Ahad, 27 Februari 2011

Jemputan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perwila 2011



Kepada semua ahli Perwila,

Surat jemputan mesyuarat boleh diambil di Kios HOM Ent, No 1,
Terminal Ferry Antarabangsa, Wilayah Persekutuan Labuan.

Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perwila
Tarikh : 6hb. Mac 2011 (Ahad)
Masa : 2.00 petang
Tempat: Galeri warisan SMK Lajau, WP Labuan.

Kehadiran anda amatlah dialu-alukan demi Perwila.
Terima kasih.

Ahad, 20 Februari 2011

Rakaman Majlis Malam Mesra Perwila Dan Asterawani


Persembahan angklung dari pelajar OKU SMK Lajau


Bacaan sajak Kembara dari N Athirah

Persembahan Eh Deh Deh


Antara persembahan yang sempat dirakam...

Jumaat, 18 Februari 2011

Foto Lawatan Asterawani Di Labuan













Datang belayar dari Muara
Singgah membawa sejambak bunga
Dua negara kita bersaudara
Dalam sastera kita bersama.

PERWILA ASTERAWANI punya cerita
Rindu saudara dua negara
Jangan tah jara wahai biskita
Datang tah lagi untuk berjumpa.

Terima kasih kepada semua yang terlibat.

Khamis, 17 Februari 2011

CATATAN KHAS HARI PUISI NASIONAL KE 18

HARI PUISI NASIONAL KE 18 DI BINSULOK MEMBAKUT
PUISI MENJANA GAGASAN 1 MALAYSIA

Oleh JASNI MATLANI

BINSULOK sebuah perkampungan nelayan pinggir laut yang terletak di daerah kecil Membakut bakal menjadi tumpuan para penyair dari seluruh negara, termasuk dari negara jiran Indonesia dan negara Brunei Darussalam apabila Hari Puisi Nasional ke 18 akan diadakan di Binsulok Resort pada 25-27 Februari depan, bersempena sambutan 40 Tahun GAPENA.
Pemilihan Binsulok sebagai tempat penganjuran pertemuan penyair yang dianggap prestij di Malaysia itu mempunyai siginifikan tersendiri, bukan sahaja kerana perkampungan berkenaan mempunyai keindahan alam semulajadi, tetapi juga kerana masyarakat nelayannya yang unik, yang sudah pasti menggugah sesentiviti penyair.
Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pemilihan Binsulok sebagai tapak penganjuran Hari Puisi Nasional ke 18 memang bersesuaian kerana ia terletak di pinggir laut dan mampu menggugah intuisi penyair untuk menghasilkan karya yang berkualiti.
“Saya mengalu-alukan Hari Puisi Nasional diadakan di Binsulok Resort Membakut dan mahu melihat pertemuan penyair terbesar Malaysia ini, menjadi pentas kepada para penyair untuk menilai semula peranan mereka di tengah-tengah alam dan masyarakat”katanya.
Beliau juga berkeyakinan Hari Puisi Nasional yang bertemakan “Puisi menjana gagasan 1 Malaysia” itu bakal mencipta sejarahnya tersendiri dan mengharapkan seluruh rakyat Sabah, terutama masyarakat daerah Membakut mengalu-alukan kehadiran para penyair ternama Malaysia, malah penyair dari negara jiran Indonesia dan negara Brunei Darussalam yang dijangka turut hadir menyerikan lagi pertemuan penyair bertaraf kebangsaan itu.
Hari Puisi Nasional ke 18 ini dianjurkan oleh GAPENA, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawanagan Sabah, Pejabat Daerah Kecil Membakut, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah, dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Penjara Sabah , Institut Terjemahan Negara Malaysia, Akhbar Utusan Borneo sebagai media rasmi pertemuan dan juga beberapa badan NGO seperti PENA, Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan beberapa kerabat GAPENA yang lain.
Menghimbau kembali sejarahnya, Hari Puisi Nasional yang pertama telah diadakan di kota bersejarah Melaka pada tahun 1971. Pada tahun berikutnya pertemuan itu diadakan di Kuala Lumpur. Sementara pada tahun 1974, ia diadakan di bandar Diraja Kelang.
Melaka sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun 1975, dan pada tahun 1976 Hari Puisi Nasional diadakan pula di Kota Bharu Kelantan. Ini diikuti Kuantan menjadi tuan rumah pada tahun 1978.
Pada tahun 1979 Sabah buat pertama kalinya menjadi tuan rumah, apabila Hari Puisi Nasional itu diadakan di Kota Kinabalu. Pada tahun 1981 Kota Bharu kembali menjadi tuan rumah sebelum Kuching-Semantan dipilih menjadi medan pertemuan pada tahun 1984.
Apabila BAHASA dihidupkan semula pada pertengahan tahun 1980-an, Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah Hari Puisi Nasional pada tahun 1987. Selepas itu Terangganu menjadi tuan rumah pada tahun 1988. Pulau Pinang pada tahun 1991 dan Johor Bahru pada tahun 1995.
Negeri Sembilan pula menjadi tuan rumah pada tahun 1999, Pulau Langkawi pada tahun 2000. Ini diikuti Shah Alam pada tahun 2004, Melaka tahun 2007 dan Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah buat kali ke 3 pada tahun 2011 ini.
Pelbagai program telah diatur sepanjang Hari Puisi Nasional ke 18 ini diadakan, bermula dengan acara perasmian dijangka akan berlangsung pada malam 25 Februari 2011 yang bakal disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun.
Pada malam itu juga bakal diadakan majlis penyampian Anugerah Penyair GAPENA kepada salah seorang tokoh penyair Sabah yang mencipta nama di Malaysia dan pernah menerima beberapa hadiah prestij di peringkat kebangsaan pada awal tahun 1970-an, dan masih aktif berkarya sehingga kini.
Sementara pada esoknya, turut diadakan ialah majlis pembentangan kertas kerja utama yang bakal disampaikan oleh bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman. Para pembentang kertas kerja lain antaranya ialah Bekas pengarah DBP Cawangan Sabah, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Jawatankuasa kerja GAPENA, Encik Borhan Matzain, Presiden PENA, Encik Mohammad Saleeh Rahamad, Presiden PEKASA, Encik Jaafar Hamdan, Presiden PUTRA, Encik Zainal Abidin Haji Suhaili dan juga Encik Amran Daud dari DBP Kuala Lumpur.
Seorang pembentang kertas kerja dari Sabah yang dijangka membentangkan kertas kerja ialah penulis dan kritikawan yang tidak asing lagi di Sabah, Encik Raymond Majumah bagi mewakili Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan seterusnya penulis negeri Sabah.
Turut diadakan sempena Hari Puisi Nasional ini ialah sesi lawatan ke suatu tempat yang bakal ditetapkan pihak penganjur kemudian. Sementara acara deklamasi dan juga lagu-lagu puisi yang melibatkan tuan rumah Sabah, wakil dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam dijangka berkumandang dalam beberapa majlis deklamasi puisi sepanjang Hari Puisi Nasional itu, termasuk acara Kenduri puisi yang dijangka akan diadakan di sebuah kampung di daerah Membakut.
Suatu majlis forum juga turut dijangka diadakan bagi membincangkan isu peranan penyair dalam konteks gagasan 1 Malaysia, dengan para penalnya terdiri daripada Pengerusi Persatuan Penulis Johor (PPJ) Encik Amiruddin Hanafiah, Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTRA) Encik Poul Nangang, Timbalan Yang Di Pertua BAHASA, Encik Ramli Jusoh, Wakil DBP Cawanagan Sabah, Encik Zainal Abidin Nordin, Setiausaha agung PENA, Encik S.M Zakir dan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Encik Sukor Haji Usin @ Hayuda Abadi.
Forum berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Unit Sastera DBP Cawangan Sabah, Encik Nadin Haji Salleh.
Sementara itu Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA,) Encik Jasni Matlani berkata, majlis penutupan hari Puisi nasional ke 18 itu dijangka akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Seterusnya, satu resolusi dijangka dibentangkan sebelum berakhirnya pertemuan penyair berkenaan dan resolusi itu bakal diserahkan kepada pihak tertentu bagi memastikan beberapa isu berkaitan penyair, Hari Puisi Nasional dan isu sastera serta masyarakat dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih luas dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan mengenainya.
Kepada seseiapa yang berminat menyertai Hari Puisi Nasional boleh menghubungi ketua Penyelaras Urus Setia Hari Puisi Nasional ke 18, Puan Siti Rahmah G. Ibrahim, di talian nombor 012 8938148. Yuran penyertaan RM 25.00 dikenakan kepada setiap mereka yang berminat menyertainya dan penyertaan hanya dihadkan kepada 120 orang sahaja.
“Sehingga kini sudah ramai peserta yang mendaftar lebih awal. Malah ada peserta yang memaklumkan bahawa mereka akan datang sehari lebah awal, terutama para peserta yang datang dari Indonesia dan juga Semenanjung Malaysia. Kita sudah pun membuka pendaftaran penyertaan sejak seminggu lalu melalui internet ” katanya.
Dalam pada itu, para penyair di seluruh negara juga dipelawa menghantar sekurang-kurangnya sebuah puisi untuk diterbitkan dalam antologi Puisi Gema Membelah Gema ke 16 yang diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah dan juga BAHASA sempena Hari Puisi Nasional ke 18 itu.
Karya-karya puisi boleh dihantar melalui email ke alamat jasni_matlani@hotmail.com atau kepada Timbalan Setiausaha BAHASA, Cik Ruhaini Matdarin di alamat email aini05girl@yahoo.com sebelum 15 februari depan.

Selasa, 8 Februari 2011

Senarai Nama Peserta Astrawani Ke Labuan

Peti Surat 62, Pejabat Pos PMM, Berakas BB3577,Brunei Darussalam.


Assalamu'alaikum w.b.
Yang baik hati Dr Harun,
Bagi pihak sdr Kamis Haji Tuah, Setiausaha Asterawani, disampaikan senarai peserta yang akan turut dalam pertemuan dengan Perwila pada 17hb Feb ini.

1. PM Dr Ampuan Haji Brahim (Ketua 1) & isteri
2. Hj Md Daud Taha & isteri
3. Datuk Paduka Hj Muslim Burmat
4. Hj Brahim Hj Muhamad & isteri
5. Hj Abd Hamid Hj Tamat
6. Noor Alipah Abdullah & suami
7. Dr Hjh Fatimah Awg Chuchu & anak
8. Prof Dr Sahlan Mohd Saman
9. Awg Kamis Haji Tuah
10. Hj Tahir Lampung & isteri
11. Ronnie Labau
12. Siti Radiah Hj Ahim
13. Bibiyani Hj Sllehudin
14. Ahmad Faisal Awg Jumat
15. Jesstina Padan
16. Hjh Norhamizah Hj Abd Hamid
17. Khairunnisa Md Norkiflee
18. Siti Khadizah Hj Metali
19. Nursyazana Hj Sulaiman
20. Nurhafizah Kamis
21. Mohd Naswan Latif
22. Dk. Norfizah Pg. Hj Ahmad

Harap dapat booking bilik hotel bersesuaian. Terima kasih jua diucapkan. Sdr Kamis akan telepon sdri Norgadis untuk hal-hal berkaitan.

Wassalam.

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA