Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim
Universiti Brunei Darussalam
Tema Dialog Borneo-Kalimantan Ke-11 2013
ini bagi saya sangat menarik sekali kerana dapat membicarakan citra sastera itu dari banyak hal dan antaranya yang terpenting
adalah dari segi identiti dan kreativiti. Anggapan
umum yang mengatakan “karya sastera tidak turun dari langit” adalah hal yang
penting yang mengangkat fungsi pengarang sebagai agen yang menciptakan dan menonjolkan identiti dan kreativiti tersebut. Walaupun kewujudan
mereka sebelumnya tersorok dalam tradisi budaya lisan, namun pengarang sebagai ahli masyarakat secara
tidak langsung masih dapat menonjolkan
citra sastera masyarakat yang diwakilinya. Dalam kertas keraja ini lebih memfokaskan kepada sastera Brunei
sebagai warga sastera Borneo memandangkan keterbatasan pengetahuan dan
kurangnya pendedahan mengenai karya sastera warga Borneo yang lain.
“The author is dead” atau pengarang telah
mati mungkin menjadi bahan perbinangan dalam melihat karya-karya sastera Melayu tradisional kerana sifatnya
yang sepunya, milik bersama dan
pengarang sebagai ahli masyarakat dapat menonjolkan identiti dan juga secara
terbatas masih dapat memperlihatkan kreativti
yang diterima oleh masyarakat secara
kolektif. Syair Awang Semaun, Syair
Rajang, Syair Takbir, Diangdangan dan
cerita-cerita rakyat Brunei adalah antara contoh karya-karya sastera
Brunei tradisional yang penciptaannya dapat menonjolkan identiti orang Brunei
sebagai orang Melayu yang berkebudayaan Melayu, beragama Islam dan hidup dalam
sebuah negara yang diperintah oleh seorang raja. Penonjolan inilah yang membezakan karya-karya ini dengan
karya-karya sastera Melayu moden yang lebih bersifat individual atau peribadi.
Lama sebelum orang Brunei menerima Islam, mereka
mempercayai Tuhan Dewata yang telah memberikan mereka kekuasaan sehingga orang
yang diberikan kekuasaan tersebut dapat bertindak menyerupai tuhan apabila mereka boleh menghidupkan
seseorang yang telah mati. Bujang Sigandam dalam Diangdangan Bujang Sigandam misalnya telah menghidupkan Raja Hitam
yang telah dibunuhnya setelah pertarungan mengadu kesaktian berlaku akibat kesalahan
Bujang Sigandam sendiri yang merampas
tunang Raja Hitam. Dalam
cerita-cerita rakyat Brunei terdapat cerita-certia yang megenengahkan
kepercayaan animisme yang antaranya mempercayai penunggu pokok atau seumpamanya.
Setelah Islam datang ke Brunei, maka orang Brunei pun menerima Islam apabila raja mereka memeluk agama Islam. Awang Alak
Betatar adalah raja Brunei yang pertama memeluk agama Islam seperti yang
diceritakan dalam Syair Awang Semaun
atau Silsilah Raja-Raja Brunei dengan
nama Islamnya Sultan Muhammad. Sejak itu,
sistem pemerintahan beraja telah
diwarisi oleh orang Brunei secara turun
termurun seperti yang tercatat di dalam Silsilah
Raja-Raja Brunei. Kesetiaan kepada
raja sebagai ketua negara yang memerintah, jujur, amanah dan sepakat dalam melaksanakan perintah raja terdapat di dalam Syair Awang Semaun. Ungkapan “Pantang orang Melayu derhaka kepada
raja” juga memperlihtkan identiti yang
menyerlahkan citra orang Melayu yang
taat setia terhadap rajanya.
Kepercayaan animisme dan Hindu yang telah
diamalkan oleh orang Melayu sekian lama
adalah sukar untuk dihapuskan kesemuanya
walaupun orang Melayu Brunei telah memeluk
dan mengamalkan ajaran agama Islam iaitu agama yang mengakui bahawa hanya Allah SWT yang
berkuasa dan berhak disembah. Tiada Tuhan selain daripadaNya yang berkuasa
memberikan segala kebaikan dan
keburukan. Kepercayaan terhadap ramalam
hari baik dan buruk bagi melakukan sesuatu pekerjaan adalah antara contoh
kepercayaan animisme atau Hindu yang
secara umum masih membudaya dalam
masyarakat Melayu. Mereka mempercayai sesuatu hari atau saat mempunyai kebaikan
dan keburukan bagi melakukan sesuatu kegiatan atau pekerjaan. Mereka mempercayai
sesuatu perkara yang berlaku itu mempunyai ramalannya yang tersendiri dan perlu
dihindari dengan melakukan “tolak bala”.
Kepercayaan seperti ini biasanya
diwarnai atau disesuaikan dengan ajaran
agama Islam yang baru mereka anuti. Misalnya
dalam kepercayaaan rajang, satu haribulan (mengikut kiraan tahun Hijrah) dilambangkan dengan kuda dan pada hari
tersebut diramalkan baik untuk bercucuk tanam dan belayar. Dua haribulan dilambangkan dengan kijang dan
pada hari tersebut diramalkan tidak baik
terutama jika beranak kerana anaknya
akan menjatuhkan maruah ibu bapanya. Di
dalam Syair Takhir, jika terdapat
kejadian-kejadian ganjil yang berlaku dalam kehidupan seseorang misalnya ayam jantan bersetubuh di atas bumbung rumah,
maka kejadian itu diramalkan membawa
sesuatu yang tidak baik terhadap sipemilik rumah dan pemilik rumah mestilah melakukan
“tolak bala” dengan memberikan makanan atau barang kemas kepada fakir miskin sebagai sedekah bagi
menjauhkan bala benjana yang bakal terjadi.
Budaya tulisan yang diperkenalkan secara
meluas di Nusantara setelah Islam mula bertapak, telah mendidik pengarang
untuk mempertanggungjawabkan setiap
karya yang mereka hasilkan. Maka sejak
itu peranan pengarang lebih menyerlah dalam
menonjolkan identiti dan kreativiti mereka dalam setiap rekayasa sastera. Dato Iman Yakub telah menulis Silsillah Raja-Raja Brunei yang
memperlihatkan warna lokal yang mempunyai kesamaan dan kelainan jika
dibandingkan dengan karya-karya Nusantara dalam genre yang sama. Pengiran Shahbandar Mohd Salleh dengan Syair Rakisnya telah dianggap sebagai pelopor sastera Moden
Brunei yang tentunya dapat dijadikan perbandingan dengan Abdullah Munsyi iaitu
pengarang yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu Moden. Muda Omar Ali
Saifuddien dengan karya-karya syairnya seperti Syair Perlembagaan Negara
Brunei, Syair Asli Rajang Hari, Syair Rajang Jenaka, Syair Nasihat, dan Rampai
Laila Syair adalah penyair diraja yang dalam karyanya memperlihatkan warna
lokal dari segi bahasa, pemikiran dan kreativiti yang tentunya boleh
dibandingkan dengan Raja Ali Haji seorang penyair diraja Riau. Malah Muda Ali Saifuddin dianggap sebagai
penyair diraja di Nusantara terakir yang menulis syair.
Sebagai penyair diraja terakhir, karya-karya
Muda Omar Ali Saifuddien tidak terlepas daripada menonjolkan citra sastera
Brunei atau Borneo melalui pemikiran dan
gambaran budaya dan latar karyanya. Syair Perlembagaan berlatar belakangkan budaya
dan pemikiran disekitar proses memateri perlembagaan Negara Brunei Darussalam
pada tahun 1955. Latar pemikiran dan budaya yang sedemikian jarang atau tidak
mungkin dapat ditemukan dalam ciptaan
atau rekayasa mana-mana syair Melayu sebelumnya. Begitu juga dengan Latar tempat dan latar budaya banyak membantu
dalam menonjolkan identiti karya sastera
Brunei. Syair Asli Rajang Hari misalnya berlatar
belakangkan istana dengan watak raja yang
memberikan nasihat kepada putera puterinya. Hal ini memberikan gambaran yang
jelas tentang identiti karya dan pengkarya iaitu Muda Omar Ali Saifuddien sebagai seorang penyair
diraja abad ke-20, yang naik takhta sebagai Sultan Brunei yang ke-28. Sementara itu latar tempat dan pemikiran
dalam Syair Rakis juga adalah contoh karya sastara Brunei yang dianggap
memberikan citra kepada sastera Borneo. Pulau Borneo
yang dibahagikan atau mengandongi beberapa wilayah politik iaitu Brunei,
Kalimantan, Sabah dan Sarawak yang dulunya dibawah jajahan Inggeris dan Belanda
telah cuba digambarkan oleh Pengiran Shahbandar Mohd Salleh melalui karyanya apabila
ia secara langsung dan tidak langsung
telah memberikan nasihat kepada Sultan Brunei ketika itu dengan merujuk kepada
wilayah-wilayah Borneo dan sekitarnya seperti Sambas, Labuan, Sarawak, Singapura,
dan Acheh sebagai iktibar.
Salah satu contoh karya yang pernah saya baca yang mengemukakan dengan
lebih jelas latar tempat, budaya dan pemikiran salah satu wilayah Borneo ialah novel Bagaton karya Amil Jaya. Novel ini memaparkan budaya dua suku kaum di Sabah iaitu kaum
Dusun dan Kaum Bajau. Kedua-dua kaum ini tinggal di dua perkampungan
yang berjauhan iaitu Kaum Dusun tinggal di Lasau yang masyarakatnya hidup dengan bercucuk tanam khususnya
bertanam padi. Sementara kaum Bajau tinggal di Kampung Pirasan yang
masyarakatnya hidup bertanam tebu dan menternak binatang. Kaum Dusun di Lasau dalam novel tersebut digambarkan sebagai sebuah masyarakat yang mengamalkan
tradisi ngayau atau
memburu kepala manusia. Pemuda yang berjaya memperolehi kepala manusia dalam
tradisi ngayau akan mendapat penghormatan daripada
masyarakatnya dan disukai oleh kaum
wanita yang masih bujang kerana ia
melambangkan keberanian dan jaminan
bahawa lelaki tersebut mampu menjaga keselamatan wanita yang
dikahwininya. Aktiviti Ngayau ini secara
tidak langsung telah membentuk sifat kaum Dusun yang pemberani, tidak bertimbang rasa, kasar, dan mencintai
kaum sendiri yang membawa kepada perkauman apabila kaum lain dianggap sebagai
sumber untuk mengangkat kehormatan dan harga diri kaum mereka. Kepala manusia daripada
kaum lain perlu dipenggal untuk memperlihatkan atau mengangkat status mereka. Pembunuhan
dianggap perkara biasa dan berlaku sewenang-wenengnya dalam masyarakat kaum
tersebut. Amalan yang sedemikian telah
menjadi adat budaya turun temurun kaum Dusun,
namun pada masa ini tentu nya sudah berkurangan atau mungkin tidak
wujud lagi akibat pengaruh kemodenan, kepercayaan dan sistem pendidikan yang
diterima.
Kedua-dua
kaum ini mempunyai kepercayaan yang tersendiri berdasarkan latar belakang
budaya dan kehidupan yang dianuti. Kaum
Baju di dalam novel tersebut diceritakan beragama
Islam yang mempercayai Allah S.W.T sebagai tuhan yang berkuasa atas
segalanya. Allah S.W.T yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Dengan
kepercayaan tersebut, kaum Bajau mempercayai bahawa setiap yang mati, rohnya akan ditempatkan di alam berzah. Untuk menjadikan roh simati mendapat rahmat, orang
Islam hanya mampu berdoa, memohon kepada Allah S.W.T supaya roh simati akan
ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh, diberikan
rahmat, selamatkan dan terpelihara
daripada siksa kubur dan hari pembalasan di akhirat nanti. Sementara itu kaum Dusun memegang kepercayaan
tradisi mereka iaitu memyembah Kinoringan.
Dalam masyarakat kaum Dusun, mereka mempercayai bahawa apabila seseorang
daripada kaum mererka itu menginggal
dunia, maka mayatnya mestilah disimpan di dalam tempayan keranda yang
disebut sebagai Bagaton. Bagaton
inilah yang digunakan sebagai tempat
menyimpan raga si mati yang dipercayai akan
pergi dan berada di Puncak Kinabalu. Bagi mereka, jika tidak ada Bagaton, maka jasad si mati akan kedinginan kerana Puncak Kinabalu
tertalu sejuk. Oleh itu adalah menjadi
kewajiban seorang ayah menyediakan Bagaton untuk anaknya. Seorang ayah akan
berusaha dan berkerja keras untuk mendapatkan Bagaton walau dengan apa
cara sekalipun. Dalam novel ini,
Maragang telah berusaha membeli Bagaton
untuk anaknya Punti, bersusah payah
membawanya dengan meredah hutan tebal
dan menyeberangi sungai yang airnya deras.
Hal ini memperlihatkan kepentingan dan keperluan Bagaton kepada kaum Dusun yang diwakili oleh Maragang.
Kepentingan
dan keperluan Bagaton dalam novel ini
juga telah diterjamah sendiri oleh
Maragang melalui anaknya. Ia telah mamasukan Punti yang baru saja dilahirkan ke
dalam Bagaton dan memandikannya di
sana. Teriakan tanggis dan gerakan
anaknya yang terkapai-kapai di dalam Bagaton dianggap sebagai teriakan pengakuan bahawa itu adalah Bagaton miliknya. Daki atau kotoran yang jatuh ke dalam Bagaton akan membuat roh anaknya akan kembali ke dalam Bagaton apabila mayatnya tidak berada di tempatnya iaitu berada di tempat Jamji
(suaminya daripada kaum Bajau) yang hendak dikebumikannya secara Islam. Bagi memanggil roh anaknya tersebut, upacara
pemujaan Bagaton telah dilakukan.
Dalam upacara itu, Ketua agama kaum Dusun yang dikenali sebagai Mobolian atau Bobolian, akan membaca jampi dan kemudian akan menaburkan beras dan
sirih pinang ke atas badan seekor kerbau jantan yang diikat untuk disembelih. Bagaton
besar diturunkan dari rumah dan
diletakkan dekat leher kerbau
tersebut, kemudian kerbau itu pun disembelih
dan darahnya dimasukan di dalam Bagaton.
Mobolian akan melumurkan tangannya
dengan darah kerbau di dalam Bagaton
sambil membaca mantera, dan kemudian darah itu dipalitkannya ke dahi ibu dan
ayah Punti iaitu Sangkurad dan Maragang. Mobolian
terus membaca mantera, memohon kepada tuhan mereka iaitu Kinoringan supaya Bagaton yang suci itu dapat memanggil roh Punti pulang kepada
mereka.
Setelah
mayat Punti berjaya dibawa kembali ke dalam puak mereka, maka upacara adat
pengkebumian pun dilangsungkan. Mayat Punti pun dipakaikan dengan Gonob yang berwarna hitam iaitu sejenis
kain sarung yang pendek (panjangnya dari
paras pinggang hingga ke lutut sahaja). Bobolian
kemudian menyuapkan sirih dan pinang ke mulut Punti. Perhiasan-perhiasan juga
dikenakan ke tubuh Punti seperti
kalung, cincin, gelang kaki dan
pisau raut. Bobolian sebagai ketua
upacara kemudian mengarahkan bomoh lelaki orang Dusun yang disebut sebagai Tantagas untuk memasukkan mayat Punti ke
dalam Bagaton. Beberapa orang Tantagas masuk ke dalam dan mendekati
mayat Punti. Mereka membaca mantera bersama-sama dengan Bobolian. Mereka memohon kepada Kinorongan
supaya menerima mayat Punti sebagai penghuni syurga di puncak Kinabalu. Memohon
restu semoga perjalanan Punti mendaki gunung Kinabalu selamat. Kepercayaan
kepada Kinorongan dan keperluan Bagaton dalam kepercayaan tersebut
menjadi inti kepada adat dan kebudayaan masyarakat Dusun dan sebagai identiti kepada karyanya walaupun pengarangnya bukan warga daripada
wilayah yang diceritakan tetapi sekurang-kurangnya pengarang telah menyelidiki
dan menghayati secara langsung atau tidak langsung kebudayaaan masyarakat yang
diceritakannya.
Selain
citra melalui penonjolkan identiti dalam
karya yang dinyatakan di atas, citra sastera Borneo juga dapat dilihat
berdasarkan kreativiti penyair atau pengkarya/pengarang karya sastera Borneo itu
sendiri. Kreativiti bolehlah diertikan sebagai kebolehan atau keupayaan untuk mencipta,
mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk baru melalui
kemahiran imaginasi. Ia melibatkan kupayaan berfikir yang dapat melahirkan idea
baru yang unik dan menarik, dan karya
yang menarik tentunya tidak terlepas
daripada unsur keindahan yang segar. Pengkarya atau pengarang
perlu sentiasa secara sedar memperindahkan karya kreatif mereka sesuai dengan
maksud ciptaan kreatif, yang memaksa
setiap pengkarya atau pengarang mencipta sesuatu yang baru dan terus
menerus memperindah ciptaan mereka. Misalnya
Chairil Anwar adalah penulis angkatan 45 yang telah menciptakan sesuatu yang
baru, menciptakan citra penulisan angkatannya yang berbeza dengan penulis angkatan Pujangga
Baru dan Balai Pustaka. Kata, frasa dan
unggapan yang digunakan sangat bertenaga yang semacam penentangan kepada gaya pengucapan
yang lemah gemulai penyair-penyair
angkatan sebelumnya. Gaya ini sangat mengesankan pada waktu itu malah sehingga sekarang
ini puisi Chairil Anwar terasa masih segar, nada tegas dengan alunan yang pendek-pendek
dan cepat yang menunjang temanya misalnya puisinya yang berjudul “Aku” seperti di bawah:
AKU
Kalau sampai waktuku
‘Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi
Chairil Anwar
Kalau sampai waktuku
‘Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi
Chairil Anwar
Maret 1943
Jika kita mahu mengwujudkan citra sastera Borneo yang lebih kedepan, tentunya para
penyair atau penulis Borneo mampu
menghasilkan puisi-puisi baru seperti Chairil Anwar menciptakan puisi-puisi baru
yang berupa penentangannya terhadap puisi-puisi ciptaan penyair-penyair angkatan
Balai Pustaka dan Punjangga Baru yang dianggapnya menghasilkan puisi-puisi yang
sudah klise. Hal ini mungkin dapat diwujudkan dengan cita-cita
dan keazaman yang tinggi, yang tentunya bukan mudah dan perlu disertai dengan
ilmu. Pemenang hadiah novel bagi kesusasteraan kebanyakannya diberikan kepada
para penulis yang menyendiri yang ingin menciptakan sesuatu yang baru. Para penyendiri-penyendiri tidak mementingkan
kuantiti tetapi mereka lebih mementingkan kualiti sehingga apabila karya mereka
terhasil akan menjadi sebuah karya unggul
atau agong pada zamannya.
Di
Brunei Darussalam terdapat beberapa orang penulis yang cuba berjinak-jinak ke arah itu dengan menciptakan karya-karya eksperiman dengan tujuan
menciptakan gaya penulisan yang berbeza dengan gaya penulisan sebelumnya dengan
tidak mengabaikan aspek keindahan. Muslim Burmat misalnya melalui cerpennya
bertajuk ‘Pohon-Pohon di Alps”, telah menulis dengan gaya realisme. Watak utama yang mencemburui
kekasihnya yang diajak keluar oleh seorang lelaki tidak dinyatakan secara langsung dengan kata
oleh penulis perasaan cemburunya tetapi
dinyatakan secara tidak langsung melalui aksi atau gerak laku watak. Penulis yang dulunya bersifat
serba tahu dan berkuasa kini hanya
bertindak sebagai pemerhati dengan tidak
memasukkan pendapat dan pandangannya.
Penulis lebih bersifat objektif dalam bercerita dan gaya bercerita yang sedemikian
pada waktunya adalah suatu gaya baru yang indah. Gaya ini kemudian menjadi
ikutan kepada para penulis yang lain sehingga gaya tersebut sudah tidak
dianggap baru dan indah lagi. Disinilah cabaran para punulis untuk merekayasa karya sastera dengan gaya baru lagi. Penulis perlu
mencari dan terus menerus mencari berbekalkan
ilmu dan daya kreatif masing-masing bagi menghasilkan sesuatu yang baru
dan indah.
Sebagi
sebuah karya seni, para penulis sama seperti
para pelukis dan para pemuzik dalam menghasilkan karya masing-masing. Pelukis berusaha menciptakan lukisan dengan
campuran warna dan teknik mewarna yang seimbang. Pemuzik mencipta lagu dengan
iringan kesatuan bunyi alat-alat muzik yang berbagai. Penulis pula berusaha
menghasilkan karya sastera dengan gaya baru,
indah dan menarik. Mussidi, seorang
penulis Brunei yang sekaligus juga seorang pelukis grafik telah
menghasilkan beberapa buah cerpen dengan gaya kartun. Contohnya, sebuah
cerpennya yang bertajuk “Jantung”
mengemukan seorang pesakit jantung telah
pergi ke klinik dan mengeluarkan dan menyerahkan jantungnya untuk dipereksa.
Doktor yang merawat jantungnya kemudian memasukkan jantung pesakit tersebut ke
dalam peti sejuk untuk pemeriksaan lanjut. Setelah beberapa hari pesakit itu
kembali dan meminta jantungnya dan Doktor yang merawat terpaksa mencari jantung
Pesakit tersebut dicelah-celah longgokan
beberapa buah jantung yang berada di peti sejuk. Gaya penulisan seperti ini tidak terdapat dalam
sejarah perkembangan cerpen di Brunei, malah mungkin juga di Borneo. Bagaimanapun gaya Mussidi ini kemudiannya
telah menjadi ikutan kepada beberpa
orang penulis cerpen yang lain sehingga
gaya ini tidak lagi dianggap baru. Gaya
ini pun menjadi basi dan para penulis
seharusnya meninggalkan gaya ini dan merekayasa
yang baru. Untuk itu para penulis perlu ilmu, daya fikir yang mendalam, menyendiri mencari idea baru yang
kemudian dioleh dengan daya kreatif yang tinggi.
Dalam
tahun-tahun 1990-an, suatu perkembangan menarik dalam penulisan prosa di Brunei
Darussalam khususnya dalam genre cerpen dan novel. Para penulis telah menghasilkan
beberapa buah karya eksperiman dengan
konsep yang berbagai misalnya mencampuradukkan karya kreatif dengan tulisan
ilmiah, mencampuradukkan gaya romatis
dan gaya realisme secara seimbang, mempelbagaikan sudut pandangan secara teratur, tidak menggunakan kata sifat atau kata abstrak dalam karya,
tidak bersifat maha tahu dan berkuasa, bercerita lebih objektif seperti kamera menangkap gambar, memberikan ruang dan
peluang pembaca untuk berinteraksi dan membuat kesimpulan, tidak mengurui
pembaca, tidak ada plot atau mengatur plot seperti susunan muzik, menceritakan
suatu kejadian dalam jangka waktu yang sesingkat-singkatnya sebagai lawan
kepada penceritaan yang bertahun-tahun, menjadikan
perjalanan cerita lambat selambat-lambatnya seperti gerak ulang (slow motion) bola masuk ke gawang pintu
gol, menggunakan satu watak malah tidak ada watak dalam cerita, tidak ada latar
baik latar waktu atau latar tempat dalam penceritaan, mempelbagaikan watak
yang bertentangan dari segi jantina, umur, pendidikan dan latar belakang
dearah kelahiran dan kedewasaannya, menonjolkan
dua ragam bahasa dan budaya, tanpa menggunakan dialog (hanya huraian) atau
hanya dialog, tidak menggunakan bunga-bunga bahasa atau menggunakan bungga
bahasa dengan tujuan, dan
seumpamanya. Bagaimanapun sejak
akhir-akhir ini penciptaan karya-karya eksperiman sedemikian sudah berkurangan dan
hal ini mungkin disebabkan oleh keletihan dalam pencarian atau keupayaan sentiasa
dalam keterbatasan.
Sebagai
kesimpulan daripada pembicaraan yang
singkat ini dapatlah dikatakan bahawa para penyair dan penulis Borneo perlulah merekayasa
citra sastara Borneo agar sastera Borneo dikenal diperingkat kebangsaan,
serantau dan antarabangsa, sesuai dengan tema yang diutarakan dalam pertemuan ini. Merekayasa citra sastera
Borneo boleh dilakukan dengan menonjolkan identiti masyarakat penulis itu
sendiri. Selain itu para penulis juga perlu
meningkatkan daya kreativiti masing-masing dalam menciptakan karya melalui penulisan gaya
baru yang berbeza dengan gaya penulisan
penulis-penulis Borneo sebelumnya atau gaya penulisan penulis-penulis yang ada di Nusantara masa
kini. Untuk itu para penulis Borneo mestilah berusaha dengan memulaciptakan karya-karya eksperiman yang berdasarkan konsep
keindahan sejagat yang boleh digali daripada warisan budaya masyarakat penulis
sendiri atau menciptakan unsur baru yang
bersifat universal. Bagaimanapun hal ini
bukanlah suatu yang mudah, dan kejayaan
yang didapat akan dapat menonjolkan citra
sastera Borneo yang sangat significant
bukan sahaja dalam perkembangan
kesusasteraan Borneo itu sendiri malah perkembangan kesusasteraan Melayu di Nusantara
atau perkembangan kesusasteraan serantau dan antarabangsa.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan