Falsafah hidup saya mudah saja iaitu bekerja dengan jujur, tidak bertangguh dan tidak terlalu mengharapkan orang lain serta jangan terlalu menunggu arahan, kata Haji Othman Mahali,70, yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru WP Labuan pada tahun 2002. Beliau juga adalah antara pengasas Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan (Perwila) dan kini masih aktif berkarya dan sering menghadiri seminar, simposium, persidangan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Haji Othman Mahali lahir pada tahun 1944. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Labuan dari darjah satu hingga enam dalam masa empat tahun pada tahun 1957 hingga 1960. Selepas itu, beliau menceburi bidang perguruan dengan menjadi guru tidak terlatih di NVS Rancha Rancha pada tahun 1961. Selepas itu, beliau mengikuti Kursus Perguruan di Pusat Latihan Perguruan Sekolah Sukarela Anak Negeri, Tanjung Aru pada tahun 1962. Selepas tu beliau kembali bertugas sebagai guru besar di SK Rancha Rancha pada tahun 1963 hingga 1966, sebelum berpindah ke SK Tanjung Aru Kota Kinabalu. Pada tahun 1967, beliau ditawarkan mengikuti Kursus Perguruan Dalam perkhidmatan Khas di Institut Bahasa Kuala Lumpur.Sepanjang kerjayanya, beliau pernah bertugas di beberapa buah sekolah termask SK Kerupang, SMK Labuan dan lain-lain lagi. Tidak setakat itu, beliau diamanah dan ditugaskan sebagai Pengetua SMK Pengiran Omar Sipitang dari tahun 1978 hingga 1980, Pengetua SMK Membedai WP Labuan dari tahun 1980 hingga 1993. Kemudian beliau dinaikkan pangkat dan bertugas sebagai Pegawai Pembangunan di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Sabah Kota Kinbalu dari tahun 1993 hingga 1995. Di penghujung perkhidmatannya di Jabatan Pendidikan, beliau kembali ke Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah WP Labuan di Pejabat Pendidikan Labuan dari tahun 1995 hingga bersara pada tahun 1999.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Halimah Abdul Jalil dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata (seorang seudah meninggal). Kesemua anaknya berjaya, antaranya, seorang memiliki ijazah MBA dari USA, seorang lagi lepasan Universiti Al-Azhar dalam jurusan Qiraat Al-Quran.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah restoran terkemuka di WP Labuan dalam kunjungan singkat ke pulau itu awal minggu ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau.
TEMUBUAL ANTARA ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN DENGAN HJ OTHMAN MAHALI
UB: Bolehkah cikgu beritahu sedikit mengenai latar belakang cikgu?HOM: Saya lahir pada 17 Januari 1944. Anak bungsu dari tiga adik beradik. Tapi kalau dicampur dengan adik beradik lain ibu, kami semua 12 orang. Saya hanya masuk bersekolah pada tahun 1957 dan tamat darjah enam, empat tahun kemudian kerana lompat darjah dua kali.
UB: Selepas itu, di mana cikgu meneruskan persekolahan?
HOM: Selepas tamat darjah enam, saya diminta mengajar di NVS Rancha-Rancha pada tahun 1961. Ketika itu umur saya 17 tahun. Saya menjadi Guru Tidak Terlatih di NVS atau Native Voluntary School, sekolah sukarela yang dibina oleh orang-orang kampung yang dahagakan ilmu pengetahuan dengan bantuan Pejabat Daerah. NVS Rancha Rancha kini dikenali Sekolah Kebangsaan Rancha Rancha.
UB: Apa maksudnya Guru Tidak Terlatih?
HOM: Guru tidak terlatih maksudnya guru tanpa latihan. Waktu itu, sayalah yang mengurus sekolah. Mengajar dalam satu bilik darjah, yang didirikan secara sukarela oleh masyarakat kampung Rancha Rancha.
UB: Cikgu tidak masuk maktab?
HOM: Selepas itu, saya mengikuti kursus perguruan secara formal selama enam bulan di Pusat Latihan Perguruan Sekolah Sukarela Anak Negeri(NVSTTC) di Tanjung Aru, Jesselton pada tahun 1962. Waktu itu Kota Kinabalu dikenali dengan nama Jesselton. Kemudian saya ditempatkan semuka di Sekolah Kebangsaan (Waktu itu Government Primary School (GPS) Rancha Rancha sebagai Guru Besar dari tahun 1963 hingga 1966.
UB: Di mana cikgu mengajar selepas itu?
HOM: Saya ditukarkan ke SK Tanjung Aru Kota Kinabalu sebagai guru biasa. Di Kota Kinabalu, saya dan rakan-rakan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang pertama kali diwujudkan di Sabah tetapi hanya dalam satu subjek saja iaitu Bahasa Melayu. Pada tahun 1967, saya terpilih mengikuti kursus dalam perkhidmatan selama 11 bulan di Institut Bahasa Kuala Lumpur. Tahun berikutnya saya ditukarkan ke SM Labuan dan mengajar dalam Tingkatan 1 Aliran Bahasa Melayu. Pada tahun itu, saya mengambil peperiksaan SRP iaitu Sijil Penuh dan lulus. Dua tahun kemudian saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus. Seperti juga SRP, untuk mengambil peperiksaan SPM dengan menghadiri kelas lanjutan pada sebelah malam kerana waktu siang, saya mengajar. Saya juga memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1970.
UB: Selain SK Rancha-Rancha, dan SK Tanjung Aru, dimana cikgu pernah bertugas?
HOM: Selain SK Rancha-Rancha dan SK Tanjung Aru Kota Kinabalu, saya pernah mengajar di SK Kerupang, SMK Labuan, SMK Membidai di Labuan. Saya pernah diamanahkan menjadi Guru Besar SK Rancha Rancha dari tahun 1963 hingga 1966, Pengetua di Sekolah Menengah Pengiran Omar Sipitang dari tahun 1978 hingga 1980, Pengetua di SMK Membidai, WP Labuan dari tahun 1980 hingga 1993.
UB: Selepas jadi pengetua di SMK Membidai, cikgu bertugas dimana?
HOM: Selepas itu, saya dinaikkan pangkat dan bertugas sebagai Pegawai Pembangunan di Ibu Pejabat, Jabatan Pendidikan Sabah, Kota Kinabalu dari tahun 1993 hingga 1995. Kemudian, saya kembali Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah WP Labuan di Pejabat Pendidikan Bahagian WP Labuan dari tahun 1995 hingga bersara pada 17 Januari 1999.
UB: Mungkin ada pengalaman istimewa sepanjang berkhidmat sebagai guru?
HOM: Antara pengalaman istimewa sepanjang berkhidmat, ialah pernah dilantik sebagai Guru Besar Tidak Terlatih di NVS Rancha-Rancha pada tahun 1961 hingga 1962. Sewaktu bertugas di SMK Labuan, saya mengajar semua mata pelajaran tingkatan satu kecuali bahasa Inggerus dan Agama Islam. Selain itu saya juga terlibat dalam taklimat Borang Laporan Setengah Tahun Jabatan Pendidikan Sabah kepada semua PPD di Sabah selain berpeluang menjelajah seluruh pelusuk negeri di bawah Bayu. Saya juga terlibat secara langsung dalam menyediakan dokumentasi projek dan perancangan Pendidikan Sekolah Menengah dan Rendah Negeri Sabah dalam RMK 7.
UB: Boleh sebutkan penghargaan yang cikgu pernah terima?
HOM: Saya mendapat anugerah Guru Cemerlang pada tahun 1996. Kemudian saya menerima anugera Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada tahun 1992. Kemudian pada tahun 2002, saya terpilih sebagai sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Labuan.
UB: Khabarnya cikgu juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di WP Labuan. Apa di antaranya?
HOM: Walaupun sibuk sebagai pendidik, saya cuba untuk memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat di WP Labuan. Antaranya, saya bersama beberapa rakan penulis, adalah anggota pengasas Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Selain itu, saya pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Masjid Lubuk Temiang hingga 2001, Ahli Jawatankuasa JKKK Lubuk Temiang, Ketua Unit Pertubuhan Peladang, Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Labuan Utara, Timbalan Ketua UMNO Cawangan Lubuk Temiang dan Ahli Jawatankuasa Muzium Sejarah Labuan.
UB: Saya tertarik dengan Perwila, yang menjadi salah satu kerabat Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sebuah badan gabungan penulis berpengaruh di negara ini.Boleh cerita sedikit mengenai Perwila?
HOM: Perwila atau Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan adalah sebuah persatuan penulis yang gigih dan giat mengadakan pelbagai kesusasteraan, kebudayaan untuk mengangkat martabat sastera khususnya di WP Labuan. Perwila adalah salah satu badan gabungan Gapena.Mulanya saya adalah Setiausaha Perwila dari tahun 1985 hingga 1993. Kemudian saya dipilih sebagai ketua 1 Perwila dari tahun 1994 hingga 1996 dan kini dipilih pula sebagai Bendahari Perwila dari tahun 2007 hingga kini.
UB: Selain tugas sebagai guru, cikgu juga dikenali sebagai penulis. Tahun berapa cikgu mula menulis? Apa nama pena?
HOM: Saya mula menulis pada tahun 1963 dalam genre cerpen di akhbar Harian Ekspress.Saya juga menulis sajak dan berita-berita tempatan. Hasil karya saya pernah diterbitkan dalam antologi cerpen bersama penulis Brunei, Sabah dan sarawak dalam Rantau Utara terbitan DBP Brunei tahun 1989. Selain itu, beberapa sajak saya pernah diterbitkan bersama penulis-penulis Malaysia oleh Gapena dan antologi puisi bersama penulis-penulis Sabah dan Sarawak sempena Pengucapan Puisi Wilayah-Bandaraya Kota Kinabalu dan Kuching tahun 2001 hingga 2005 yang diterbitkan oleh DBP Sabah dan DBP Sarawak.
Selain itu, saya juga menulis skrip drama untuk Radio Malaysia Labuan 1980 hingga 1990. Dalam bidang penulisan saya menggunakan nama pena OYEM dan Onn Malini.
UB: Apa jenis sukan kegemaran cikgu?
HOM: Saya gemar bersukan khususnya dalam permainan badminton.
UB: Apa aktiviti lain selepas bersara?
HOM: Selain aktif dalam persatuan, saya juga berniaga. Sempat pula mengusahakan tanaman bunga hiasan di bawah projek PMAK Lembaga Pertubuhan Peladang Secara Komersil.
UB: Kalau boleh tahu, apa falsafah hidup yang cikgu amalkan sehingga berjaya?
HOM: Falsafah hidup saya mudah saja iaitu bekerja dengan jujur, tidak bertangguh dan tidak terlalu mengharapkan orang lain serta jangan terlalu menunggu arahan.
Bahan daripada Abd Naddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan