Jumaat, 28 Jun 2013

MEREKAYASA CITRA SASTERA BORNEO: IDENTITI DAN KREATIVITI

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim
Universiti Brunei Darussalam
Ketua I ASTERAWANI


Tema Dialog Borneo-Kalimantan Ke-11 2013 ini bagi saya sangat menarik sekali kerana  dapat membicarakan  citra sastera itu  dari banyak hal dan antaranya yang terpenting adalah dari segi identiti dan kreativiti.   Anggapan umum yang mengatakan “karya sastera tidak turun dari langit” adalah hal yang penting yang mengangkat fungsi pengarang  sebagai agen yang  menciptakan dan menonjolkan identiti dan  kreativiti tersebut. Walaupun kewujudan mereka sebelumnya  tersorok  dalam tradisi budaya lisan,  namun pengarang sebagai ahli masyarakat secara tidak langsung masih dapat menonjolkan  citra sastera masyarakat yang diwakilinya. Dalam kertas keraja  ini lebih memfokaskan kepada sastera Brunei sebagai warga sastera Borneo memandangkan keterbatasan pengetahuan dan kurangnya pendedahan mengenai karya sastera warga Borneo yang lain.

“The author is dead” atau pengarang telah mati mungkin menjadi bahan perbinangan dalam melihat  karya-karya sastera Melayu tradisional kerana sifatnya yang sepunya,  milik bersama dan pengarang sebagai ahli masyarakat dapat menonjolkan identiti dan juga secara terbatas masih dapat memperlihatkan  kreativti yang diterima oleh  masyarakat secara kolektif.   Syair Awang Semaun, Syair Rajang, Syair Takbir,  Diangdangan dan cerita-cerita rakyat  Brunei  adalah antara contoh karya-karya sastera Brunei tradisional yang penciptaannya dapat menonjolkan identiti orang Brunei sebagai orang Melayu yang berkebudayaan Melayu, beragama Islam dan hidup dalam sebuah negara yang diperintah oleh seorang raja.  Penonjolan  inilah  yang membezakan karya-karya ini dengan karya-karya sastera Melayu moden yang lebih bersifat individual atau peribadi.  

Lama sebelum  orang Brunei menerima Islam, mereka mempercayai Tuhan Dewata yang telah memberikan mereka kekuasaan sehingga orang yang diberikan kekuasaan tersebut dapat bertindak menyerupai  tuhan apabila mereka boleh menghidupkan seseorang yang telah mati. Bujang Sigandam dalam Diangdangan Bujang Sigandam misalnya telah menghidupkan Raja Hitam yang telah dibunuhnya setelah pertarungan mengadu kesaktian berlaku akibat kesalahan Bujang Sigandam sendiri yang merampas  tunang Raja Hitam.  Dalam cerita-cerita rakyat Brunei terdapat cerita-certia yang megenengahkan kepercayaan animisme yang antaranya mempercayai penunggu pokok atau seumpamanya. Setelah Islam datang ke Brunei, maka orang Brunei pun menerima Islam apabila  raja mereka memeluk agama Islam. Awang Alak Betatar adalah raja Brunei yang pertama memeluk agama Islam seperti yang diceritakan dalam Syair Awang Semaun atau Silsilah Raja-Raja Brunei dengan nama Islamnya  Sultan Muhammad.  Sejak  itu,  sistem pemerintahan beraja telah diwarisi oleh orang Brunei secara  turun termurun seperti yang tercatat di dalam Silsilah Raja-Raja Brunei.  Kesetiaan kepada raja sebagai ketua negara yang memerintah,   jujur, amanah dan sepakat dalam  melaksanakan perintah raja terdapat di dalam Syair Awang Semaun.  Ungkapan “Pantang orang Melayu derhaka kepada raja”  juga memperlihtkan identiti yang menyerlahkan citra  orang Melayu yang taat setia terhadap rajanya.

Kepercayaan animisme dan Hindu yang telah diamalkan oleh orang Melayu sekian  lama adalah  sukar untuk dihapuskan kesemuanya walaupun  orang Melayu Brunei telah memeluk dan mengamalkan ajaran agama Islam iaitu  agama yang mengakui bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa dan berhak disembah. Tiada Tuhan selain daripadaNya yang berkuasa memberikan  segala kebaikan dan keburukan.  Kepercayaan terhadap ramalam hari baik dan buruk bagi melakukan sesuatu pekerjaan adalah antara contoh kepercayaan animisme atau  Hindu yang secara umum masih  membudaya dalam masyarakat Melayu. Mereka mempercayai sesuatu hari atau saat mempunyai kebaikan dan keburukan bagi melakukan sesuatu kegiatan atau pekerjaan. Mereka mempercayai sesuatu perkara yang berlaku itu mempunyai ramalannya yang tersendiri dan perlu dihindari dengan  melakukan “tolak bala”. Kepercayaan  seperti ini biasanya diwarnai atau  disesuaikan dengan ajaran agama Islam yang baru mereka anuti.   Misalnya dalam kepercayaaan rajang, satu haribulan (mengikut kiraan tahun Hijrah)   dilambangkan dengan kuda dan pada hari tersebut diramalkan baik untuk bercucuk tanam dan belayar.  Dua haribulan dilambangkan dengan kijang dan pada hari  tersebut diramalkan tidak baik terutama  jika beranak kerana anaknya akan menjatuhkan maruah ibu bapanya.  Di dalam Syair Takhir,  jika terdapat kejadian-kejadian ganjil yang berlaku dalam kehidupan seseorang  misalnya  ayam jantan bersetubuh di atas bumbung rumah, maka kejadian itu diramalkan  membawa sesuatu yang tidak baik terhadap  sipemilik rumah dan pemilik rumah mestilah melakukan “tolak bala” dengan memberikan makanan atau barang kemas  kepada fakir miskin sebagai sedekah bagi menjauhkan bala benjana yang bakal terjadi.

Budaya tulisan yang diperkenalkan secara meluas di Nusantara setelah Islam mula bertapak, telah mendidik  pengarang  untuk  mempertanggungjawabkan setiap  karya yang mereka hasilkan. Maka sejak itu peranan pengarang lebih menyerlah dalam  menonjolkan identiti dan kreativiti mereka dalam setiap rekayasa sastera.  Dato Iman Yakub telah menulis Silsillah Raja-Raja Brunei yang memperlihatkan warna lokal yang mempunyai kesamaan dan kelainan jika dibandingkan dengan karya-karya Nusantara dalam genre yang sama.  Pengiran Shahbandar Mohd Salleh dengan Syair Rakisnya  telah dianggap sebagai pelopor sastera Moden Brunei yang tentunya dapat dijadikan  perbandingan dengan Abdullah Munsyi iaitu pengarang yang dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu Moden. Muda Omar Ali Saifuddien dengan karya-karya syairnya seperti Syair Perlembagaan Negara Brunei, Syair Asli Rajang Hari, Syair Rajang Jenaka, Syair Nasihat, dan Rampai Laila Syair adalah penyair diraja yang dalam karyanya memperlihatkan warna lokal dari segi bahasa, pemikiran dan kreativiti yang tentunya boleh dibandingkan dengan Raja Ali Haji seorang penyair diraja Riau.  Malah Muda Ali Saifuddin dianggap sebagai penyair diraja di Nusantara terakir yang menulis syair.

Sebagai penyair diraja terakhir, karya-karya Muda Omar Ali Saifuddien tidak terlepas daripada menonjolkan citra sastera Brunei atau Borneo  melalui pemikiran dan gambaran budaya  dan  latar karyanya.  Syair Perlembagaan berlatar belakangkan budaya dan pemikiran disekitar proses memateri perlembagaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1955. Latar pemikiran dan budaya yang sedemikian jarang atau tidak mungkin dapat ditemukan  dalam ciptaan atau rekayasa mana-mana syair Melayu sebelumnya.  Begitu juga dengan  Latar tempat dan latar budaya banyak membantu dalam menonjolkan identiti  karya sastera Brunei.  Syair Asli Rajang Hari misalnya berlatar belakangkan istana dengan watak   raja yang memberikan nasihat kepada putera puterinya. Hal ini memberikan gambaran yang jelas tentang identiti karya dan pengkarya iaitu  Muda Omar Ali Saifuddien sebagai seorang penyair  diraja abad ke-20, yang  naik takhta sebagai Sultan Brunei yang ke-28.   Sementara itu latar tempat dan pemikiran dalam Syair Rakis juga adalah contoh karya sastara Brunei yang  dianggap  memberikan citra kepada sastera Borneo.  Pulau Borneo  yang dibahagikan atau mengandongi beberapa wilayah politik iaitu Brunei, Kalimantan, Sabah dan Sarawak yang dulunya dibawah jajahan Inggeris dan Belanda telah cuba digambarkan oleh Pengiran Shahbandar Mohd Salleh melalui karyanya apabila ia secara langsung dan  tidak langsung telah memberikan nasihat kepada Sultan Brunei ketika itu dengan merujuk kepada wilayah-wilayah Borneo dan sekitarnya seperti Sambas, Labuan, Sarawak, Singapura, dan Acheh sebagai iktibar.

Salah satu contoh karya  yang  pernah saya baca yang mengemukakan dengan lebih jelas latar tempat, budaya dan pemikiran salah satu wilayah Borneo  ialah novel  Bagaton karya Amil Jaya.  Novel ini memaparkan  budaya dua suku kaum di Sabah iaitu kaum Dusun dan Kaum Bajau.   Kedua-dua kaum ini tinggal di dua perkampungan yang berjauhan iaitu Kaum Dusun tinggal di Lasau yang masyarakatnya  hidup dengan bercucuk tanam khususnya bertanam padi. Sementara kaum Bajau tinggal di Kampung Pirasan yang masyarakatnya hidup bertanam tebu dan menternak binatang.  Kaum Dusun di Lasau dalam novel tersebut digambarkan  sebagai sebuah masyarakat yang mengamalkan tradisi  ngayau  atau  memburu kepala manusia.  Pemuda  yang berjaya memperolehi kepala manusia dalam tradisi ngayau   akan mendapat penghormatan daripada masyarakatnya dan disukai oleh  kaum wanita yang masih bujang kerana ia  melambangkan keberanian  dan  jaminan  bahawa lelaki tersebut mampu menjaga keselamatan wanita yang dikahwininya.  Aktiviti Ngayau ini secara tidak langsung telah membentuk sifat kaum Dusun yang pemberani,  tidak bertimbang rasa, kasar, dan mencintai kaum sendiri yang membawa kepada perkauman apabila kaum lain dianggap sebagai sumber untuk mengangkat kehormatan dan harga diri kaum mereka. Kepala manusia daripada kaum lain perlu dipenggal untuk memperlihatkan atau mengangkat status mereka. Pembunuhan dianggap perkara biasa dan berlaku sewenang-wenengnya dalam masyarakat kaum tersebut. Amalan yang sedemikian  telah menjadi adat budaya turun temurun kaum Dusun,  namun   pada masa  ini tentu nya sudah berkurangan atau mungkin tidak wujud lagi akibat pengaruh kemodenan, kepercayaan dan sistem pendidikan yang diterima.

Kedua-dua kaum ini mempunyai kepercayaan yang tersendiri berdasarkan latar belakang budaya dan kehidupan yang dianuti.  Kaum Baju   di dalam novel tersebut diceritakan beragama Islam yang mempercayai Allah S.W.T sebagai tuhan yang berkuasa atas segalanya.  Allah S.W.T  yang  berkuasa menghidupkan dan mematikan. Dengan kepercayaan tersebut, kaum Bajau mempercayai bahawa setiap yang mati,  rohnya akan ditempatkan di alam berzah.  Untuk menjadikan roh simati mendapat rahmat, orang Islam hanya mampu berdoa, memohon kepada Allah S.W.T supaya roh simati akan ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh, diberikan rahmat, selamatkan dan terpelihara  daripada siksa kubur dan hari pembalasan di akhirat nanti.  Sementara itu kaum Dusun memegang kepercayaan tradisi mereka iaitu memyembah Kinoringan. Dalam masyarakat kaum Dusun, mereka mempercayai bahawa apabila seseorang daripada kaum mererka  itu menginggal dunia, maka  mayatnya mestilah  disimpan di dalam tempayan keranda yang disebut sebagai Bagaton.   Bagaton inilah yang digunakan sebagai  tempat menyimpan raga si mati yang dipercayai akan  pergi dan berada di Puncak Kinabalu. Bagi mereka, jika tidak  ada Bagaton,  maka jasad si mati   akan kedinginan kerana Puncak Kinabalu tertalu sejuk.  Oleh itu adalah menjadi kewajiban  seorang ayah menyediakan Bagaton untuk anaknya. Seorang ayah akan berusaha dan berkerja keras untuk mendapatkan Bagaton  walau dengan apa cara sekalipun.  Dalam novel  ini,    Maragang  telah berusaha membeli  Bagaton untuk  anaknya Punti, bersusah payah membawanya dengan meredah hutan  tebal dan menyeberangi sungai yang airnya deras.  Hal ini memperlihatkan kepentingan dan keperluan Bagaton kepada kaum Dusun yang diwakili oleh Maragang.

Kepentingan dan keperluan Bagaton dalam novel ini  juga telah diterjamah sendiri oleh Maragang melalui anaknya. Ia telah mamasukan Punti yang baru saja dilahirkan ke dalam Bagaton dan memandikannya di sana.   Teriakan tanggis dan gerakan anaknya yang terkapai-kapai di dalam Bagaton dianggap sebagai  teriakan pengakuan bahawa itu adalah Bagaton miliknya.  Daki atau kotoran  yang jatuh ke dalam Bagaton akan membuat roh  anaknya  akan kembali ke dalam Bagaton apabila mayatnya tidak berada di  tempatnya iaitu berada di tempat Jamji (suaminya daripada kaum Bajau) yang hendak dikebumikannya  secara Islam.  Bagi memanggil roh anaknya tersebut, upacara pemujaan Bagaton telah dilakukan. Dalam upacara itu,  Ketua  agama kaum Dusun yang dikenali sebagai Mobolian atau Bobolian, akan membaca jampi dan kemudian akan menaburkan beras dan sirih pinang ke atas badan seekor kerbau jantan yang  diikat untuk disembelih.  Bagaton besar diturunkan dari rumah dan  diletakkan dekat  leher kerbau tersebut, kemudian kerbau itu pun disembelih  dan darahnya dimasukan di dalam Bagaton. Mobolian akan melumurkan tangannya dengan darah kerbau di dalam Bagaton sambil membaca mantera, dan kemudian darah itu dipalitkannya ke dahi ibu dan ayah Punti iaitu Sangkurad dan Maragang. Mobolian terus membaca mantera, memohon kepada tuhan mereka iaitu Kinoringan supaya Bagaton yang suci itu dapat memanggil roh Punti pulang kepada mereka.

Setelah mayat Punti berjaya dibawa kembali ke dalam puak mereka, maka upacara adat pengkebumian pun dilangsungkan. Mayat Punti pun dipakaikan dengan Gonob yang berwarna hitam iaitu sejenis kain sarung yang  pendek (panjangnya dari paras pinggang hingga ke lutut sahaja). Bobolian kemudian menyuapkan sirih dan pinang ke mulut Punti. Perhiasan-perhiasan juga dikenakan ke tubuh Punti seperti  kalung,  cincin, gelang kaki dan pisau raut. Bobolian sebagai ketua upacara kemudian mengarahkan bomoh lelaki orang Dusun yang disebut sebagai Tantagas untuk memasukkan mayat Punti ke dalam Bagaton. Beberapa orang Tantagas masuk ke dalam dan mendekati mayat Punti. Mereka membaca mantera bersama-sama dengan Bobolian. Mereka memohon kepada Kinorongan supaya menerima mayat Punti sebagai penghuni syurga di puncak Kinabalu. Memohon restu semoga perjalanan Punti mendaki gunung Kinabalu selamat.   Kepercayaan kepada Kinorongan dan keperluan Bagaton dalam kepercayaan tersebut menjadi inti kepada adat dan kebudayaan masyarakat Dusun dan sebagai  identiti kepada karyanya  walaupun pengarangnya bukan warga daripada wilayah yang diceritakan tetapi sekurang-kurangnya pengarang telah menyelidiki dan menghayati secara langsung atau tidak langsung kebudayaaan masyarakat yang diceritakannya.

Selain citra melalui  penonjolkan identiti dalam karya yang dinyatakan di atas, citra sastera Borneo juga dapat dilihat berdasarkan kreativiti penyair atau  pengkarya/pengarang karya sastera Borneo itu sendiri. Kreativiti bolehlah diertikan sebagai kebolehan atau keupayaan untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk baru melalui kemahiran imaginasi. Ia melibatkan kupayaan berfikir yang dapat melahirkan idea baru yang unik dan menarik,  dan karya yang menarik tentunya  tidak terlepas daripada unsur   keindahan yang segar. Pengkarya atau pengarang perlu sentiasa secara sedar memperindahkan karya kreatif mereka sesuai dengan maksud  ciptaan kreatif, yang memaksa setiap pengkarya atau pengarang mencipta sesuatu yang baru dan terus menerus  memperindah ciptaan mereka. Misalnya Chairil Anwar adalah penulis angkatan 45 yang telah menciptakan sesuatu yang baru, menciptakan citra penulisan angkatannya  yang berbeza dengan penulis angkatan Pujangga Baru dan Balai Pustaka.  Kata, frasa dan unggapan yang digunakan sangat bertenaga yang semacam penentangan kepada gaya pengucapan  yang lemah gemulai penyair-penyair angkatan  sebelumnya.  Gaya ini sangat mengesankan  pada waktu itu malah sehingga   sekarang ini puisi Chairil Anwar terasa masih segar, nada tegas dengan alunan yang pendek-pendek dan cepat yang menunjang temanya misalnya puisinya yang  berjudul “Aku” seperti di bawah:
                       
AKU

Kalau sampai waktuku
‘Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak perduli

Aku mau hidup seribu tahun lagi


Chairil Anwar
Maret 1943


Jika kita mahu mengwujudkan citra sastera  Borneo yang lebih kedepan, tentunya para penyair atau penulis Borneo  mampu menghasilkan puisi-puisi baru seperti Chairil Anwar menciptakan puisi-puisi baru yang berupa penentangannya terhadap puisi-puisi ciptaan penyair-penyair angkatan Balai Pustaka dan Punjangga Baru yang dianggapnya menghasilkan puisi-puisi yang sudah klise.  Hal ini mungkin dapat diwujudkan dengan cita-cita dan keazaman yang tinggi, yang tentunya bukan mudah dan perlu disertai dengan ilmu. Pemenang hadiah novel bagi kesusasteraan kebanyakannya diberikan kepada para penulis yang menyendiri yang ingin menciptakan sesuatu yang baru.  Para penyendiri-penyendiri tidak mementingkan kuantiti tetapi mereka lebih mementingkan kualiti sehingga apabila karya mereka terhasil akan menjadi sebuah  karya unggul atau agong pada zamannya.

Di Brunei Darussalam terdapat beberapa orang penulis yang  cuba berjinak-jinak ke arah itu dengan  menciptakan karya-karya eksperiman dengan tujuan menciptakan gaya penulisan yang berbeza dengan gaya penulisan sebelumnya dengan tidak mengabaikan aspek keindahan.   Muslim Burmat misalnya melalui cerpennya bertajuk ‘Pohon-Pohon di Alps”, telah menulis dengan   gaya realisme. Watak utama yang mencemburui kekasihnya yang diajak keluar oleh seorang lelaki  tidak dinyatakan secara langsung dengan kata oleh penulis perasaan cemburunya  tetapi dinyatakan secara tidak langsung melalui aksi atau gerak  laku watak. Penulis yang dulunya bersifat serba tahu dan berkuasa kini  hanya bertindak sebagai pemerhati dengan  tidak memasukkan pendapat dan pandangannya.  Penulis lebih bersifat objektif dalam bercerita dan gaya bercerita yang sedemikian pada waktunya adalah suatu gaya baru yang indah. Gaya ini kemudian menjadi ikutan kepada para penulis yang lain sehingga gaya tersebut sudah tidak dianggap baru dan indah lagi. Disinilah cabaran para punulis untuk merekayasa  karya sastera dengan gaya baru lagi. Penulis perlu mencari dan terus menerus mencari berbekalkan  ilmu dan daya kreatif masing-masing bagi menghasilkan sesuatu yang baru dan indah.

Sebagi sebuah karya seni, para penulis sama seperti  para pelukis dan para pemuzik dalam menghasilkan karya masing-masing.  Pelukis berusaha menciptakan lukisan dengan campuran warna dan teknik mewarna yang seimbang. Pemuzik mencipta lagu dengan iringan kesatuan bunyi alat-alat muzik yang berbagai. Penulis pula berusaha menghasilkan karya sastera dengan gaya  baru, indah dan menarik.  Mussidi, seorang penulis Brunei yang sekaligus juga seorang pelukis grafik  telah   menghasilkan beberapa buah cerpen dengan gaya kartun. Contohnya, sebuah cerpennya yang bertajuk “Jantung” mengemukan seorang pesakit jantung  telah pergi ke klinik dan mengeluarkan dan menyerahkan jantungnya untuk dipereksa. Doktor yang merawat jantungnya kemudian memasukkan jantung pesakit tersebut ke dalam peti sejuk untuk pemeriksaan lanjut. Setelah beberapa hari pesakit itu kembali dan meminta jantungnya dan Doktor yang merawat terpaksa mencari jantung  Pesakit tersebut dicelah-celah longgokan beberapa buah jantung yang berada di peti sejuk.  Gaya penulisan seperti ini tidak terdapat dalam sejarah perkembangan cerpen di Brunei, malah mungkin juga di Borneo.   Bagaimanapun gaya Mussidi ini kemudiannya telah menjadi ikutan  kepada beberpa orang penulis cerpen yang lain  sehingga gaya ini tidak lagi dianggap baru.  Gaya ini pun menjadi  basi dan para penulis seharusnya meninggalkan gaya ini dan merekayasa  yang baru. Untuk itu para penulis perlu ilmu,  daya fikir yang mendalam,  menyendiri mencari idea baru yang kemudian  dioleh dengan  daya kreatif yang tinggi.

Dalam tahun-tahun 1990-an, suatu perkembangan menarik dalam penulisan prosa di Brunei Darussalam khususnya dalam genre cerpen dan novel. Para penulis telah menghasilkan  beberapa buah karya eksperiman dengan konsep yang berbagai misalnya mencampuradukkan karya kreatif dengan tulisan ilmiah, mencampuradukkan  gaya romatis dan gaya realisme secara seimbang, mempelbagaikan  sudut pandangan secara teratur,  tidak menggunakan  kata sifat atau kata abstrak dalam karya, tidak  bersifat  maha tahu dan berkuasa,  bercerita lebih  objektif seperti  kamera menangkap gambar, memberikan ruang dan peluang pembaca untuk berinteraksi dan membuat kesimpulan, tidak mengurui pembaca, tidak ada plot atau mengatur plot seperti susunan muzik, menceritakan suatu kejadian dalam jangka waktu yang sesingkat-singkatnya sebagai lawan kepada penceritaan yang  bertahun-tahun, menjadikan perjalanan cerita lambat selambat-lambatnya seperti gerak ulang (slow motion) bola masuk ke gawang pintu gol, menggunakan satu watak malah tidak ada watak dalam cerita, tidak ada latar baik latar waktu atau latar tempat dalam penceritaan, mempelbagaikan  watak  yang bertentangan dari segi jantina, umur, pendidikan dan latar belakang dearah kelahiran dan kedewasaannya,  menonjolkan dua ragam bahasa dan budaya, tanpa menggunakan dialog (hanya huraian) atau hanya dialog, tidak menggunakan bunga-bunga bahasa atau menggunakan bungga bahasa dengan tujuan,  dan seumpamanya.  Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini penciptaan karya-karya  eksperiman sedemikian sudah berkurangan dan hal ini mungkin disebabkan oleh keletihan dalam pencarian atau   keupayaan  sentiasa  dalam keterbatasan.

Sebagai kesimpulan daripada pembicaraan  yang singkat ini dapatlah dikatakan bahawa para penyair dan penulis Borneo perlulah merekayasa citra sastara Borneo agar sastera Borneo dikenal diperingkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sesuai dengan tema yang diutarakan  dalam pertemuan ini. Merekayasa citra sastera Borneo   boleh dilakukan dengan  menonjolkan identiti masyarakat penulis itu sendiri. Selain itu para penulis juga  perlu meningkatkan daya kreativiti masing-masing dalam menciptakan karya  melalui penulisan  gaya  baru yang berbeza dengan gaya  penulisan penulis-penulis Borneo sebelumnya atau gaya penulisan  penulis-penulis yang ada di Nusantara masa kini.  Untuk itu para  penulis Borneo mestilah  berusaha dengan memulaciptakan  karya-karya eksperiman yang berdasarkan konsep keindahan sejagat yang boleh digali daripada warisan budaya masyarakat penulis sendiri  atau menciptakan unsur baru yang bersifat universal.  Bagaimanapun hal ini bukanlah suatu yang mudah,  dan kejayaan yang didapat  akan dapat menonjolkan  citra  sastera Borneo yang sangat significant  bukan sahaja dalam perkembangan kesusasteraan Borneo itu sendiri malah perkembangan kesusasteraan Melayu di Nusantara atau perkembangan kesusasteraan serantau dan antarabangsa.  

Sekian.

Tiada ulasan:

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi:

Ketua Satu,

Tuan Haji Othman Mahali

Kios HOM Enterprise, No 1,
Terminal Ferry Antarabangsa,
Wilayah Persekutuan Labuan (016-8321065)

Ketua Dua,

Saudara Sahar Misron

SMK Pantai W.P Labuan (012-9128609)



AJK PERWILA 2015/2017

AJK PERWILA 2015/2017