Jumaat, 28 Jun 2013

MEREKAYASA CITRA SASTERA BORNEO: IDENTITI DAN KREATIVITI

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim
Universiti Brunei Darussalam
Ketua I ASTERAWANI


Tema Dialog Borneo-Kalimantan Ke-11 2013 ini bagi saya sangat menarik sekali kerana  dapat membicarakan  citra sastera itu  dari banyak hal dan antaranya yang terpenting adalah dari segi identiti dan kreativiti.   Anggapan umum yang mengatakan “karya sastera tidak turun dari langit” adalah hal yang penting yang mengangkat fungsi pengarang  sebagai agen yang  menciptakan dan menonjolkan identiti dan  kreativiti tersebut. Walaupun kewujudan mereka sebelumnya  tersorok  dalam tradisi budaya lisan,  namun pengarang sebagai ahli masyarakat secara tidak langsung masih dapat menonjolkan  citra sastera masyarakat yang diwakilinya. Dalam kertas keraja  ini lebih memfokaskan kepada sastera Brunei sebagai warga sastera Borneo memandangkan keterbatasan pengetahuan dan kurangnya pendedahan mengenai karya sastera warga Borneo yang lain.

“The author is dead” atau pengarang telah mati mungkin menjadi bahan perbinangan dalam melihat  karya-karya sastera Melayu tradisional kerana sifatnya yang sepunya,  milik bersama dan pengarang sebagai ahli masyarakat dapat menonjolkan identiti dan juga secara terbatas masih dapat memperlihatkan  kreativti yang diterima oleh  masyarakat secara kolektif.   Syair Awang Semaun, Syair Rajang, Syair Takbir,  Diangdangan dan cerita-cerita rakyat  Brunei  adalah antara contoh karya-karya sastera Brunei tradisional yang penciptaannya dapat menonjolkan identiti orang Brunei sebagai orang Melayu yang berkebudayaan Melayu, beragama Islam dan hidup dalam sebuah negara yang diperintah oleh seorang raja.  Penonjolan  inilah  yang membezakan karya-karya ini dengan karya-karya sastera Melayu moden yang lebih bersifat individual atau peribadi.  

Lama sebelum  orang Brunei menerima Islam, mereka mempercayai Tuhan Dewata yang telah memberikan mereka kekuasaan sehingga orang yang diberikan kekuasaan tersebut dapat bertindak menyerupai  tuhan apabila mereka boleh menghidupkan seseorang yang telah mati. Bujang Sigandam dalam Diangdangan Bujang Sigandam misalnya telah menghidupkan Raja Hitam yang telah dibunuhnya setelah pertarungan mengadu kesaktian berlaku akibat kesalahan Bujang Sigandam sendiri yang merampas  tunang Raja Hitam.  Dalam cerita-cerita rakyat Brunei terdapat cerita-certia yang megenengahkan kepercayaan animisme yang antaranya mempercayai penunggu pokok atau seumpamanya. Setelah Islam datang ke Brunei, maka orang Brunei pun menerima Islam apabila  raja mereka memeluk agama Islam. Awang Alak Betatar adalah raja Brunei yang pertama memeluk agama Islam seperti yang diceritakan dalam Syair Awang Semaun atau Silsilah Raja-Raja Brunei dengan nama Islamnya  Sultan Muhammad.  Sejak  itu,  sistem pemerintahan beraja telah diwarisi oleh orang Brunei secara  turun termurun seperti yang tercatat di dalam Silsilah Raja-Raja Brunei.  Kesetiaan kepada raja sebagai ketua negara yang memerintah,   jujur, amanah dan sepakat dalam  melaksanakan perintah raja terdapat di dalam Syair Awang Semaun.  Ungkapan “Pantang orang Melayu derhaka kepada raja”  juga memperlihtkan identiti yang menyerlahkan citra  orang Melayu yang taat setia terhadap rajanya.

Kepercayaan animisme dan Hindu yang telah diamalkan oleh orang Melayu sekian  lama adalah  sukar untuk dihapuskan kesemuanya walaupun  orang Melayu Brunei telah memeluk dan mengamalkan ajaran agama Islam iaitu  agama yang mengakui bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa dan berhak disembah. Tiada Tuhan selain daripadaNya yang berkuasa memberikan  segala kebaikan dan keburukan.  Kepercayaan terhadap ramalam hari baik dan buruk bagi melakukan sesuatu pekerjaan adalah antara contoh kepercayaan animisme atau  Hindu yang secara umum masih  membudaya dalam masyarakat Melayu. Mereka mempercayai sesuatu hari atau saat mempunyai kebaikan dan keburukan bagi melakukan sesuatu kegiatan atau pekerjaan. Mereka mempercayai sesuatu perkara yang berlaku itu mempunyai ramalannya yang tersendiri dan perlu dihindari dengan  melakukan “tolak bala”. Kepercayaan  seperti ini biasanya diwarnai atau  disesuaikan dengan ajaran agama Islam yang baru mereka anuti.   Misalnya dalam kepercayaaan rajang, satu haribulan (mengikut kiraan tahun Hijrah)   dilambangkan dengan kuda dan pada hari tersebut diramalkan baik untuk bercucuk tanam dan belayar.  Dua haribulan dilambangkan dengan kijang dan pada hari  tersebut diramalkan tidak baik terutama  jika beranak kerana anaknya akan menjatuhkan maruah ibu bapanya.  Di dalam Syair Takhir,  jika terdapat kejadian-kejadian ganjil yang berlaku dalam kehidupan seseorang  misalnya  ayam jantan bersetubuh di atas bumbung rumah, maka kejadian itu diramalkan  membawa sesuatu yang tidak baik terhadap  sipemilik rumah dan pemilik rumah mestilah melakukan “tolak bala” dengan memberikan makanan atau barang kemas  kepada fakir miskin sebagai sedekah bagi menjauhkan bala benjana yang bakal terjadi.

Budaya tulisan yang diperkenalkan secara meluas di Nusantara setelah Islam mula bertapak, telah mendidik  pengarang  untuk  mempertanggungjawabkan setiap  karya yang mereka hasilkan. Maka sejak itu peranan pengarang lebih menyerlah dalam  menonjolkan identiti dan kreativiti mereka dalam setiap rekayasa sastera.  Dato Iman Yakub telah menulis Silsillah Raja-Raja Brunei yang memperlihatkan warna lokal yang mempunyai kesamaan dan kelainan jika dibandingkan dengan karya-karya Nusantara dalam genre yang sama.  Pengiran Shahbandar Mohd Salleh dengan Syair Rakisnya  telah dianggap sebagai pelopor sastera Moden Brunei yang tentunya dapat dijadikan  perbandingan dengan Abdullah Munsyi iaitu pengarang yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu Moden. Muda Omar Ali Saifuddien dengan karya-karya syairnya seperti Syair Perlembagaan Negara Brunei, Syair Asli Rajang Hari, Syair Rajang Jenaka, Syair Nasihat, dan Rampai Laila Syair adalah penyair diraja yang dalam karyanya memperlihatkan warna lokal dari segi bahasa, pemikiran dan kreativiti yang tentunya boleh dibandingkan dengan Raja Ali Haji seorang penyair diraja Riau.  Malah Muda Ali Saifuddin dianggap sebagai penyair diraja di Nusantara terakir yang menulis syair.

Sebagai penyair diraja terakhir, karya-karya Muda Omar Ali Saifuddien tidak terlepas daripada menonjolkan citra sastera Brunei atau Borneo  melalui pemikiran dan gambaran budaya  dan  latar karyanya.  Syair Perlembagaan berlatar belakangkan budaya dan pemikiran disekitar proses memateri perlembagaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1955. Latar pemikiran dan budaya yang sedemikian jarang atau tidak mungkin dapat ditemukan  dalam ciptaan atau rekayasa mana-mana syair Melayu sebelumnya.  Begitu juga dengan  Latar tempat dan latar budaya banyak membantu dalam menonjolkan identiti  karya sastera Brunei.  Syair Asli Rajang Hari misalnya berlatar belakangkan istana dengan watak   raja yang memberikan nasihat kepada putera puterinya. Hal ini memberikan gambaran yang jelas tentang identiti karya dan pengkarya iaitu  Muda Omar Ali Saifuddien sebagai seorang penyair  diraja abad ke-20, yang  naik takhta sebagai Sultan Brunei yang ke-28.   Sementara itu latar tempat dan pemikiran dalam Syair Rakis juga adalah contoh karya sastara Brunei yang  dianggap  memberikan citra kepada sastera Borneo.  Pulau Borneo  yang dibahagikan atau mengandongi beberapa wilayah politik iaitu Brunei, Kalimantan, Sabah dan Sarawak yang dulunya dibawah jajahan Inggeris dan Belanda telah cuba digambarkan oleh Pengiran Shahbandar Mohd Salleh melalui karyanya apabila ia secara langsung dan  tidak langsung telah memberikan nasihat kepada Sultan Brunei ketika itu dengan merujuk kepada wilayah-wilayah Borneo dan sekitarnya seperti Sambas, Labuan, Sarawak, Singapura, dan Acheh sebagai iktibar.

Salah satu contoh karya  yang  pernah saya baca yang mengemukakan dengan lebih jelas latar tempat, budaya dan pemikiran salah satu wilayah Borneo  ialah novel  Bagaton karya Amil Jaya.  Novel ini memaparkan  budaya dua suku kaum di Sabah iaitu kaum Dusun dan Kaum Bajau.   Kedua-dua kaum ini tinggal di dua perkampungan yang berjauhan iaitu Kaum Dusun tinggal di Lasau yang masyarakatnya  hidup dengan bercucuk tanam khususnya bertanam padi. Sementara kaum Bajau tinggal di Kampung Pirasan yang masyarakatnya hidup bertanam tebu dan menternak binatang.  Kaum Dusun di Lasau dalam novel tersebut digambarkan  sebagai sebuah masyarakat yang mengamalkan tradisi  ngayau  atau  memburu kepala manusia.  Pemuda  yang berjaya memperolehi kepala manusia dalam tradisi ngayau   akan mendapat penghormatan daripada masyarakatnya dan disukai oleh  kaum wanita yang masih bujang kerana ia  melambangkan keberanian  dan  jaminan  bahawa lelaki tersebut mampu menjaga keselamatan wanita yang dikahwininya.  Aktiviti Ngayau ini secara tidak langsung telah membentuk sifat kaum Dusun yang pemberani,  tidak bertimbang rasa, kasar, dan mencintai kaum sendiri yang membawa kepada perkauman apabila kaum lain dianggap sebagai sumber untuk mengangkat kehormatan dan harga diri kaum mereka. Kepala manusia daripada kaum lain perlu dipenggal untuk memperlihatkan atau mengangkat status mereka. Pembunuhan dianggap perkara biasa dan berlaku sewenang-wenengnya dalam masyarakat kaum tersebut. Amalan yang sedemikian  telah menjadi adat budaya turun temurun kaum Dusun,  namun   pada masa  ini tentu nya sudah berkurangan atau mungkin tidak wujud lagi akibat pengaruh kemodenan, kepercayaan dan sistem pendidikan yang diterima.

Kedua-dua kaum ini mempunyai kepercayaan yang tersendiri berdasarkan latar belakang budaya dan kehidupan yang dianuti.  Kaum Baju   di dalam novel tersebut diceritakan beragama Islam yang mempercayai Allah S.W.T sebagai tuhan yang berkuasa atas segalanya.  Allah S.W.T  yang  berkuasa menghidupkan dan mematikan. Dengan kepercayaan tersebut, kaum Bajau mempercayai bahawa setiap yang mati,  rohnya akan ditempatkan di alam berzah.  Untuk menjadikan roh simati mendapat rahmat, orang Islam hanya mampu berdoa, memohon kepada Allah S.W.T supaya roh simati akan ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh, diberikan rahmat, selamatkan dan terpelihara  daripada siksa kubur dan hari pembalasan di akhirat nanti.  Sementara itu kaum Dusun memegang kepercayaan tradisi mereka iaitu memyembah Kinoringan. Dalam masyarakat kaum Dusun, mereka mempercayai bahawa apabila seseorang daripada kaum mererka  itu menginggal dunia, maka  mayatnya mestilah  disimpan di dalam tempayan keranda yang disebut sebagai Bagaton.   Bagaton inilah yang digunakan sebagai  tempat menyimpan raga si mati yang dipercayai akan  pergi dan berada di Puncak Kinabalu. Bagi mereka, jika tidak  ada Bagaton,  maka jasad si mati   akan kedinginan kerana Puncak Kinabalu tertalu sejuk.  Oleh itu adalah menjadi kewajiban  seorang ayah menyediakan Bagaton untuk anaknya. Seorang ayah akan berusaha dan berkerja keras untuk mendapatkan Bagaton  walau dengan apa cara sekalipun.  Dalam novel  ini,    Maragang  telah berusaha membeli  Bagaton untuk  anaknya Punti, bersusah payah membawanya dengan meredah hutan  tebal dan menyeberangi sungai yang airnya deras.  Hal ini memperlihatkan kepentingan dan keperluan Bagaton kepada kaum Dusun yang diwakili oleh Maragang.

Kepentingan dan keperluan Bagaton dalam novel ini  juga telah diterjamah sendiri oleh Maragang melalui anaknya. Ia telah mamasukan Punti yang baru saja dilahirkan ke dalam Bagaton dan memandikannya di sana.   Teriakan tanggis dan gerakan anaknya yang terkapai-kapai di dalam Bagaton dianggap sebagai  teriakan pengakuan bahawa itu adalah Bagaton miliknya.  Daki atau kotoran  yang jatuh ke dalam Bagaton akan membuat roh  anaknya  akan kembali ke dalam Bagaton apabila mayatnya tidak berada di  tempatnya iaitu berada di tempat Jamji (suaminya daripada kaum Bajau) yang hendak dikebumikannya  secara Islam.  Bagi memanggil roh anaknya tersebut, upacara pemujaan Bagaton telah dilakukan. Dalam upacara itu,  Ketua  agama kaum Dusun yang dikenali sebagai Mobolian atau Bobolian, akan membaca jampi dan kemudian akan menaburkan beras dan sirih pinang ke atas badan seekor kerbau jantan yang  diikat untuk disembelih.  Bagaton besar diturunkan dari rumah dan  diletakkan dekat  leher kerbau tersebut, kemudian kerbau itu pun disembelih  dan darahnya dimasukan di dalam Bagaton. Mobolian akan melumurkan tangannya dengan darah kerbau di dalam Bagaton sambil membaca mantera, dan kemudian darah itu dipalitkannya ke dahi ibu dan ayah Punti iaitu Sangkurad dan Maragang. Mobolian terus membaca mantera, memohon kepada tuhan mereka iaitu Kinoringan supaya Bagaton yang suci itu dapat memanggil roh Punti pulang kepada mereka.

Setelah mayat Punti berjaya dibawa kembali ke dalam puak mereka, maka upacara adat pengkebumian pun dilangsungkan. Mayat Punti pun dipakaikan dengan Gonob yang berwarna hitam iaitu sejenis kain sarung yang  pendek (panjangnya dari paras pinggang hingga ke lutut sahaja). Bobolian kemudian menyuapkan sirih dan pinang ke mulut Punti. Perhiasan-perhiasan juga dikenakan ke tubuh Punti seperti  kalung,  cincin, gelang kaki dan pisau raut. Bobolian sebagai ketua upacara kemudian mengarahkan bomoh lelaki orang Dusun yang disebut sebagai Tantagas untuk memasukkan mayat Punti ke dalam Bagaton. Beberapa orang Tantagas masuk ke dalam dan mendekati mayat Punti. Mereka membaca mantera bersama-sama dengan Bobolian. Mereka memohon kepada Kinorongan supaya menerima mayat Punti sebagai penghuni syurga di puncak Kinabalu. Memohon restu semoga perjalanan Punti mendaki gunung Kinabalu selamat.   Kepercayaan kepada Kinorongan dan keperluan Bagaton dalam kepercayaan tersebut menjadi inti kepada adat dan kebudayaan masyarakat Dusun dan sebagai  identiti kepada karyanya  walaupun pengarangnya bukan warga daripada wilayah yang diceritakan tetapi sekurang-kurangnya pengarang telah menyelidiki dan menghayati secara langsung atau tidak langsung kebudayaaan masyarakat yang diceritakannya.

Selain citra melalui  penonjolkan identiti dalam karya yang dinyatakan di atas, citra sastera Borneo juga dapat dilihat berdasarkan kreativiti penyair atau  pengkarya/pengarang karya sastera Borneo itu sendiri. Kreativiti bolehlah diertikan sebagai kebolehan atau keupayaan untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk baru melalui kemahiran imaginasi. Ia melibatkan kupayaan berfikir yang dapat melahirkan idea baru yang unik dan menarik,  dan karya yang menarik tentunya  tidak terlepas daripada unsur   keindahan yang segar. Pengkarya atau pengarang perlu sentiasa secara sedar memperindahkan karya kreatif mereka sesuai dengan maksud  ciptaan kreatif, yang memaksa setiap pengkarya atau pengarang mencipta sesuatu yang baru dan terus menerus  memperindah ciptaan mereka. Misalnya Chairil Anwar adalah penulis angkatan 45 yang telah menciptakan sesuatu yang baru, menciptakan citra penulisan angkatannya  yang berbeza dengan penulis angkatan Pujangga Baru dan Balai Pustaka.  Kata, frasa dan unggapan yang digunakan sangat bertenaga yang semacam penentangan kepada gaya pengucapan  yang lemah gemulai penyair-penyair angkatan  sebelumnya.  Gaya ini sangat mengesankan  pada waktu itu malah sehingga   sekarang ini puisi Chairil Anwar terasa masih segar, nada tegas dengan alunan yang pendek-pendek dan cepat yang menunjang temanya misalnya puisinya yang  berjudul “Aku” seperti di bawah:
                       
AKU

Kalau sampai waktuku
‘Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak perduli

Aku mau hidup seribu tahun lagi


Chairil Anwar
Maret 1943


Jika kita mahu mengwujudkan citra sastera  Borneo yang lebih kedepan, tentunya para penyair atau penulis Borneo  mampu menghasilkan puisi-puisi baru seperti Chairil Anwar menciptakan puisi-puisi baru yang berupa penentangannya terhadap puisi-puisi ciptaan penyair-penyair angkatan Balai Pustaka dan Punjangga Baru yang dianggapnya menghasilkan puisi-puisi yang sudah klise.  Hal ini mungkin dapat diwujudkan dengan cita-cita dan keazaman yang tinggi, yang tentunya bukan mudah dan perlu disertai dengan ilmu. Pemenang hadiah novel bagi kesusasteraan kebanyakannya diberikan kepada para penulis yang menyendiri yang ingin menciptakan sesuatu yang baru.  Para penyendiri-penyendiri tidak mementingkan kuantiti tetapi mereka lebih mementingkan kualiti sehingga apabila karya mereka terhasil akan menjadi sebuah  karya unggul atau agong pada zamannya.

Di Brunei Darussalam terdapat beberapa orang penulis yang  cuba berjinak-jinak ke arah itu dengan  menciptakan karya-karya eksperiman dengan tujuan menciptakan gaya penulisan yang berbeza dengan gaya penulisan sebelumnya dengan tidak mengabaikan aspek keindahan.   Muslim Burmat misalnya melalui cerpennya bertajuk ‘Pohon-Pohon di Alps”, telah menulis dengan   gaya realisme. Watak utama yang mencemburui kekasihnya yang diajak keluar oleh seorang lelaki  tidak dinyatakan secara langsung dengan kata oleh penulis perasaan cemburunya  tetapi dinyatakan secara tidak langsung melalui aksi atau gerak  laku watak. Penulis yang dulunya bersifat serba tahu dan berkuasa kini  hanya bertindak sebagai pemerhati dengan  tidak memasukkan pendapat dan pandangannya.  Penulis lebih bersifat objektif dalam bercerita dan gaya bercerita yang sedemikian pada waktunya adalah suatu gaya baru yang indah. Gaya ini kemudian menjadi ikutan kepada para penulis yang lain sehingga gaya tersebut sudah tidak dianggap baru dan indah lagi. Disinilah cabaran para punulis untuk merekayasa  karya sastera dengan gaya baru lagi. Penulis perlu mencari dan terus menerus mencari berbekalkan  ilmu dan daya kreatif masing-masing bagi menghasilkan sesuatu yang baru dan indah.

Sebagi sebuah karya seni, para penulis sama seperti  para pelukis dan para pemuzik dalam menghasilkan karya masing-masing.  Pelukis berusaha menciptakan lukisan dengan campuran warna dan teknik mewarna yang seimbang. Pemuzik mencipta lagu dengan iringan kesatuan bunyi alat-alat muzik yang berbagai. Penulis pula berusaha menghasilkan karya sastera dengan gaya  baru, indah dan menarik.  Mussidi, seorang penulis Brunei yang sekaligus juga seorang pelukis grafik  telah   menghasilkan beberapa buah cerpen dengan gaya kartun. Contohnya, sebuah cerpennya yang bertajuk “Jantung” mengemukan seorang pesakit jantung  telah pergi ke klinik dan mengeluarkan dan menyerahkan jantungnya untuk dipereksa. Doktor yang merawat jantungnya kemudian memasukkan jantung pesakit tersebut ke dalam peti sejuk untuk pemeriksaan lanjut. Setelah beberapa hari pesakit itu kembali dan meminta jantungnya dan Doktor yang merawat terpaksa mencari jantung  Pesakit tersebut dicelah-celah longgokan beberapa buah jantung yang berada di peti sejuk.  Gaya penulisan seperti ini tidak terdapat dalam sejarah perkembangan cerpen di Brunei, malah mungkin juga di Borneo.   Bagaimanapun gaya Mussidi ini kemudiannya telah menjadi ikutan  kepada beberpa orang penulis cerpen yang lain  sehingga gaya ini tidak lagi dianggap baru.  Gaya ini pun menjadi  basi dan para penulis seharusnya meninggalkan gaya ini dan merekayasa  yang baru. Untuk itu para penulis perlu ilmu,  daya fikir yang mendalam,  menyendiri mencari idea baru yang kemudian  dioleh dengan  daya kreatif yang tinggi.

Dalam tahun-tahun 1990-an, suatu perkembangan menarik dalam penulisan prosa di Brunei Darussalam khususnya dalam genre cerpen dan novel. Para penulis telah menghasilkan  beberapa buah karya eksperiman dengan konsep yang berbagai misalnya mencampuradukkan karya kreatif dengan tulisan ilmiah, mencampuradukkan  gaya romatis dan gaya realisme secara seimbang, mempelbagaikan  sudut pandangan secara teratur,  tidak menggunakan  kata sifat atau kata abstrak dalam karya, tidak  bersifat  maha tahu dan berkuasa,  bercerita lebih  objektif seperti  kamera menangkap gambar, memberikan ruang dan peluang pembaca untuk berinteraksi dan membuat kesimpulan, tidak mengurui pembaca, tidak ada plot atau mengatur plot seperti susunan muzik, menceritakan suatu kejadian dalam jangka waktu yang sesingkat-singkatnya sebagai lawan kepada penceritaan yang  bertahun-tahun, menjadikan perjalanan cerita lambat selambat-lambatnya seperti gerak ulang (slow motion) bola masuk ke gawang pintu gol, menggunakan satu watak malah tidak ada watak dalam cerita, tidak ada latar baik latar waktu atau latar tempat dalam penceritaan, mempelbagaikan  watak  yang bertentangan dari segi jantina, umur, pendidikan dan latar belakang dearah kelahiran dan kedewasaannya,  menonjolkan dua ragam bahasa dan budaya, tanpa menggunakan dialog (hanya huraian) atau hanya dialog, tidak menggunakan bunga-bunga bahasa atau menggunakan bungga bahasa dengan tujuan,  dan seumpamanya.  Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini penciptaan karya-karya  eksperiman sedemikian sudah berkurangan dan hal ini mungkin disebabkan oleh keletihan dalam pencarian atau   keupayaan  sentiasa  dalam keterbatasan.

Sebagai kesimpulan daripada pembicaraan  yang singkat ini dapatlah dikatakan bahawa para penyair dan penulis Borneo perlulah merekayasa citra sastara Borneo agar sastera Borneo dikenal diperingkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sesuai dengan tema yang diutarakan  dalam pertemuan ini. Merekayasa citra sastera Borneo   boleh dilakukan dengan  menonjolkan identiti masyarakat penulis itu sendiri. Selain itu para penulis juga  perlu meningkatkan daya kreativiti masing-masing dalam menciptakan karya  melalui penulisan  gaya  baru yang berbeza dengan gaya  penulisan penulis-penulis Borneo sebelumnya atau gaya penulisan  penulis-penulis yang ada di Nusantara masa kini.  Untuk itu para  penulis Borneo mestilah  berusaha dengan memulaciptakan  karya-karya eksperiman yang berdasarkan konsep keindahan sejagat yang boleh digali daripada warisan budaya masyarakat penulis sendiri  atau menciptakan unsur baru yang bersifat universal.  Bagaimanapun hal ini bukanlah suatu yang mudah,  dan kejayaan yang didapat  akan dapat menonjolkan  citra  sastera Borneo yang sangat significant  bukan sahaja dalam perkembangan kesusasteraan Borneo itu sendiri malah perkembangan kesusasteraan Melayu di Nusantara atau perkembangan kesusasteraan serantau dan antarabangsa.  

Sekian.

PENULIS LAMA PERLU DIBERIKAN PERHATIAN SEWAJARNYA

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
Jasni Matlani (BAHASA)
PENDAHULUAN

Tajuk kertas kerja yang disediakan oleh Urus Setia Dialog Borneo Kalimatan Ke 11 kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) sebenarnya terlalu umum, kurang akademik, dan pada sisi lain pula terdedah kepada skop dan ruang lingkup yang luas. Bagaimana pun penulis berusaha memenuhi kehendak berkenaan dengan menyediakan kertas kerja ini dan memberikan definisi tentang penulis lama, membincangkan tentang konteks dan kedudukan “Penulis Lama” yang dimaksudkan, memerikan jenis perhatian yang perlu diberikan, seterusnya mengaitkan Datuk R M Jasni sebagai model perbincangan, sesuai dengan tajuk yang diberikan.

DEFINISI PENULIS LAMA

Setiap ada yang baru, pasti ada yang lama. Ini lumrah kehidupan dan hukum alam. Tidak ada sesuatu yang kekal, melainkan semua tertakluk kepada perubahan dan terperangkap dalam sistem putaran kehidupan. Kereta yang baru dibeli hari ini akan menjadi buruk beberapa tahun kemudian. Rumah yang indah dan warnanya berseri- seri hari ini akan bertukar menjadi suram dan pudar warnanya beberapa tahun kemudian. Begitu juga kehidupan kita sebagai manusia yang dikategorikan sebagai “Penulis” mengalami proses yang sama. Pada peringkat awal pembabitan kita dalam bidang penulisan, kita pasti diaktegorikan sebagai “Penulis Baru”, “Penulis Muda” atau apa juga label yang diberikan kepada kita. Namun hakikatnya kita akan menulis berdasarkan masa, tempat, sejarah, budaya yang khas dan sesuai dengan konteks, kedudukan dan zaman kita, seperti kata  Stuart Hall (1994:342)

…we all write and speak from a particular place and time, from a history and a culture which is specific, what we say, is always ‘in context’, ‘positioned’.

Namun seiring dengan peredaran waktu, penulis muda akan memasuki gerbang kedewasaan. Selapas itu memasuki satu peringkat yang biasanya disebut sebagai “Penulis Lama” atau “Penulis Tua” atau “Penulis Veteran”. Hakikatnya, peringkat ini adalah peringkat terakhir dalam perjalanan atau kembaranya sebagai penulis. Tidak ada lagi peringkat selepas itu dalam kehidupan biologinya, kecuali mati.

Justeru, kertas kerja ini berusaha memperjelaskan definisi “Penulis lama” yang diguna pakai penulis, (sesuai dengan kehendak pihak urus setia), dengan andaian istilah “Penulis Lama” itu lebih beralas, atau lebih santun dan bertimbang berbanding misalnya kalau disebutkan “Penulis Veteran” apatah lagi jika disebutkan “Penulis Tua”.

Berapakah usia seseorang penulis yang secara biologinya dikategorikan sebagai “Penulis lama”? Ada yang berkata usia 40 tahun merupakan pintu gerbang bagi seseorang penulis memisahkan dirinya daripada kelompok dan kategori “Penulis Muda”. Pendapat lain pula mengatakan usia 50 adalah peringkat umur paling tepat bagi seseorang penulis itu diaktegorikan sebagai “Penulis lama”.

Namun demikian jangka hayat rakyat Malaysia hari ini semakin panjang. Malah tahap kasihatan mereka juga masih baik dalam jangka umur antara 50 hingga 70 tahun. Dalam lingkungan umur ini mereka masih boleh bekerja dengan baik secara fizikal dan mempunyai daya pemikiran atau kognitif yang cergas dan mampu berfikir positif, lebih matang, kreatif, serta mempunyai pertimbangan yang jauh lebih baik berbanding ketika mereka berusia dalam lingkungan 30-an atau 40-an.

Sebab itu tempoh pencen bagi seseorang kakitangan awam dan swasta, beberapa tahun sebelum ini dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun, kemudian 58 tahun dan sekarang dilanjutkan lagi kepada 60 tahun. Semua ini dilakukan dengan alasan, pemikiran atau kognitif, pengalaman dan tenaga biologi golongan lama atau tua atau veteran ini masih boleh diguna pakai dan mampu menyumbang sesuatu yang bermakna kepada bangsa dan negara.
Justeru, begitu juga golongan penulis dan dalam konteks kertas kerja ini, skop tempoh hayat bagi seseorang penulis yang sesuai dikategorikan sebagai penulis lama ialah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Biasanya mereka masih aktif dalam kegiatan persatuan, gerakan sastera, berseminar dan mampu menulis secara produktif sehingga umur 65 tahun. Namun, jika mereka masih boleh menulis aktif dalam lingkungan usia antara 65 tahun hingga 80 tahun, maka itu adalah bonus. Sebagai contoh penulis lama di Sabah yang masih aktif dalam lingkungan umur antara 65-80 tahun ini ialah Datuk R M Jasni. Beliau masih aktif menulis sehingga kini. Sebuah cerpen dan puisinya disiarkan dalam majalah WADAH terbitan DBP Cawangan Sabah yang terbaru. Sementara novelnya yang berjudul “Kasih sepanjang jalan” bakal diterbitkan DBP dalam tempoh yang terdekat.

APAKAH PERHATIAN YANG DIPERLUKAN PENULIS LAMA?

Sesuai dengan kehidupan biologi manusia, seseorang itu akan kembali menjadi seperti kanak-kanak di peringkat akhir hayatnya. Ini adalah fitrah manusia. Maka di peringkat berkenaan seseorang itu memerlukan perhatian dalam semua aspek kehidupan. Jika tidak diberikan perhatian, berkemungkinan lahir sikap jauh atau rajuk hati yang menyukarkan kehidupannya dan juga orang lain. Ketika itulah mula timbul pelbagai masalah dan kerenah. Hal ini turut mendapat perhatian para pengkaji dalam bidang psikologi. Tahap kognitif beliau menurun dan pada peringkat tertentu diserang sindrom mudah lupa. Datuk R M Jasni misalnya pernah memberitahu penulis bahawa ada ketika dalam usia pertengahan 70-an, seseorang itu diserang penyakit “Lupa yang akut”. Ini dialami beliau sendiri. Ketika itu pemikirannya kosong. Mujurlah situasi itu berlaku dalam tempoh yang singkat, tetapi cuba bayangkan jika sindrom penyakit “Lupa yang akut” itu menyerang dalam tempoh yang lama. Apa yang akan berlaku? Sudah pasti secara biologinya, seseorang itu memerlukan perhatian orang lain dan pastinya pada skala yang lebih besar lagi.

          Dalam konteks kertas kerja ini ada beberapa jenis atau bentuk perhatian yang wajar diberikan kepada penulis lama. Pertama, perhatian dari segi kebajikannya. Kedua, dari segi memberikan peluang kepadanya berkarya, berkreatif dan juga terlibat dalam mana-mana kegiatan sastera sebagai penceramah atau pemakalah sesuai dengan pengalamannya, dalam mana-mana seminar, simposium dan kongres yang dianjurkan pelbagai pihak. Ketiga, memberikannya penghargaan sesuai dengan sumbangan yang diberikannya dalam bidang sastera dan penulisan.

          Perhatian dari segi kebajikan memang jelas, kerana golongan penulis yang tidak mempunyai kerja hakiki dalam jabatan kerajaan selain daripada menulis, maka mereka tidak menerima sebarang wang pencen bagi membantu mereka menampung kehidupan pada hari tua. Justeru, mereka  berkemungkinan hidup melarat dan tidak mempunyai rumah. Tidak mustahil juga mereka tinggal di rumah jagaan orang tua, jika diabaikan anak-anak. Sebab itu elok jika sekiranya kerajaan memikirkan cara dan mekanisme apa yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan golongan penulis ini sekurang-kurangnya memiliki rumah sendiri sesuai dengan sumbangan intelektualnya kepada bangsa dan negara.

Misalnya kerajaan menyediakan taman perumahan untuk penulis dan golongan seniman, di mana penulis dan seniman yang menulis atau melakukan kerja seni sepenuh masa dan tidak mempunyai “Slip Gaji” yang boleh dicagar kepada bank, boleh memiliki rumah dengan jumlah bayaran tertentu dan termampu kepada satu badan yang diurus kerajaan tanpa merujuk kepada bank sebagai pemodal. Tujuannya supaya mereka ini dapat menikmati kehidupan masa tua yang sama baik dengan rakyat Malaysia yang lain sesuai dengan sumbangannya.
Mereka juga boleh diberikan pelbagai kemudahan lain seperti kemudahan insuran kemalangan percuma. Rawatan percuma di hospital kerajaan. Malah mereka juga sewajarnya diberikan perhatian dengan diberikan kad diskaun bagi mana-mana kedai rakyat yang dipilih kerajaan bagi memboehkan mereka mendapat harga berpatutan atau harga lebih rendah dan disubsidi kerajaan. Mereka juga wajar menerima sumbangan khas warga tua setelah mencecah umur 60 tahun ke atas. Inilah antara perhatian yang perlu diberikan kepada penulis lama dari segi kebajikan mereka.

Kedua, ialah dari segi memberikan peluang kepada mereka berkarya, berkreatif dan terlibat dalam mana-mana kegiatan sastera sebagai penceramah atau pemakalah sesuai dengan pengalaman, dalam mana-mana seminar, simposium dan kongres yang dianjurkan pelbagai pihak. Hal ini sering dipersoalkan pelbagai pihak (termasuk dalam program Dialog Borneo-Kalimantan) ini kerana sering terlepas pandang dalam penganjuran program atau kegiatan sastera atau penulisan yang dianjurkan di wilayah Borneo ini. Kita sering bercakap atau berbelanja besar tentang memperkasa golongan muda termasuk dalam bidang penulisan. Puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk membangun golongan muda, tetapi pada masa yang sama kita tidak ada program khas kepada golongan penulis lama. Hal ini mesti dikaji semula bagi member keadilan kepada mereka.

Di negeri Sabah usaha ini memang dilakukan melalui persatuan BAHASA. Kita menghargai dan menghormati golongan penulis lama dan memberi mereka peluang aktif dan terlibat dalam program sastera yang dianjurkan. Sebagai contoh yang terbaharu, BAHASA melibatkan Datuk R M Jasni salah seorang penulis lama di Sabah sebagai panel forum dalam program “Simposium Cerpen Antarabangsa” sempena perasmian pembukaan Bulan Penulis Negeri Sabah 2013 kemudian membentangkan Kertas Kerja dalam program “Kongres Puisi Borneo Utara” sempena majlis penutupan Bulan Penulis Negeri sabah 2013 yang diadakan di Daerah Tenom.

Dari segi penghasilan karya kreatif, penulis memastikan hasil karyanya diperbaiki terlebih dahulu di peringkat kumpulan BAHASA sebelum dihantar ke mana-mana penerbitan, kerana sebagai penulis lama, mungkin berlaku kes di mana langgam bahasa dalam karyanya masih terikat dengan gaya penulisan tahun 19650-an dan 1960-an, jadi penulis memperbaikinya supaya sesuai dengan gaya dan langgam penulisan masa kini. Justeru apabila kita menghantarnya ke penerbitan, maka peratus karya untuk ditolak adalah kecil. Kita boleh menjadi agen penulis kepada penulis lama ini seperti yang berlaku di Barat, walau pun tanpa sebarang habuan. Bagi penulis bukan soal habuan yang utama, tetapi apa yang penting dapat membantu penulis lama ini menerbitkan karya dan karya itu pula sesuai dengan keperluan dan selera masyarakat hari ini.

Dengan melakukan hal sedemikian, sudah pasti penulis lama ini tidak merasa tersisih daripada arus perdana kegiatan dan perkembangan sastera domestic dan serantau. Kita tidak boleh mengabaikan mereka. Malah, jika penulis lama ini masih berkeupayaan, bawa mereka menyertai program penulisan atau pertemuan penulis yang diadakan dalam dan luar negara supaya mereka rasa dihargai. BAHASA misalnya membawa Datuk R M Jasni menghadiri pertemun penulis di Miri, Kuala Lumpur, di Jakarta dan malah menghadiri program Seminar Ikatan Rakyat Sastera Budaya Indonesia-Malaysia di Medan Indonesia pada 24-27 Mei 2013 lalu.
Yang terakhir sekali golongan penulis lama itu bukan sahaja mesti dijaga dari segi kebajikan atau dari segi penyertaannya dalam program sastera, tetapi mesti juga diberikan penghargaan sewajarnya. Kerajaan mesti memberikan pelbagai anugerah sesuai dengan sumbangan mereka terhadap khazanah dan ketamadunan bangsa dan negaranya. Nampaknya Kerajaan Negeri Sabah masih terlepas pandang terhadap hal ini. Malah kerajaan negeri bukan sahaja tidak memberikan anugerah kepada penulis lama, penulis muda juga tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan. Bagaimana pun BAHASA terus menyuarakan hal ini di pelbagai peringkat, termasuk mendesak pemimpin dan wakil rakyat membawanya untuk dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah, seperti yang dilakukan BAHASA ketika mendesak kerajaan untuk menganjurkan Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah dan akhirnya dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, yang kemudian diserahkan kepada Lembaga kebudayaan Negeri Sabah bagi tujuan pelaksanaannya. 

Namun BAHASA bersama-sama GAPENA dalam usahanya memberikan perhatian sewajarnya kepada para penulis lama negeri Sabah, pernah memberikan anugerah Tokoh Penyair GAPENA kepada Datuk Jamdin Boyung sempena Hari Puisi Nasional yang diadakan di Membakut Sabah pada 9-11 Februari 2012. Begitu juga DBP Cawangan Sabah pernah memberikan anugerah khas kepada dua tokoh penulis negeri Sabah yang terkemuka dan berjasa terhadap pembangunan sastera negeri Sabah iaitu Hajah Dayang Salmah Salam dan Datuk Haji Mohd. Arifin Haji Mohd. Arif dalam satu majlis yang sunguh bermakna di Hotel Berjaya Palace di Kota Kinabalu pada tahun 2012.

DATUK R M JASNI, PENULIS LAMA GIGIH BERKARYA MERENTAS USIA

Sementara itu, Datuk R M Jasni mempunyai kedudukan yang istimewa dalam konteks sastera di negeri Sabah. Usianya sudah mencecah 77 tahun tetapi masih mempunyai kekuatan dalam melakukan sesuatu yang baik bagi perkembangan bahasa dan sastera negeri Sabah. Seperti kata-kata yang beliau selalu ungkapkan bagi memotivasikan diri sendiri agar terus menulis, berkarya dan bekerja, “Kita sebenarnya sentiasa muda, hanya terperangkap dalam tubuh badan yang tua”

          Beliau bukan sahaja mendapat perhaatian penulis yang lebih muda daripadanya, malah beliau sendiri banyak membantu golongan penulis di negeri Sabah meski pun dalam usia yang lanjut. Beliau masih berkeupayaan turun ke Kota Kinabalu dan ada kalanya memandu sendiri dan menemui penulis hanya semata-mata bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan penerbitan, program sastera, pembangunan penulis dan sebagainya. Semuanya beliau lakukan demi untuk kebaikan golongan penulis di negeri Sabah, dan itulah Datuk R M Jasni. Beliau bukan sahaja tidak disisihkan daripada perkembangan sastera, malah mengambil bahagian yang aktif dalam membangunkan dunia penulisan di Sabah.

Suatu hari beliau pernah memberi tahu penulis bahawa segala apa yang  beliau lakukan itu bukanlah untuk dirinya. Sekali-kali tidak. Tidak ada apa yang dapat dituai bagi seorang penulis yang seusia dirinya. Masa terlalu cemburu untuk dirinya, tetapi selagi boleh bergerak dengan kudrat empat keratnya, beliau terus membantu apa yang terdaya. Beliau gembira sekiranya golongan penulis di negeri Sabah akhirnya mendapat pengiktirafan, penghormatan dan jasa mereka dikenang di peringkat yang tertinggi. Beliau sentiasa mahu melihat lebih banyak buku ditulis berkaitan negeri Sabah, sama ada dalam bidang kreatif atau non kreatif, kerana dengan cara itu sahaja ramai golongan penulis negeri Sabah mendapat manfaat daripada bidang penulisan yang diceburinya. Beliau mahu melihat golongan penulis mendapat sedikit nikmat kehidupan daripada anugerah yang Allah berikan kepada mereka, supaya mereka terus menyumbang dan memberikan lebih banyak lagi untuk negara dan ketamadunan bangsanya.

Beliau mahu melihat, golongan penulis dan aktivis seni negeri Sabah ini sekurang-kurangnya mempunyai satu pusat dokumentasi penulis, atau pusat bahasa dan sastera, di mana mereka boleh berkumpul, membuat latihan, perbincangan yang santai sambil menghasilkan karya kreatif. Beliau mengimpikan biarlah pusat itu menjadi tumpuan golongan penulis dan karyawan bukan sahaja di negeri Sabah, malah di peringkat kebangsaan dan serantau. Satu pusat yang di dalamnya ada ruangan pengumpulan dan pameran dokuemntasi para penulis yang berjasa di negeri Sabah. Ada tempat menganjurkan forum dan seminar, malah menyediakan tempat penginapan bagi mana-mana penulis dan aktivis yang mahu berkarya atau berkumpul bagi merancang segala kegiatan seni bahasa dan sastera mereka dalam kos yang munasabah. Jika pusat dokumentasi ini menjadi kenyataan, BAHASA mencadangkan supaya ia diberi nama “Pusat Dokumentasi Datuk R M Jasni” sebagai penghargaan BAHASA dan penulis negeri Sabah terhadap sumbangannya.

“Pusat Dokumentasi Penulis dan Pusat  Budaya” itu nanti adalah bagi manfaat golongan penulis dan karyawan di negeri Sabah, dan jika menjadi kenyataan pusat itu bukan sahaja menjadi pusat sehenti atau “One stop centre” yang penting kepada golongan penulis, tetapi menjadi pusat tumpuan pelancongan di negeri Sabah. Malah mungkin kegiatan, “Sambutan Bulan Penulis” yang sudah pun dianjurkan kali kedua pada tahun 2013 dan insyallah akan dianjurkan secara berterusan setiap tahun di negeri Sabah, boleh diadakan di pusat ini.

          Inilah antara impian Datuk R M Jasni yang mungkin terlalu besar untuk direalisasikan, tetapi jika ada kesungguhan daripada pelbagai pihak, maka ia bukanlah sesuatu yang mustahil, kerana seperti yang selalu ditegaskannya, jika ada kemahuan dan komitmen, serta kesedaran akan pentingnya dunia penulisan sebagai perakam kegemilangan tamadun bangsa, harapan untuk kita melihat impian ini menjadi kenyataan bakal tercapai di negeri Sabah.

          Justeru, BAHASA bukan sahaja memberikan perhatian, malah menghormati Datuk R M Jasni, kerana beliau adalah tokoh penulis dan mentor ramai penulis muda dalam bidang penulisan.

Beliau telah menghasilkan sejumlah buku dan hasil karya yang besar dan penting bagi negeri Sabah. Beliaulah anak tempatan yang pertama menulis buku tentang sejarah negeri Sabah, beliau juga menulis buku yang berjudul “Semangat perjuangan Paduka Mat Salleh dan Saham Kaum Dusun Menentang Penjajah”, seterusnya menulis buku tentang suku kaum Murut yang berjudul “Sejarah Pemberontakan Antanom”. Selain itu beliau juga menulis buku biografi yang berjudul “Anak Sisa Peperangan” yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2006.

          Malah tidak ramai yang mengetahui bahawa dalam usia beliau yang sudah mencecah pertengahan 70-an itu, beliau masih terus gigih menulis. Beliau kini sedang menyiapkan sebuah novel berlatar-belakangkan kehidupan dan alam Maliau Basin, yang mungkin berada di pasaran dalam tempoh terdekat. Beliau juga bercita-cita menulis sambungan buku biografinya, seterusnya gigih menghasilkan sejumlah puisi dan cerpen yang mungkin boleh dibukukan suatu hari nanti. Malah penulis, bersama-sama beliau dan Dr. Chacho Haji Bulah, kini sedang gigih menyiapkan di peringkat akhir proses penulisan sebuah buku berkaitan sejarah dan pembangunan semasa era pemerintahan parti BERJAYA antara tahun 1976 hingga tahun 1984 di negeri Sabah. Buku itu berjudul “Sejarah Parti BERJAYA” dan bakal diterbitkan Penerbit Iris Publishing & Distributor. Sebuah novelnya yang terbaru berjudul “Kasih Sepanjang Jalan” juga bakal diterbitkan DBP dalam tempoh terdekat.

PENUTUP

Semoga kerajaan dan semua pihak termasuk badan-badan penulis, agensi bahasa dan sastera seperti DBP, suatu hari nanti menghargai jasa penulis lama negeri Sabah yang tidak ternilai itu. Kita juga mengharapkan para penulis lama ini terus diberikan perhatian, sama ada dari segi kebajikan, peluang penerbitan karya, atau mendapat pengiktirafan dan penghargaan dari kerajaan.

          Diharapkan juga kertas kerja ini dapat memberikan definisi yang betul dan tepat tentang istilah “Penulis lama” seterusnya dapat memerikan jenis perhatian yang wajar terhadap penulis lama seperti Datuk R M Jasni Datuk Jamdin Boyung, Hajah Dayang Salmah Salam, Emin Madi, Tuan Haji Hussein Qasau, Azmah Nordin, Hajah Rubiah Nordin, Ramli A R, Abdul Karim Gullam, Hassan Saprin, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Hajah Zaiton Haji Ajamain, Arifin Arif (sekadar menyebut beberapa nama). Sekali lagi, semoga mereka ini terus mendapat limpah kurnia-Nya, dihargai, diberikan perhatian, dan malah diberikan imbalan sewajarnya sesuai dengan sumbangan mereka selama ini.


PENERAPAN UNSUR KEINDAHAN TUTUR BUDAYA DALAM MANTERA MELAYU

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
Oleh: Hj.Jawawi Hj.Ahmad (HJR).

Bismillahir rahman nirahim
pembuka kata pembuka gerak
pembuka segala kunci
pembuka segala rezeki
gerak ke kiri gerak ke kanan
gerak ke depan gerak ke belakang
gerak Melayu, gerak pendekar
gerak pendekar, gerak penawar
gerak di dalam gerak
gerak di dalam, gerak di luar
gerak bunga,gerak nadi,gerak tari
gerak segala gerak,gerak penjaga gerak
gerak siang, gerak malam
gerak malam ke siang, gerak siang ke malam
terlindung terikat, terkunci dalam kunci.

Sebagai sebuah bangsa serumpun, dan sebagai tanda setiakawan persaudaraan dan berjiran, apatah lagi kita adalah berasal dari rumpun yang sama, maka ada baiknya saya melihat sekilas pandang mengenai kata-kata yang digunakan dalam merantang tutur budaya ilmu yang saya rasa sesuatu yang juga perlu diketengahkan kepada generasi baru yang tidak mengetahui bahawa suatu ketika dulu seperti ilmu pengasih, ilmu pemugai dan seumpamanya adalah sebagai senjata lidah dan tutur budaya sebilangan masyarakat kita untuk mendapatkan sesuatu yang mereka hajati.

Dalam masyarakat Melayu, tutur budaya adalah merupakan satu bidang kesenian, manakala kesenian itu pula adalah sebahagian daripada kebudayaan. Maka melalui tutur budaya inilah akan terpancar gambaran keadaan atau corak kebudayaan Melayu. Maksudnya daripada tutur budaya itu, kita dapat melihat cara hidup, fikiran, sikap dan peradapan bangsa Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, tutur budaya sering digambarkan melalui dalam bentuk puisi, seperti pantun, syair, seloka, gurindam, mantera dan sajak. Kerana sikap bangsa Melayu yang begitu sensitif terhadap apa yang ada di sekeliling mereka terutama peristiwa yang boleh memberikan kesan yang kuat dalam diri mereka, lalu mereka gambarkan melalui peciptaan dalam kesusasteraan sama ada cara prosa atau puisi.

Dalam beberapa bentuk genere sastera tradisional ini, mantera adalah salah satu daripada yang berfungsi untuk mempengaruhi masyarakat yang ada, kerana mantera yang sering wujud dalam perasaan dan praksangka masyarakat itu sendiri. Mantera mengikut pandangan orang tua-tua dahulu adalah merupakan satu cara kehidupan untuk kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai hasrat untuk memiliki, disukai dan adakalanya untuk perkara-perkara yang tidak diingini. Mantera mengikut kamus Bahasa Melayu Nusantara bermakna: kata-kata atau ayat yang apabila diucapkan dapat mendatangkan atau menimbulkan kuasa ghaib. Dan memberi makna susunan kata berunsur puisi (seperti rima dan irama) yang dianggap mengandungi kekuatan ghaib, biasanya diucapkan oleh dukun atau pawang untuk menandingi kekuatan ghaib yang lain. Maka dengan adanya tutur budaya yang serupa di antara masyarakat di nusantara ini, akan terserlahlah lagi perpaduan dalam menyatukan bangsa yang ada di muka bumi ini khususnya di Alam Melayu dan Nusantara. Dalam konteks ini tidaklah ada nanti yang akan mendabik dada bahawa mereka adalah besar dan lebih daripada bangsa yang lainnya.

Walau bagaimanapun, komunikasi yang meluas dalam masyarakat global yang ingin nemproses dunia menjadi lebih kecil pasti mendatangkan akibat lain. Sebabnya apabila kita ingin untuk menjadikan globalisasi itu sesuatu yang menyangkut dalam kehidupan kita, maka tidaklah ada nanti kelompok manusia yang memencilkan dirinya. Kerana dalam kehidupan negara yang berbilang kaum ini, setiap individu hendaklah yakin betapa mustahaknya mereka memiliki sesuatu yang bersifat kebangsaan untuk dijadikan sebagai teras pembangunan negara bangsa dan mereka hendaklah juga menjiwai bersama adat mejoriti bangsa yang ada berlandaskan keharmonian dan kesetiaan.

Untuk menjadikan masyarakat global ke arah yang lebih terarah kehidupannya, maka kita sebagai sebuah bangsa, tidak kira bangsa Brunei, Malaysia atau Indonesia harus bangkit memajukan diri kita iaitu memperbaiki dan mengisi ketertinggalan kita, kita mesti bergerak mempertahankan tutur budaya kita dengan derap langkah yang nyata, supaya kita dapat bertahan sebagai sebuah negara bangsa yang dipandang dan dihormati di arena antarabangsa.

Sebagai masyarakat yang hidup dalam dunia Melayu, kita tidak dapat melarikan diri daripada budaya hidup dikandung adat dan mati dikandung tanah. Tutur budaya dalam masyarakat kita mempunyai fungsi yang besar dalam kehidupan kita sehari-hari, melalui tutur budaya yang kita
warisi ini juga boleh membantu kita mengwujudkan pendidikan moral yang tinggi di samping mengawal kebudayaan bangsa.

Dalam konteks puitisnya tutur budaya kita ini, ia adalah merupakan ilmu yang berkaitan dengan ilmu dalam diri, walaupun adakalanya kita tidak tahu makna perkataan yang dirantang, namun ia tetap merupakan sesuatu yang praktikal dalam rantangan ilmu tersebut, seperti ilmu pengasih, pemugai, mengukur senjata, menimbulkan buaya, memakai songkok dan seumpamanya, adalah sesuatu yang amat menarik untuk diketahui sebagai pengetahuan cara kehidupan sebilangan masyarakat Melayu zaman dahulu yang mengamalkan ilmu seumpama ini, malah mungkin ada yang mengamalkan sehingga sekarang. Ilmu seumpama ini sering juga menyebut nama Allah, atau di akhir kata-kata menyebut berkat lailahaillallah, Muhammad rasulullah.

Dalam Surah Ali’imran, ayat 14, juz 3, adalah ayat untuk kita mencari jodoh. Caranya ialah dengan cara membaca ayat ini: Zuyyina linnaasi hubbusy syahawaati minan nisaa-i wal baniina wal qanaathiiril muqantharati minadzdzahabi walfidh-dhati wal khailil musawwamati wal an ’aami wal hartsi dzaalika mataa‘ul hayaatid dunyaa wal laahu ‘indahuu husnul ma-aab. Maknanya: (Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, hewan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik).
Selesai membaca ayat ini, tiupkan ke tapak tangan tiga kali, sambil membayangkan wajah orang yang dihajati, kemudian sapukan ke muka, insya-Allah, dengan izin Allah dan atas keyakinan kita, orang tersebut akan merindui kita. Wallahu’alam.

Di bawah ini diperturunkan serba sedikit mantera tutur budaya kita sekadar contoh untuk diketahui bersama:
ILMU MIMPI:
Rusa rusi,
zat Allah ta’ala
bukan aku mengerakkan
cupak gading jana
nama istanamu
eh! rohani jangan engkau bersanang fikir
aku tau asal mulamu jadi
(si anu binti/bin si anu)
mani setitik darah sekumpal
sewujud dengan dikau
--------
--------
--------
terbuka pintu ketujuh.
MEMAKAI SONGKOK:
Hai! nur kasihku
nur cahaya Muammad
dipandang segalanya manis
manis madu selautan
manis lagi paras wajahku
gagah harimau di hutan
gagah lagi tubuh badanku
berkat lailahaillah
Muhammad rasullah.
PENGASIH:
Ya...rohmu
yang sidi yang sakti
mulih kadiaku
asalmu aku
aku tahu asal mulamu
berasal tanah sekumpal
setitik air basah rohmu
bergerak jangan bepaluh jangan
minta-minta hatimu
(si anu anak si anu)
rindu dendam pada wajahku
berkat...
PIKASIH SEKAMPUNG:
Kutiupkan pikasih sekampung
kusandang bunga si rawa-rawa
bila ditilik hati biskita kasih
bila ditantang tertawa-tawa
berkat sibur kasih
menikam sakti di hujung lidah
berkat aku memakai pikasih sekampung
semua tunduk kasih sayang padaku
berkat...
MENGUKUR SENJATA:
Berajung
berkapal
bersampan
inda bertali
berbaju
bertampal
inda makan sekali-kali.
MEMINDAH HUJAN:
Di sini kepala kerapu
di sana kepala beruang
di sini bagai di sapu
di sana bagai di tuang.
MELEMBUTKAN HATI ORANG:
Hei, maktar...diam!
terlatak engkau di dalam alam nak’furah.
(tiupkan ke muka orang yang marah,
eloknya di bawah angin).
CAHAYA MUKA:
Bismillahir rahmanir rahim
hidupku hidup Allah
jasadku jasad Muhammad
rupaku cahaya
kulitku birahi
berkat...
KELAMBU TIDUR/SELIMUT TIDUR
Bismillahir rahmanir rahim
ya raabi, ya tuhanku
ya saidi, ya maulai
lindungi hamba-Mu, lepaskan daripada bala-Mu
tolakkan daripada bahaya-Mu, dengan syafaat rasullah,
kun kata Allah, payakun kata Muhammad, rabikun kata zabaril,
panabillah, halifullah, hayakun, payakun,azaraha, majaruhu,
munifihi mahkota balan, aiwallan, innallah na’ala kulissaheeinkadir,
tawakallazi layamut.
kuserahkan diriku kepada tuhanku yang hidup tiada mati,
untung baik daripada Allah, untung jahat daripada Allah,
kata Allah mati, kata Muhammad tiada mati sekali-kali dengan izin Allah ta’ala,
memutukan sekalian sator, patah padang tiada dapat dipijar, patah besi dapat dipijar, insya-Allah ta’ala. salasah, selisih, salamun, kaulan, mirrabbihim,
hak kata Adam, hak kata Muhammad, hak kata Allah, Jallilullah, Jamillullah,
dikata mati tiada mati, barang yang bernyawa tiada berhawa kepadaku,
hanya yang lebih nyawa Allah ta’ala menjadikan sekalian alam.
Berkat laillahaillallah, berkat Muhammad rasullah.
KATA MUSA:
(waktu kedatangan kepumpungan)
Bismillahir rahmanir rahim.
Musakallamullah kupandang pintu langit, Kun terbuka aku tiada dilawan sekalian bernyawa, berkatku memakai kata nyawa, kayu dan batu serta dengan hukum Allah. SUNYI...ALLAH.
BALIK SUMPAH:
Summunbukmun Aumyumpahum LAYARGIUN
Summunbukmun Aumyumpahum LAYAKLAMUN
SummunbukmunAumyumpahum LAYUPBASSIRUN
Summunbukmun Aumyumpahum LAYAKKILLUN
Summunbukmun Aumyumpahum LAYATAKALAMUN
______________________
______________________
______________________
terbang ke laut patah pinggangmu,
terbang ke darat patah kakimu,
LANGGAH ke atas mutah darah,
kau tunduk mutah nanah tabalak, tabalik
jika iblis tabalak kepada iblis
jika syaitan tabalak kepada syaitan
jika hantu tabalak kepada hantu
jika manusia tabalak ke manusia, tabalak ke manusia.
__________________________
___________________________
___________________________
___________________________
___________________________
Demikianlah betapa puitisnya tutur budaya yang digunakan oleh masyarakat kita dalam merantang ilmu yang dimiliki, walaupun pendidikan mereka hanya berguru dengan alam dan pergaulan kehidupan seharian, tetapi keyakinan dalam diri atas usaha yang mereka buat menjadikan segalanya jadi suatu kenyataan dan realiti dalam kehidupan. Tidak juga kita nafikan, kesan pendidikan daripada kitab suci al-Quran, menjadikan masyarakat kita suatu ketika dulu memperolehi ilmu melalui makna yang ditafsirkan oleh para mualim dan pendakwah. Tercetusnya kata-kata mantera tersebut ialah kerana keadaan kehidupan masyarakat kita zaman tersebut merupakan masyarakat yang kuat dengan adat susila, pemalu, suka berkias ibarat, tidak berani berterus terang dan seumpamanya. Walau bagaimanapun peranan bomoh di zaman itu adalah merupakan kunci utama kepercayaan masyarakat untuk menerima rawatan dan perubatan, rata-rata bomoh ini memperolehi ilmu tersebut melalui mimpi yang diturunkan kepada mereka, selain ilmu yang diwarisi turun-temurun.

Kesimpulannya, sebagai sebuah negara bangsa Melayu yang berasal dari satu rumpun yang sama di Alam Melayu ini, kita tidak dapat nafikan bahawa angin perubahan lambat laun akan bertiup juga dalam kita menghadapi kehidupan dunia tanpa sempadan ini, khususnya kehidupan generasi muda di zaman serba mencabar ini. Tetapi kita tetap berkeyakinan bersama iaitu sebagai bangsa Melayu yang dibesarkan oleh adat istiadat Melayu dan tutur budaya bangsa dan bahasa Melayu, tetap akan sama berwaspada dan bertanggungjawab untuk mempertahankan peribadi bangsa dan jati bangsa kita yang tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam yang maha suci.

Betapapun besarnya dosa anak Melayu itu jangan dibunuh, kecuali jika ia derhaka. Kerana bumi dan tanah ini adalah dirinya, yang lahir dan mati di atasnya

RUJUKAN:
Haji Jawawi Haji Ahmad, Keindahan dan Keunikan ‘Bahasa Beradat’ Sebagai Khazanah Sastera di Brunei Darussalam: Sepintas Lalu, Kertas Kerja Seminar Kesusasteraan Brunei anjuran ASTERAWANI dengan kerjasama Pusat Kajian Brunei, Universiti Sumatera Utara, Medan, Indonesia, 26-28 Sept. 2001.

_____________________Kumpulan Kertas Kerja ‘ Ragam Bicara ’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam.

Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Yahya bin Haji Ibrahim, ‘ Menghadapi Kurun Kedua Puluh Satu’ Tinggal Landas Ke Abad 21, DBP Brunei, 1994.

Dr. Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, ‘ Kebudayaan Brunei: Antara Identiti dan Pembinaan Bangsa’, Cerocok Budaya Brunei, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, 1999.

Dr. Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, Sastera Tradisional Brunei, Buku Riak Sastera Darussalam, 1994.

Asmira Suhadis, Muka Buku (FB).

Perbualan Lisan dengan Yang Mulia Haji Kamaluddin bin Haji Momin, Perumahan Negara Kampong Lambak Kanan, Berakas, Brunei Darussalam.

Perbualan Lisan dengan Yang Mulia Haji Bagol bin Haji Momin, Jalan Gadong, Brunei Darussalam.

Perbualan Lisan dengan Allahyarham Pak Rivai, Pontianak, Indonesia.




PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA