Ahad, 31 Julai 2016

WACANA PUISI: INSPIRASI DAN MOTIVASI KE ARAH PEMBENTUKAN SAHSIAH DIRI



Wacana puisi tidak lagi terhad untuk persembahan pentas dan bacaan khalayak semata-mata malahan peranan genre ini harus dilihat dalam dimensi yang lebih besar dan meluas. Pembinaan genre puisi dalam apa jua bentuk sama ada sajak, syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya amat menekankan aspek pemaknaan yang ingin disampaikan kepada khalayak bagi tujuan mendidik.

Genre sajak contohnya mengalami proses tertentu dalam proses penghasilannya. Proses ini terhasil daripada pengalaman dan pemerhatian halus yang dilakukan oleh penulis seterusnya mencerna idea untuk mereka membina kata-kata. Larikan kata-kata ini boleh digarap secara tersirat mau pun tersurat yang dijalinkan dengan permainan diksi secara puitis. Namun masih lagi membawa tujuan yang sama iaitu untuk mendidik pembaca terhadap mesej yang ingin disampaikan penyajak.

Latif Mohiddin contohnya mengumpamakan proses membina sajak seumpama membina sebuah perigi yang memerlukan susunan batu-bata selapis demi selapis sehinggalah menjadi perigi yang kukuh buatannya untuk kegunaan pengembara jalanan singgah melepaskan dahaga. J.M Aziz pula lewat sajaknya ‘Mutiara Bahasa’ melihat sajak sebagai sebuah laut yang mengandungi kepelbagaian hidupan. Perlambangan hidupan laut itulah yang memberikan pemaknaan kepada unsur-unsur kehidupan sebenar dalam luahan sajaknya.

Apa gunanya sesebuah sajak dibina sekiranya hanya terperuk di perut khutub khanah semata-mata dan tidak sampai kepada khalayak pembaca? Dunia juga sedang mengalami perubahan yang pesat waima dalam apa jua bidang sekalipun. Bidang pendidikan khususnya dilihat sebagai bidang terpenting dalam proses sosio budaya dan pembinaan tunas generasi pelapis. Peringkat akar ini harus dididik agar peradaban generasi bangsa dapat dibina bersesuaian dengan aliran perubahan semasa. Kepelbagaian masalah yang timbul dalam kalangan pelajar sekolah juga agak menggerunkan sekiranya tiada tindakan serius diambil secara tuntas. Atas

kesedaran inilah jalinan kolaboratif telah dibina oleh beberapa orang penulis yang bernaung di bawah nama BeTA (Bersama Terbitkan Antologi) bersama-sama Persatuan Penulis Wilayah Pesekutuan Penulis Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan, Kumpulan Media Karangkraf dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai untuk mengadakan satu program motivasi kepada pelajar-pelajar bertajuk “Wacana Puisi : Inspirasi dan Motivasi Ke arah Pembentukan Sahsiah Diri”. 
 

Menariknya, program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Pulau Labuan pada 27 Jun lalu telah menjadikan sajak sebagai elemen utama dalam menyampaikan motivasi kepada pelajar. Seramai hampir 900 orang murid dan guru sekolah berkenaan telah mengikuti program berkenaan. Antara barisan penulis yang hadir dalam program tersebut adalah Othman Mahali (Ketua Satu PERWILA), Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar, Ilhami Hisham, Wacana Minda, Melor Shamsazila, Aya Rohaiyah, Azizah Mds, Ummu Atifi Ilhami dan beberapa orang penulis lagi dari PERWILA.


Kedatangan delegasi penulis yang disambut dengan tarian tradisional oleh penari-penari sekolah berbusana melayu tradisional lengkap agak mengujakan. Dalam ucapan perasmian, Sahar Misron selaku Pengetua sekolah yang turut memegang teraju sebagai Ketua Dua PERWILA melahirkan rasa gembira dan teruja kerana program seumpama ini julung-julung dikali diadakan. Penggunaan wacana puisi sebagai wadah baharu untuk memotivasikan pelajar amat menarik perhatian beliau dan warga pendidik di sekolah berkenaan. 

Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar memulakan wacana puisi dengan berkongsi pengalaman beliau menulis semenjak tahun 1970-an. Cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh beliau ketika zaman itu telah menjadikan beliau seorang penulis yang tabah dan tidak mudah mengalah. Bukan sekadar penulis tetapi juga sebagai seorang pejuang dalam kehidupan sebenar.
 

Wacana puisi yang disampaikan oleh penulis dan penyair, Wacana Minda ini telah mengenengahkan tiga konsep kepada audien iaitu ‘Persepsi, Inspirasi & Motivasi dan Konklusi’. Dalam segmen pertama yang menyentuh tentang ‘Persepsi’, khalayak diajak berfikir untuk memberikan takrifan berkaitan orang seni. Apa yang mereka faham dan fikir bila minda mereka membayangkan tentang orang seni. Seperti pendapat seorang murid yang mengatakan orang seni adalah manusia yang tidak terurus dari segi personaliti tetapi mempunyai hati dan perwatakan yang positif. Wacana Minda juga telah berkongsi beberapa buah sajak dalam buku kumpulan puisinya ‘Laki-Laki’ untuk berkongsi inspirasi dan bagaimana proses menghasilkan sajak-sajak tersebut. 

Penulis dan penyair lain turut berkongsi pengalaman bersama-sama pelajar dan mendapat sambutan yang hangat daripada khalayak. Melor Shamsazila dan Aya Rohaiyah telah membacakan sajak dan membimbing pelajar mendeklamasikan sajak dengan baik dan penataran emosi yang berkesan. Azizah Mds pula bijak menarik perhatian pelajar dengan membacakan beberapa baris sajak dan meminta pelajar mencipta judul sajak berkenaan. Ummu Atifi Ilhami seterusnya berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang wartawan dengan pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar agak bertuah kerana turut menerima sumbangan cenderamata daripada Kumpulan Media Karangkraf dan GPS Bestari.

Program yang dijalankan kira-kira dua jam ini dilihat amat berkesan sebagai wahana perkongsian berwajah baru untuk memotivasikan pelajar-pelajar sekolah. Melalui respon beberapa orang pelajar, mereka agak gembira kerana dapat bertemu secara dekat dengan penulis dan penyair. Kedatangan barisan penulis dan penyair juga dilihat dapat menyemarakkan lagi minat dan kecenderungan diri mereka untuk menceburi diri dalam bidang penulisan. Pemikiran jernih yang dipupuk ini diharapkan mampu meningkatkan kemenjadian murid ke arah pembentukan sahsiah diri yang lebih cemerlang . “Usaha jalinan pintar sebegini seharusnya lebih kerap diadakan untuk memberi manfaat kepada khalayak, inilah kehidupan sebenar sebagai seorang penulis dan bukannya hidup di dalam dunianya yang tersendiri sahaja,” kata Othman Mahali.

WACANA MINDA
SINAR HARIAN – 31 Julai 2016



Jumaat, 1 Julai 2016

Kolaboratif Menjulang Seni Sastera

Keratan akhbar program MAJLISAH (Utusan Borneo, 1 Julai 2016)

Keratan akhbar program MAJLISAH (Utusan Borneo, 1 Julai 2016)

Selasa, 28 Jun 2016

PERASMIAN MAJLISAH BERLANGSUNG MERIAH

Pelancaran buku terbitan PERWILA dan BeTA

Penulis buku antologi puisi Bicara Awan Pada Langit bergambar bersama YB. Datuk Rozman


LABUAN, 26 Jun; Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH) berlangsung meriah dengan kehadiran YB. Datuk Rozman Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan  untuk  menyempurnakan majlis ini. Seramai 1,000 orang tetamu termasuk pelajar Kolej Matrikulasi Labuan, ketua-ketua jabatan, para pemimpin masyarakat dan para penulis hadir dalam majlis ini.

Majlis ini yang julung kalinya dianjurkan bersama oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan (KML), Grup Bersama Terbitkan Antologi (BeTA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai (SMKP) bertujuan menyemarakkan seni bahasa dan persuratan bersama pelbagai lapisan masyarakat.

Penasihat BeTA, Dato’ Dr Ibrahim Ghaffar  dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat penaja dan orang perseorangan yang terlibat menjayakan program MAJLISAH. MAJLISAH turut ditaja oleh Kumpulan Media Karangkraf dan Warisan Wong Kampung.

Ketua Satu PERWILA, Haji Othman Mahali dalam ucapannya merakamkan jutaan penghargaan kepada pihak KML yang sudi menjadi tuan rumah dalam majlis perasmian ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YB. Datuk Rozman datuk Haji Isli kerana menaja pengangkutaan, penginapan dan perbelanjaan peserta luar yang terlibat dalam majlis ini.

Dalam ucaptama majlis ini yang disampaikan oleh Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan (Ketua 1 GAPENA), beliau menegaskan bahawa aktiviti kesusasteraan seperti ini adalah salah satu cara untuk mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan. Beliau memohon agar semua pihak terutamanya dalam bidang pendidikan turut bekerjasama dengan persatuan penulis demi kedaulatan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan menegaskan keputusan GAPENA untuk membantah pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah-sekolah kerana program tersebut menghalang penyatuan masyarakat. Tambah beliau, program tersebut menyebabkan kesukaran dan kekeliruan pelajar untuk menguasai mata pelajaran yang diajar dalam dwibahasa. Mengulas tentang industri penerbitan buku, Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan menegaskan supaya setiap penerbit menghormati hakcipta setiap penulis dengan menyediakan perjanjian royalti yang adil.

Datuk Rozman dalam ucapan perasmiannya menyokong program ini yang mampu menyemai budaya hormat-menghormati, kesopanan dan budi bahasa khususnya kepada pelajar dan masyarakat secara amnya. “Yang merah itu saga, yang kurik itu kundi; yang indah itu  bahasa, yang baik itu budi,” ucapnya yang mendapat tepukan gemuruh oleh tetamu.

Majlis ini diserikan dengan pelancaran buku terbitan BeTA (Antologi 279 Sajak Bicara Langit Kepada Awan) dan dua buah buku terbitan PERWILA iaitu antologi puisi Mawar Merah dan novel berjudul Cinta Tania.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan puisi oleh para pemuisi PERWILA dan BeTA, di samping persembahan lagu oleh kumpulan kebudayaan Kolej Matrikulasi Labuan. Turut hadir dalam majlis ini ialah En. Rusdi Awang , Penolong Pengarah Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sabah.


Antara tetamu yang hadir dalam majlis
Tetamu kenamaan menyaksikan persembahan puisi

Khamis, 23 Jun 2016

Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH)

 
Y. B Datuk/Datin/Tuan-tuan/Puan-puan/Encik/Cik,

Sukacita dimaklumkan bahawa  Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) akan mengadakan program Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH) pada 26 & 27hb Jun 2016 bertempat di Kolej Matrikulasi Labuan dan SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan.

MAJLISAH adalah program yang dijalankan secara kerjasama oleh PERWILA, Kolej Matrikulasi Labuan, Grup Bersama Terbitkan Antologi (BeTA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan SMK. Pantai, W. P. Labuan.

Program ini bertujuan memasyarakatkan penulis, menyemarakkan seni bahasa dan persuratan agar dapat memugarkan kecintaan masyarakat Labuan terhadap sastera dan Bahasa Kebangsaan.

Pengisian Program

Tarikh: 26 Jun 2016 (Ahad)
Tempat: Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan
Peserta: Warga KML dan masyarakat di W. P. Labuan

9:00 Pagi - 11:00 pagi
- Majlis Perasmian MAJLISAH oleh Y. B Ahli Parlimen P66 Labuan
(Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Kampung di Wilayah Persekutuan Labuan dijemput hadir)

-Pelancaran buku-buku terbitan PERWILA dan BeTA

11:00 pagi - 1:00 petang
Bedah Buku Terbitan PERWILA (Mawar Merah)

2:00 petang - 4:00 petang
Pertandingan Deklamasi Sajak

Tarikh: 27 Jun 2016 (Isnin)
Tempat: Dewan SMK Pantai, W. P. Labuan
Peserta: Warga SMK Pantai

9:00 pagi -  11:00 pagi
Wacana Puisi: Inspirasi dan Motivasi Di SMK Pantai

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Aizamin Abd Aziz (019-4488 428)

Jumaat, 10 Jun 2016

Kumpulan Puisi: Mawar Merah

Judul: Mawar Merah
(Kumpulan Puisi Norgadis Labuan)
ISBN 978-983-44604-7-1
Harga: RM25.00

Mawar merah
setiap kelopakmu sarat dengan sari makna
membawa segala kekuatan di celah rantingmu
terus berjuang bersama keaslian semarak
mengharum mewangi membawa sebuah nama
durimu yang tajam sentiasa siap sedia
mengukuh menjaga kesucian dan kehormatan.
Buku ini memuatkan sejumlah 63 judul puisi yang berkisar mengenai kehidupan, pertarungan menghadapi cabaran hidup dan keimanan kepada Tuhan seperti yang dinukilkan oleh Norgadis Labuan. Buku ini boleh dipesan terus dengan menghubungi penulis.

Apa kata pembaca?
"Sesungguh membaca Kumpulan Puisi Mawar Merah dapat memberikan sebuah keinsafan tentang makna kehidupan.  Sesebuah kehidupan itu akan menjadi lebih bermakna jikalau kita memaknai sesebuah kehidupan itu dengan dengan nilai kasih sayang  sesama manusia, mengenang budi, nasihat menasihati, menghargai alam dan sentiasa mencitai dan mendekati diri dengan Tuhan melalui keimanan dan ketakwaan yang terpatri kukuh di hati. " (Aizamin Abd Aziz, Utusan Borneo;15 Mei 2016)

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA