Rabu, 24 Jun 2015
Penyerahan Watikah Pelantikan Penaung PERWILA
24 Jun: Seramai lapan orang ahli jawatankuasa PERWILA berkunjung ke pejabat Ahli Parlimen Labuan untuk menyampaikan hasrat terhadap perlantikan Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli sebagai penaung PERWILA. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Encik Othman Bin Mahali selaku Ketua Satu Perwila, membawa bersama permohonan dana untuk membuat kajian dan pengumpulan bahan bersejarah di Labuan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan PERWILA.
Yang Berhormat Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli dalam ucapan balasnya menyatakan bahawa beliau berbesar hati dengan pelantikan beliau sebagai penaung PERWILA dan merakamkan penghargaan ke atas kunjungan PERWILA. Tambahnya lagi, kunjungan seperti ini memudahkan tugasan beliau untuk mendekati rakyat. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan amat penting kerana sudah mempunyai jentera (tenaga kerja) yang mengerakkan organisasi. Pertubuhan seperti PERWILA boleh membantu membangunkan masyarakat dari segi sahsiah dan perkembangan budaya terutamanya dari segi kesenian dan penulisan.”
Katanya lagi, “Usaha PERWILA dari pelbagai aspek penulisan termasuklah membukukan bahan-bahan kajian sejarah tempatan merupakan satu usaha yang mampu membantu negara menjadi negara maju kerana tanpa adanya tulisan maka tiada bahan untuk dibaca. Kerajaan amat berharap agar setiap persatuan atau pertubuhan berusaha menjadikan Labuan berperanan sebagai contoh wilayah yang mantap dari segi ekonomi, hubungan sihat antara kaum dan seterusnya mengukuhkan perpaduan rakyat di Malaysia.
Ahli Parlimen turut menggesa PERWILA agar mengadakan ikhtiar untuk mendapatkan dana dengan kaedah lain selain meminta peruntukan dari kerajaan. Beliau menyatakan contoh beberapa pertubuhan yang membuat kutipan amal dengan menganjurkan aktiviti rekreasi dan aktiviti bersama badan korporat.
Y. B. Datuk Rozman juga menyeru warga Labuan agar mencontohi sikap penduduk di Kota Kinabalu yang pemurah dan mudah untuk menyertai sebarang aktiviti yang bertujuan mengumpul dana. Sifat pemurah harus diterapkan di kalangan generasi baru di Wilayah Persekutuan Labuan memandangkan generasi inilah yang akan memimpin Labuan pada masa akan datang, jelas beliau.
Pertemuan dengan ahli parlimen Wilayah Persekutuan Labuan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan di hadapan kaunter pejabat ahli parlimen.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
PERWILA
Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.
Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan