Wacana
puisi tidak lagi terhad untuk persembahan pentas dan bacaan khalayak
semata-mata malahan peranan genre ini harus dilihat dalam dimensi yang lebih
besar dan meluas. Pembinaan genre puisi dalam apa jua bentuk sama ada sajak,
syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya amat menekankan aspek pemaknaan
yang ingin disampaikan kepada khalayak bagi tujuan mendidik.
Genre
sajak contohnya mengalami proses tertentu dalam proses penghasilannya. Proses
ini terhasil daripada pengalaman dan pemerhatian halus yang dilakukan oleh
penulis seterusnya mencerna idea untuk mereka membina kata-kata. Larikan
kata-kata ini boleh digarap secara tersirat mau pun tersurat yang dijalinkan dengan
permainan diksi secara puitis. Namun masih lagi membawa tujuan yang sama iaitu
untuk mendidik pembaca terhadap mesej yang ingin disampaikan penyajak.
Latif
Mohiddin contohnya mengumpamakan proses membina sajak seumpama membina sebuah
perigi yang memerlukan susunan batu-bata selapis demi selapis sehinggalah
menjadi perigi yang kukuh buatannya untuk kegunaan pengembara jalanan singgah
melepaskan dahaga. J.M Aziz pula lewat sajaknya ‘Mutiara Bahasa’ melihat sajak
sebagai sebuah laut yang mengandungi kepelbagaian hidupan. Perlambangan hidupan
laut itulah yang memberikan pemaknaan kepada unsur-unsur kehidupan sebenar
dalam luahan sajaknya.
Apa
gunanya sesebuah sajak dibina sekiranya hanya terperuk di perut khutub khanah
semata-mata dan tidak sampai kepada khalayak pembaca? Dunia juga sedang
mengalami perubahan yang pesat waima dalam apa jua bidang sekalipun. Bidang
pendidikan khususnya dilihat sebagai bidang terpenting dalam proses sosio
budaya dan pembinaan tunas generasi pelapis. Peringkat akar ini harus dididik
agar peradaban generasi bangsa dapat dibina bersesuaian dengan aliran perubahan
semasa. Kepelbagaian masalah yang timbul dalam kalangan pelajar sekolah juga
agak menggerunkan sekiranya tiada tindakan serius diambil secara tuntas. Atas
kesedaran
inilah jalinan kolaboratif telah dibina oleh beberapa orang penulis yang
bernaung di bawah nama BeTA (Bersama Terbitkan Antologi) bersama-sama Persatuan
Penulis Wilayah Pesekutuan Penulis Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan,
Kumpulan Media Karangkraf dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai untuk
mengadakan satu program motivasi kepada pelajar-pelajar bertajuk “Wacana Puisi
: Inspirasi dan Motivasi Ke arah Pembentukan Sahsiah Diri”.
Menariknya,
program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Pulau Labuan pada
27 Jun lalu telah menjadikan sajak sebagai elemen utama dalam menyampaikan
motivasi kepada pelajar. Seramai hampir 900 orang murid dan guru sekolah
berkenaan telah mengikuti program berkenaan. Antara barisan penulis yang hadir
dalam program tersebut adalah Othman Mahali (Ketua Satu PERWILA), Dato’ Dr.
Ibrahim Ghaffar, Ilhami Hisham, Wacana Minda, Melor Shamsazila, Aya Rohaiyah,
Azizah Mds, Ummu Atifi Ilhami dan beberapa orang penulis lagi dari PERWILA.
Kedatangan
delegasi penulis yang disambut dengan tarian tradisional oleh penari-penari
sekolah berbusana melayu tradisional lengkap agak mengujakan. Dalam ucapan
perasmian, Sahar Misron selaku Pengetua sekolah yang turut memegang teraju
sebagai Ketua Dua PERWILA melahirkan rasa gembira dan teruja kerana program
seumpama ini julung-julung dikali diadakan. Penggunaan wacana puisi sebagai
wadah baharu untuk memotivasikan pelajar amat menarik perhatian beliau dan
warga pendidik di sekolah berkenaan.
Dato’ Dr.
Ibrahim Ghaffar memulakan wacana puisi dengan berkongsi pengalaman beliau
menulis semenjak tahun 1970-an. Cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh beliau
ketika zaman itu telah menjadikan beliau seorang penulis yang tabah dan tidak
mudah mengalah. Bukan sekadar penulis tetapi juga sebagai seorang pejuang dalam
kehidupan sebenar.
Wacana
puisi yang disampaikan oleh penulis dan penyair, Wacana Minda ini telah
mengenengahkan tiga konsep kepada audien iaitu ‘Persepsi, Inspirasi &
Motivasi dan Konklusi’. Dalam segmen pertama yang menyentuh tentang ‘Persepsi’,
khalayak diajak berfikir untuk memberikan takrifan berkaitan orang seni. Apa
yang mereka faham dan fikir bila minda mereka membayangkan tentang orang seni.
Seperti pendapat seorang murid yang mengatakan orang seni adalah manusia yang tidak
terurus dari segi personaliti tetapi mempunyai hati dan perwatakan yang
positif. Wacana Minda juga telah berkongsi beberapa buah sajak dalam buku
kumpulan puisinya ‘Laki-Laki’ untuk berkongsi inspirasi dan bagaimana proses
menghasilkan sajak-sajak tersebut.
Penulis
dan penyair lain turut berkongsi pengalaman bersama-sama pelajar dan mendapat
sambutan yang hangat daripada khalayak. Melor Shamsazila dan Aya Rohaiyah telah
membacakan sajak dan membimbing pelajar mendeklamasikan sajak dengan baik dan
penataran emosi yang berkesan. Azizah Mds pula bijak menarik perhatian pelajar
dengan membacakan beberapa baris sajak dan meminta pelajar mencipta judul sajak
berkenaan. Ummu Atifi Ilhami seterusnya berkongsi pengalaman beliau sebagai
seorang wartawan dengan pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar agak bertuah kerana
turut menerima sumbangan cenderamata daripada Kumpulan Media Karangkraf dan GPS
Bestari.
Program
yang dijalankan kira-kira dua jam ini dilihat amat berkesan sebagai wahana
perkongsian berwajah baru untuk memotivasikan pelajar-pelajar sekolah. Melalui
respon beberapa orang pelajar, mereka agak gembira kerana dapat bertemu secara
dekat dengan penulis dan penyair. Kedatangan barisan penulis dan penyair juga
dilihat dapat menyemarakkan lagi minat dan kecenderungan diri mereka untuk
menceburi diri dalam bidang penulisan. Pemikiran jernih yang dipupuk ini
diharapkan mampu meningkatkan kemenjadian murid ke arah pembentukan sahsiah
diri yang lebih cemerlang . “Usaha jalinan pintar sebegini seharusnya lebih
kerap diadakan untuk memberi manfaat kepada khalayak, inilah kehidupan sebenar
sebagai seorang penulis dan bukannya hidup di dalam dunianya yang tersendiri
sahaja,” kata Othman Mahali.
WACANA
MINDA
SINAR HARIAN – 31 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan