Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Julai 2016

Kolaboratif Menjulang Seni Sastera

Keratan akhbar program MAJLISAH (Utusan Borneo, 1 Julai 2016)

Keratan akhbar program MAJLISAH (Utusan Borneo, 1 Julai 2016)

Selasa, 28 Jun 2016

PERASMIAN MAJLISAH BERLANGSUNG MERIAH

Pelancaran buku terbitan PERWILA dan BeTA

Penulis buku antologi puisi Bicara Awan Pada Langit bergambar bersama YB. Datuk Rozman


LABUAN, 26 Jun; Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH) berlangsung meriah dengan kehadiran YB. Datuk Rozman Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan  untuk  menyempurnakan majlis ini. Seramai 1,000 orang tetamu termasuk pelajar Kolej Matrikulasi Labuan, ketua-ketua jabatan, para pemimpin masyarakat dan para penulis hadir dalam majlis ini.

Majlis ini yang julung kalinya dianjurkan bersama oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan (KML), Grup Bersama Terbitkan Antologi (BeTA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai (SMKP) bertujuan menyemarakkan seni bahasa dan persuratan bersama pelbagai lapisan masyarakat.

Penasihat BeTA, Dato’ Dr Ibrahim Ghaffar  dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat penaja dan orang perseorangan yang terlibat menjayakan program MAJLISAH. MAJLISAH turut ditaja oleh Kumpulan Media Karangkraf dan Warisan Wong Kampung.

Ketua Satu PERWILA, Haji Othman Mahali dalam ucapannya merakamkan jutaan penghargaan kepada pihak KML yang sudi menjadi tuan rumah dalam majlis perasmian ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YB. Datuk Rozman datuk Haji Isli kerana menaja pengangkutaan, penginapan dan perbelanjaan peserta luar yang terlibat dalam majlis ini.

Dalam ucaptama majlis ini yang disampaikan oleh Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan (Ketua 1 GAPENA), beliau menegaskan bahawa aktiviti kesusasteraan seperti ini adalah salah satu cara untuk mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan. Beliau memohon agar semua pihak terutamanya dalam bidang pendidikan turut bekerjasama dengan persatuan penulis demi kedaulatan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan menegaskan keputusan GAPENA untuk membantah pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah-sekolah kerana program tersebut menghalang penyatuan masyarakat. Tambah beliau, program tersebut menyebabkan kesukaran dan kekeliruan pelajar untuk menguasai mata pelajaran yang diajar dalam dwibahasa. Mengulas tentang industri penerbitan buku, Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan menegaskan supaya setiap penerbit menghormati hakcipta setiap penulis dengan menyediakan perjanjian royalti yang adil.

Datuk Rozman dalam ucapan perasmiannya menyokong program ini yang mampu menyemai budaya hormat-menghormati, kesopanan dan budi bahasa khususnya kepada pelajar dan masyarakat secara amnya. “Yang merah itu saga, yang kurik itu kundi; yang indah itu  bahasa, yang baik itu budi,” ucapnya yang mendapat tepukan gemuruh oleh tetamu.

Majlis ini diserikan dengan pelancaran buku terbitan BeTA (Antologi 279 Sajak Bicara Langit Kepada Awan) dan dua buah buku terbitan PERWILA iaitu antologi puisi Mawar Merah dan novel berjudul Cinta Tania.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan puisi oleh para pemuisi PERWILA dan BeTA, di samping persembahan lagu oleh kumpulan kebudayaan Kolej Matrikulasi Labuan. Turut hadir dalam majlis ini ialah En. Rusdi Awang , Penolong Pengarah Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sabah.


Antara tetamu yang hadir dalam majlis
Tetamu kenamaan menyaksikan persembahan puisi

Sabtu, 31 Oktober 2015

Keratan Akhbar: Angkat Martabat Bahasa Melayu

Tuan Haji Othman Bin Mahali, Ketua Satu PERWILA dianugerahkan Tokoh Bahasa, Sastera dan Budaya Wilayah Persekutuan Labuan 2015

Selasa, 15 September 2015

Sani La Bise Dinobat Johan SDPK 2015 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Penganjur bergambar bersama peserta SDPK 2015.
12 September: Seramai 10 orang peserta berentap di peringkat akhir  Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2015 (SDPK 2015) yang terdiri daripada empat orang wakil Kolej Matrikulasi Labuan (KML) dan dua dari Labuan International School (LIS) serta masing-masing seorang dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, S. K. Layang-Layangan, Kg. Lubok Temiang dan Pekan Kota Kinabatangan.

SDPK 2015 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan ini diadakan di ruang pameran Perpustakaan Kolej Matrikulasi Labuan sebagai jalinan kerjasama untuk mempromosikan Pameran Kemerdekaan 2015 yang sedang berlangsung di ruang tersebut.

SDPK yang dianjurkan oleh PERWILA bertujuan memilih peserta yang akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke SDPK Peringkat Kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada 16 hingga 18 Oktober 2015 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Dalam SPDK ini setiap peserta dikehendaki mendeklamasikan salah satu (1) puisi yang terdapat dalam antologi puisi  Lentera Zaman terbitan GAPENA 2014.

Dalam SDPK ini, Sani Bin La Bise (Labuan International School) yang mendeklamasikan puisi berjudul Merdekakah kita, karya Hashim Yaacob mendapat pungutan markah sebanyak 271 sekaligus dinobatkan sebagai Johan SDPK 2015 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Sani Bin La Bise menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 200.00 di samping sijil penghargaan dan juga hadiah hamper.

Ketua Satu PERWILA menyempaikan hadiah kepada Johan SDPK 2015, disaksikan oleh Ketua 2 PERWILA.
Pameran Kemerdekaan 2015 yang sedang berlangsung di perpustakaan tersebut.
Naib Johan pula disandang oleh Abdul Laham Bin Rudin mewakili Jabatan Kesihatan dengan markah terkumpul 250 mendeklamasikan puisi berjudul Bicara Merdeka Buat Generasi Muda, karya Nordin Hashim  manakala Haji Alias Bin Hussin menduduki tempat Ke-3 dengan markah 229 melalui puisi berjudul Mengisi Rumah Merdeka, yang ditulis oleh Ratna Laila Shahdin.

Naib Johan menerima hadiah tunai berjumlah RM 150.00, sijil penghargaan dan hadiah hamper. Tempat Ketiga SDPK pula menerima wang tunai RM100.00, sijil dan hadiah hamper.

Peserta yang mendapat hadiah saguhati SDPK 2015 ialah Hartini Binti Tengah - Senandung Bonda Kandung (karya Zurinah Hassan), Rizuan Bin Asmarah - Tunas Pahlawan (karya Abdul Karim Gullam), Mohd. Ridwan Irfan B. Nasip - Merdekakah kita (karya Hashim Yaacob), Mohd Nasrul Azmi - Landskapkan Cadangkan Merdeka (karya Meriam Awang Cah), Mohd Waffie Bin Matdin - Merdekakah kita (karya Hashim Yaacob), NUR Liyana Binti Sahudi - Zikir Merdeka, (karya Jamilah Harun) dan Azraidie Bin Jasni - Tunas Pahlawan (karya Abdul Kalim Gulam). Kesemua peserta yang mara ke peringkat akhir turut diberikan sijil penghargaan dan hadiah hamper yang disumbangkan oleh Bank Kerjasama Rakyat, Cawangan Labuan.


Berita berkaitan:
  1. Perpustakaan Digegarkan Oleh Pemuisi Tempatan

Rabu, 24 Jun 2015

Penyerahan Watikah Pelantikan Penaung PERWILA


24 Jun: Seramai lapan orang ahli jawatankuasa PERWILA berkunjung ke pejabat Ahli Parlimen Labuan untuk menyampaikan hasrat terhadap perlantikan Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli sebagai penaung PERWILA. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Encik Othman Bin Mahali selaku Ketua Satu Perwila, membawa bersama permohonan dana untuk membuat kajian dan pengumpulan bahan bersejarah di Labuan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan PERWILA.

Yang Berhormat Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli dalam ucapan balasnya menyatakan bahawa beliau berbesar hati dengan pelantikan beliau sebagai penaung PERWILA dan merakamkan penghargaan ke atas kunjungan PERWILA. Tambahnya lagi,  kunjungan seperti ini memudahkan tugasan beliau untuk mendekati rakyat. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan amat penting kerana sudah mempunyai jentera (tenaga kerja) yang mengerakkan organisasi. Pertubuhan seperti PERWILA boleh membantu membangunkan masyarakat dari segi sahsiah dan perkembangan budaya terutamanya dari segi kesenian dan penulisan.”

Katanya lagi, “Usaha PERWILA dari pelbagai aspek penulisan termasuklah membukukan bahan-bahan kajian sejarah tempatan merupakan satu usaha yang mampu membantu negara menjadi negara maju kerana tanpa adanya tulisan maka tiada bahan untuk dibaca. Kerajaan amat berharap agar setiap persatuan atau pertubuhan berusaha menjadikan Labuan berperanan sebagai  contoh  wilayah yang mantap dari segi ekonomi, hubungan sihat antara kaum dan seterusnya mengukuhkan perpaduan rakyat di Malaysia.

Ahli Parlimen turut menggesa PERWILA agar mengadakan ikhtiar untuk mendapatkan dana dengan kaedah lain selain meminta peruntukan dari kerajaan. Beliau menyatakan contoh beberapa pertubuhan yang membuat kutipan amal dengan menganjurkan aktiviti rekreasi dan aktiviti bersama badan korporat.

Y. B. Datuk Rozman juga menyeru warga Labuan agar mencontohi sikap penduduk di Kota Kinabalu yang pemurah dan mudah untuk menyertai sebarang aktiviti yang bertujuan mengumpul dana. Sifat pemurah harus diterapkan di kalangan generasi baru di Wilayah Persekutuan Labuan memandangkan generasi inilah yang akan memimpin Labuan pada masa akan datang, jelas beliau.

Pertemuan dengan ahli parlimen Wilayah Persekutuan Labuan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan di hadapan kaunter pejabat ahli parlimen.

Selasa, 1 November 2011

Utusan Malaysia Online - Semua pihak perlu bantu DBP perkasa bahasa Melayu


YB Datuk Yussof Mahal (dua dari kiri) ketika melancarkan novel sempena majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

LABUAN 31 Okt. - Semua pihak perlu membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini dan menjadikannya sebagai bahasa pengantar dalam semua urusan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata, ia selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

"Semua pihak seharusnya berganding bahu membantu DBP memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan memilihnya sebagai bahasa pilihan serta perantaraan bagi semua urusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Pada majlis itu, Yussof menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada DBP dan juga RM3,000 kepada Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila).

Selain itu, beliau turut melancarkan empat novel kendalian Perwila iaitu Ini Buku Setia Mengalir, Peluru Cinta Victoria, Aarrgghh Kantoinya Aku dan Syakur Pejuang Dua Dunia.

Yussof berkata, dalam usaha untuk memperluaskan konteks penggunaan dan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar, DBP memerlukan kerjasama daripada institusi politik, kewangan, perhotelan, pihak swasta dan agensi kerajaan.

"Apabila wujud tanggungjawab bersama antara semua sektor, ia akan memudahkan DBP memantapkan satu citra atau jenama Malaysia yang menunjangi jati diri rakyat dalam pembinaan negara ini mengikut acuan sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Yussof turut menyeru peniaga supaya memasang papan tanda iklan perniagaan mereka dalam bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris dan Mandarin.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai menggunakan bahasa Melayu dengan baik pada majlis-majlis rasmi supaya ia boleh dicontohi oleh generasi muda terutama pelajar sekolah.

Selasa, 9 November 2010

Kembara Penulisan Novel Perwila Dapat Sambutan Menggalakkan

Utusan Borneo
Isnin, 8 November 2010
Kembara Penulisan Novel Perwila Dapat Sambutan Menggalakkan

Isnin, 23 Ogos 2010

Program Kesihatan Dalam Kesenian Perwila Dapat Sambutan

Utusan Borneo
Ahad, 22 Ogos 2010
Program Kesihatan Dalam Kesenian Perwila Dapat Sambutan

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA