Oleh
Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim
Pengarah
Akademi Pengajian Brunei
Universiti Brunei
Darussalam, 2014
Pengenalan
Pada umumnya eksil bermaksud mereka yangberada di luar negara atau berpindah
ke luar negara akibat daripada berbagai alasanatau tekanan. Jika
dihubungkan dengan bangsa Melayu/Indonesia, ianya adalah orang Melayu/Indonesia
yang berada di luar negeri. Misalnya orang Indonesia yang melarikan diri ke
Belanda pada tahun 1966 akibat tekanan politiksehingga mereka tidak
bolehkembali ke tanahair. Di sana mereka yang berbekalkan budaya Melayu
terpaksa berhadapan dengan budaya masyarakat Europah. Dalam hal ini penyesesuaian berlaku antara budaya asal dengan budaya setempat.
Maka wujudlah budaya baruyang berintikan
budaya Melayu warisan nenek moyang dan mereka adalah dianggap sebagai diaspora
Melayu. Jika mereka menulis mengenai negaranya
dalam karya sastera,makakarya sastera yang dihasilkannya itulah yang dianggap
sebagai sastera diaspora. Dalam erti kata yang lain karya sastera diaspora
adalah karya yang dihasilkan oleh penulis tempatan yang
berhijrah ke negera lain dan mereka
menulis mengenai negaranya.
Sebagai sebuah negara Melayu dengan penduduk yang sedikit, Brunei mungkinkurang
mempunyai sastera eksil dan diaspora kerana sejauh yang diketahui tidak ada orang Bruneiyang berhijrah ke negara lainyang budayanya
berbeza, mereka menulis karya sastera dan mereka tidak
kembali ke negara asalnya. Maksudnya mereka menetap di negara luar tersebut
dalam jangksa masa yang agak lama. Prof Ismail Hussain mantan Ketua I Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) pada
awal tahun 2000 telah pun berusaha menjejeki bangsa Melayu yang terdapat di Cape
Town Afrika Selatan, Madagascar, Jeddah, Mekah, Kunming China, Phnom Penh dan
Colomba. Diantara orang Melayu yang dijejaki oleh Prof Ismail Hussain tersebut,
tidak ditemukan mereka yang berasal orang Brunei dan juga tidak ditemukan karya
sastera mereka yang mereka tulis. Dalam kontek karya sastera, pencarian seperti
yang diusahakan oleh Prof Ismail Hussain
itu boleh saja dilakukan melalui “media baru”. Media baru yang
dimaksudkan disini adalah media online, internet, dan seumpamanya yang
boleh dijadikan alat komunikasi dan penyebaran informasi yang mudah dan meluas.
Sastera Eksil dan Diaspora Brunei
Kertas kerja ini merupakan penelitian awal bagi melihat sastera eksil
dan diaspora Brunei. Sastera eksil dan diaspora Bruneitentunya wujud dalam
berbagai bentuk misalnya karya sastera yang ditulis oleh orang Brunei yang
telah melarikan diri ke Semananjung Tanah Melayu dan kemudian kembali semula ke
Brunei misalnya Zaini bin Haji Ahmad yang telah menulis novel berjudul Triwarna.
Karya-karya sastera eksil dan diaspora Brunei juga boleh dianggap karya yang
ditulis oleh pelajar-pelajar Brunei yang menuntut ke luar negeri dalam masa
tiga ke empat tahun misalnya pelajar-pelajar
yang pernah menuntut di Maktab PerguruanSultan Idris Tanjung Malimseperti H.M
Saleh, Yura Halim, Adi Kelana, dan lain-lain, atau mereka yang menuntut di Kolej Islam
Malaya Kelang dan Universiti Al-Azhar
Mesir seperti Yahya M.S, Adi Rumi,
Badarudin H.O, Shukri Zain, Zairis M.SUntuk keperluan kertas kerja ini, sastera
eksil dan diaspora bolehlah didefiniskan sebagai karya sastera yang ditulis oleh penulis Brunei yang berada di negara bekas wilayah atau tanah jajahan Brunei
masa lalu seperti Kalaka, Mukah, Sambas, Samarahan, Kucing, Labuan, Limbang dan lain-lain yang sekarang sudah
menjadi negara jiran. Tentunya definisi yang diberikan ini boleh dibahas lagi,apakah
mereka yang berada di luar negeri itu boleh dikatakan berhjirah atau terpaksa dalam keterpisahan iaitu dipisahkan
daripada negara asal mereka oleh sebab politik, dan juga mereka memilik budayadan cara berfikir yang lebih
kurang sama sehingga pemikiran
mereka mengenai negara asalnya
itu boleh dianggap sebagai diaspora Melayu.
Secara umum berdasarkan pengertian sementara yang diberikan, mungkin
sahaja karya sastera eksil dan diaspora Brunei yang awal ialah Syair Rakis
karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh.Pengiran Shahbandar Mohd Salleh adalah Gobenor Sarawak semasa pemerintahan Sultan
Muhammad Kanzul Alam (TM1807-TM 1826).
Ayahnya bernama Pengiran Sharifudin yang berasal daripada pembesar Brunei
yang melarikan diri ke Sambas[1]atas
tekanan perasaan akibat perselisihan
faham yang berpunca daripada tindakan
Pengiran Muda Muhammad Kanzul
Alam merebut tunang Pengiran
Serail[2].
Semasa berada di Sambas, Pengiran
Sharifudin telah berkahwin dengan puteri Kencana iaitu puteri Sultan Sambas (Sultan Omar Aqamaddin) dan kemudian
digelar sebagai Pengiran Sharmayuda.
Hasil daripada perkahwinan inilah Pengiran Sharifudin berputerakan Pengiran
Mohd Salleh.
Setelah Sultan Muhammad
Kanzul Alam menaiki takhta dan menjadi Sultan Brunei, Pengiran Mohd Salleh dipanggil balik ke Brunei dan dikurniakan gelaran menjadi Pengiran Indera Mahkota, danseterusnya pada T.M 1820 diperintahkan menjadi Gobenor Sarawak. Semasa
menjadi Gabenor Sarawak terjadi perselisihan antara Pengiran Indera Mahkota
dengan Pengiran Muda Hashim (anak Sultan Muhammad Kanzul Alam) kerana Pengiran
Indera Mahkota tidak menjunjung keberangkatan Pengiran Muda Hashim, sebaliknya ia menunggu di balai Pengadapan. Hal ini menjadi
titik permulaan permusuhan yang menyebabkan akhirnya Pengiran Indera Mahkota tersingkir
sebagai Gabenor Sarawak. Pengiran Muda Hashim yang tidak menyenangi
Pengiran Indera Mahkota telah bersahabat dengan James Brook, malah telah
berjanji untuk melantik beliau sebagai
pemerintah Sarawak. Akhirnya dengan kepandaian James Brook berpolitik dan pengaruh Pengiran
Muda Hashim sendiri, Sultan Omar Ali
Saifuddin II pun melantik James Brooke sebagai Rajah Sarawak pada tahun 1842. Pada hal dalam masa yang sama
lantikan Pengiran Indera Mahkota sebagai Gabenor Sarawak belum lagi mansuh.
Akhirnya Pengiran Indera Mahkota pun mengundurkan diri Sarawak ke Batang Lupar.
Kemudian beliau mengembara di pesisir pantai Sarawak dan akhirnya menetap di Mukah. Setelah
Pengiran Anak Abdul Momin dilantik menjadi pembantu Sultan Omar Ali Saifuddien
II pada TM 1845, Pengiran Indera Mahkota
dijemput ke Brunei.Dalam perjalan ke Brunei itulah dikatakan Pengiran Indera Mahkota telah mengarang
sebuah syair yang dikenali sebagai Syair Rakis. Syair ini dibuat khusus untuk
disembahkannya kepada Sultan Omar Ali
Saifuddien II dan Pengiran Anak Abdul Momin sebagai buah tangan. Setelah Sultan
Omar Ali Saifuddien II lindung dan Pengiran Anak Abdul Momin dilantik menjadi
Sultan, maka Pengiran Indera Mahkota pun digelaroleh Sultan Abdul Momin menjadi
Pengiran Shahbahar Sahibol Bandar. Karyanya,Syair
Rakis pun terkenal dan pemikiran di
dalamnya pun tersebar luas dan banyak mempengaruhi para pemimpin Brunei
kemudiannya.
Telah dikatakan bahawa Sastera eksil adalah karya sastera yang dikarang
oleh pengarang yang terbuang di negara
lain. Dalam kontek pengarang Syair Rakis,pengarangnya
sudah dianggap terbuang di negerinya sendiri
seperti yang dikatakan oleh penulisnya sendiri:
Di gunung larangan asmara guna
Menyamar jadi papa kelana
Segenap desa pantai saujana
Membawa nasib tiada berguna
Membawa nasib untung sendiri
Meninggalkan rumah anak isteri
Masuk segenap desa dan negeri
Seperti orang hendak mencari.
Namaku Misa Panji larangan
Dari kecil timamg-timangan
Sudah sekarang buang-buangan
Keluarga Pengiran Shahbandar Mohd Salleh telah berhijarh ke Sambas
dan Ke Sawarak dan kemudian disinggkirkan hingga ke Mukah. Di Mukah telah
menulis karya sastera mengenai negara asalnya iaitu Brunei. Syair Rakistelah
memperlihatkan pemikiran dan tindakan penulisnya yang cintakan tanahairnya yang berupa nasihat, kritikan,
dan peringatan kepada pemerintah.Pengiran Shahbandar Mohd Salleh secara
halus telah menasihati Sultan supaya
berhati-hati apabila bersahabat dengan
Inggeris kerana mereka mempunyai maksud untuk menguasi Brunei. Pengiran Shahbandar
Mohd Salleh telah menyatakan kritikannya
apabila mendengar Pulau Labuan telah diminta Inggeris dan Sultan telah
menyerahkannya. Bagi Pengiran Shahbandar
Mohd Salleh, tindakan tersebut menandakan bahawa Brunei akan dikuasai Inggeris.
Khalifah bertitah sangat majlis
Khabarnya bersahabat dengan Inggeris
Tercap surat dua belas rakis
Dengan Queen perjanjian habis.
Pulau Labuan diminta segara
Akan jalan tiang bendera
Di sana tempat berkira-kira
Dari sarawak ke Singapura.
Dagang tercengang mendengarkan titah
Hati di dalam sangat gelabah
Labuan itu bukannya mudah
Alamat negeri di bawah perintah.
Berdatang sembah dagang asmara
Kebawah Duli Seri Betara
Bukannya mudah di bawah bendera
Jikalau kurang-kurang juahara.
Pandangan dan kritikan Pengiran Shahbandar Mohd Salleh itu mungkin sahaja lahir daripada pengetahuan
baginda mengenai politik Inggeris di Asia Tenggara. Pengiran Shahbandar Mohd Salleh telah
pun memberikan contoh-contoh negara yang bersahabat dengan
bangsa asing tetapi dengan kebijaksanaan sultan atau pembesarnya telah
berjaya mempertahankan negaranya
daripada dikuasai oleh Inggeris.
Ayuhai Tuanku Duli Muktabar
Patik nini ada mendengar khabr
Di tanah subarang rajanya besar
Menteri budiman rakyatnya jauhar.
Akan khabarnya sudah sekarang
Di negeri Johor terdiri tiang
Sebab cik Muntel hatinya terang
Jadi berani mencabut tiang.
Cik Muntel itu peranakan rakyat
Akalny besar hatinya kuat
Kepada rajanya terlalu taat
Dengan kompeni merati sangat.
Asalnya bukan orang berbangsa
Tiada tentu di dalam desa
Daripada henderek lagi biasa
Kepada rajanya berbuat jasa.
Mengambil ibarat kita di sana
Itulah akal orang yang hina
Boleh diharap di dalam istana
Budaya
orang Brunei yang penyabar, berbudi bahasa, berbudi bicara dan bijaksana teserlah
daripada sikap Pengiran Shahbandar Mohd
Salleh yang tenang menghadapi Pengiran
Muda Hashim dan orang-orangnyayang kelihatannya
senghaja ingin mencabar dan memalukannya, seperti yang dijelaskan oleh Pehin Jawatan
Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr
Awang Haji Mohd Jamil Al-Sufri bin
Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar di dalam buku Syair
Rakis tersebut:
Sekembalinya
James Brooke k Sarawak, ia telah disambut dengan besar-besaran. Pada 18hb Ogos
T.M 1842surat pengesahan atau lantikan dari Sultan Brunei terhadap James Brooke
untuk menjadi Rajahs Sarawak itu telah dibacakan kepada ramai dalam satu
uoacara khas di Kucing.
Setekah
pengistiharan itu dibaca, Pengiran Muda Hashim pun bersabda sambil berdiri
dengan mengatakan bahawa jika siapa yang hadir di waktu itu menentang lantikan
Sultan kepada James Brooke, maka orang itu dimintanya berkata dengan
bererus-terang. Dan Sabdanya juga sesiapa yang melanggar perintah itu akan
dipancung kepada. Menurut riwayat yang menceritakan peristiwa ini, sabda yang
dikeluarkan oleh Pengiran Muda Hashim itu ditumpukannya kepada Pengiran Indera
Mahkota yang juga turut hadir di dalam majlis sambutan itu.
Mendengar sabda
Pengiran Muda Hashim sedemikian, Pengiran Indera Mahkota sangat murka, kerana
lantikannya sebagai Gabenor belum dibatalkan, tiba-tiba orang lain telah
dilantik menggantikannya. Akan tetapi murkanya itu dapat disamarkannya dengan
senyum. Sunguhpun dalam majlis sambutan itu saudara-saudara Pengiran Muda
Hashimyang sepuluh orang membuka silat
pendikar mereka dengan menghunus keris dan hujung keris itu nyaris-nyaris
menikam dada Pengiran Indera Mahkota, tetapi ia masih duduk dengan gagahnya
sambil tersenyum-senyum; kadang-kadang dikentamkannya bibirnya pembuan sangat
murkanya.
Selain daripada Pengiran
Shahbandar Mohd Salleh, terdapat beberapa orang pengarang yang berada di negara
bekas pemerintahan atau jajahan Brunei masa lalu seperti Norgadis Labuan, Haji
Othman Mahali dan Isma R.H. Mereka adalah antara contoh pengarang eksil Brunei yang berada
di luar Brunei iaitu di Wilayah
Persatuan Labuan yang dulunya wilayah dibawah kekuasaan Brunei. Ketiga-tiga penulis
ini lahir di Labuan dan menjadi warganegaraWilayah Persekatuan Labuan, tetapi
kebanyakan mereka masih mempunyai hubungan persaudaraan dan sahabat handai di
Brunei. Penulis-penulis ini telah menghasilkan beberapa buah karya sastera dan
sebilangan kecil daripadanya menyentuh mengenai Brunei sebagai pusat
pemerintahan Labuan di suatu masa dahulu. Labuan
telahpun diserahkan oleh Sultan Brunei
pada masa itu kepada British pada 18 Disember 1846, yang kemudian diserahkan kepada British
North Company yang dikenali sebagai The Chatered Company pada tahun
1888. Penyerahan Labuan ini adalah atas desakan
politik British, dan juga keinginan atau kehendak James Brooke yang telah berunding
dengan Sultan Brunei bagi penyerahannya pada tahun 1844.
Sebagai orang yang mempunyai darah
keturunan Brunei, Penulis Norgadis Labuan dalam sajaknya berjudul “Antara Dua
Benua” menyatakan kerinduan kepada sahabat dan saudara mara yang terpisah, yang dulunya bersama hidup dalam satu negara,
dan kini sudah menjadi dua negara yang masing-masing dibawah pemerintahan yang
berlainan. Sebagai ahli masyarakat yang
mengetahui sejarah bangsanya, penulis merasa sedih atas terpisahnya saudara mara dan sahabat handai dalam sebuah
negera akibat kuasa politik pada masa itu, sehingga kebersamaan telah berakhir yang dianggapsebagai suatu “kematian yang
tragis”.
ANTARA DUA BENUA
Karya: Norgadis Labuan
Suara ombak di laut masin
menyampai desir deru
angin rindu
pada sahabat nun di seberang sana
mengimbas kenangan saat bersama
di pelantar mimpi.
Suara ombak di laut masin
mengutip kembali satu persatu
kerang kenangan di pantai muara
belari sedih… menyambut sebuah kematian tragis
dalam sejarah perpisahan
antara dua benua.
Dalam sajak Norgadis Labuan berikutnya bertajuk “Pertemuan”, Norgadis
Labuan yang merindui sanak saudara atau kekasih di Brunei telah bertemu setelah selama
14 tahun terpisah, dan penulis telah menyatakan rasa syukur atas pertemuan tersebut
yang diharapkan memberikan kebahagian. Norgadis Labuan setentunya masih mempunyai saudara mara di Brunei yang jarang bertemu dan dipisahkan oleh laut
kehidupan dan ombak hidup dalam masa yang sentiasa berubah. Penulis mensyukuri limpah rahmat daripada Allah SWT, yang telah menjadikan masing-masing
dapat menjalani kehidupan dengan tekad untuk mejejaki saudara seketurunan, dan
merancang pertemuan demi pertemuan yang
akan melahirkan kemesraan, kegembiraan dan perhubungan yang harmoni.
PERTEMUAN
Karya: Norgadis Labuan
Telah empat belas tahun kita terpisah
terpisah oleh lautan yang luas
namun
simbahan rahmat dari yang esa
memberi kekuatan
untuk kita melangkah di jambatan waktu
menyingkap tabir masa
dan kita
masih lagi menggenggam tekad
menzahir wajah dan merangkul pertemuan
yang menjanjikan sebuah kebahagiaan.
23 April 2005, Brunei Darussalam.
Othman Haji Mahali pula merakamkan kerinduan yang sama. Kecintaan kepada
bumi yang dirindui berupa angin nostalgia dalam kehidupan yang
datang sesekali menyentuh hati dan perasaan,
ibarat embun pagi yang mendatang, menghilang dan datang lagi. Dalam
meninti kehidupan yang sedemikian, penulis
berdoa semoga kasih sayang dan cinta akan kekal abadi.
SUARA KASIH DI TELUK
Karya: Hj Othman Mahali
Suara kasih di teluk
bergema di muara
melambai angin
mengirim rindu.
Suara kasih di teluk
mengembun pagi
hati tersentuh
meminta doa.
Suara kasih di teluk
meriak ombak
di pesisir pantai
di peluk rasa.
Suara kasih di teluk
mencari cinta
yang kekal abadi.
2009, W.P. Labuan.
ISMA R.H pula cuba menjejaki asal usulnya yang dikatakan berdarah Pengiran Brunei. Penyair telah
mengunjungi makan di Bukit Kianggeh untuk mencari batu nisan seseorang yang dinamakannya di dalam teks sebagai Paduka Temenggung atau di judul
puisinya sebagai Paduka Temenggung
Rojit. Bukit Kianggeh adalah kawasan tanah perkuburan orang Brunei
termasuk pembesar-pembesar Brunei dan
bagi menjejaki warisan nonek moyang masa lalu inilah penyair pergi ke Bukit Kianggeh walaupun kurang pasti mana
satu kubur Pengiran yang dimaksudkan. Bukit Kianggeh adalah saksi spritual bahawa dia yang telah meninggalkan tanah asal,
membawa diri ke Teluk Kimanis adalah
keturunan PengiranBrunei. Penyair dalam puisi ini seolah-olah mengatakan
bahawa walaupun masyarakatnya sudah
tidak bersama dalam satu wilayah dan sekarang ada yang sudah melupakan jasa keturunan mereka
kepada raja, namun sejarah tetap mencatatkan bahawa mereka adalah berasal daripada
keturunan orang Brunei. Cuba perhatikan
petikan sajak Isma R.H di bawah;
AL-FATIHAH BUAT PEDUKA
(Buat Bapa Almarhum Paduka Temenggung Rojit)
Karya: ISMA R.H
Ampun Paduka hamba
menjunjung kasih
menyusun jari
kerana mengganggu
persemadianmu berabad lamanya
membuka kembali lipatan
sejarah yang sudah dilupa
oleh para Pangeran dan Penggawa
yang sengaja menyisihkan
Paduka dari kerabat ternama.
Bermula dari tanah
persemadian Dagang
hamba menyusur kaki bukit Kiangeh
bertanya pada yang terjumpa
merenung setiap batu
nisan yang terukir indah
kalau-kalau terpahat nama
Paduka sebagai tanda.
Angin kencang yang bertiup menyejukkan kembali
keringat yang membasahi tubuh
menguatkan kelenguhan
kaki yang mendaki dan menuruni bukit
bertapa rangit hutan
yang kelaparan berhimpun mencari sesuatu
tubuh kecil menjadi mangsanya
biarkan, kerana darah setitik
yang mengalir itu
adalah suatu kerelaan
dalam pencarian yang terbuku di kalbu.
Maaf Paduka Temenggung
hamba juga kurang pasti asal usul
namun moyang pernah berpesan, kalau terjejak kaki di tanah asal
jangan lupa ziarah makam datukmu
kerana hamba juga berasal dari anak Pangeran yang terdampar jauh
meninggalkan tanah asal untuk membawa diri
lalu berlabuh di teluk Kimanis menjadi seorang nelayan
berbudi pekerti dan bersopan
mahkota dan mohor tersimpan
agar tidak ada yang kenal tentang kedaulatan.
Apakah dalam diri ini masih mengalir darah Pangeran
atau hanya anak kampong yang meneruskan warisan zaman
seorang nelayan yang kerjanya mencari ikan
memasang pukat dan `menangkap udang sebagai umpan
menebar jala dan mengharungi lautan.
Dalam diri ini, sejarah tetap tersimpan
darah Pangeran tidak akan hilang ditelan zaman
masih dapat bersyukur kerana tanah asal sentiasa aman
walau direnung dari jauh, berbalam Muara di ujung penglihatan.
Itu hasil perjuangan seorang anak kampong
yang berkorban mempertahankan maruah
merah tapak kaki bermandikan darah
untuk mempertahankan tanah asal dan menjunjung Raja.
Bersemadilah Padukaku
gelar Temenggung itu telah hilang di arus modennya dunia
hanya bukit Kiangeh yang tahu segalanya.
02 Jun 1998,
Pusat Belia, Brunei Darussalam.
Penulis dan karya-karya sastera eksil dan diaspora Brunei seperti
beberapa orang penulis Labuan tersebut di atas sukar untuk diperolehi dalam
media baru, atau mungkin juga khalayaknya (termasuk penulis kertaskerja ini
sendiri) belum begitu faham atau terdedah dengan media baru.Penggunaan media
baru seperti facebook dan watsap walaupun baru saja diperkenalkan, namun kadar peratus jumlah
penggunaannya daripada jumlah keseluruhan penduduk Brunei, menjadikan Brunei antara negara yang tertinggi dalam penggunaan
media baru tersebut. Media baru adalah
istilah yang merujuk kepada “digital devices” atau alat komunikasi digital yangterkomputerisasi dan terhubung ke dalam jaringan. Contohmedia yang mewakili media baru adalah internet. Hal ini
bermakna program television, filem,
majalah, buku, surat khabar, dan seumpamanya bukanlah media baru.
Syair Rakis yang dianggap sebagai sastera eksil dan diaspora Brunei terawal diperkirakanbelum
lagi disebarkan melalui media baru. Syair ini hanya didapati dalam bentuk buku
yang tersebar sangat terhad sekali terutama di luar negara. Hal ini disebabkan
oleh pengarangnya sudah meninggal dan karyanya tergolong dalam sastera
lama. Biasanya pengaranglah yang
berinisiatif untuk menyebarkannya sendiri melalui media baru. Selain itu, Karya
sastera lama biasanya kurang diminati
oleh kebanyakan khalayaknya terutama generasi baru, dan dalam hal ini juga memungkinkan orang
perseorangan dan swasta tidak berminat
untuk membantu menyebarkannya baik melalui media tradisional atau pun media
baru. Sedangkan penulis masa kini
dengan bersifat terbuka mudah sahaja
menyebarkan karya mereka melalui media baru sepertiwatsap atau facebook.
Misalnya dalam satu kumpulan watsap yang diberi nama “Puisi” yang ditakbir oleh
seorangpenulis bernama Sonjan, ahli-ahlinya adalan terdiri daripada beberapa
orang penulis daripada Brunei, Sabah, Sarawak, Wilayah Persatuan Labuan dan
Semananjung Malaysia. Kumpulan watsap
“Puisi” ini sering saja mengongsikan aktiviti-aktiviti atau kegiatan-kegiatan
sastera yang ahlinya ikuti atau terlibat, misalnya baru-baru ini pelancarkan novel
berjudul “Tuhan Berikan Aku Cinta” karya
Azridah penulis Sabah, penerbitan antologi puisi “Orang Betujuh” karya
penulis beberpa orang penulis termasuk ahli kumpulan watsap “Puisi” iaitu Camar
Putih, dan rakaman puisi sempena Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda
Sultan. Selain itu terdapat juga beberapa
orang ahli kumpulan watsap “Puisi”
yang sering mengongsikan
karya-karya mereka melalui watsapmisalnya Ibnu ‘Abdir-Raheem dengan
“syapennya” dan Hatta dengan sajak-sajaknya.
Saya sendiri telah menggunakan komunikasi watasap dan facebook
dalam mendapatkan karya-karya puisi yang dibincangkan di atas. Hal ini membuktikan
bahawa media baru adalah penting dan perlu dalam menyebarluaskan karya-karya
sastera khususnya karya sastera eksil dan disapora Brunei.
Sebagai kesimpulan daripada perbincangan awal ini dapatlah dikatakan
bahawa sastera eksil dan diaspora Brunei
belum banyak dibicarakan. Hal ini
mungkin sahaja disebabkan keberadaannya
kurang penting atau karya
yang sedemikian kurang menyerlah. Bagaimanapun dengan memberikan
pengertian sastera eksil dan diaspora Brunei itu sebagai karya yang ditulis oleh penulis Brunei yang terbuang di negaranya
sendiri, dan penulis yang berada diwilayah-wilayah yang dulunya berada dibawah
kekuasaan Brunei, maka karya sastera eksil dan diaspora Brunei itu adalah Syair Rakis karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh, dan beberapa
buah puisi karya penulis-penulis Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan
Sarawak. Syair Rakis mengemukakan kritikan yang halus kepada pemerintah
supaya berhati-hati bersahabat dengan orang Inggeris. Sementara sajak-sajak penulis Labuan pada
umumnya menyatakan kerinduan masa lalu, dan pengakuan para penulis tentang keturunan nenak
moyang mereka daripada asal keturunan yang sama. Bagi menyebarluaskan pemikiran yang diungkapkan karya-karya sastera
eksil dan diaspora Brunei tersebut, maka penulis semestinya menggunakan media
baru kerana ianya mudah, cepat dan senang di akses oleh orang ramai khususnya
khalayak sastera Brunei dan sekitarnya.
Pengiran Sharifuddin melarikan diri bersama adik beradiknya iaitu Pengiran
Serail. Mereka adalah anak Pengiran
Indera Mahkota Pengiran Sulaiman bin Pengiran Abd Rahman bin Pengiran
Temanggong Dakula. Tunang Pengiran Serail ialahiaitu Pengiran Anak Saleha binti
Pengiran Pemanca Pengiran Kassim.
2 ulasan:
maaf ye di fahamkan terakhir berhijrah ke bayan lepas pulau pinang kerana salur junk pecah dan terhenti di bernama bayan lepas sempena nama burung bayan yang di bawa belayar bersama untuk hibur semasa belayar.mengunakan junk,bersama empat orang pembesar, sarawak dan juru batu,juru mudi,
maaf ye di fahamkan terakhir berhijrah ke bayan lepas pulau pinang kerana salur junk pecah dan terhenti di bernama bayan lepas sempena nama burung bayan yang di bawa belayar bersama untuk hibur semasa belayar.mengunakan junk,bersama empat orang pembesar, sarawak dan juru batu,juru mudi,
Catat Ulasan