Khamis, 18 September 2014

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI KEBANGSAAN BULAN KEMERDEKAAN 2014



Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan (SDPBK) ke-27 tahun 2014 bakal diadakan di negeri Jelapang Padi Kedah Darul Aman yang akan dianjurkan bersama oleh kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan GAPENA. Manakala di peringkat negeri, SDPK akan dianjurkan oleh Dewan Bahasa Pustaka dengan dikelolakan oleh badan kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Penyertaan terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas. Puisi-puisi pilihan adalah dari buku baru Antologi Puisi Kemerdekaan ‘Lentera Zaman’. Setiap negeri termasuk Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Institut Pengajian Tinggi dikehendaki akan memilih seorang (1) peserta sahaja bagi mewakili ke Peringkat Kebangsaan.

Tarikh Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan peringkat Saringan mengikut negeri-negeri, PDRM, ATM dan IPTA adalah pada tarikh 26 September hingga 1 Oktober 2014. Manakala Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2014 akan berlangsung pada 17 Oktober hingga 19 Oktober 2014, di Kompleks JKKN Kedah.
Johan SDPBK 2014 bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hadiah-hadiah iringan bersama Piala Pusingan ‘ Keris Luk Tujuh Bersadur Perak’ yang menjadi idaman setiap para peserta Sayembara.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Sekretariat SDPBK 2014 Sdr Usman Ibrahim telefon 0199107262.

Rabu, 17 September 2014

SASTERA EKSIL DAN DIASPORA BRUNEI: PEMIKIRAN DAN PENYEBARANNYA DI MEDIA BARU

Oleh

Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim
Pengarah
Akademi Pengajian Brunei
Universiti Brunei Darussalam, 2014

Pengenalan

Pada umumnya  eksil bermaksud  mereka yangberada di luar negara atau berpindah  ke luar negara akibat  daripada berbagai alasanatau tekanan. Jika dihubungkan dengan bangsa Melayu/Indonesia, ianya adalah orang Melayu/Indonesia yang berada di luar negeri. Misalnya orang Indonesia yang melarikan diri ke Belanda pada tahun 1966 akibat tekanan politiksehingga mereka tidak bolehkembali ke tanahair. Di sana mereka yang berbekalkan budaya Melayu terpaksa berhadapan dengan budaya masyarakat Europah.  Dalam hal ini penyesesuaian  berlaku antara budaya asal dengan budaya setempat. Maka wujudlah  budaya baruyang berintikan budaya Melayu warisan nenek moyang dan mereka adalah dianggap sebagai diaspora Melayu.  Jika mereka menulis mengenai negaranya dalam karya sastera,makakarya sastera yang dihasilkannya itulah yang dianggap sebagai sastera diaspora. Dalam erti kata yang lain karya sastera diaspora adalah karya yang dihasilkan oleh penulis  tempatan yang  berhijrah  ke negera lain dan mereka menulis mengenai negaranya.

Sebagai sebuah negara Melayu dengan penduduk yang sedikit, Brunei mungkinkurang mempunyai sastera eksil dan diaspora kerana sejauh yang diketahui tidak ada  orang Bruneiyang  berhijrah ke negara lainyang budayanya berbeza,   mereka menulis karya sastera dan mereka tidak kembali ke negara asalnya. Maksudnya mereka menetap di negara luar tersebut dalam jangksa masa yang agak lama. Prof Ismail Hussain mantan Ketua I Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia) pada awal tahun 2000 telah pun berusaha menjejeki bangsa Melayu yang terdapat di Cape Town Afrika Selatan, Madagascar, Jeddah, Mekah, Kunming China, Phnom Penh dan Colomba. Diantara orang Melayu yang dijejaki oleh Prof Ismail Hussain tersebut, tidak ditemukan mereka yang berasal orang Brunei dan juga tidak ditemukan   karya sastera mereka yang mereka tulis. Dalam kontek karya sastera, pencarian seperti yang diusahakan oleh  Prof Ismail Hussain itu  boleh saja dilakukan  melalui “media baru”. Media baru yang dimaksudkan disini adalah media online, internet, dan seumpamanya yang boleh dijadikan alat komunikasi dan penyebaran informasi yang mudah dan meluas.

Sastera Eksil dan Diaspora Brunei

Kertas kerja ini merupakan penelitian awal bagi melihat sastera eksil dan diaspora Brunei. Sastera eksil dan diaspora Bruneitentunya wujud dalam berbagai bentuk misalnya karya sastera yang ditulis oleh orang Brunei yang telah melarikan diri ke Semananjung Tanah Melayu dan kemudian kembali semula ke Brunei misalnya Zaini bin Haji Ahmad yang telah menulis novel berjudul Triwarna. Karya-karya sastera eksil dan diaspora Brunei juga boleh dianggap karya yang ditulis oleh pelajar-pelajar Brunei yang menuntut ke luar negeri dalam masa tiga ke empat tahun misalnya  pelajar-pelajar yang pernah menuntut di Maktab PerguruanSultan Idris Tanjung Malimseperti H.M Saleh, Yura Halim, Adi Kelana, dan lain-lain,  atau mereka yang menuntut di Kolej Islam Malaya Kelang dan  Universiti Al-Azhar Mesir seperti  Yahya M.S, Adi Rumi, Badarudin H.O, Shukri Zain, Zairis M.SUntuk keperluan kertas kerja ini, sastera eksil dan diaspora bolehlah didefiniskan sebagai  karya sastera yang ditulis oleh  penulis  Brunei yang berada di negara  bekas wilayah atau  tanah  jajahan Brunei  masa lalu seperti Kalaka, Mukah, Sambas, Samarahan, Kucing, Labuan,   Limbang dan lain-lain yang sekarang sudah menjadi negara jiran. Tentunya definisi yang diberikan ini boleh dibahas lagi,apakah mereka yang berada di luar negeri itu boleh dikatakan  berhjirah atau  terpaksa dalam keterpisahan iaitu dipisahkan daripada negara asal mereka oleh sebab politik, dan juga mereka   memilik budayadan cara berfikir yang lebih kurang sama  sehingga  pemikiran  mereka  mengenai negara asalnya itu  boleh dianggap sebagai  diaspora Melayu.

Secara umum berdasarkan pengertian sementara yang diberikan, mungkin sahaja karya sastera eksil dan diaspora Brunei yang awal ialah Syair Rakis karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh.Pengiran Shahbandar Mohd Salleh  adalah Gobenor Sarawak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Kanzul Alam (TM1807-TM 1826).  Ayahnya bernama Pengiran Sharifudin yang berasal daripada pembesar Brunei yang melarikan diri ke Sambas[1]atas tekanan perasaan akibat  perselisihan faham yang berpunca daripada tindakan  Pengiran Muda Muhammad Kanzul  Alam merebut  tunang Pengiran Serail[2]. Semasa berada di Sambas,  Pengiran Sharifudin telah berkahwin dengan puteri Kencana iaitu puteri  Sultan Sambas (Sultan Omar Aqamaddin) dan kemudian digelar sebagai  Pengiran Sharmayuda. Hasil daripada perkahwinan inilah Pengiran Sharifudin berputerakan Pengiran Mohd Salleh.

Setelah  Sultan Muhammad Kanzul Alam menaiki takhta dan menjadi Sultan Brunei, Pengiran Mohd Salleh dipanggil  balik ke Brunei   dan dikurniakan  gelaran menjadi Pengiran Indera Mahkota,  danseterusnya pada  T.M 1820 diperintahkan  menjadi Gobenor Sarawak.   Semasa menjadi Gabenor Sarawak terjadi perselisihan antara Pengiran Indera Mahkota dengan Pengiran Muda Hashim (anak Sultan Muhammad Kanzul Alam) kerana Pengiran Indera Mahkota tidak menjunjung keberangkatan  Pengiran Muda Hashim, sebaliknya ia  menunggu di balai Pengadapan. Hal ini menjadi titik permulaan permusuhan yang menyebabkan akhirnya Pengiran Indera Mahkota tersingkir sebagai  Gabenor Sarawak.  Pengiran Muda Hashim yang tidak menyenangi Pengiran Indera Mahkota telah bersahabat dengan James Brook, malah telah berjanji untuk melantik  beliau sebagai pemerintah Sarawak.  Akhirnya  dengan kepandaian  James Brook berpolitik dan pengaruh Pengiran Muda Hashim sendiri,  Sultan Omar Ali Saifuddin II pun melantik James Brooke sebagai Rajah Sarawak  pada tahun 1842. Pada hal dalam masa yang sama lantikan Pengiran Indera Mahkota sebagai Gabenor Sarawak belum lagi mansuh. Akhirnya Pengiran Indera Mahkota pun mengundurkan diri Sarawak ke Batang Lupar. Kemudian beliau mengembara di pesisir pantai Sarawak  dan akhirnya menetap di Mukah. Setelah Pengiran Anak Abdul Momin dilantik menjadi pembantu Sultan Omar Ali Saifuddien II pada  TM 1845, Pengiran Indera Mahkota dijemput ke Brunei.Dalam perjalan ke Brunei itulah dikatakan  Pengiran Indera Mahkota telah mengarang sebuah syair yang  dikenali sebagai Syair Rakis. Syair ini dibuat khusus untuk disembahkannya  kepada Sultan Omar Ali Saifuddien II dan Pengiran Anak Abdul Momin sebagai buah tangan. Setelah Sultan Omar Ali Saifuddien II lindung dan Pengiran Anak Abdul Momin dilantik menjadi Sultan, maka Pengiran Indera Mahkota pun digelaroleh Sultan Abdul Momin menjadi Pengiran Shahbahar Sahibol Bandar. Karyanya,Syair Rakis pun terkenal dan   pemikiran di dalamnya pun tersebar luas dan banyak mempengaruhi para pemimpin Brunei kemudiannya.

Telah dikatakan bahawa Sastera eksil adalah karya sastera yang dikarang oleh pengarang yang  terbuang di negara lain.  Dalam kontek pengarang Syair Rakis,pengarangnya sudah dianggap terbuang di negerinya sendiri  seperti yang dikatakan oleh penulisnya sendiri:


Di gunung larangan asmara guna
Menyamar jadi papa kelana
Segenap desa pantai saujana
Membawa nasib tiada berguna

Membawa nasib untung sendiri
Meninggalkan rumah anak isteri
Masuk segenap desa dan negeri
Seperti orang hendak mencari.

Namaku Misa Panji larangan
Dari kecil timamg-timangan
Sudah sekarang buang-buangan
Di negeri orang keseorangan.

Keluarga Pengiran Shahbandar Mohd Salleh telah berhijarh ke Sambas dan Ke Sawarak dan kemudian disinggkirkan hingga ke Mukah. Di Mukah telah menulis karya sastera mengenai negara asalnya iaitu Brunei. Syair Rakistelah memperlihatkan pemikiran dan tindakan penulisnya yang cintakan tanahairnya  yang berupa nasihat, kritikan,    dan peringatan kepada pemerintah.Pengiran Shahbandar Mohd Salleh secara halus telah menasihati Sultan  supaya berhati-hati apabila  bersahabat dengan Inggeris  kerana  mereka mempunyai maksud  untuk menguasi Brunei. Pengiran Shahbandar Mohd Salleh telah menyatakan kritikannya  apabila mendengar Pulau Labuan telah diminta Inggeris dan Sultan telah menyerahkannya.  Bagi Pengiran Shahbandar Mohd Salleh, tindakan tersebut  menandakan bahawa  Brunei akan dikuasai  Inggeris.

Khalifah bertitah sangat majlis
Khabarnya bersahabat dengan Inggeris
Tercap surat dua belas rakis
Dengan Queen perjanjian habis.

Pulau Labuan diminta segara
Akan jalan tiang bendera
Di sana tempat berkira-kira
Dari sarawak ke Singapura.

Dagang tercengang mendengarkan titah
Hati di dalam sangat gelabah
Labuan itu bukannya mudah
Alamat negeri di bawah perintah.

Berdatang sembah dagang asmara
Kebawah Duli Seri Betara
Bukannya mudah di bawah bendera
Jikalau kurang-kurang juahara.


Pandangan dan kritikan Pengiran Shahbandar Mohd Salleh itu  mungkin sahaja lahir daripada pengetahuan baginda mengenai politik Inggeris di Asia Tenggara.   Pengiran Shahbandar Mohd Salleh telah pun  memberikan  contoh-contoh negara yang bersahabat dengan bangsa asing tetapi dengan kebijaksanaan sultan atau pembesarnya telah berjaya  mempertahankan negaranya daripada dikuasai oleh Inggeris. 

Ayuhai Tuanku Duli Muktabar
Patik nini ada mendengar khabr
Di tanah subarang rajanya besar
Menteri budiman rakyatnya jauhar.

Akan khabarnya sudah sekarang
Di negeri Johor terdiri tiang
Sebab cik Muntel hatinya terang
Jadi berani mencabut tiang.

Cik Muntel itu peranakan rakyat
Akalny besar hatinya kuat
Kepada rajanya terlalu taat
Dengan kompeni merati sangat.

Asalnya bukan orang berbangsa
Tiada tentu di dalam desa
Daripada henderek lagi biasa
Kepada rajanya berbuat jasa.

Mengambil ibarat kita di sana
Itulah akal orang yang hina
Boleh diharap di dalam istana
Sekali tiada berbuat durjana.


Budaya orang Brunei yang penyabar, berbudi bahasa, berbudi bicara dan bijaksana teserlah  daripada sikap Pengiran Shahbandar Mohd Salleh  yang tenang menghadapi Pengiran Muda Hashim dan orang-orangnyayang kelihatannya  senghaja ingin mencabar dan  memalukannya,  seperti yang dijelaskan oleh Pehin Jawatan Dalam  Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Awang Haji Mohd Jamil  Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar di dalam buku Syair Rakis tersebut:

Sekembalinya James Brooke k Sarawak, ia telah disambut dengan besar-besaran. Pada 18hb Ogos T.M 1842surat pengesahan atau lantikan dari Sultan Brunei terhadap James Brooke untuk menjadi Rajahs Sarawak itu telah dibacakan kepada ramai dalam satu uoacara khas di Kucing.

Setekah pengistiharan itu dibaca, Pengiran Muda Hashim pun bersabda sambil berdiri dengan mengatakan bahawa jika siapa yang hadir di waktu itu menentang lantikan Sultan kepada James Brooke, maka orang itu dimintanya berkata dengan bererus-terang. Dan Sabdanya juga sesiapa yang melanggar perintah itu akan dipancung kepada. Menurut riwayat yang menceritakan peristiwa ini, sabda yang dikeluarkan oleh Pengiran Muda Hashim itu ditumpukannya kepada Pengiran Indera Mahkota yang juga turut hadir di dalam majlis sambutan itu.

Mendengar sabda Pengiran Muda Hashim sedemikian, Pengiran Indera Mahkota sangat murka, kerana lantikannya sebagai Gabenor belum dibatalkan, tiba-tiba orang lain telah dilantik menggantikannya. Akan tetapi murkanya itu dapat disamarkannya dengan senyum. Sunguhpun dalam majlis sambutan itu saudara-saudara Pengiran Muda Hashimyang sepuluh orang membuka  silat pendikar mereka dengan menghunus keris dan hujung keris itu nyaris-nyaris menikam dada Pengiran Indera Mahkota, tetapi ia masih duduk dengan gagahnya sambil tersenyum-senyum; kadang-kadang dikentamkannya bibirnya pembuan sangat murkanya.

Selain daripada  Pengiran Shahbandar Mohd Salleh, terdapat beberapa orang pengarang yang berada di negara bekas pemerintahan atau jajahan Brunei masa lalu seperti Norgadis Labuan, Haji Othman Mahali dan Isma R.H. Mereka adalah antara contoh  pengarang eksil Brunei  yang berada  di luar Brunei  iaitu di Wilayah Persatuan Labuan yang dulunya wilayah  dibawah kekuasaan Brunei. Ketiga-tiga penulis ini lahir di Labuan dan menjadi warganegaraWilayah Persekatuan Labuan, tetapi kebanyakan mereka  masih mempunyai  hubungan persaudaraan dan sahabat handai di Brunei. Penulis-penulis ini telah menghasilkan beberapa buah karya sastera dan sebilangan kecil daripadanya menyentuh mengenai Brunei sebagai pusat pemerintahan Labuan di suatu masa dahulu. Labuan telahpun  diserahkan oleh Sultan Brunei pada masa itu kepada British pada 18 Disember 1846,  yang kemudian diserahkan kepada British North Company yang dikenali sebagai The Chatered Company pada tahun 1888.  Penyerahan Labuan ini adalah atas desakan politik British, dan juga keinginan atau kehendak James Brooke yang telah berunding dengan Sultan Brunei bagi penyerahannya pada tahun 1844.

Sebagai orang yang mempunyai darah keturunan Brunei, Penulis Norgadis Labuan dalam sajaknya berjudul “Antara Dua Benua” menyatakan kerinduan kepada sahabat dan saudara mara yang terpisah,  yang dulunya bersama hidup dalam satu negara,  dan kini sudah menjadi dua negara  yang masing-masing dibawah pemerintahan yang berlainan.   Sebagai ahli masyarakat yang mengetahui sejarah bangsanya, penulis merasa sedih atas terpisahnya  saudara mara dan sahabat handai dalam sebuah negera akibat kuasa politik pada masa itu, sehingga kebersamaan telah berakhir  yang dianggapsebagai suatu “kematian yang tragis”.

ANTARA DUA BENUA
Karya: Norgadis Labuan

Suara ombak di laut masin
menyampai desir deru
angin rindu
pada sahabat nun di seberang sana
mengimbas kenangan saat bersama
di pelantar mimpi.

Suara ombak di laut masin
mengutip kembali satu persatu
kerang kenangan di pantai muara
belari sedih… menyambut sebuah kematian tragis
dalam sejarah perpisahan
antara dua benua.

Dalam sajak Norgadis Labuan berikutnya bertajuk “Pertemuan”, Norgadis  Labuan yang merindui sanak saudara  atau kekasih di Brunei telah bertemu setelah selama 14 tahun terpisah,  dan penulis telah  menyatakan rasa syukur atas pertemuan tersebut  yang diharapkan memberikan kebahagian.  Norgadis Labuan setentunya  masih mempunyai saudara mara di Brunei  yang jarang bertemu dan dipisahkan oleh laut kehidupan dan ombak hidup dalam masa yang sentiasa berubah.  Penulis mensyukuri  limpah rahmat daripada  Allah SWT, yang telah menjadikan masing-masing dapat menjalani kehidupan dengan tekad untuk mejejaki saudara seketurunan, dan merancang pertemuan demi pertemuan   yang akan melahirkan kemesraan, kegembiraan dan  perhubungan yang harmoni.

PERTEMUAN
Karya: Norgadis Labuan

Telah empat belas tahun kita terpisah
terpisah oleh lautan yang luas
namun
simbahan rahmat dari yang esa
memberi kekuatan
untuk kita melangkah di jambatan waktu
menyingkap tabir masa
dan kita
masih lagi menggenggam tekad
menzahir wajah dan merangkul pertemuan
yang menjanjikan sebuah kebahagiaan.


23 April 2005, Brunei Darussalam.


Othman Haji Mahali pula merakamkan kerinduan yang sama. Kecintaan  kepada  bumi yang dirindui   berupa angin nostalgia dalam kehidupan yang datang sesekali menyentuh hati dan perasaan,   ibarat embun pagi yang mendatang, menghilang dan datang lagi. Dalam meninti kehidupan yang sedemikian, penulis  berdoa semoga kasih sayang dan cinta akan  kekal abadi.    

SUARA KASIH DI TELUK
Karya: Hj Othman Mahali

Suara kasih di teluk
bergema di muara
melambai angin
mengirim rindu.

Suara kasih di teluk
mengembun pagi
hati tersentuh
meminta doa.

Suara kasih di teluk
meriak ombak
di pesisir pantai
di peluk rasa.

Suara kasih di teluk
mencari cinta
yang kekal abadi.

2009, W.P. Labuan.


ISMA R.H pula cuba menjejaki asal usulnya yang dikatakan   berdarah Pengiran Brunei. Penyair telah mengunjungi makan di Bukit Kianggeh untuk mencari batu nisan seseorang   yang dinamakannya di dalam teks  sebagai Paduka Temenggung atau di judul puisinya sebagai  Paduka Temenggung Rojit. Bukit Kianggeh adalah kawasan tanah perkuburan orang Brunei termasuk  pembesar-pembesar Brunei dan bagi menjejaki warisan nonek moyang masa lalu inilah   penyair  pergi ke Bukit Kianggeh walaupun kurang pasti mana satu kubur Pengiran yang dimaksudkan.  Bukit Kianggeh adalah saksi spritual bahawa  dia yang telah meninggalkan tanah asal, membawa diri ke Teluk Kimanis  adalah keturunan  PengiranBrunei.  Penyair dalam puisi ini seolah-olah mengatakan bahawa  walaupun masyarakatnya sudah tidak bersama dalam satu wilayah dan sekarang ada  yang sudah melupakan jasa keturunan mereka kepada raja,  namun  sejarah tetap  mencatatkan  bahawa mereka adalah berasal daripada keturunan orang Brunei.  Cuba perhatikan petikan sajak Isma R.H di bawah;

AL-FATIHAH BUAT PEDUKA
(Buat Bapa Almarhum Paduka Temenggung Rojit)

Karya: ISMA R.H


Ampun Paduka hamba
menjunjung kasih
menyusun jari
kerana mengganggu
persemadianmu berabad lamanya
membuka kembali lipatan
sejarah yang sudah dilupa
oleh para Pangeran dan Penggawa
yang sengaja menyisihkan
Paduka dari kerabat ternama.

Bermula dari tanah
persemadian Dagang
hamba menyusur kaki bukit Kiangeh
bertanya pada yang terjumpa
merenung setiap batu
nisan yang terukir indah
kalau-kalau terpahat nama
 Paduka sebagai tanda.

Angin kencang yang bertiup menyejukkan kembali
keringat yang membasahi tubuh
menguatkan kelenguhan
kaki yang mendaki dan menuruni bukit
bertapa rangit hutan
yang kelaparan berhimpun mencari sesuatu
tubuh kecil menjadi mangsanya
 biarkan, kerana darah setitik yang mengalir itu
adalah suatu kerelaan
dalam pencarian yang terbuku di kalbu.

Maaf Paduka Temenggung
hamba juga kurang pasti asal usul
namun moyang pernah berpesan, kalau terjejak kaki di tanah asal
jangan lupa ziarah makam datukmu
kerana hamba juga berasal dari anak Pangeran yang terdampar jauh
meninggalkan tanah asal untuk membawa diri
lalu berlabuh di teluk Kimanis menjadi seorang nelayan
berbudi pekerti dan bersopan
mahkota dan mohor tersimpan
agar tidak ada yang kenal tentang kedaulatan.

Apakah dalam diri ini masih mengalir darah Pangeran
atau hanya anak kampong yang meneruskan warisan zaman
seorang nelayan yang kerjanya mencari ikan
memasang pukat dan `menangkap udang sebagai umpan
menebar jala dan mengharungi lautan.

Dalam diri ini, sejarah tetap tersimpan
darah Pangeran tidak akan hilang ditelan zaman
masih dapat bersyukur kerana tanah asal sentiasa aman
walau direnung dari jauh, berbalam Muara di ujung penglihatan.
Itu hasil perjuangan seorang anak kampong
yang berkorban mempertahankan maruah
merah tapak kaki bermandikan darah
untuk mempertahankan tanah asal dan menjunjung Raja.

Bersemadilah Padukaku
gelar Temenggung itu telah hilang di arus modennya dunia
hanya bukit Kiangeh yang tahu segalanya.

02 Jun 1998,
Pusat Belia, Brunei Darussalam.


Penulis dan karya-karya sastera eksil dan diaspora Brunei seperti beberapa orang penulis Labuan tersebut di atas sukar untuk diperolehi dalam media baru, atau mungkin juga khalayaknya (termasuk penulis kertaskerja ini sendiri) belum begitu faham atau terdedah dengan media baru.Penggunaan media baru seperti facebook dan watsap walaupun  baru saja diperkenalkan, namun kadar peratus jumlah penggunaannya daripada jumlah keseluruhan penduduk  Brunei,  menjadikan Brunei  antara negara yang tertinggi dalam penggunaan media baru tersebut.  Media baru adalah istilah yang merujuk kepada “digital devices” atau alat komunikasi digital   yangterkomputerisasi dan   terhubung ke dalam jaringan. Contohmedia yang  mewakili media baru adalah internet. Hal ini bermakna  program television, filem, majalah, buku, surat khabar, dan seumpamanya  bukanlah media baru. 

Syair Rakis yang dianggap sebagai sastera eksil dan diaspora Brunei terawal diperkirakanbelum lagi disebarkan melalui media baru. Syair ini hanya didapati dalam bentuk buku yang tersebar sangat terhad sekali terutama di luar negara. Hal ini disebabkan oleh pengarangnya sudah meninggal dan karyanya tergolong dalam sastera lama.  Biasanya pengaranglah yang berinisiatif untuk menyebarkannya sendiri melalui media baru. Selain itu, Karya sastera lama biasanya  kurang diminati oleh kebanyakan khalayaknya terutama generasi baru,  dan dalam hal ini juga memungkinkan orang perseorangan dan swasta  tidak berminat untuk membantu menyebarkannya baik melalui media tradisional atau pun media baru.  Sedangkan penulis masa kini dengan  bersifat terbuka mudah sahaja menyebarkan karya mereka melalui media baru sepertiwatsap atau facebook. Misalnya dalam satu kumpulan watsap yang diberi nama “Puisi” yang ditakbir oleh seorangpenulis bernama Sonjan,  ahli-ahlinya adalan terdiri daripada beberapa orang penulis daripada Brunei, Sabah, Sarawak, Wilayah Persatuan Labuan dan Semananjung Malaysia.  Kumpulan watsap “Puisi” ini sering saja mengongsikan aktiviti-aktiviti atau kegiatan-kegiatan sastera  yang ahlinya  ikuti atau terlibat,  misalnya baru-baru ini pelancarkan novel berjudul “Tuhan Berikan Aku Cinta” karya  Azridah penulis Sabah, penerbitan antologi puisi “Orang Betujuh” karya penulis beberpa orang penulis termasuk ahli kumpulan watsap “Puisi” iaitu  Camar Putih, dan rakaman puisi sempena Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan.  Selain itu terdapat juga beberapa orang ahli kumpulan watsap “Puisi” yang sering  mengongsikan karya-karya  mereka melalui watsapmisalnya Ibnu ‘Abdir-Raheem dengan “syapennya” dan Hatta dengan sajak-sajaknya.  Saya sendiri telah menggunakan komunikasi watasap dan facebook dalam mendapatkan karya-karya puisi yang dibincangkan di atas. Hal ini membuktikan bahawa media baru adalah penting dan perlu dalam menyebarluaskan karya-karya sastera  khususnya karya sastera  eksil dan disapora Brunei.

Sebagai kesimpulan daripada perbincangan awal ini dapatlah dikatakan  bahawa sastera eksil dan diaspora Brunei belum  banyak dibicarakan. Hal ini mungkin sahaja disebabkan   keberadaannya kurang penting  atau  karya  yang sedemikian kurang menyerlah. Bagaimanapun dengan memberikan pengertian sastera eksil dan diaspora Brunei itu sebagai  karya yang ditulis oleh  penulis Brunei yang terbuang di negaranya sendiri, dan penulis yang berada diwilayah-wilayah yang dulunya berada dibawah kekuasaan Brunei, maka karya sastera eksil dan diaspora Brunei itu adalah Syair Rakis karya  Pengiran Shahbandar Mohd Salleh, dan beberapa buah puisi karya penulis-penulis Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak.  Syair Rakis mengemukakan kritikan yang halus kepada pemerintah supaya berhati-hati bersahabat dengan orang Inggeris.  Sementara sajak-sajak penulis Labuan pada umumnya menyatakan  kerinduan masa lalu,  dan pengakuan para penulis tentang keturunan nenak moyang mereka daripada asal keturunan yang sama.  Bagi menyebarluaskan  pemikiran yang diungkapkan karya-karya sastera eksil dan diaspora Brunei tersebut, maka penulis semestinya menggunakan media baru kerana ianya mudah, cepat dan senang di akses oleh orang ramai khususnya khalayak sastera Brunei dan sekitarnya.

 Pengiran Sharifuddin melarikan diri bersama adik beradiknya iaitu Pengiran Serail. Mereka adalah anak Pengiran Indera Mahkota Pengiran Sulaiman bin Pengiran Abd Rahman bin Pengiran Temanggong Dakula.  Tunang Pengiran Serail ialahiaitu Pengiran Anak Saleha binti Pengiran Pemanca Pengiran Kassim.


Sabtu, 6 September 2014

Pelancaran Antologi Puisi KEMBALI MH370

Pelancaran Antologi Puisi Doa Untuk MH370, KEMBALI MH370, telah disempurnakan oleh YB Datuh Rozman bin Datu Haji Isli pada 6 September 2014 di Pentas Terbuka Taman Damai, Layang-Layangan Labuan.


Antara penulis puisi KEMBALI MH370 bergambar bersama Pengarah Perbadanan Labuan Bahagian Pelancongan, Ketua 2 PERWILA dan Pengarah JKKN Sabah.

Khamis, 4 September 2014

Antologi Puisi "Kembali MH370" telah siap dicetak



Alhamdulillah, Antologi Puisi "Kembali MH370" telah siap dicetak. Terima kasih kepada semua yang membantu sehingga terbitnya antologi ini. Kepada penyumbang puisi yang belum menghantar alamat, bolehlah inbox alamat anda kepada Gabriel KimMaharatu Rafidah Mohamad atau saya Norgadis Labuan sendiri untuk tujuan pengiriman. Senarai nama penyumbang boleh disemak di blog PERWILA


Kepada peminat sastera di Labuan, Pertandingan Deklamasi Puisi Merakyatkan Seni Budaya akan diadakan pada hari sabtu ini 6 Sepetember 2014, bermula jam 9 pagi, bolehlah datang beramai-ramai ke Anjung Budaya Tmn Damai Layang-Layangan dan kepada penyumbang puisi "Kembali MH370" yang berada di WP Labuan bolehlah datang menuntut buku kalian. Selain daripada itu, Pelancaran Antologi Puisi "Kembali MH370" akan diadakan pada masa tersebut.

Jumaat, 29 Ogos 2014

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT)

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 
17 - 18 September 2014 (Negara Brunei DS)

Tema: "Sastera dalam Media Baru: Potensi dan Sumbangan" 

Antara Pemakalah: 

Tuan Hj Md Rojan (kertas Perdana),
Prof. Koh (Korea), Berthold (German), 
Henrik Lambert (Prancis), 
Prof Henrik Mier (Holland), 
Norman Kru (Besar Kemungkinan), 
Wakil penerbit Upin Ipin, Prof Kratz (Britain) dan ramai lagi. 

Festival Teater MASTERA 
17 - 19 September 2014 

Kump. Putra Seni Brunei Grup Teater Indonesia 
Pemain Monodrama Malaysia 
Kump Teater Singapore. 

18 sept 2014 (malam) 
Penyampaian Anugerah Sastera MASTERA.

AHLI PERWILA DIJEMPUT HADIR

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA