rumah bagi mereka adalah maruah dan
harga diri mereka, terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga yang seharusnya mempunyai
rumahnya sendiri. Kerja-kerja mendirikan rumah secara bergotong-royong memang
menjadi amalan masyarakat itu sedari dahulu hingga kini.
Lewat cerpennya “Rumah Baru Gergaji
Rantai” (Ketipung Bunga Jambu, 1995),
Jiso Rutan menggarapkan:
Yang penting, segala kayu yang diperlukan nanti mesti
cukup. Jangan sampai Jumet dan Dikeng berkompromi dengan tidak memasang palang
atau lelangit yang mencukupi. Atau mereka mengurangkan saja pintu atau tingkat
atas alasan kayu tidak cukup. Rumahnya, kalau dibina, biarlah sempurna.
Sekurang-kurangnya sempurna ikut rumah taraf kampungnya.
Kearifan lokal dalam kalangan
orang-orang Melayu Sarawak dapat ditinjau dalam puisi-puisi tradisional dan
seni persembahan seperti tradisi begendang
(paluan gendang oleh dua atau lebih perempuan mengikut irama tertentu sambil
berpantun) dan bemukun (berbalas-balas pantun secara spontan antara pemain gendang
dengan penandak) yang masih lagi diteruskan tradisi itu hingga kini.
Berbalas-balas atau berjual beli pantun secara spontan Tradisi begendang dan bemukun ini jelas memperlihatkan kebijaksanaan dan kecerdikan orang
Melayu.
Ratnawati Jamil lewat cerpennya
“Bergendang” (Menganyam Kedukaan,
2000) secara sedar mengangkat kearifan lokal masyarakat Melayu Sarawak :
...Bagi mak, apalah cacatnya
kalau Nek Sebah dijemput untuk bergendang. Nek Sebah tokoh gendang. Tiada siapa
yang dapat melawannya berpantun. Panggillah jaguh pantun dari mana pun, Nek
Sebah tak akan gentar. Mak yakin orang ramai akan datang menyaksikan Nek Sebah
bergendang malam esok.
Ratnawati
Jamil lewat watak emaknya mengungkapkan pantun kasih ini :
Sayang Labuan pulau di laut,
Khabar berita pulau yang tumbuh;
Kasih tuan saya menyambut,
Sambut dengan bersungguh-sungguh.
Orang-orang Melayu mahupun Iban amat
menitikberatkan soal menghormati orang-orang tua. Tidak menghormati orang-orang
tua seperti mengutuk, berkata-kata dengan kasar, bersikap biadab dan kurang
ajar dengan orang-orang tua akan menyebabkan seseorang itu tulah atau
ketulahan—ditimpa kemalangan kerana melanggar larangan atau melakukan sesuatu yang kurang baik terhadap orang
tua-tua. Malah dengan hanya memanggil nama orang tua-tua tanpa budi bahasa atau
dengan sapaan yang berabad pun dianggap tulah. Abdillah SM dalam cerpennya “Ke
Dalam Raflesia” (Mingguan Sarawak, 21
Mei 2000) lewat watak Penghulu Kubu,antara lain mengungkapkan perihal tulah
ini:
“Libau, kau ini bapa saudara kamu. Tulah kamu nanti!Jangan kamu
main-main dengan makan minum aku. Janganlah sebab kamu tidak kahwin dengan
Bulan kamu benci aku seburuk ini. Selama ini kamu hormat aku kerana bersebab.
Kalau kamu dah nak sangat jadi penghulu,silalah.”
Kebanyakan
suku kaum di Sarawak masih lagi percaya bahawa anak-anak lelakilah waris mereka
yang akan meneruskan keturunan mereka, sekali gus yang akan mewariskan segala
adat-resam dan cara hidup tradisi yang bermanfaat untuk generasi-generasi
mereka yang akan datang. Sebagai waris keturunan mereka juga dituntut untuk
kenal akan adat-resam sendiri, bersopan-santun dan berbudi bahasa. Suku kaum
Kenyah pun begitu seperti yang diungkapkan oleh Jais Sahok dalam cerpennya
“Lawai”(Utusan Sarawak, 27 Februari
2001):
...dan kemudian lahirlah Lawai, anak lelakinya yang
tunggal itu dan anak yang mendukung harapan tingginya untuk menyambut warisnya
sebagai bapa dan keturunan awalnya, bapanya, datuknya dan datuknya lagi sebelum
itu...dan paling penting dapat difikirkannya dan dibayangkannya, Lawai, sebagai
anak keturunan Kenyah yang tebal adat-resam, sopan santun dan cara hidup
tradisinya harus kelihatan seperti lelaki Kenyah kerana memang menjadi
harapannya terhadap anak lelakinya yang tunggal itu...
Masyarakat Melayu amat benci akan
kemunafikan atau hipokrit. Umat Melayu walaupun sudah berkembang maju tidak
suka dikongkong kebebasannya untuk menyuarakan sesuatu tentang keadilan dan
kebenaran. Kelembutan hati budi Melayu tidak bererti pasrah, dan mengalah.
Orang Melayu yang bijaksana akan menunggu masa dan suasana yang sesuai untuk
mengekspresikan diri mereka. Orang Melayu tidak akan bersubahat dengan segala
macam kejelikan yang dilakukan oleh orang-orang yang hipokrit sebab orang
Melayu amat mementingkan maruah dan harga diri. Ada waktunya orang Melayu harus
setia seperti Tuah, dan ada ketikanya orang Melayu harus berani seperti Jebat.
Awangku Merali Pangeran Mohamed dalam cerpennya “Tuan
Direktur Bikin Filem di Mallywood” (Dewan Sastera, Ogos 2001) dengan sinis
mengartikulasikan : TD meletakkan
telefon. Dia tidak ingin didera oleh kemunafikan. TD ingin bikin filem di
Mallywood, mengiku suara hati dan cita rasa seninya. Barangkali bukan sekarang.
Masanya belum tiba atau dia yang belum bersedia.
Masyarakat Melayu Sarawak terkenal
dengan upacara pengubatan tradisionalnya berantu.
Masyarakat Iban dengan upacara kelingkang.
Manakala, masyarakat Melanau likou
(masyarakat Melanau yang bukan Islam dan yang masih mempercayai animisme) pula
masih mengamalkan upacara bebayoh.
Pengaruh bebayoh ini meskipun sudah
semakin kurang diamalkan, namun, tetap menjadi ciri khas upacara pengubatan
bagi suku kaum Melanau yang membezakannya dengan suku-suku kaum lain. Bahkan
masih ada yang mempercayainya sebagai salah satu kaedah pengubatan alternatif
selain pengubatan cara moden. Pun ada juga yang menganggapnya sebagai tahyul,
khususnya dalam kalangan orang Melanau likou
yang sudah menjadi penganut agama Islam.
Lewat cerpen “Senaing di Ares Vallis” (Utusan Sarawak, 15 Mei 2002), Lucas
Takip berhipotesis : Aris, haiwan yang
menyerupai anjing itu dipanggil Gamang. Menurut catatan dalam bahan rujukan
klasik, Gamang adalah haiwan jelmaan “tow-tow” (hantu jembalang menurut
kepercayaan suku kaum Melanau) atau iblis. “Senaing” dan Gamang adalah
berkaitan rapat. Seandainya seseorang itu “senaing” dan gamang bermakna rohnya sudah diintai Sang Gamang. Kalau tidak dirawat secara “bebayoh”, seseorang
itu akan tumpas dalam kuasa ghaib “tow-tow”, dan apabila sudah tenat keadaannya
seseorang itu akan mati beragan atau maut dalam kemalangan yang aneh kerana
rohnya sudah dalam cengkaman Sang Gamang!
Suku kaum Iban memang terkenal
dengan adat-istiadat mereka. Malah, kehidupan mereka dari sejak di dalam perut
ibu lagi hingga kepada kematian mereka, dinaungi oleh adat-istiadat.
Orang-orang Iban dari dahulukala hingga kini, tetap mempercayai roh si mati
atau gemulah harus ditenangkan dengan tangisan oleh tukang tangis yang pintar
dan berpengalaman Tangisan itu pula hendaknya mengikut ketokohan dan kedudukan
si mati itu. Salah satu upacara yang diadakan untuk si mati adalah menangisi
kematian, dan kematiannya harus ditangisi oleh para tukang tangis atau sengai’ ai mati yang pandai dalam
seruan-seruan yang indah dan menusuk kalbu, dan berpengalaman dalam upacara
itu, jika tidak mereka sendiri yang menerima nasib yang celaka.
Dalam cerpen “Sengai’ Ai Mata” (Dewan Sastera, Januari, 2003), Jaya
Ramba mengungkapkan : ...Tangisan mereka
bukan tangisan seperti tangisan biasa. Bahasa yang digunakan amat dalam dan
indah, tanpa cacat cela. Melepaskan tangisan itu bukan untuk main-main. Tidak sekali untuk gurauan kerana kesannya
memudaratkan nyawa manusia. Kesan tangisan akan mengungkai apa-apa sahaja
tentang si mati. Begitu juga kepada mereka yang lama sudah pergi. Ia dijadikan
satu peringatan, satu petanda bahawa ketokohannya di dunia akan kekal di dunia
lain. Maka ketokohannya akan diagungkan oleh saudara-mara dan sahabat handai
baharunya. Seruan begitu juga menjadi bekalan keselamatan agar tidak ditinjau
ujian yang dahsyat.
Sedikit Tentang Cerpenis Kalimantan Timur
Catatan ringkas tentang para
cerpenis Kalimantan Timur disandarkan pada pernyataan yang ditulis dalam
halaman Pendahuluan buku antologi cerita pendek “Kalimantan Timur dalam Cerpen
Indonesia” (2011) yang antara menyebut:
Kelahiran, pertumbuhan dan perkembangan cerita pendek di
Kalimantan Timur agak sulit dilacak karena sedikitnya bahan tertulis yang
terdokumentasi secara akurat dan bersinambungan. Hal ini disebabkan penerbitan
karya-karya para cerpenis di wilayah ini kebanyakan dilakukan secara sporadis
dan kurang terdokumentasi, baik karya-karya yang diterbitkan di Kalimantan
Timur sendiri maupun yang diterbitkan di media massa di luar Kalimantan Timur.
Pada peringkat awal perkembangan
penulisan cerpen di Kalimantan Timur, nama-nama seperti Achmad Noor, Djumri
Obeng, dan Awang Shabriansyah adalah merupakan perintis penulis cerita pendek
di wilayah itu dengan menerbitkan karya-karya mereka di media massa bergengsi
di Jawa dan Sumatera. Juga dicatatkan bahawa Djumri Obeng dan Awang
Shabriansyah pada awal 1960-an telah menembus majalah Sastra yang dipimpin oleh H.B. Jasin di Jakarta.
Dalam Pendahuluan buku antologi
cerita pendek “Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia” (2011) juga menyatakan
bahawa :
Sejak kelahiran sastera moden
Indonesia di Kalimantan Timur, hingga saat ini, tercatat sekitar 100-an
cerpenis yang sudah memberi andil dalam publikasi cerita pendek di wilayah itu
(mahupun yang diterbitkan di daerah lain oleh cerpenis Kalimantan Timur).
Antara mereka yang cukup produktif pada masanya ialah M. Ardin Katung, Djumri
Obeng, Awang Shabriansyah, Bachrin Masjhoer, Hasan Asphani, Syafruddin
Pernyata, Herman A, Salam, Habolahasan Asyari, Nanang Rijono, Karno Wahid,
Sukardi Wahyudi, Zulhamdani As, Herry Trunajaya BS, Sari Azis, Try Lestari Soemariyono,
Mira Nurhayati(eMen), Daian, Tri Wahyuni Rahmat, Hermiyana, Atik Sulistyowati,
Atik Sri Rahayu, Amien Wangsitalaja, Misriani (Misri AN), Sunaryo Broto, Nala
Arung, Santhined, Rama Dira, dan ramai lagi. Antara nama-nama ini, Syafruddin
Pernyata, Sukardhi Wahyudi, Tri Wahyuni Rahmat, dan Rama Dira telah menerbitkan
kumpulan cerita pendek dalam buku tersendiri, di samping yang diterbitkan dalam
antologi bersama.
Kearifan Lokal dalam Cerpen Penulis Kalimantan Timur
Dr. H. Awang Faroek Ishak dalam
kata-kata sambutan buku antologi “Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia” (2011) antara lain mengatakan
:
Dengan banyak cerpenis yang bergabung dalam satu buku,
ditemukan juga aneka tema dan cara ungkap yang unik dan berharga. Itu sebabnya
membaca buku ini seperti kita bercakap-cakap dengan aneka macam orang,
menemukan beragam cerita yang segar dan menyegarkan, dan berdialog dengan
berbagai-bagai kearifan yang berfalsafah. Itulah sebabnya membaca fiksyen tak
pernah membosankan, kerana kita seolah-olah bercakap-cakap dengan banyak orang
atau orang seorang yang memberikan berbagai-bagai penghujahan fikiran dan
renungan yang berharga.
Para penulis dari Kalimantan Timur
tidak banyak bezanya dengan para penulis dari Sarawak, aneka tema dan
beragam-ragam persoalan tentang masyarakat di kedua-dua wilayah itu digarapkan
dalam cerpen masing-masing. Cerpen-cerpen yang mereka hasilkan adalah
berlatarkan hidup dan kehidupan masyarakat masing-masing, meskipun ada
peristiwa yang berlaku di luar daripada wilayah ataupun daerah asal mereka.
Kearifan lokal dalam kalangan
pelbagai suku dan kaum di Kalimantan Timur diungkapkan oleh para penulis cerpen
mereka dengan pelbagai teknik dan stail. Salah satu jenis kearifan lokal
berbentuk puisi tradisional yang masih cuba ditampilkan oleh cerpenis
Kalimantan Timur ialah syair. Syair yang berasal daripada Parsi ialah sejenis puisi
berlagu yang sudah diubahsuaikan mengikut nuansa Bahasa Melayu Klasik. Syair
merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud sejak sekian lama, dan masih
digemari hingga kini.
Atik Sri Rahayu dalam cerpennya
“Senja” (2011) dengan sedar menampilkan tradisi bersyair lewat watak Gusti yang
memang bukan pahlawan puisi, melainkan pahlawan perang:
Lupakan kekurangku demi kelangsungan cintaku
Jangan menyanggah kala marahku sedang memuncak.
Hati-hatilah menabuh genderang dalam diriku
Karena kau tak tahu apa yang terpendam di dalam hati.
Jangan selalu mengeluh agar tidak sirna rinduku padamu
Sungguh, hati manusia berubah-ubah.
Kulihat cinta dan gangguan tak mungkin bersatu
Bila keduanya bertemu, cinta pun pergi menjauh.
Masyarakat Muslim di Kalimantan
Timur seperti juga masyarakat Melayu dan Muslim di Sarawak amat menitikberatkan
keluarga yang relatif bahagia—kasih sayang yang jitu antara suami isteri dan
anak-anak adalah jauh lebih penting daripada kekayaan harta-benda. Malah dalam
masyarakat tradisional pun, soal memelihara hubungan kekeluargaan ini amat
dititikberatkan.Ini tidak bermakna kesenangan hidup dari aspek kekayaan
material itu tidak penting, dan harus diabaikan. Namun, yang dipentingkan
adalah keghairahan mengejar kekayaan dan kesenangan hidup di dunia itu tidak
sampai menghancurkan kebahagiaan berumah tangga, dan masing-masing tanggungjawab
suami isteri seperti mana yang telah difitrahkan. Suami mahupun isteri harus
bijak dalam menguruskan rumah tangga dan keluarga.
Cerpen “Tak Ada Si Malakama”oleh
Halimah Taslima (2011) mengungkapkan peri perlunya suami isteri menyedari
hakikat betapa kebahagiaan dan kepentingan keluarga itu diutamakan:
“Ya, Tuhan, aku tidak ingin biduk rumah tangga kami
karam, kerana aku lebih mengutamakan prinsip hidupku. Aku tidak ingin hidup
sendiri, tanpa Wisnu, dan kedua anakku yang telah menjelma
menjadi dua bidadari cantik, di
mataku, saat ini. Betapa egoisnya, kerana sering kali tak memahami bahawa
rintihan suamiku adalah jeritan hatinya yang terluka oleh ulahku.”
Salah bentuk kearifan lokal yang
masih berkembang mekar dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu,
ialah pelbagai jenis tarian tradisional. Zapin atau “jepen” bagi masyarakat
Indonesia adalah salah satu daripada tarian tradisional yang masih dilestarikan
hingga kini. Tarian zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional
yang diilhamkan oleh peranakan Arab, dan dikatakan berasal daripada Yaman.
Tarian ini telah menular luas dalam kalangan penggemar seni tari di Nusantara,
khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding
yang bergiat aktif dari dahulu hingga sekarang seperti di Malaysia, Brunei,
Singapura dan Indonesia. Di Kalimantan Timur, tarian zapin atau istilah
Kalimantan Timurnya “jepen” masih digemari, dan berjaya dipersembahkan di luar
negara seperti Jepun.
Nuansa kearifan lokal ini dapat kita
temukan dalam cerpen Hanafi Koetai “Jejak Kasih” (2011). Lewat cerpen itu
Hanafi mengartikulasikan:
Dena tertawa riang, sambil terus memeragakan gerakan-gerakan
tari jepen dan kemudian beralih menjadi gadis dayak yang dengan anggunnya bak
enggang yang begitu eloknya. Kedua orang tuanya bertepuk tangan mengiringi
gerakan demi gerakan Dena. Sementara Helda hanya mengikuti dengan canggung.
Bahkan tak jarang Helda salah gerakan, dan membuatnya terjatuh...Sejak TK, Dena
memang suka menari. Beragam tari ia kuasai dengan baik. Kelas 2 SMP, ia sudah
terlibat dalam event besar seperti Erau.
Waima semaju dan semoden mana pun
sesuatu masyarakat itu, sikap saling peduli dan prihatin senantiasa menjadi
amalan. Itulah ramuan kehidupan bermasyarakat yang harmoni yang masih menjadi
norma kehidupan masing-masing masyarakat. Meski sistem kehidupan moden yang
individualistik semakin mendominasi sistem sosial masyarakat moden, namun masih
ada insan yang berhati mulia yang masih ambil tahu dan peduli akan penderitaan
orang lain. Sikap peduli dan prihatin adalah merupakan nilai-nilai murni yang memperlihatkan elemen kearifan
lokal itu terus diwarisi oleh generasi kini.
Korrie Layun Rampan dalam cerpennya
“Jantur Mapan” (2011) antara lain mengekspresikan kearifan lokal yang tak
lekang dek panas tak lapuk dek hujan itu :
...Aku bertekad nanti malam aku
harus mampu membujuk Fatimah kembali ke Jakarta. Paling tidak, aku ingin ia
keluar dari rumah bordil itu, dan kami dapat membangun rumah tangga. Tak
mengapa ia sudah terjerumus ke dalam lumpur hitam, bukankah itu hanya salah
satu jalan beronak-duri yang ia lewati. Ia masih banyak kesempatan untuk
memperbaiki diri. Apa lagi kalau ia sudah menjadi istri.
Salah kearifan lokal yang masih
diyakini oleh masyarakat hingga kini adalah bahawa setiap perbuatan jahat itu
pasti menerima pembalasan yang setimpal dengan kejahatan yang dilakukannya.
Justeru setiap anggota masyarakat harus berusaha menghindarkan diri daripada
melakukan sebarang bentuk kejahatan, khususnya penganiayaan terhadap orang
lain. Apalagi terhadap insan yang lemah yang sesungguhnya memerlukan pembelaan.
Dalam cerpen “Dendam Bulan” (2011),
Naga Pamungkas mengingatkan betapa perbuatan jahat itu pasti menerima
pembalasan yang sewajarnya :
Kini orang-orang warga kampung kami tahu, bahwa roh Bulan, masih
penasaran. Gentayangan. Dia ingin mencari laki-laki yang memiliki andil atas
kehamilannya. Lelaki yang pernah menikmati Bulan, menghancurkan hidup Bulan.
Bulan terus bergentayangan. Aku peringatkan kepada yang pernah berhubungan
dengan Bulan, terutama lelaki yang pernah merasakan kemontokan Bulan,
bersiap-siaplah untuk menyambut kedatangannya dengan dendam dan pembalasan
kematian. Termasuk aku!.
Kearifan lokal ada hubungannya
ketahanan dan kekentalan sesuatu masyarakat peribumi dalam menghadapi dugaan
dan cabaran hidup, sekali gus mendepani pengaruh-pengaruh persekitaran,
menjadikan mereka manusia yang lurus, jujur dan reda. Ada waktunya tabiat atau
fiil demikian menjadikan mereka pasrah (dibaca reda) dengan apa juga bentuk
musibah yang menimpa diri dan keluarga mereka, sekali gus mereka berserah
kepada-Nya dengan rela hati dan reda untuk membalas budi baik mereka yang telah
membantu mereka.
M. Saipul melalui watak Bi Minah
dalam cerpennya “Cahaya dari Tepian Mahakam” (2011) mengujarkan :
Den Rietsky, Bibi menitipkan Lastri kepada Aden, tolong dijaga dan dibimbing yang baik ya
Den, Bibi sangat senang sama kalian berdua,
Bibi senang kalau kalian menjadi suami-istri, kalian berdua sangat baik sama Bibi, Bibi juga mengucapkan terima kasih mau menjaga Bibi waktu sakit, ini
ada cincin kawin Bibi, cincin ini Aden berikan kepada calon istri Aden nanti
ya? Kalau Bibi pergi kalian tidak boleh sedih, kalian harus sabar, dan
jangan lupa sholat ya Den, Lastri
juga diingatkan kalau lupa.
Kearifan lokal dalam
kebanyakan cerpen dalam buku antologi “Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia”
yang sempat diteliti sekilas pandang ini, memang ada menyentuh perkara itu,
baik secara implisit mahupun eksplisit. Penelitian yang lebih lanjut daripada
pelbagai aspek an dimensi terhadap cerpen-cerpen itu, dan membandingkannya
dengan cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh para penulis Sarawak wajar dilakukan
dari semasa ke semasa demi melihat pemikiran-pemikiran para sasterawan
kedua-dua provinsi tersebut.
Sapardi D.
Damono memperjelaskan tanggapan terhadap sastera pada suatu masa dahulu :
...Sastra adalah kristalisasi keyakinan, nilai-nilai,dan norma-norma yang
disepakati masyarakat—setidaknya begitulah yang terjadi pada zaman lampau
ketika kepengarangan tidak dipermasalahkan dan berbagai-bagai jenis tradisi
lisan dimiliki lisan dimiliki beramai-ramai oleh masyarakat, tidak oleh
individu. Pada waktu itu produksi, penyebarluasan, konsumen, dan sebagainya
boleh dikatakan non-issue, hal yang tak perlu digunjingkan karena berlangsung
begitu saja. Pada waktu itu pula, dengan demikian, apresiasi sastera dalam
pengertian kita sekarang ini tidak pernah
terpikirkan (Sosiologi Sastra,
2008).
Dalam pengertian sekarang, sastera
dilihat sebagai cerminan masyarakat. Sasterawan dan penulis adalah juga
sebahagian daripada masyarakat yang terikat dengan status sosial dan
nilai-nilai serta normal sosial tertentu. Sastera ialah institusi sosial
lantaran bahasa ialah mediumnya. Sastera mengartikulasikan
permasalahan-permasalahan kehidupan yang merupakan hakikat sosial yang meliputi
sistem hubungan antar-masyarakat, antar-manusia, antar-budaya, antar-peristiwa
dan antar-daerah.
Sasterawan dan penulislah yang akan
menjamin adanya produksi sastera seperti novel, cerpen, puisi dan drama. Untuk
menghasilkan karya sastera pula, para sasterawan dan penulis harus menjanakan,
merekayasa dan mengolah bahan-bahan cerita sama ada dalam bentuk
peristiwa-peristiwa mahupun fenomena-fenomena sosial, budaya, politik, ekonomi,
alam dan persekitaran yang ada di sekeliling mereka, ataupun yang mereka garap
daripada daya imaginasi, pemerhatian dan pencernaan mereka yang tajam.
Dalam karya sastera wujud pelbagai
unsur ekstrinsik lantaran mengarang itu merupakan suatu proses yang panjang.
Yang dimaksudkan dengan unsur-unsur ekstrinsik itu, termasuklah latar belakang
kehidupan pengarang, weltanschauung
atau pandangan hidup pengarang, kondisi dan persekitaran sosial serta budaya
yang melatari kelahiran karya-karya berkenaan. Kearifan lokal tercakup dalam
faktor-faktor budaya dan kebudayaan tersebut.
Cerpen-cerpen
yang dihasilkan para penulis Sarawak dan Kalimantan Timur yang sempat diteliti
oleh penulis jelas memperlihatkan mereka juga memanfaatkan aneka unsur kearifan
lokal seperti tradisi dan mitos untuk menghasilkan karya-karya sastera yang
bernilai seni dan estetik sastera yang relatif mengesankan.
Akhirulkalam, amat diharapkan
penelitian yang sepintas lalu tentang kearifan lokal ini akan dapat merangsang
penelitian lebih lanjut dalam domain yang berkenaan.
Makalah ini dibentangkan dalam Dialog Borneo – Kalimantan
XI di Wilayah Persekutuan Labuan, 27 -29 Jun 2103
A. Aziz Deraman. Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia Edisi
Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.2001.
A. Karim Haji Abdullah
(penyelenggara). Pemimpin dan Sasterawan.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur. 1993.
Hajijah Jais & Abg. Patdeli
Abg. Muhi (Penyelenggara).Ketipung Bunga
Jambu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.1995.
Hamzah Hamdani (penyelenggara). Wajah
Sastera Sarawak. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1988.
Hamzah Hamdani. Pertumbuhan dan
Perkembangan Sastera Melayu di Sarawak. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur. 2004.
Henry Guntur Tarigan. Prinsip-prinsip
Dasar Sastra. Penerbit Angkasa Bandung. 1984.
Jeniri Amir. Arus Mutakhir Sastera
Kenyalang. JA Communications & Publication, Kuching. 1994.
Jiso Rutan (penyelenggara).Karya
Penulis Sarawak Dalam Esei. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1990.
Jiso Rutan (Penyelenggara).Menganyam Kedukaan. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.2000.
Korrie Layun Rampan (ed.).Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia.
Pustaka Spirit, Jakarta.2011.
Othman Puteh. Landas Kreativiti
Penulisan Cerpen. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1997.
Robert Escarpit. Sosiologi Sastra. Yayasan Obor
Indonesia, Jakarta. 2008.
Shahnon Ahmad. Weltanschauung Suatu Perjalanan Kreatif.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.2008.
Umar Junus. Fiksyen dan Sejarah Suatu Dialog. Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.1989.
Zen RS (Editor). Pengakuan Para Sastrawan Dunia Pemenang
Nobel. PINUS Book Publisher, Yogyakarta. 2006.
tal4mbur4ng.blogspot.com/2010/07/kearifan-lokal-guna-pemecahan-masalah.html
(dimuat turun pada
14/06/2013)
hutanwisatawonosadi.wordpress.com/category/uncategorized/
(dimuat turun pada
14/06/2013)
naskahesai.blogspot.com/2013/05/sekayu-karya-nh-dini-sebagai-catatan.html (dimuat turun pada 14/06/2013)
garasikeabdian.blogspot.com/2013/03/pendidikan-berbasis-kearifan
lokal.html (dimuat turun
pada 14/06/2013)
warisanmelayujohor.blogspot.com/2011/05/tarian-zapin.html(dimuat turun pada 18/06/2013)
ms.wikipedia.org/wiki/Syair (dimuat turun pada 18/06/2013)