PENDAHULUAN
Kertas ini ingin mengetengahkan
beberapa aspek budaya yang semakin terhakis dalam penyelenggaraan perkahwinan puak
Melayu Brunei. Penelitian yang bersifat
sedarhana ini didasarkan kepada pandangan
mata, pengalaman menghadiri majlis-majlis perkahwinan dan imbasan dari kerja
membuat liputan video majlis perkahwinan.
Walaupun sederhana, ringkas dan kurang mendalam, pendekatan Kertas ini
cuba mengelak sifat “sambarana”.
Majlis perkahwinan puak Brunei
melalui beberapa peringkat. Dari
jangkamasa berminggu-minggu, durasi penyelenggaraannya sekarang dipermudahkan
menjadi minimum empat hari dan ada pula yang cuma tiga atau dua hari. Kita akan melihat beberapa peringkat itu dan
menunduki pelbagai perlakuan budaya yang tidak lagi dipakai dan terhakis dan
ada pula yang sudah diganti dengan gaya baru. Dengan cara begini kita dapat
menilai paradigma dan kedinamisan sosialisasi masyarakat Melayu Brunei umumnya
dan puak Melayu Brunei khususnya.
Antara peringkat-peringkat yang
dilalui dalam proses mendirikan rumahtangga ialah:
Besarang Gundi
Besuruh/Merisik dan Berjarum-Jarum.
Menghantar Tanda Barian
Malam Berjaga-Jaga
Berbedak Mandi
Menghantar Badak dan Pacar
Malam Masuk Babadak
Bepacar
Masuk Peraduan
Majlis Akad Nikah
Mandi Belangir
Makan Behias
Majlis Betimbang/Bersanding
Beambil-Ambilan
Mulih Tiga Hari
BESARANG GUNDI
Jauh sebelum membuat keputusan
untuk menyunting bakal menantu, keluarga lelaki akan menghantar seseorang
(biasanya perempuan) untuk melihat pandangan pihak perempuan terhadap lelaki
atau keluarga lelaki yang bakal menyunting si anak dara. Proses itu dijalankan tanpa pengetahuan pihak
perempuan. Utusan yang dihantar akan
bergaul seperti biasa dengan pihak keluarga perempuan dan juga gadis yang bakal
disunting. Dalam pergaulan itu akan di
dapatkan maklumat secara tersemunyi tentang pandangan keluarga perempuan terhadap
keluarga lelaki. Maklumat ini disampaikan
kepada pihak keluarga lelaki. Bila pandangan itu positif maka dirancanglah bagi
mengadakan majlis selanjutnya iaitu Majlis Besuruh/ Bejarum-Jarum.
Besarang Gundi sudah jarang
dilakukan atau mungkin sudah tidak dilakukan.
Malah di kalangan masyarakat baru ada yang langsung tidak mendengar
istiadat ini. Proses pemodenan dan
sosialisasi menyebabkan pasangan yang hendak berkahwin membuat keputusan
sendiri untuk mendirikan rumahtangga tanpa melibatkan pihak ketiga (orang
suruhan).
BESURUH /BEJARUM-JARUM
Besuruh ialah peringkat
pertama pertemuan antara keluarga lelaki dan keluarga perempuan. Tidak ramai.
Jumlahnya antara empat dan lima orang pada setiap pihak ketika acara
besuruh diadakan. Fungsi majlis ini
ialah untuk merisik/mengetahui samada gadis yang dihajati itu sudah mempunyai
calon suami atau sudah berkawan. Jawapan tidak akan diketahui pada ketika itu.
Rombongan lelaki mohon pulang dan akan
kembali semula menemui keluarga perempuan setelah mendapat risikan bahawa hasil
besuruh itu mendapat jawapan positif.
Pemergian ulangan ini dikenali sebagai berjarum-jarum. Jika risikan mendapati pihak perempuan tidak
berkenan, maka proses berjarum-jarum tidak diadakan. Proses itu tamat di situ.
Bahasa ketika besuruh dan
bejarum-jarum mempunyai makna yang berlapis.
Ini menghendakkan pembicara termasuk indung bapa mengetahui makna bahasa terlindung ini. Di majlis itu
kedengaran ungkapan seperti “kan mendangani menungkat gelagar mumut” atau “menuhur atap yang bubus.” Dalam majlis
ini juga kedengaran ungkapan-ungkapan pantun seperti:
Memang bisai bunga di taman
Patah selasih daun sebuting
Ingin memetik kenanga idaman
Apakah masih alum disunting.
Hendak ke Daik tiada yang tau
Ke rimba utan bawa dagangan
Petanda baik ada yang mau
Amba tadahkan kedua tangan
Dalam situasi baru, “chief de
mission” atau ketua rombongan perlu mengetahui keadaan-keadaan semasa bagi
menggantikan ungkapan-ungkapan “kan mendangani menungkat gelagar mumut” atau “menuhur atap yang bubus”. Perambahan-perambahan ini juga patut
mengalami perubahan dan penyesuaian. Sebabnya waimapun tinggal di kampung air,
kerja-kerja menungkat ini sudah jarang
dilakukan. Rumah-rumah sudah bertiang batu/simen. Kalaupun ada yang masih menggunakan penyucuk kayu Kulimpapa atau Bulian, kerja menungkat ini sudah diambil alih oleh golongan professional yang kerjanya hanya membuat/mengganti tiang-tiang kayu yang sudah reput. Mana mungkin orang muda masa ini bersedia turun ke tanah licak. Tentu saja dia bergelurat menghadapi biangsung dan kapang di tiang-tiang lama.
dilakukan. Rumah-rumah sudah bertiang batu/simen. Kalaupun ada yang masih menggunakan penyucuk kayu Kulimpapa atau Bulian, kerja menungkat ini sudah diambil alih oleh golongan professional yang kerjanya hanya membuat/mengganti tiang-tiang kayu yang sudah reput. Mana mungkin orang muda masa ini bersedia turun ke tanah licak. Tentu saja dia bergelurat menghadapi biangsung dan kapang di tiang-tiang lama.
Begitu juga halnya untuk
mendangani “menuhur atap yang bubus”.
Kerja menuhur atap adalah kerja kalangan masyarakat yang menggunakan
daun nipah sebagai atap rumah. Itu
sering mereka lakukan di zaman dulu.
Masa ini golongan pakar menuhur atap itu sudah berkurangan. Semantalahan pula atap masa kini diperbuat
dari genting.
MENGHANTAR TANDA BARIAN
Penentuan indah-indah yang
menjadi barang barian dipermaklumkan kepada pihak lelaki dalam majlis
berjarum-jarum. Dalam majlis itu juga ditentukan
tarikh rombongan menghantar barian pihak lelaki. Tujuannya ialah bagi memudahkan di pihak
perempuan menyambut rombongan yang terdiri dari sanak saudara pihak
lelaki. Ketentuan itu juga penting
supaya memberi ruang pada pihak perempuan menyediakan balasan.
Biasanya indah-indah barian
diletakkan atas gangsa. Gangsa puak
Brunei diperbuat dari logam tembaga berbentuk bulat, berkaki dan dibuat dalam
pelbagai saiz dan ukuran. Indah-indah
barian itu dibawa oleh serombongan pemudaan yang berpakaian lengkap baju
Melayu, bersongkok dan bersinjang. Cara
memegang gangsa juga harus diketahui supaya sebelah tangan tidak menanai
bahagian bawah kaki gangsa. Perbuatan
tersebut melambangkan status dara yang dipinang. Bagi masyarakat lama cara
memegang gangsa itu saja boleh memberi makna samada gadis yang dipinang adalah
seorang anak dara atau sebaliknya.
Gangsa juga dipandang tinggi.
Maka itu benda-benda seperti kasut tidak harus diletakkan di atas
gangsa.
Antara indah-indah yang
disampaikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan ialah:
Pembuka mulut
Mas kahwin
Tanda kasih
Belanja dapur/belanja hangus
Melangkah laut/sungai
Melangkah dulang
Tabus bangsa
Pembuka Mulut. Wang semacam bayaran bagi memulakan
perbincangan. Wang Pembuka Mulut itu
bagaikan kunci kepada majlis. Di masa
lalu, ada keluarga perempuan terus “mungu” (tidak mengeluar suara) sehinggalah Pembuka
Mulut diunjuk. Pembuka Mulut boleh disampaikan pada Majlis Berjarum-Jarum. Jika
dilakukan pada majlis itu, perbincangan dapat diteruskan dalam majlis
Menghantar Barian tanpa sekatan.
Tanda Kasih: Ini ialah pelbagai jenis barangan sebagai
hadiah kepada pihak perempuan. Pada masa
ini tanda kasih ini dikepalai dengan hantaran kitab Al Qur’an dan Kain Jong
Sarat serta Gubahan Sirih. Lain-
lain barang termasuk pakaian sepengadak, kasut, kain, haruman, barang kemas dan lain-lain. Penulis pernah terserempak dengan tanda kasih berupa sebuah kereta. Pada plat kereta itu tertulis Tanda Kasih yang dipandu beriringan dengan rombongan yang membawa gangsa hantaran.
lain barang termasuk pakaian sepengadak, kasut, kain, haruman, barang kemas dan lain-lain. Penulis pernah terserempak dengan tanda kasih berupa sebuah kereta. Pada plat kereta itu tertulis Tanda Kasih yang dipandu beriringan dengan rombongan yang membawa gangsa hantaran.
Mas Kahwin. Juga dikenali sebagai barian yang nilainya
antara seratus ringgit hingga lima ratus ringgit. Barian ini adalah pemberian pihak lelaki pada
perempuan sebagai pengikat
hubungan. Pada masa ini barian
diletakkan di sisi pengantin lelaki semasa majlis Akad Nikah dan majlis
penyerahan barian kepada pengantin perempuan berlangsung sebaik-baik saja
majlis Akad Nikah selesai.
Belanja Dapur. Juga dikenal sebagai Belanja Hangus. Ada juga yang menggelarnya sebagai Belanja
Serba Guna. Belanja Dapur biasanya digunakan bagi penyelenggaraan majlis kahwin
(persandingan). Maka itu jumlahnya agak
tinggi antara empat ribu hingga tujuh ribu riggit. Penulis pernah menghadiri
majlis menghantar barian yang mengunjuk wang berjumlah dua belas ribu ringgit.
Melangkah Dulang . Ini ialah sagu hati kepada kakak atau abang
si wanita yang hendak berkahwin. Dalam
masyarakat lama sebaiknya anak yang lebih tua yang dulu berumahtangga. Jika ini tidak dipatuhi yakni sang lelaki
mahu mengahwini si adik, maka semacam “denda” dikenakan yang disebut sebagai
Langkah Dulang.
Langkah Sungai: Perkahwinan di zaman lalu berlangsung dalam
kelompok yang sama yang biasanya bermastautin di kawasan yang sama. Maka jika
ada lelaki yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga dengan insan yang di luar
dari kelompok mereka seperti yang berada di seberang sungai atau laut maka si
lelaki itu akan dikenakan “denda” yang digelar Melangkah Sungai atau Langkah
Laut.
Tebus Bangsa. Perkahwinan
zaman dulu berlangsung dalam kelompok yang sama. Jika seorang kebanyakan berpangkat awang ada
hati untuk megahwini seorang yang berpangkat Dayangku, maka lelaki itu akan diminta satu bentuk bayaran
tebusan yang dikenali sebagai Tabus Bangsa.
Jumlah Tabus Bangsa tertakluk kepada keluarga perempuan. Anak yang lahir
dari perkahwinan sebegini akan menzuriatkan keturunan yang tidak lagi
bertarasulkan awangku atau dayangku.
Masa kini belanja langkah
sungai dan tabus bangsa sudah jarang diminta walaupun sekali sekali kita
terserempak dalam majlis Menghantar Barian di mana bayaran Melangkah Dulang
juga diminta. Sosialisasi dan perubahan masyarakat menjadikan hubungan lelaki
dan perempuan menjadi akrab di mana pemilihan indah-indah yang akan menjadi
hantaran dalam Majlis Menghantar Barian adalah atas persetujuan bersama. Tentu saja membazir jika menghantar fesyen
kasut yang mungkin ketinggalan zaman atau saiznya tidak menepati ukuran kaki
pasangan.
MALAM BERJAGA-JAGA
Beberapa minggu sebelum
diadakan Majlis Bersanding, keluarga kedua pihak mengadakan perayakan bagi
meraikan majlis itu. Sanak saudara
diundang. Diadakanlah pelbagai mainan
dalam seperti permainan Catur, Congkak,
Pasang dan acara-acara seperti Menambang Shair, Bernaindung dan Pancak Silat.
Acara-acara traditional ini sudah tenggelam dan diganti dengan permainan
pancaragam, Gambus, Mukun yang disertai dengan penari-penari dan persembahan
karaoke. Masing-masing cuba
mengetengahkan suara walaupun sumbang dan seperti suara angsa. Yang penting yang hadir terhibur. Sudah jarang kedengaran orang tua-tua
Berdundang dengan Rebana Besar. Sekarang
diganti dengan orang dewasa menari Poco-Poco.
BARBADAK-BADAK MANDI
Istiadat ini juga digelar
sebagai Mandi Belulut. Masing-Masing
keluarga memanggil sanak saudara terdekat untuk membadaki dan melulut pengantin
yang dilaksanakan oleh keluarga tua.
Bedak yang digunakan diperbuat dari beras yang ditumbuk dan dicampurkan
dengan pelbagai ramuan seperti pucuk, ganti, masuri, candana, cakur, petali air
dan petamu kunci. Ramuan itu adalah
pengharum kepada beras yang ditumbuk.
Untuk meningkatkan keharuman, ramuan itu diraksi atau ditangas dengan
asap kemenyan bercampur dengan minyak harum serta bunga-bungaan seperti bunga
malur dan bunga gambir. Juga dibuat
ialah parasang yang diperbuat dari beras yang ditumbuk kasar. Parasang digunakan sebagai pelulut badan
pengantin. Mengikut pantang larang, pengantin lelaki dan perempuan tidak
dibenarkan keluar rumah kerana ditakuti haruman itu akan libas. Makan minum pengantin disajikan di bilik
pengangunan. Kedua mempelai biasanya
memakai baju dan kain berwarna putih.
Majlis Berbedak Mandi masih
dilakukan masa kini tapi dilihat sebagai memenuhi kehendak orang tua-tua dan
bukan sebagai ritual. Muka-muka yang
dilulut di gambar dan dihantar dengan
menggunakan telefon bimbit ke pasangan masing-masing dan dijadikan
peibunan. Malah ada pasangan yang
berjumpa, keluar rumah dan berpelisiran di toko-toko selepas upacara babadak
mandi. Pantang larang sudah tidak
berkesan.
ISTIADAT MENGHANTAR BADAK DAN
PACAR (INAI)
Istiadat ini adalah pertukaran
barangan bagi Majlis Barbadak dan Bepacar.
Pihak lelaki akan menghantar orang tua-tua bersama tiga orang
kanak-kanak laki-laki serta gangsa yang berisi pelbagai ramuan seperti
Badak
Limau Kapas langir
Dian damit
Dian basar yang dibungkus
dengan kain putih
Bunga gambir dan bunga malur
Perasang untuk belulut ladan
dan cindana
Pihak perempuan akan membalas
hantaran setelah mengetahui tarikh Majlis Babadak pengantin lelaki. Demikian halnya bila menjelang Majlis Bapacar
(berinai). Akan berlangsung berbalas-balas hantaran. Penulis ingat-ingat lupa
pengalaman menghantar badak dan pacar ini.
Apakah juga dihantar bersama Bunga Lapik Pinang.
BUNGA LAPIK PINANG
Penghantaran Bunga Lapik
Pinang ini berlangsung dalam suasana yang yunik. Tongkang atau perahu yang
membawa Bunga Lapik Pinang tidak terus merakit di rumah pengantin
perempuan. Orang-orang dari pihak
perempuan akan menyuraki rombongan itu. Rombongan Bunga Lapik Pinang akan
beredar dan cuba merakit pada kali kedua di mana mereka akan di sorak sekali
lagi. Demikian proses itu berlangsung
empat lima kali sebelum rombongan pembawa Bunga Lapik Pinang dibenarkan naik ke
rumah pengantin perempuan. Terdapat juga versi di mana Bunga Lapik Pinang
dijadikan kepala hantaran semasa Majlis Menghantar Barian.
Bunga Lapik Pinang ialah tapak
sirih yang berisi kain putih beserta sebentuk cincin. Kain putih ini diletakkan di atas katil
pengantin pada malam ketiga selepas hari bersanding. Cincin menjadi milik pengangun. Sayugia juga diterangkan bahawa pengangun
akan terus berdamping dengan pengantin perempuan sehingga hari ketiga selepas
hari persandingan. Pada malam ketiga
tersebut berlangsung pula apa yang dikatakan sebagai “berlangsungan”
yang membawa maksud suami isteri memainkan peranan pada malam mereka
disatukan. Pada malam tersebut pengangun
meletakkan kain putih di atas katil pengantin. Dengan berbuat begitu kedua-dua
pengantin akan memahami maksud yang tersirat.
Pengantin ditinggalkan berdua-duaan untuk memfungsikan peranan suami isteri.
Pada masa ini sudah tidak ada
adat menghantar Bunga Lapik Pinang.
Penghantaran dan perletakan Bunga Lapik Pinang di katil pengantin
dianggap sebagai menerubusi soal-soal yang hanya kedua pengantin patut tahu.
Mana boleh kain putih yang bertukar menjadi warna merah diperlihatkan kepada
khalayak waimapun kepada ahli keluarga lelaki.
MAJLIS MALAM BARBADAK
Upacara dijalankan pada
sebelam malam. Pengantin dihias dengan
memakai pakaian tradisional. Pengantin perempuan mengenakan bunga guyang di
kepala dan aksesori berkaitan. Pakaian
adalah dari tenunan kain Brunei.
Pengantin mengapit kain Jong Sarat. Antara bunga atau cura kain yang
popular ialah Si Pugut, Si Lubang Bangsi, Sukmaindera dan lain-lain.
Dalam Majlis ini keluarga
terdekat dan dikira golongan orang tetua menculiki badak tujuh warna ke tangan
pengantin. Biasanya bilangan yang
menculiki ini cuma dalam tujuh orang.
Orang-orang yang digalati membaca doa sebelum mencecahkan badak ke
tangan pengantin.
Pengalaman penulis sendiri
belum terjawab sehingga hari ini semasa melalui Majlis Babadak di Kuala Penyu
Sabah hampir empat puluh tahun lalu. Ada
seorang orang tetua dari kalangan yang menculiki badak itu mencecahkan badak di
ibu jari kaki dan bukan di tangan.
Kenapa? Itu yang masih menjadi misteri
penulis. Kata orang, kawasan Kuala Penyu
itu ada tinggal penduduk yang “berisi”
dan mereka ini boleh mengganggu dan boleh juga melancarkan majlis. Cerita-cerita ada di dengar tentang bagaimana
nasi yang ditanak tidak masak atau daging tidak mendidih walaupun berjam-jam
sudah diletakkan di tambak. Terdapat
juga cerita bagaimana ada kalangan yang dapat memindahkan kemaluan ke tempat
yang tidak sepatutnya dan orang yang terkena itu supan pula untuk memberitahu
orang lain. Walau bagaimanapun ini adalah
cerita lama.
Di dalam masyarakat puak Brunei,
pengantin perempuan biasanya didudukkan bertimpuh di pelaminan terdiri dari
bantal bersusun. Pengantin itu akan
didukung oleh indungnya atau saudara terdekat
ke atas pelaminan. Semasa
diangkat pengantin menutup muka dengan kedua telapak tangannya. Istiadat menculiki badak pengantin diiringi
dengan dikir marhaban. Pembawa dikir akan membawakan lagu-lagu Hairuman,
Bisyahrin, Alhamdulillah, Tanakal dan Badat sebelum berdiri membaca surah
Asyrakal. Bila bacaan sampai ke ayat Ya Habibi barulah proses menculiki itu
dimulakan.
Masa kini masih ada budaya
lama yang masih dipraktikkan misalannya pengantin memakai pakaian lengkap
keBruneian, membaca dikir dan menculiki badak.
Cuma bilangan yang menculiki itu tidak terhad kepada orang tua-tua. Ramai yang mengambil peluang termasuk
kawan-kawan pengantin dari kalangan orang muda sehingga kadang-kadang majlis
ini berlarutan menyebabkan bacaan dikir melimpasi ayat-ayat lazim. Setiap
penculik dihadiahkan dengan buah tangan.
MAJLIS BAPACAR
Pacar dalam bahasa biasa
adalah inai. Dalam majlis perkahwinan opuak
Brunei, berinai atau berpacar cuma sekali.
Tiada inai kecil atau inai besar seperti yang berlangsung di Malaysia. Majlis berpacar sama seakan majlis babadak. Cuma kehadiran tamu tidak ramai. Hanya sekadar saudara mara yang rapat.
Tamu-tamu akan mengubit sedikit paste pacar dan meletakkannya di tapak tangan
pengantin yang duduk di pelaminan.
Selesai majlis di pelaminan
pengantin mengganti pakaian dengan memakai pakaian serba putih dan mulalah
proses memacari pengantin. Bapacar ialah
mewarnakan jejari tangan dan kaki dengan pacar yang dibuat dari daun
pacar. Daun ditumbuk menjadikannya
paste. Semasa membubuhnya di jejari atau
kaki, pacar diadun dengan air asam. Biasanya kerja-kerja memacar ini dilakukan
oleh kalangan tua. Paste pacar dibiarkan buat beberapa jam sebelum dilarak dan
tangan serta kaki dibasuh. Kesannya
jejari tangan dan kaki kelihatan merah tua.
Masa kini ada mempelai yang
mengelak untuk dipacari. Mereka mahu
menutup tanda perkahwinan mereka. Alasannya kesan merah itu akan kelihatan buat
beberapa waktu sebelum pudar dan hilang.
Dalam pada itu terdapat juga trend mempelai menggunakan pacar dari India
yang dibentuk mengikut kesukaan seperti bentuk bunga atau ukiran-ukiran. Ini lebih merupakan fesyen dan bukan budaya
perkahwinan puak Brunei.
MASUK PERADUAN
Peraduan itu ialah bilik
tempat tidur pengantin. Budaya masuk peraduan ini juga sudah terhakis. Biasanya dilakukan selepas Majlis Babadak
atau Majlis Berpacar. Pengantin perempuan disikut oleh pengangun dan dibawa
bergerak mengelilingi bilik pengantin sebanyak tiga kali. Setiap kali pusingan pengantin dan pengangun
duduk di atas katil dan membaca doa. Di
akhir pusingan pengantin bersalaman dengan ibu dan bapanya dan juga saudara
terdekat seperti nenek dan patuan. Doa
selamat dibaca oleh pengangun bagi menutup Majlis Masuk Peraduan.
MAJLIS AKAD NIKAH
Majlis Akad Nikah biasanya
diadakan pada sebelah siang dan dihadiri oleh kedua-dua keluarga lelaki dan
perempuan. Majlis ini lebih bersifat
keugamaan. Khutbah nikah dibacakan oleh seorang imam yang mendapat tauliah dari
Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi melaksanakan pernikahan tersebut. Lazimnya wali
siperempuan berwakil kepada juru nikah untuk melaksanakan tugas
pernikahan. Persetujuan dari pihak yang
hendak dinikahkan juga perlu ada. Dua
orang saksi rasmi dilantik dan di catet namanya dalam borang pernikahan.
Di masa lalu, berlaku perakuan
menerima akad berulang-ulang kerana pengantin
lelaki tidak dapat menyambut akad nikah dengan betul, gugup dan tersekat-sekat. Pada masa ini keadaan itu sudah berkurangan
kerana adanya kursus dan juga pendidikan pengucapan awam di pihak lelaki.
Setelah selesai majlis
pernikahan, pengantin lelaki bersalaman dengan hadirin. Begitu juga pengantin perempuan bersalaman
dengan tetamu wanita. Pada masa ini majlis akad nikah disusuli dengan istiadat
membatalkan air sembahyang dan majlis menyarongkan cincin antara kedua
mempelai. Ada juga kalangan yang menyempurnakan
pemberian wang barian dari pengantin lelaki kepada pengantin perempuan
dilakukan di hadapan tetamu yang menghadiri majlis akad nikah itu.
Sekarang trend baru muncul di
mana ramai memilih pernikahan dilangsungkan di mesjid-mesjid. Begitupun sajian masih diadakan selepas
selesai majlis Akad Nikah samada ditempatkan
di luar mesjid atau di foyer tanpa menganggu fungsi utama mesjid sebagai tempat
beribadat.
MANDI BELANGIR
Pada awal pagi sebelum upacara
bersanding diadakan, pengantin menjalani istiadat dikenali sebagai Mandi
Pengantin. Langir adalah sejenis
tumbuhan, diperah bagi mengeluarkan air yang dapat membersihkan badan dan
rambut. Biasanya orang yang memandikan
ialah individu yang mahir dalam bidang itu.
Tujuannya ialah sebagai pendinding daripada perbuatan jahat. Individu itu akan menjampi yang kononnya dapat menjadi
perisai kepada pengantin. Mungkin istiadat ini lebih kepada menanamkan perasaan
yakin diri memandangkan persandingan akan berlangsung di hadapan khalayak ramai. Pengantin duduk berlunjur menghadap matahari
naik dan dikelilingi oleh kanak-kanak di setiap penjuru dengan memegang dian. Selepas mandi, muka pengantin di alis
terutama di bahagian kirai supaya mengangkat ketrampilan wajahnya.
Adapun yang mengikuti istiadat
ini pada masa ini hanya sebagai memenuhi adat.
Pengantin akan mandi tetapi tidak menggunakan langir. Sebaliknya dia menggunakan sabun dan shampoo
yang dijual dikedai. Pengantin masa kini
biasanya sudah bersedia untuk menghadapi khalayak. Mereka dibekalkan dengan ilmu-ilmu komunikasi
dan perhubungan awam semasa menjalani kursus perkahwinan.
MAKAN BEHIAS
Makan behias khusus untuk
pengantin sebelum Majlis Bersanding.
Pengantin menikmati semua juadah yang disajikan dalam gansa. Dia mesti menjamah setiap jenis makanan itu
sebagai tanda syukur dan murah rezeki dimulai dengan meneguk air dan ditutup
dengan menyacah sira .
PENGANGUN
Pengangun dalam adat
perkahwinan puak Brunei adalah personaliti yang mengurus dan memastikan adat
istiadat perkahwinan dipatuhi. Pengangun
membimbing pengantin dalam hal yang bersangkutan dengan alam perkahwinan dan
kehidupan suami isteri. Biasanya
pengangun ialah seorang wanita yang
berumur dan tahu tentang hukum ugama Islam. Pada kebiasaannya pengangun tinggal di rumah
pengantin sehingga selesai adat Mulih Tiga Hari.
Pada masa ini fungsi
pengangun sudah banyak diambil alih oleh
institusi rasmi. Pelajaran ugama dan
alam rumahtangga disampaikan dalam kursus-kursus perkahwinan yang dikendalikan
oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama yang wajib dihadiri oleh bakal pengantin. Dalam hal-hal lain urusan perkahwinan
dijalankan oleh Wedding Planner atau Perancang Perkahwinan professional.
PENGGARUSAN
Ada suatu amalan yang sampai
sekarang penulis kurang maklum fungsinya. Amalan itu ialah meniup lilin kecil
sebanyak tiga kali setelah panggarusan di putarkan di leher pengantin.
Panggarusan itu ialah benang tujuh warna yang dililitkan di leher pengantin.
Hujung benang itu disatukan setiap kali lilitan dan ditunu dengan menggunakan
dian kecil. Pengantin mesti memadamkan
api dian bersama benang tujuh warna dengan sekali hembusan atau tiupan. Perbuatan itu dilakukan sebanyak tiga kali. Setelah selesai benang itu dililit pada dian
dan ditepukkan ke bahu pengantin.
BETIMBANG ATAU BERSANDING
Klimaks kepada majlis
perkahwinan puak Brunei ialah Majlis Betimbang
atau Majlis Persandingan. Majlis
Betimbang atau Persandingan ini dibuat dua kali. Sekali pada sebelah siang semasa kehadiran
para jemputan dan sekali pada sebelah malam.
Persandingan sebelah malam hanya dihadiri oleh keluarga terdekat di
dikenali sebagai Majlis Ambil-Ambilan.
Saya akan memperkatakan beberapa perubahan dalam majlis Persandingan
ketika ini.
Dalam perkahwinan masyarakat
dulu pengantin lelaki diarak beramai-ramai. Contohnya jika berlaku di kampung
air pengantin lelaki didudukkan atas kapal atau tongkang dan diarak mengeliling
kampung air sebelum menuju ke rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki dipimpin oleh seorang
tua. Sebelum masuk ke rumah pengantin
perempuan, pengantin lelaki diarak sekali lagi secara bulatan yang dikenali
sebagai Berpusing Naga. Berpusing Naga ialah simbol berjaga-jaga. Orang yang menunda pengantin bukan
calang-calang orang kerana dia juga harus mempunyai ilmu pendinding yang tinggi
bagi menangkis sebarang perbuatan jahat.
Sampai di pelaminan penunda
pengantin mempunyai satu lagi tugas iaitu menjawab pantun-pantun yang dijual
oleh pengangun. Pantun itu perlu dijawab
sebelum penutup muka pengantin perempuan disingsing. Biasanya penutup muka pengantin adalah dari
kain kasa.
Pengantin pun ditimbangkan
yakni disandingkan dan salawat dikumandangkan yang disusuli dengan bacaan
doa. Selepas itu kedua mempelai dibawa
keluar bagi diperlihatkan kepada sanak saudara dan para tetamu. Terdapat pantang larang yang dikawal oleh
pengangun di mana mempelai tidak boleh keluar melimpasi pemantung rumah.
MAJLIS AMBIL-AMBILAN
Pada sebelah malam hari
persandingan keluarga pihak pengantin lelaki mengantati ke rumah pengantin
perempuan dengan pelbagai makanan, lauk pauk untuk sajian pengunjung ke Majlis
Ambil Ambilan. Kedua mempelai mengenakan pakaian yang berlainan dengan pakaian
yang dipakai semasa persandingan waktu siang.
Setelah siap berpakaian pengantin lelaki pergi ke bilik pengantin
perempuan dan menunda isterinya ke pelaminan.
Majlis Ambil-Ambilan dilihat sebagai memesrakan lagi kedua
mempelai. Anak-anak muda, teman kepada
mempelai akan mengusik pengantin misalnya merangsang pengantin lelaki untuk
mengusai rambut isterinya yang terjuntai atau melap peluh di dahi. Bila ini dilakukan anak-anak muda bersorak
ria. Pengantin tidak akan memberi
respons dengan bersuara. Mereka hanya menguntum
senyum.
Masa kini majlis Ambil-Ambilan
kadang-kadang tidak dibuat. Mungkin
kerana kesibukan sanak saudara yang bermastautin bertaburan di seluruh
negeri. Lagi pula kedua mempelai sudah
begitu mesra dan tidak perlu ada acara bagi memesrakan mereka. Ada juga yang mempertimbangkannya dari segi
buget. Pemotongan satu acara ini sudah
tentu mengurangkan perbelanjaan.
MAJLIS MULIH TIGA HARI
Majlis penutup dalam
penyelenggaraan Majlis Kahwin puak Brunei ialah Majlis Mulih Tiga Hari. Pada
hari ketiga sebelah siang, pengantin lelaki mulih ke rumahnya dengan diiringi
oleh beberapa orang. Pengantin lelaki
akan kembali ke rumah isterinya pada sebelah malam di hari yang sama dengan
diiringi oleh sanak saudara. Bersamanya
dibawa indah-indah berupa barang dapur seperti beras, gula, asam sira, tapung
dan lainnya. Pengantin lelaki juga akan
membawa buah tangan dan hadiah untuk isterinya seperti gelang emas, cicin dan
rantai. Majlis diakhiri dengan pengantin bersalaman dengan sanak saudara dan ditutup dengan bacaan doa
selamat.
Majlis Mulih Tiga Hari pada
hari ini dipandang sebagai majlis opsional; boleh dibuat dan boleh juga tidak.
Sementalahan lagi mempelai sudahpun merancang belayar keluar negeri, berbulan
madu, pada keesokan hari persandingan.
Pantang larang pengangun sudah tidak ada kesannya.
BETIMBANG ATAU BERSANDING PADA
HARI INI
Hari ini Majlis Bersanding diurus
oleh Perancang Perkahwinan professional.
Dari sekecil-kecil kerja hinggalah ke tugasan yang kompleks di awasi
oleh Perancang Perkahwinan. Tugas itu
termasuklah penyediaan kem, kerusi meja, persajian, pakaian pengantin,
pelaminan, musik latar dewan, sistem
siar raya, skren dan projector, hadiah untuk tetamu, fotografi dan videografi,
lampu cucul, lampu dan bunga hiasan, kenderaan pengantin, kad jemputan dan
banyak lagi. Oleh sebab kerja-kerja
majlis perkahwinan/persandingan itu diurus oleh perancang perkahwinan, maka
banyaklah perubahan-perubahan berlaku yang jauh tersasar dari kebiasaan budaya
tempatan. Ada perlakuan budaya yang
langsung tidak dipraktikkan.
Di bawah ini diberikan contoh beberapa perubahan tersebut:
Kad jemputan: Dulu undangan dibuat secara bersemuka.
Pengundang hadir bertimpuh/bersila di hadapan orang yang hendak diundang dan menyatakan hasrat
mereka. “Abis bapa memohonkan abiskita……” Pada masa ini cara sedemikian sudah
tidak dipraktikkan lagi. Sebagai
gantinya surat-surat jemputan diedarkan. Teknologi baru juga digunakan seperti
sms, whatapp, videophone.
Satu hal yang ketara ialah
timbulnya sensitiviti terhadap nama, gelaran dan terasul. Ada orang yang tidak
bersedia untuk menghadiri undangan majlis perkahwinan hanya kerana di luar
jemputan itu ejaan namanya salah atau terasulnya tiada. Maka itu di surat jemputan pada hari ini diletak perkataan “minta maaf jika berlaku
kesalahan penulisan nama dan gelaran”.
Pembubuhan terasul ini bukan pekerjaan yang mudah. Contohnya saja perkataan “Mulia”. Di Negara Brunei Darussalam ada pelbagai
jenis “mulia” mengikut kategeri susur-galur jawatan.
“Yang Mulia” bagi orang Semananjung
adalah terasul bagi kerabat diraja sementara di Negara Brunei Darussalam adalah
terasul bagi orang biasa/orang kebanyakan.
“Yang Dimuliakan” adalah terasul bagi Pehin-Pehin Manteri,
“Yang Dimuliakan lagi Dihormati
“. Terasul ini hanya disandang oleh beberapa orang yang disampiri gelaran
tersebut. (personal to holder)
“Yang Berhormat Mulia” Terasul
ini ditujukan kepada ahli parlimen dan dalam masa yang sama adalah seorang
berketurunan diraja. Misalnya Yang
Berhormat Mulia Tengku Ahmad Ridhauddin, mantan Menteri Luar Malaysia.
“Yang Amat Mulia” adalah terasul bagi ceteria-ceteria.
“Duli Yang Teramat Mulia” adalah terasul kepada wazir-wazir.
“Duli Yang Maha Mulia…..” dikhususkan kepada Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Isteri.
Dalam satu majlis persandingan
yang diadakan di hotel lima bintang di Kuala Lumpur bagi meraikan persandingan
seorang anak Dato, sahabat saya, saya telah sempat mengambil beberapa gambar
yang menunjukkan perarakan masuk pengantin ke dalam dewan didahului oleh
seorang wanita kulit hitam yang berpakaian
tradisional bangsa itu diusung oleh empat orang yang berkulit hitam dan
memakai baju hitam pula.
Saya tidak sempat bertanya
apakah simbol dan signifikan yang hendak diketengahkan dalam majlis yang juga
mengundang keberangkatan seorang sultan.
Sebelum tetamu dipersilakan menjamu selera, sebuah tazkirah disampaikan
oleh seorang ilmuan ugama berdurasi kira-kira sepuluh minit. Isi tazkirah itu ialah kepentingan mendirikan
rumahtangga. Tazkirah disampaikan dengan
bahasa bersahaja dan tidak menjemukan.
Selepas itu diikuti oleh ucapan tuan rumah yang menggariskan sejarah
hidup anak perempuannya yang sedang bersanding dan betapa dia terlalu sayang
untuk melepaskan mengikut suaminya.
Namun hidup perlu diteruskan dan dia dengan rela melepaskan
tanggungjawabnya pada anaknya itu bertukar kepada sang suami.
Dua minggu lepas, saya
menghadiri satu lagi majlis perkahwinan anak perempuan seorang Dato di Kota
Kinabalu. Mempelai itu bersanding empat
kali pada tarikh yang berlainan. Sekali
di Dewan Wanita untuk keluarga, sekali di sebuah hotel lima bintang di Kota
Kinabalu yang dihadiri oleh Yang Di Pertuan Negeri Sabah dan Menteri Pesekutuan,
kemudian di tempat yang sama bagi keluarga lelaki dan di Sipitang bagi keluarga
pihak perempuan. Keempat-empat majlis
itu diadakan secara mewah.
Saya cuba membandingkan majlis
persandingan yang saya hadiri di Kuala Lumpur dengan yang diadakan di Kota
Kinabalu. Banyak persamaannya. Bezanya
tidak ada tazkirah di Kota Kinabalu.
Yang ada ialah ucapan teman baik pengantin perempuan. Dia bercerita tentang sejarah persahabatannya berada di negara luar,
tentang bibit cinta mempelai sehingga mengikat tali pertunangan. Okey juga kecuali penceritaan itu yang
dimulakan dengan bahasa hormat kepada Yang Dipertuan Negeri dalam Bahasa Melayu
kemudian berubah ke dalam Bahasa Inggeris.
Tidak menjadi masalah kepada saya.
Saya memikirkan saudara mara terutama orang tua-tua yang datang dari
kampung. Mereka mendengar tapi tidak
mengerti apa yang dibicarakan.
Menjelang Majlis Akad Nikah
bapa kepada pengantin perempuan juga merasa terkilan bagi melepaskan anak
kesayangannya itu. Namun kehidupan perlu
diteruskan. Dia pun menanyakan kepada
anaknya yang berada di bilik berasingan samada dia (anaknya) bersetuju kepada penikahan. Sebelum menjawab
si anak mengulang kembali apa
yang telah dilaluinya sejak kecil, kasih sayang yang dicurahkan, pendidikan
yang diberikan dan sokongan ibu bapa ketika meningkat dewasa. Penceritaan itu
dibuat secara langsung (live feed) dan dipancarkan di skren besar di hadapan
dewan. Suara si anak sebak. Air mata menitis. Sekuen itu bagaikan sebuah drama
televisyen apa lagi dewan dibanjiri oleh cahaya dari gobo yang berputar-putar
dan berwarna warni. Bagus juga saya
cepat sedar. Saya bukan merakam sebuah
rancangan televisyen tetapi menghadiri perkahwinan anak saudara saya.
Di hotel lima bintang, dalam
acara persandingan kali kedua, saya
mendengar hebahan-hebahan termasuk mempersilakan Tuan Yang Di Pertuan Negeri
untuk beredar ke pentas menculiki badak dan kemudian balik ke tempat yang diperuntukkan. Dalam hebahan itu saya terdengar penggunaan
perkataan “santap” dan “keberangkatan”
yang di negeri saya biasanya ditujukan kepada kerabat diraja. Saya kurang arif soal protokol di negeri
Sabah. Dalam hati hanya berkata: ini negeri orang, bukan negara aku.
Ketika menikmati sajian, lampu
dewan dimalapkan. Maka ketaralah
liuk-liuk lidah api dari dian yang diletakkan atas meja dan sepanjang laluan
pengantin. Ini candle light dinner. Saya teringat cerita sebuah siri televisyen
Kung Fu yang menempatkan dian di tempat pertapaan si Kung Fu.
Balik ke Negara Brunei
Darussalam. Saya juga sempat merakam di
minda apa yang saya lihat dalam majlis perkahwinan anak jiran saya. Bulan Rejab, Saaban, apa lagi di bulan Ramadhan
adalah bulan-bulan di mana acara hiburan tidak diadakan oleh pihak Kerajaan. Namun di majlis perkahwinan itu acara hiburan
berlangsung setiap malam hampir seminggu.
Bukan berdundang, bershair atau bernaindung tetapi acara hiburan diisi
dengan nyanyian karaoke di iring oleh tarian-tarian. Siapa saja boleh turun ke pentas dan menari.
Saya melihat ada seorang tua yang setiap malam berada di arena tarian.
Dia begitu bertenaga. Saya dekati
dia dan tanya berapa umurnya. Katanya, umurnya sudah lapan puluh empat
tahun. Kalau begitu saya angkat tangan !
Majlis perkahwinan terbaharu
yang saya hadiri berlangsung di sebuah dewan besar. Acaranya juga sudah menghakis beberapa
kegiatan budaya tradisional. Mempelai
diarak ke atas dewan. Ada anak-anak
kecil mengiring pengantin berpakaian pari-pari.
Ketika menjamu selera tamu-tamu dihiburkan oleh dua orang penyanyi
terkemuka tanah air. Tidak ada lagu-lagu
tradisional. Yang diperdengarkan ialah
lagu-lagu lembut dan irama yang biasa didengar di majlis perkahwinan orang bukan
orang Islam.
Mempelai diipersilakan turun
ke meja khas. Kata pengacara untuk
Majlis Makan Beradap. Seingat saya tidak
ada Makan Beradap dalam majlis perkahwinan puak Brunei. Yang ada ialah Majlis Makan
Bersuap-Suapan. Pengantin lelaki dan
perempuan menyuapkan sajian secara serentak kepada pasangannya. Ini lebih memesrakan keduanya dan menjadi
kenangan indah sepanjang zaman.
PENUTUP
Nah inilah beberapa acara yang
telah dan akan melunturkan unsur-unsur budaya Melayu. Kalau tidak ditangani suatu masa nanti, cerita-cerita
majlis perkahwinan tradisiopnal puak Melayu dan bangsa Melayu akan hanya
menjadi bahan sejarah yang disimpan di muzium dan arkib dan cuma menimbulkan rasa
nostalgik bila dipersembahkan sebagai acara dalam promosi pelancongan.
Rujukan:
Adat Perkahwinan Etnik-Etnik
di Negara Brunei Darussalam susunan
Dk Norazah Pg Haji Muhammad
dan Dyg Masnah Amit –Muzium-Muzium Brunei 2004
Bahasa Sastera Budaya
Mas Osman – DBP Brunei 2002
Adun Nan Alun Sebahtera –
Antologi Shair dan Pantun
Dr Ampuan Haji Brahim Ampuan
Haji Tengah – DBP Brunei 2002
Adat Perkahwinan Orang Melayu
Brunei di Mukim Saba
Haji Md Yusof bin Bakar – DBP
Brunei – 2003
Kajian dan Himpunan Pantun
Melayu Brunei Darussalam
Haji Zainulabidin Awang Bungsu
- DBP Brunei 2008
Liputan videografi peribadi
Beberapa laman sesawang
perkahwinan puak Brunei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan