Memaparkan catatan dengan label Ulangtahun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulangtahun. Papar semua catatan

Selasa, 1 September 2015

Keratan Akhbar: PERWILA terus berdiri teguh dalam martabat dunia sastera negara

Utusan Malaysia, Khamis, 27.08.2015, Muka Surat 27
ROZMAN ISLI (berdiri, tujuh dari kanan) dan Othman Mahali (berdiri lapan dari kanan) bergambar kenangan dengan sebahagian daripada ahli Perwila dalam Majlis Semarak 30 Tahun Perwila di Labuan, baru-baru ini.

Perwila terus berdiri teguh dalam martabat dunia sastera negara

LABUAN 26 Ogos
- Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila) bertekad untuk terus memartabatkan bidang kesusasteraan di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Satu Perwila, Othman Mahali berkata, persatuan itu mempunyai kerjasama baik serta sentiasa berganding rapat dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) sejak 30 tahun lalu dalam menganjurkan pelbagai program dan aktiviti berkaitan sastera, bahasa dan budaya di negara ini.

Selain itu katanya, Perwila juga mendapat tunjuk ajar daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di peringkat Pusat dan Cawangan Sabah dalam membantu melancarkan program anjuran persatuan itu.

"Perwila berperanan menyumbang kepada pembangunan pemikiran masyarakat melalui penghasilan karya yang bermutu dan berkualiti seperti penulisan cerpen dan novel, puisi, teater dan drama.

"Sehubungan itu, Perwila akan terus berjuang dalam memartabatkan bidang kesusasteraan di negara ini, selain menjaga kebajikan ahli yang bergiat aktif dalam memperjuangkan bidang sastera, bahasa dan budaya di Wilayah Persekutuan Labuan" katanya ketika berucap sempena Majlis Semarak 30 Tahun Perwila, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang juga Penaung Perwila. Program tersebut mendapatkerjasama dan komitmen daripada Perbadanan Labuan, Gapena,.
DBP Cawangan Sabah dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

Yang hadir sama Pengarah DBP Cawangan Sabah, Asmiah Ajamain;Setiausaha Agung Gapena, Hamzah Hamdani; Ketua Dua Perwila, Sahar Misron dan wakil KML,Nor Azam Ali.

Dalam majlis tersebut, bekas Ketua Satu Perwila, Prof. Madya Dr. Harun Pudin dan Othman Mahali masing-masing menerima Anugerah Khas Tokoh Perwila dan Anugerah
Sasterawan Perwila 2015.

Watikah penghargaan turut diberikan kepada Pengasas Perwila termasuk Allahyarham Datuk Seri Mohamed Omar Bledram (Ketua Satu), Ahmad Badri Mardi (Ketua Dua), Othman Mahali (Setiausaha), Ismail Gustim (Penolong Setiausaha) dan Allahyarham Ibrahim Ismail (Bendahari). Lapan lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) turut diberi penghargaan iaitu Abd. Rahman Daud, Hasnah
Sambas, Ab. Rani Embi, Mahmud Ahmad, Idris Uchat, Sarawallieh Ashrin, Hussin Mohd. Walli dan Ismail Kasah.

Perwila turut memberikan pengiktirafan kepada ahlinya yang berkhidmat tidak kurang 25 tahun iaitu Abd. Rahman Lamudin (1987-2015) dan Hasnah Sambas (1985-2015) yang menerima Anugerah
Khas Setia Bakti, sementara Tawil Baddu (1987-2015) dan Fatimah Ibrahim (1989-2015) menerima Anugerah Khas Setia Bakti.

Anugerah Penggerak Bahasa dan Sastera Budaya pula diberikan kepada Sahar Misron dan Masmah Mohd. Ali.

Sumber: Utusan Malaysia

Rabu, 19 Ogos 2015

MAJLIS SEMARAK 30 TAHUN PERWILA



ATURCARA
 
TARIKH          : 22 OGOS 2015 (SABTU)
MASA            : 8:00 PAGI
TEMPAT         : DEWAN KULIAH 2, KOLEJ MATRIKULASI LABUAN.

8:00 pagi        Ketibaan tetamu
8:15 pagi        Ketibaan tetamu kehormat
8:30 pagi        Nyanyian lagu: Negaraku
                        Nyanyian lagu: Maju dan Sejahtera
                        Bacaan Doa
Ucapan aluan Ketua 1 PERWILA
                        Ucapan perasmian Penaung PERWILA (Ahli Parlimen Labuan)
                        Simbolik Majlis Perasmian
Persembahan Puisi I
Penyampaian Hadiah dan Anugerah Khas
10:30 pagi     Forum: Halatuju PERWILA dalam melestarikan sastera tanah air
12:30 t/hari    Makan tengah hari
2:00 petang   Bicara Karya: Konteks nasionalisme dalam karya penulis Labuan
Persembahan Puisi II
                        Penyampaian Cenderahati
5:00 petang   Minum petang
Bersurai

Selasa, 4 Ogos 2015

MAJLIS SEMARAK 30 TAHUN PERWILA

TARIKH : 22 OGOS 2015 (SABTU)
MASA : 8:00 PAGI
TEMPAT : DEWAN KULIAH 2, KOLEJ MATRIKULASI LABUAN.
8:00 pagi  - Ketibaan tetamu
8:15 pagi  - Ketibaan tetamu kehormat
8:30 pagi  - Nyanyian lagu: Negaraku
                - Nyanyian lagu: Maju dan Sejahtera
                - Bacaan Doa
                - Ucapan aluan Ketua 1 PERWILA
                - Ucapan perasmian Penaung PERWILA (YB Ahli Parlimen Labuan)
                - Simbolik Majlis Perasmian
                - Persembahan Puisi I
                - Penyampaian Anugerah Khas
10:30 pagi - Forum: Halatuju PERWILA dalam melestarikan sastera tanah air
                - Persembahan Kebudayaan
12:30 t/hari - Makan tengah hari
2:00 petang - Bicara Karya: Konteks nasionalisme dalam karya penulis Labuan
                   - Persembahan teater
                   - Persembahan Puisi II
                   - Penyampaian Hadiah dan Cenderahati
5:00 petang - Minum petang / Bersurai


Panel Bicara Karya

1. Norgadis Labuan (PERWILA)
2. Hasyuda Abadi (Ikatan Penulis Sabah)
Moderator: En. Aizamin Abd. Aziz

Panel Forum

1. En. Sahar Bin Misron (PERWILA)
2. En. Jasni Matlani (BAHASA)
3. Tuan Haji Hamzah Hamdani (GAPENA)
Moderator: En Sani La Bise

Pameran dan jualan buku turut diadakan sepanjang hari pada hari tersebut.

Rabu, 24 Jun 2015

Penyerahan Watikah Pelantikan Penaung PERWILA


24 Jun: Seramai lapan orang ahli jawatankuasa PERWILA berkunjung ke pejabat Ahli Parlimen Labuan untuk menyampaikan hasrat terhadap perlantikan Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli sebagai penaung PERWILA. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Encik Othman Bin Mahali selaku Ketua Satu Perwila, membawa bersama permohonan dana untuk membuat kajian dan pengumpulan bahan bersejarah di Labuan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan PERWILA.

Yang Berhormat Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli dalam ucapan balasnya menyatakan bahawa beliau berbesar hati dengan pelantikan beliau sebagai penaung PERWILA dan merakamkan penghargaan ke atas kunjungan PERWILA. Tambahnya lagi,  kunjungan seperti ini memudahkan tugasan beliau untuk mendekati rakyat. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan amat penting kerana sudah mempunyai jentera (tenaga kerja) yang mengerakkan organisasi. Pertubuhan seperti PERWILA boleh membantu membangunkan masyarakat dari segi sahsiah dan perkembangan budaya terutamanya dari segi kesenian dan penulisan.”

Katanya lagi, “Usaha PERWILA dari pelbagai aspek penulisan termasuklah membukukan bahan-bahan kajian sejarah tempatan merupakan satu usaha yang mampu membantu negara menjadi negara maju kerana tanpa adanya tulisan maka tiada bahan untuk dibaca. Kerajaan amat berharap agar setiap persatuan atau pertubuhan berusaha menjadikan Labuan berperanan sebagai  contoh  wilayah yang mantap dari segi ekonomi, hubungan sihat antara kaum dan seterusnya mengukuhkan perpaduan rakyat di Malaysia.

Ahli Parlimen turut menggesa PERWILA agar mengadakan ikhtiar untuk mendapatkan dana dengan kaedah lain selain meminta peruntukan dari kerajaan. Beliau menyatakan contoh beberapa pertubuhan yang membuat kutipan amal dengan menganjurkan aktiviti rekreasi dan aktiviti bersama badan korporat.

Y. B. Datuk Rozman juga menyeru warga Labuan agar mencontohi sikap penduduk di Kota Kinabalu yang pemurah dan mudah untuk menyertai sebarang aktiviti yang bertujuan mengumpul dana. Sifat pemurah harus diterapkan di kalangan generasi baru di Wilayah Persekutuan Labuan memandangkan generasi inilah yang akan memimpin Labuan pada masa akan datang, jelas beliau.

Pertemuan dengan ahli parlimen Wilayah Persekutuan Labuan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan di hadapan kaunter pejabat ahli parlimen.

Khamis, 14 Mei 2015

SAYEMBARA PENULISAN PUISI SEMPENA 30 TAHUN PERWILA

Sayembara ini diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan 30 tahun penubuhan PERWILA. Sayembara ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada seluruh penulis Wilayah Persekutuan Labuan untuk menyertai sambutan 30 tahun PERWILA.

Sayembara ini dianjurkan dalam dua kategori untuk merancakkan lagi persaingan secara sihat dalam dunia penulisan. Sayembara ini akan dimulakan pada 18 Mei 2015 (Tarikh Rasmi Pelancaran) dan ditutup pada 18 Julai 2015. Hadiah-hadiah adalah dalam bentuk wang tunai. Hadiah adalah seperti dalam jadual berikut;

PEMENANG
KATEGORI TERBUKA
KATEGORI LABUAN
Johan
RM 1,000.00
RM700.00
Naib Johan
RM  700.00
RM500.00
Tempat Ke-3            
RM  500.00
RM400.00
Saguhati (5 hadiah)
RM  300.00
RM250.00
  • Setiap penyertaan akan diberikan satu sijil penyertaan.


SYARAT-SYARAT SAYEMBARA PENULISAN PUISI SEMPENA 30 TAHUN PERWILA


  1. Sayembara ini dianjurkan dalam dua kategori iaitu :
  • Kategori Labuan – Penulis yang bermastautin di Labuan atau ahli PERWILA.   
  • Kategori Terbuka / Malaysia – Penulis yang bermastautin di Malaysia termasuk penduduk tetap. 
  1. Setiap puisi yang dihantar oleh penulis dari Wilayah Persekutuan Labuan adalah layak untuk dinilai dalam kategori terbuka. Walaubagaimanapun, hanya salah satu hadiah dari mana-mana kategori yang layak dimenangi dengan memilih nilai hadiah yang tertinggi.
  1. Tema Puisi adalah bebas tanpa menyentuh sentimen perkauman, politik, agama dan individu. Puisi haruslah berorientasikan tentang kesejagatan manusia dan pengamatan pada dunia kesusasteraan dan kesasteraan.
  1. Setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu puisi. Peserta tidak dibenarkan menuliskan nama sebenar, nama pena atau sebarang nama pengenalan dalam mana-mana helaian puisi yang dihantar.
  1. Karya perlu ditaip kemas, langkau dua baris dengan jenis tulisan Times New Roman atau Arial bersaiz 12 poin dan hendaklah tidak melebihi dua (2) muka surat A4.
  1. Karya perlu asli, hasil karya sendiri dan ditulis dalam bahasa Melayu.
  1. Penganjur mempunyai hak untuk menerbitkan karya yang menyertai sayembara ini. Namun jika penulis tidak dihubungi oleh penganjur dalam tempoh tiga (3) bulan selepas pengumuman pemenang, penulis dibenarkan untuk menerbitkan karya terbabit dengan mana-mana penerbit lain.
  1. Tarikh tutup penyertaan: 18 JULAI 2015.
  1. Penyertaan yang tidak memenuhi atau melanggar syarat sayembara akan ditolak.
  1. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang rayuan atau surat-menyurat tidak akan dilayan.
  1. Setiap penyertaan haruslah disertakan dengan borang Sayembara.

Berikut adalah borang sayembara.
(Sila salin dan tampal dalam jenis tulisan Arial, bersaiz 12 poin menggunakan saiz kertas A4)

 --borang mula--

SAYEMBARA PENULISAN PUISI SEMPENA 30 TAHUN PERWILA

Tandakan (X) bagi kategori yang disertai:
(  ) Wilayah Persekutuan Labuan     
(  ) Terbuka / Malaysia



Nama           :
No. K/P       :
Warganegara:
Alamat surat-menyurat:
Alamat e-mel:

Saya mengaku bahawa puisi saya yang berjudul (tuliskan judul)_____________ adalah karya asli saya dan salinan bercetak tidak perlu dikembalikan oleh penganjur.


Tandatangan:
Tarikh:


PENGHANTARAN BORANG DAN PUISI

Puisi lengkap berserta borang penyertaan boleh dikirimkan melalui e-mel kepada: perwila1985@gmail.com dengan tajuk perkara SAYEMBARA PUISI PERWILA 30 TAHUN.

ATAU

Dicetak dan dihantar melalui pos kepada;

URUS SETIA,
SAYEMBARA PUISI PERWILA 30,
PETI SURAT 81429,
87014 WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.
(U.P.: FRANCIS LABI)

"SENI UNTUK MASYARAKAT"

--borang tamat--


Nota: Boleh inbox FB NORGADIS LABUAN untuk mendapatkan borang pdf

Jumaat, 18 April 2014

SELAMAT ULANG TAHUN PERWILA KE-29 TAHUN

Moga akan terus hidup bersama hati dan jiwa pencinta sastera. 

Rabu, 26 September 2012

Jumaat, 7 September 2012

Jumaat, 18 Mei 2012

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA