PENDAHULUAN
Tajuk
kertas kerja yang disediakan oleh Urus Setia Dialog Borneo Kalimatan Ke 11
kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) sebenarnya terlalu umum, kurang akademik,
dan pada sisi lain pula terdedah kepada skop dan ruang lingkup yang luas.
Bagaimana pun penulis berusaha memenuhi kehendak berkenaan dengan menyediakan
kertas kerja ini dan memberikan definisi tentang penulis lama, membincangkan tentang
konteks dan kedudukan “Penulis Lama” yang dimaksudkan, memerikan jenis
perhatian yang perlu diberikan, seterusnya mengaitkan Datuk R M Jasni sebagai
model perbincangan, sesuai dengan tajuk yang diberikan.
DEFINISI
PENULIS LAMA
Setiap
ada yang baru, pasti ada yang lama. Ini lumrah kehidupan dan hukum alam. Tidak
ada sesuatu yang kekal, melainkan semua tertakluk kepada perubahan dan
terperangkap dalam sistem putaran kehidupan. Kereta yang baru dibeli hari ini
akan menjadi buruk beberapa tahun kemudian. Rumah yang indah dan warnanya
berseri- seri hari ini akan bertukar menjadi suram dan pudar warnanya beberapa
tahun kemudian. Begitu juga kehidupan kita sebagai manusia yang dikategorikan
sebagai “Penulis” mengalami proses yang sama. Pada peringkat awal pembabitan kita
dalam bidang penulisan, kita pasti diaktegorikan sebagai “Penulis Baru”,
“Penulis Muda” atau apa juga label yang diberikan kepada kita. Namun hakikatnya
kita akan menulis berdasarkan masa, tempat, sejarah, budaya yang khas dan
sesuai dengan konteks, kedudukan dan zaman kita, seperti kata Stuart Hall (1994:342)
…we all write and speak from a particular place
and time, from a history and a culture which is specific, what we say, is
always ‘in context’, ‘positioned’.
Namun seiring dengan peredaran waktu,
penulis muda akan memasuki gerbang kedewasaan. Selapas itu memasuki satu
peringkat yang biasanya disebut sebagai “Penulis Lama” atau “Penulis Tua” atau
“Penulis Veteran”. Hakikatnya, peringkat ini adalah peringkat terakhir dalam
perjalanan atau kembaranya sebagai penulis. Tidak ada lagi peringkat selepas
itu dalam kehidupan biologinya, kecuali mati.
Justeru, kertas kerja ini berusaha
memperjelaskan definisi “Penulis lama” yang diguna pakai penulis, (sesuai
dengan kehendak pihak urus setia), dengan andaian istilah “Penulis Lama” itu
lebih beralas, atau lebih santun dan bertimbang berbanding misalnya kalau
disebutkan “Penulis Veteran” apatah lagi jika disebutkan “Penulis Tua”.
Berapakah usia seseorang penulis yang
secara biologinya dikategorikan sebagai “Penulis lama”? Ada yang berkata usia
40 tahun merupakan pintu gerbang bagi seseorang penulis memisahkan dirinya
daripada kelompok dan kategori “Penulis Muda”. Pendapat lain pula mengatakan
usia 50 adalah peringkat umur paling tepat bagi seseorang penulis itu
diaktegorikan sebagai “Penulis lama”.
Namun demikian jangka hayat rakyat
Malaysia hari ini semakin panjang. Malah tahap kasihatan mereka juga masih baik
dalam jangka umur antara 50 hingga 70 tahun. Dalam lingkungan umur ini mereka
masih boleh bekerja dengan baik secara fizikal dan mempunyai daya pemikiran
atau kognitif yang cergas dan mampu berfikir positif, lebih matang, kreatif,
serta mempunyai pertimbangan yang jauh lebih baik berbanding ketika mereka
berusia dalam lingkungan 30-an atau 40-an.
Sebab itu tempoh pencen bagi seseorang
kakitangan awam dan swasta, beberapa tahun sebelum ini dilanjutkan daripada 55
tahun kepada 56 tahun, kemudian 58 tahun dan sekarang dilanjutkan lagi kepada
60 tahun. Semua ini dilakukan dengan alasan, pemikiran atau kognitif,
pengalaman dan tenaga biologi golongan lama atau tua atau veteran ini masih boleh
diguna pakai dan mampu menyumbang sesuatu yang bermakna kepada bangsa dan
negara.
Justeru, begitu juga golongan penulis
dan dalam konteks kertas kerja ini, skop tempoh hayat bagi seseorang penulis
yang sesuai dikategorikan sebagai penulis lama ialah mereka yang berusia 50
tahun ke atas. Biasanya mereka masih aktif dalam kegiatan persatuan, gerakan
sastera, berseminar dan mampu menulis secara produktif sehingga umur 65 tahun.
Namun, jika mereka masih boleh menulis aktif dalam lingkungan usia antara 65
tahun hingga 80 tahun, maka itu adalah bonus. Sebagai contoh penulis lama di
Sabah yang masih aktif dalam lingkungan umur antara 65-80 tahun ini ialah Datuk
R M Jasni. Beliau masih aktif menulis sehingga kini. Sebuah cerpen dan puisinya
disiarkan dalam majalah WADAH terbitan DBP Cawangan Sabah yang terbaru.
Sementara novelnya yang berjudul “Kasih sepanjang jalan” bakal diterbitkan DBP
dalam tempoh yang terdekat.
APAKAH
PERHATIAN YANG DIPERLUKAN PENULIS LAMA?
Sesuai
dengan kehidupan biologi manusia, seseorang itu akan kembali menjadi seperti
kanak-kanak di peringkat akhir hayatnya. Ini adalah fitrah manusia. Maka di
peringkat berkenaan seseorang itu memerlukan perhatian dalam semua aspek
kehidupan. Jika tidak diberikan perhatian, berkemungkinan lahir sikap jauh atau
rajuk hati yang menyukarkan kehidupannya dan juga orang lain. Ketika itulah mula
timbul pelbagai masalah dan kerenah. Hal ini turut mendapat perhatian para
pengkaji dalam bidang psikologi. Tahap kognitif beliau menurun dan pada
peringkat tertentu diserang sindrom mudah lupa. Datuk R M Jasni misalnya pernah
memberitahu penulis bahawa ada ketika dalam usia pertengahan 70-an, seseorang
itu diserang penyakit “Lupa yang akut”. Ini dialami beliau sendiri. Ketika itu
pemikirannya kosong. Mujurlah situasi itu berlaku dalam tempoh yang singkat,
tetapi cuba bayangkan jika sindrom penyakit “Lupa yang akut” itu menyerang
dalam tempoh yang lama. Apa yang akan berlaku? Sudah pasti secara biologinya,
seseorang itu memerlukan perhatian orang lain dan pastinya pada skala yang
lebih besar lagi.
Dalam konteks kertas kerja ini ada
beberapa jenis atau bentuk perhatian yang wajar diberikan kepada penulis lama.
Pertama, perhatian dari segi kebajikannya. Kedua, dari segi memberikan peluang
kepadanya berkarya, berkreatif dan juga terlibat dalam mana-mana kegiatan sastera
sebagai penceramah atau pemakalah sesuai dengan pengalamannya, dalam mana-mana
seminar, simposium dan kongres yang dianjurkan pelbagai pihak. Ketiga,
memberikannya penghargaan sesuai dengan sumbangan yang diberikannya dalam
bidang sastera dan penulisan.
Perhatian dari segi kebajikan memang jelas,
kerana golongan penulis yang tidak mempunyai kerja hakiki dalam jabatan
kerajaan selain daripada menulis, maka mereka tidak menerima sebarang wang
pencen bagi membantu mereka menampung kehidupan pada hari tua. Justeru,
mereka berkemungkinan hidup melarat dan
tidak mempunyai rumah. Tidak mustahil juga mereka tinggal di rumah jagaan orang
tua, jika diabaikan anak-anak. Sebab itu elok jika sekiranya kerajaan
memikirkan cara dan mekanisme apa yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan
golongan penulis ini sekurang-kurangnya memiliki rumah sendiri sesuai dengan
sumbangan intelektualnya kepada bangsa dan negara.
Misalnya kerajaan menyediakan taman
perumahan untuk penulis dan golongan seniman, di mana penulis dan seniman yang
menulis atau melakukan kerja seni sepenuh masa dan tidak mempunyai “Slip Gaji”
yang boleh dicagar kepada bank, boleh memiliki rumah dengan jumlah bayaran
tertentu dan termampu kepada satu badan yang diurus kerajaan tanpa merujuk
kepada bank sebagai pemodal. Tujuannya supaya mereka ini dapat menikmati
kehidupan masa tua yang sama baik dengan rakyat Malaysia yang lain sesuai
dengan sumbangannya.
Mereka juga boleh diberikan pelbagai
kemudahan lain seperti kemudahan insuran kemalangan percuma. Rawatan percuma di
hospital kerajaan. Malah mereka juga sewajarnya diberikan perhatian dengan
diberikan kad diskaun bagi mana-mana kedai rakyat yang dipilih kerajaan bagi
memboehkan mereka mendapat harga berpatutan atau harga lebih rendah dan
disubsidi kerajaan. Mereka juga wajar menerima sumbangan khas warga tua setelah
mencecah umur 60 tahun ke atas. Inilah antara perhatian yang perlu diberikan
kepada penulis lama dari segi kebajikan mereka.
Kedua, ialah dari segi memberikan
peluang kepada mereka berkarya, berkreatif dan terlibat dalam mana-mana kegiatan
sastera sebagai penceramah atau pemakalah sesuai dengan pengalaman, dalam
mana-mana seminar, simposium dan kongres yang dianjurkan pelbagai pihak. Hal
ini sering dipersoalkan pelbagai pihak (termasuk dalam program Dialog
Borneo-Kalimantan) ini kerana sering terlepas pandang dalam penganjuran program
atau kegiatan sastera atau penulisan yang dianjurkan di wilayah Borneo ini. Kita
sering bercakap atau berbelanja besar tentang memperkasa golongan muda termasuk
dalam bidang penulisan. Puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk membangun
golongan muda, tetapi pada masa yang sama kita tidak ada program khas kepada
golongan penulis lama. Hal ini mesti dikaji semula bagi member keadilan kepada
mereka.
Di negeri Sabah usaha ini memang
dilakukan melalui persatuan BAHASA. Kita menghargai dan menghormati golongan
penulis lama dan memberi mereka peluang aktif dan terlibat dalam program
sastera yang dianjurkan. Sebagai contoh yang terbaharu, BAHASA melibatkan Datuk
R M Jasni salah seorang penulis lama di Sabah sebagai panel forum dalam program
“Simposium Cerpen Antarabangsa” sempena perasmian pembukaan Bulan Penulis
Negeri Sabah 2013 kemudian membentangkan Kertas Kerja dalam program “Kongres
Puisi Borneo Utara” sempena majlis penutupan Bulan Penulis Negeri sabah 2013
yang diadakan di Daerah Tenom.
Dari segi penghasilan karya kreatif, penulis
memastikan hasil karyanya diperbaiki terlebih dahulu di peringkat kumpulan
BAHASA sebelum dihantar ke mana-mana penerbitan, kerana sebagai penulis lama,
mungkin berlaku kes di mana langgam bahasa dalam karyanya masih terikat dengan
gaya penulisan tahun 19650-an dan 1960-an, jadi penulis memperbaikinya supaya
sesuai dengan gaya dan langgam penulisan masa kini. Justeru apabila kita
menghantarnya ke penerbitan, maka peratus karya untuk ditolak adalah kecil.
Kita boleh menjadi agen penulis kepada penulis lama ini seperti yang berlaku di
Barat, walau pun tanpa sebarang habuan. Bagi penulis bukan soal habuan yang
utama, tetapi apa yang penting dapat membantu penulis lama ini menerbitkan
karya dan karya itu pula sesuai dengan keperluan dan selera masyarakat hari
ini.
Dengan melakukan hal sedemikian, sudah
pasti penulis lama ini tidak merasa tersisih daripada arus perdana kegiatan dan
perkembangan sastera domestic dan serantau. Kita tidak boleh mengabaikan
mereka. Malah, jika penulis lama ini masih berkeupayaan, bawa mereka menyertai
program penulisan atau pertemuan penulis yang diadakan dalam dan luar negara
supaya mereka rasa dihargai. BAHASA misalnya membawa Datuk R M Jasni menghadiri
pertemun penulis di Miri, Kuala Lumpur, di Jakarta dan malah menghadiri program
Seminar Ikatan Rakyat Sastera Budaya Indonesia-Malaysia di Medan Indonesia pada
24-27 Mei 2013 lalu.
Yang terakhir sekali golongan penulis
lama itu bukan sahaja mesti dijaga dari segi kebajikan atau dari segi
penyertaannya dalam program sastera, tetapi mesti juga diberikan penghargaan
sewajarnya. Kerajaan mesti memberikan pelbagai anugerah sesuai dengan sumbangan
mereka terhadap khazanah dan ketamadunan bangsa dan negaranya. Nampaknya Kerajaan
Negeri Sabah masih terlepas pandang terhadap hal ini. Malah kerajaan negeri
bukan sahaja tidak memberikan anugerah kepada penulis lama, penulis muda juga
tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan. Bagaimana pun BAHASA terus
menyuarakan hal ini di pelbagai peringkat, termasuk mendesak pemimpin dan wakil
rakyat membawanya untuk dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah, seperti yang
dilakukan BAHASA ketika mendesak kerajaan untuk menganjurkan Sayembara Menulis
Novel Negeri Sabah dan akhirnya dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, yang kemudian diserahkan kepada
Lembaga kebudayaan Negeri Sabah bagi tujuan pelaksanaannya.
Namun BAHASA bersama-sama GAPENA dalam
usahanya memberikan perhatian sewajarnya kepada para penulis lama negeri Sabah,
pernah memberikan anugerah Tokoh Penyair GAPENA kepada Datuk Jamdin Boyung
sempena Hari Puisi Nasional yang diadakan di Membakut Sabah pada 9-11 Februari
2012. Begitu juga DBP Cawangan Sabah pernah memberikan anugerah khas kepada dua
tokoh penulis negeri Sabah yang terkemuka dan berjasa terhadap pembangunan
sastera negeri Sabah iaitu Hajah Dayang Salmah Salam dan Datuk Haji Mohd.
Arifin Haji Mohd. Arif dalam satu majlis yang sunguh bermakna di Hotel Berjaya
Palace di Kota Kinabalu pada tahun 2012.
DATUK
R M JASNI, PENULIS LAMA GIGIH BERKARYA MERENTAS USIA
Sementara
itu, Datuk R M Jasni mempunyai kedudukan yang istimewa dalam konteks sastera di
negeri Sabah. Usianya sudah mencecah 77 tahun tetapi masih mempunyai kekuatan
dalam melakukan sesuatu yang baik bagi perkembangan bahasa dan sastera negeri
Sabah. Seperti kata-kata yang beliau selalu ungkapkan bagi memotivasikan diri
sendiri agar terus menulis, berkarya dan bekerja, “Kita sebenarnya sentiasa
muda, hanya terperangkap dalam tubuh badan yang tua”
Beliau bukan sahaja mendapat
perhaatian penulis yang lebih muda daripadanya, malah beliau sendiri banyak
membantu golongan penulis di negeri Sabah meski pun dalam usia yang lanjut. Beliau
masih berkeupayaan turun ke Kota Kinabalu dan ada kalanya memandu sendiri dan
menemui penulis hanya semata-mata bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan
penerbitan, program sastera, pembangunan penulis dan sebagainya. Semuanya
beliau lakukan demi untuk kebaikan golongan penulis di negeri Sabah, dan itulah
Datuk R M Jasni. Beliau bukan sahaja tidak disisihkan daripada perkembangan
sastera, malah mengambil bahagian yang aktif dalam membangunkan dunia penulisan
di Sabah.
Suatu hari beliau pernah memberi tahu
penulis bahawa segala apa yang beliau lakukan
itu bukanlah untuk dirinya. Sekali-kali tidak. Tidak ada apa yang dapat dituai
bagi seorang penulis yang seusia dirinya. Masa terlalu cemburu untuk dirinya,
tetapi selagi boleh bergerak dengan kudrat empat keratnya, beliau terus membantu
apa yang terdaya. Beliau gembira sekiranya golongan penulis di negeri Sabah
akhirnya mendapat pengiktirafan, penghormatan dan jasa mereka dikenang di
peringkat yang tertinggi. Beliau sentiasa mahu melihat lebih banyak buku
ditulis berkaitan negeri Sabah, sama ada dalam bidang kreatif atau non kreatif,
kerana dengan cara itu sahaja ramai golongan penulis negeri Sabah mendapat
manfaat daripada bidang penulisan yang diceburinya. Beliau mahu melihat
golongan penulis mendapat sedikit nikmat kehidupan daripada anugerah yang Allah
berikan kepada mereka, supaya mereka terus menyumbang dan memberikan lebih
banyak lagi untuk negara dan ketamadunan bangsanya.
Beliau mahu melihat, golongan penulis
dan aktivis seni negeri Sabah ini sekurang-kurangnya mempunyai satu pusat
dokumentasi penulis, atau pusat bahasa dan sastera, di mana mereka boleh
berkumpul, membuat latihan, perbincangan yang santai sambil menghasilkan karya
kreatif. Beliau mengimpikan biarlah pusat itu menjadi tumpuan golongan penulis
dan karyawan bukan sahaja di negeri Sabah, malah di peringkat kebangsaan dan
serantau. Satu pusat yang di dalamnya ada ruangan pengumpulan dan pameran
dokuemntasi para penulis yang berjasa di negeri Sabah. Ada tempat menganjurkan
forum dan seminar, malah menyediakan tempat penginapan bagi mana-mana penulis
dan aktivis yang mahu berkarya atau berkumpul bagi merancang segala kegiatan
seni bahasa dan sastera mereka dalam kos yang munasabah. Jika pusat dokumentasi
ini menjadi kenyataan, BAHASA mencadangkan supaya ia diberi nama “Pusat Dokumentasi
Datuk R M Jasni” sebagai penghargaan BAHASA dan penulis negeri Sabah terhadap
sumbangannya.
“Pusat Dokumentasi Penulis dan
Pusat Budaya” itu nanti adalah bagi manfaat
golongan penulis dan karyawan di negeri Sabah, dan jika menjadi kenyataan pusat
itu bukan sahaja menjadi pusat sehenti atau “One stop centre” yang penting kepada golongan penulis, tetapi
menjadi pusat tumpuan pelancongan di negeri Sabah. Malah mungkin kegiatan, “Sambutan
Bulan Penulis” yang sudah pun dianjurkan kali kedua pada tahun 2013 dan
insyallah akan dianjurkan secara berterusan setiap tahun di negeri Sabah, boleh
diadakan di pusat ini.
Inilah antara impian Datuk R M Jasni
yang mungkin terlalu besar untuk direalisasikan, tetapi jika ada kesungguhan
daripada pelbagai pihak, maka ia bukanlah sesuatu yang mustahil, kerana seperti
yang selalu ditegaskannya, jika ada kemahuan dan komitmen, serta kesedaran akan
pentingnya dunia penulisan sebagai perakam kegemilangan tamadun bangsa, harapan
untuk kita melihat impian ini menjadi kenyataan bakal tercapai di negeri Sabah.
Justeru, BAHASA bukan sahaja
memberikan perhatian, malah menghormati Datuk R M Jasni, kerana beliau adalah
tokoh penulis dan mentor ramai penulis muda dalam bidang penulisan.
Beliau telah menghasilkan sejumlah buku
dan hasil karya yang besar dan penting bagi negeri Sabah. Beliaulah anak
tempatan yang pertama menulis buku tentang sejarah negeri Sabah, beliau juga
menulis buku yang berjudul “Semangat
perjuangan Paduka Mat Salleh dan Saham Kaum Dusun Menentang Penjajah”, seterusnya
menulis buku tentang suku kaum Murut yang berjudul “Sejarah Pemberontakan Antanom”. Selain itu beliau juga menulis buku
biografi yang berjudul “Anak Sisa
Peperangan” yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun
2006.
Malah tidak ramai yang mengetahui
bahawa dalam usia beliau yang sudah mencecah pertengahan 70-an itu, beliau
masih terus gigih menulis. Beliau kini sedang menyiapkan sebuah novel
berlatar-belakangkan kehidupan dan alam Maliau Basin, yang mungkin berada di
pasaran dalam tempoh terdekat. Beliau juga bercita-cita menulis sambungan buku
biografinya, seterusnya gigih menghasilkan sejumlah puisi dan cerpen yang
mungkin boleh dibukukan suatu hari nanti. Malah penulis, bersama-sama beliau
dan Dr. Chacho Haji Bulah, kini sedang gigih menyiapkan di peringkat akhir
proses penulisan sebuah buku berkaitan sejarah dan pembangunan semasa era
pemerintahan parti BERJAYA antara tahun 1976 hingga tahun 1984 di negeri Sabah.
Buku itu berjudul “Sejarah Parti BERJAYA” dan bakal diterbitkan Penerbit Iris
Publishing & Distributor. Sebuah novelnya yang terbaru berjudul “Kasih
Sepanjang Jalan” juga bakal diterbitkan DBP dalam tempoh terdekat.
PENUTUP
Semoga
kerajaan dan semua pihak termasuk badan-badan penulis, agensi bahasa dan
sastera seperti DBP, suatu hari nanti menghargai jasa penulis lama negeri Sabah
yang tidak ternilai itu. Kita juga mengharapkan para penulis lama ini terus
diberikan perhatian, sama ada dari segi kebajikan, peluang penerbitan karya,
atau mendapat pengiktirafan dan penghargaan dari kerajaan.
Diharapkan juga kertas kerja ini dapat
memberikan definisi yang betul dan tepat tentang istilah “Penulis lama”
seterusnya dapat memerikan jenis perhatian yang wajar terhadap penulis lama
seperti Datuk R M Jasni Datuk Jamdin Boyung, Hajah Dayang Salmah Salam, Emin
Madi, Tuan Haji Hussein Qasau, Azmah Nordin, Hajah Rubiah Nordin, Ramli A R,
Abdul Karim Gullam, Hassan Saprin, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Hajah Zaiton Haji
Ajamain, Arifin Arif (sekadar menyebut beberapa nama). Sekali lagi, semoga
mereka ini terus mendapat limpah kurnia-Nya, dihargai, diberikan perhatian, dan
malah diberikan imbalan sewajarnya sesuai dengan sumbangan mereka selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan