Jumaat, 1 Julai 2016

Kolaboratif Menjulang Seni Sastera

Keratan akhbar program MAJLISAH (Utusan Borneo, 1 Julai 2016)

Keratan akhbar program MAJLISAH (Utusan Borneo, 1 Julai 2016)

Selasa, 28 Jun 2016

PERASMIAN MAJLISAH BERLANGSUNG MERIAH

Pelancaran buku terbitan PERWILA dan BeTA

Penulis buku antologi puisi Bicara Awan Pada Langit bergambar bersama YB. Datuk Rozman


LABUAN, 26 Jun; Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH) berlangsung meriah dengan kehadiran YB. Datuk Rozman Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan  untuk  menyempurnakan majlis ini. Seramai 1,000 orang tetamu termasuk pelajar Kolej Matrikulasi Labuan, ketua-ketua jabatan, para pemimpin masyarakat dan para penulis hadir dalam majlis ini.

Majlis ini yang julung kalinya dianjurkan bersama oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan (KML), Grup Bersama Terbitkan Antologi (BeTA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai (SMKP) bertujuan menyemarakkan seni bahasa dan persuratan bersama pelbagai lapisan masyarakat.

Penasihat BeTA, Dato’ Dr Ibrahim Ghaffar  dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat penaja dan orang perseorangan yang terlibat menjayakan program MAJLISAH. MAJLISAH turut ditaja oleh Kumpulan Media Karangkraf dan Warisan Wong Kampung.

Ketua Satu PERWILA, Haji Othman Mahali dalam ucapannya merakamkan jutaan penghargaan kepada pihak KML yang sudi menjadi tuan rumah dalam majlis perasmian ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YB. Datuk Rozman datuk Haji Isli kerana menaja pengangkutaan, penginapan dan perbelanjaan peserta luar yang terlibat dalam majlis ini.

Dalam ucaptama majlis ini yang disampaikan oleh Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan (Ketua 1 GAPENA), beliau menegaskan bahawa aktiviti kesusasteraan seperti ini adalah salah satu cara untuk mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan. Beliau memohon agar semua pihak terutamanya dalam bidang pendidikan turut bekerjasama dengan persatuan penulis demi kedaulatan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan menegaskan keputusan GAPENA untuk membantah pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah-sekolah kerana program tersebut menghalang penyatuan masyarakat. Tambah beliau, program tersebut menyebabkan kesukaran dan kekeliruan pelajar untuk menguasai mata pelajaran yang diajar dalam dwibahasa. Mengulas tentang industri penerbitan buku, Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan menegaskan supaya setiap penerbit menghormati hakcipta setiap penulis dengan menyediakan perjanjian royalti yang adil.

Datuk Rozman dalam ucapan perasmiannya menyokong program ini yang mampu menyemai budaya hormat-menghormati, kesopanan dan budi bahasa khususnya kepada pelajar dan masyarakat secara amnya. “Yang merah itu saga, yang kurik itu kundi; yang indah itu  bahasa, yang baik itu budi,” ucapnya yang mendapat tepukan gemuruh oleh tetamu.

Majlis ini diserikan dengan pelancaran buku terbitan BeTA (Antologi 279 Sajak Bicara Langit Kepada Awan) dan dua buah buku terbitan PERWILA iaitu antologi puisi Mawar Merah dan novel berjudul Cinta Tania.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan puisi oleh para pemuisi PERWILA dan BeTA, di samping persembahan lagu oleh kumpulan kebudayaan Kolej Matrikulasi Labuan. Turut hadir dalam majlis ini ialah En. Rusdi Awang , Penolong Pengarah Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sabah.


Antara tetamu yang hadir dalam majlis
Tetamu kenamaan menyaksikan persembahan puisi

Khamis, 23 Jun 2016

Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH)

 
Y. B Datuk/Datin/Tuan-tuan/Puan-puan/Encik/Cik,

Sukacita dimaklumkan bahawa  Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) akan mengadakan program Majlis Lima Jiwa Satu Hati (MAJLISAH) pada 26 & 27hb Jun 2016 bertempat di Kolej Matrikulasi Labuan dan SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan.

MAJLISAH adalah program yang dijalankan secara kerjasama oleh PERWILA, Kolej Matrikulasi Labuan, Grup Bersama Terbitkan Antologi (BeTA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan SMK. Pantai, W. P. Labuan.

Program ini bertujuan memasyarakatkan penulis, menyemarakkan seni bahasa dan persuratan agar dapat memugarkan kecintaan masyarakat Labuan terhadap sastera dan Bahasa Kebangsaan.

Pengisian Program

Tarikh: 26 Jun 2016 (Ahad)
Tempat: Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan
Peserta: Warga KML dan masyarakat di W. P. Labuan

9:00 Pagi - 11:00 pagi
- Majlis Perasmian MAJLISAH oleh Y. B Ahli Parlimen P66 Labuan
(Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Kampung di Wilayah Persekutuan Labuan dijemput hadir)

-Pelancaran buku-buku terbitan PERWILA dan BeTA

11:00 pagi - 1:00 petang
Bedah Buku Terbitan PERWILA (Mawar Merah)

2:00 petang - 4:00 petang
Pertandingan Deklamasi Sajak

Tarikh: 27 Jun 2016 (Isnin)
Tempat: Dewan SMK Pantai, W. P. Labuan
Peserta: Warga SMK Pantai

9:00 pagi -  11:00 pagi
Wacana Puisi: Inspirasi dan Motivasi Di SMK Pantai

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Aizamin Abd Aziz (019-4488 428)

Jumaat, 10 Jun 2016

Kumpulan Puisi: Mawar Merah

Judul: Mawar Merah
(Kumpulan Puisi Norgadis Labuan)
ISBN 978-983-44604-7-1
Harga: RM25.00

Mawar merah
setiap kelopakmu sarat dengan sari makna
membawa segala kekuatan di celah rantingmu
terus berjuang bersama keaslian semarak
mengharum mewangi membawa sebuah nama
durimu yang tajam sentiasa siap sedia
mengukuh menjaga kesucian dan kehormatan.
Buku ini memuatkan sejumlah 63 judul puisi yang berkisar mengenai kehidupan, pertarungan menghadapi cabaran hidup dan keimanan kepada Tuhan seperti yang dinukilkan oleh Norgadis Labuan. Buku ini boleh dipesan terus dengan menghubungi penulis.

Apa kata pembaca?
"Sesungguh membaca Kumpulan Puisi Mawar Merah dapat memberikan sebuah keinsafan tentang makna kehidupan.  Sesebuah kehidupan itu akan menjadi lebih bermakna jikalau kita memaknai sesebuah kehidupan itu dengan dengan nilai kasih sayang  sesama manusia, mengenang budi, nasihat menasihati, menghargai alam dan sentiasa mencitai dan mendekati diri dengan Tuhan melalui keimanan dan ketakwaan yang terpatri kukuh di hati. " (Aizamin Abd Aziz, Utusan Borneo;15 Mei 2016)

Rabu, 20 April 2016

HADIAH PENULISAN PERWILA 2014-2015

Ahli PERWILA dialu-alukan untuk menghantar pencalonan karya sendiri yang telah diterbitkan secara fizikal pada tahun 2014 dan 2015. Pencalonan hendaklah disertakan dengan satu salinan asal atau fotokopi karya/buku yang telah diterbitkan. Salinan ini tidak akan dikembalikan.

Semua borang yang telah lengkap hendaklah dihantar kepada Setiausaha PERWILA sebelum atau pada 23 Mei 2016.

Alamat penghantaran melalui pos;

Urusetia Hadiah Penulisan,
Peti Surat 81429,
87014 Wilayah Persekutuan Labuan.

Alamat serahan terus;

D/A Francis Labi,
Perpustakaan Kolej Matrikulasi Labuan,
Jalan OKK Daud, Kg. Merinding,
Wilayah Persekutuan Labuan.

H/P: 016-8023456

Sila salin dan tampal borang berikut dan cetak dalam kertas bersaiz A4.

 ------------------------------------------------------------------------------



BORANG PENCALONAN HADIAH PENULISAN PERWILA 2014-2015

NAMA PEMOHON (AHLI):____________________________________________________
NAMA PENA:______________________________________________________________

KATEGORI PENILAIAN

[Tandakan (x)]

A. Sastera
                (  ) Cerpen (Sila lampirkan salinan yang disiarkan dan nama akhbar, majalah atau antologi)
                (  ) Sajak (Sila lampirkan salinan yang disiarkan dan nama akhbar, majalah atau antologi)
                (  ) Skrip drama radio (Lampirkan skrip)
 Judul:_____________________________________________________________
 Radio/Studio Rakaman:_______________________________________________

                (  ) Skrip drama pentas (Lampirkan skrip)
Judul:______________________________________________________________
Tempat dan tarikh dipentaskan:_________________________________________

(  ) Novel
Judul:______________________________________________
                        Penerbit:___________________________________________
                        ISBN:______________________________________________

             (  ) Kumpulan Puisi
                          Judul:______________________________________________
                          Penerbit:___________________________________________
                          ISBN:______________________________________________
               
(  ) Kumpulan Cerpen.
Judul:______________________________________________
                        Penerbit:___________________________________________
                        ISBN:______________________________________________


B. Bukan Sastera
Sila lampirkan salinan yang diterbitkan dan nama akhbar, majalah, buletin atau jurnal

              

            (  ) Kritikan Sastera
            (  ) Rencana
(  ) Buku Ilmiah / Tesis
            (  ) Berita
            (  ) Esei
            (  ) Prosiding / Laporan / Seminar
(  ) Kertas Kerja (Belum diterbitkan tetapi sudah dibentangkan adalah dibenarkan)


--- borang tamat ---

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA