Ahad, 11 Ogos 2013

MENCARI KEARIFAN LOKAL DALAM CERPEN-CERPEN TERPILIH PENULIS SARAWAK DAN KALIMANTAN TIMUR

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
 Abang Patdeli bin Abang Muhi, A.B.K.
    Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia


Prawacana

            Makalah ini akan membicarakan perihal kearifan lokal dalam cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh para penulis Sarawak dan Kalimantan Timur. Cerpen-cerpen penulis Sarawak yang dibicarakan ialah beberapa buah cerpen yang telah dinilai dan dipilih sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak  (HPPS) bagi genre cerpen dari tahun 2000 hingga 2006—cerpen-cerpen itu belum lagi diterbitkan dalam bentuk antologi, bagaimanapun, telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan di Sarawak dan beberapa majalah serta buletin yang diterbitkan di Sarawak dan pada peringkat nasional. Ada 30 buah cerpen yang telah dipilih sebagai pemenang HPPS genre cerpen dari tahun 2000 hingga 2006, selain cerpen-cerpen yang diterbitkan dalam buku antologi “Ketipung Bunga Jambu” (1995) dan “Menganyam Kedukaan” (2000)—kumpulan cerpen dan puisi yang memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 1991, 1991/1992 dan 1992/1993.
             Cerpen-cerpen penulis Indonesia, khususnya Kalimantan Timur, yang akan dibicarakan ialah cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia (2011). Antologi itu memuatkan 46 buah cerpen.
             Penelitian ini bukanlah suatu penelitian perbandingan yang tuntas, sebaliknya adalah usaha awal penulis untuk memperkenalkan, mempromosikan dan menyebarluaskan istilah atau konsep kearifan lokal dalam  konteks penelitian ciptaan-ciptaan atau karya-karya kesusasteraan. Genre yang dipilih ialah cerpen sebagai suatu langkah permulaan. Tentunya, pada waktu-waktu mendatang, lebih banyak penelitian dilakukan untuk menyemarakkan perkembangan ilmu tentang kearifan lokal dalam pelbagai domain.

Pengertian Kearifan Lokal
             Kata majmuk kearifan lokal terdiri daripada dua konsep kata, yakni, kearifan (wisdom) dan lokal (local). Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003:139), “kearifan” bermaksud perihal arif; kebijaksanaan; kecendekiaan. Manakala, kata lokal diertikan sebagai “di dalam negeri” (2003:1637).  Untuk sementara waktu, kearifan lokal bolehlah diertikan sebagai kebijaksanaan lokal (local wisdom). 

            Dari perspektif falsafah, kearifan lokal itu dapat diertikan sebagai suatu sistem pengetahuan masyarakat lokal (indigenous knowledge system)  yang bersifat empirikal dan pragmatik.  Menurut Profesor Dr. Chatcharee Naritoom : Local wisdom is the knowledge that discovered  or acquired by local people through the accumulation of experience in trials and integrated with the understanding of surrounding nature and culture (kearifan lokal adalah pengetahuan yang ditemukan atau diperoleh oleh orang-orang lokal melalui penghimpunan pengalaman-pengalaman hidup yang dipelajari dan terintegrasi dengan kefahaman tentang persekitaran alam dan budaya).

            Sesungguhnya kearifan lokal secara konseptualnya adalah merupakan kebijaksanaan manusia yang berteraskan pada falsafah nilai-nilai, etika, cara dan perilaku yang mengakar secara tradisional. Umumnya, kearifan lokal itu dianggap sebagai pandangan hidup, ilmu pengetahuan dan pelbagai strategi kehidupan yang dilakukan oleh masyarakat lokal atau peribumi dalam mendepani berbagai-bagai permasalahan bagi memenuhi keperluan hidup mereka.

            Sama ada kearifan lokal itu signifikan dan berfaedah ataupun tidak adalah bergantung pada masyarakat lokal yang mewarisi sistem ilmu pengetahuan itu, sekali gus mahu menerima dan mengaku perkara itu sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Jika itu terjadi, maka, kearifan lokal itu dapat dianggap sebagai salah satu tunjang budaya lokal. Justeru, kearifan lokal adalah sinonim dengan persoalan identiti, dan sebagai sistem ilmu pengetahuan lokal, kearifan lokal itulah yang menjadi ciri pembeza satu masyarakat lokal dengan masyarakat lokal yang lain. Tipe-tipe kearifan lokal yang lazimnya wujud ialah :
i.                    Kearifan lokal dalam hubungannya kepercayaan, termasuklah nilai-nilai adat dan  etika  Masing-masing masyarakat mempunyai kepercayaannya yang tersendiri. Ada masyarakat yang masih mempercayai roh dan semangat padi, sungai, laut, hutan dan sebagainya.
ii.                  Kearifan lokal dalam hubungan sesama manusia. Setiap masyarakat mempunyai cara dan fahaman yang berbeza apabila berinteraksi antara mereka. Cara orang Iban melayani tetamu ke rumah panjang mereka ketika perayaan Gawai Dayak adalah berbeza dengan cara orang Bidayuh.
iii.                Kearifan lokal dalam hubungannya dengan makanan. Para nelayan keturunan Melanau di Mukah, Sarawak masih ada lagi yang percaya akan kaul sebagai salah satu upacara untuk menjaga sumber kehidupan mereka. 
iv.                Kearifan lokal dalam hubungannya dengan pengubatan. Masyarakat-masyarakat tertentu mempunyai cara dan kaedah pengubatan tradisional masing-masing. Malah, ada yang mempercayai tumbuhan-tumbuhan dan herba-herba yang berbeza dengan khasiat yang berbeza.
v.                  Kearifan lokal dalam hubungannya dengan sistem produksi. Masih ada masyarakat yang mengamalkan cara bergotong-royong, bedurok, berderau dan seumpamanya dalam mengusahakan sawah padi mereka.
vi.                Kearifan lokal dalam hubungannya dengan perumahan. Bahan untuk membina rumah bagi sesetengah masyarakat adalah disesuaikan dengan iklim dan bahan-bahan yang terdapat di daerah masing-masing.
vii.              Kearifan lokal dalam hubungannya dengan pakaian. Ada yang mengikut iklim, dan ada yang mengikut bahan-bahan utama yang terdapat di kawasan-kawasan tersebut.

            Kearifan sosial adalah bersumberkan empat potensi utama, yakni potensi manusia, potensi agama, potensi budaya dan potensi alam. Dengan perkataan lain, kearifan lokal dapat dimengerti sebagai gagasan-gagasan, nilai-nilai dan pandangan-pandangan setempat yang bersifat bijaksana, penuh kearifan dan bernilai baik yang terwujud dan diikuti oleh para anggota masyarakatnya. Dalam disiplin antropologi, istilah yang digunakan ialah local genius (genius lokal). 

            Kearifan lokal juga merupakan ilmu pengetahuan lokal yang tercipta hasil daripada adaptasi sesuatu komuniti yang berasalkan daripada pengalaman hidup yang dikomunikasikan daripada satu generasi kepada satu generasi yang seterusnya. Justeru, kearifan lokal ialah ilmu pengetahuan lokal yang digunakan oleh komuniti atau masyarakat lokal untuk kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam suatu persekitaran yang bersatu dengan sistem kepercayaan, norma, budaya, dan diekspresikan dalam tradisi dan mitos yang dianuti dalam jangka waktu yang panjang.

            Sesungguhnya, masing-masing komuniti, daerah dan kumpulan etnik baik di Sarawak mahupun di Kalimantan Timur memiliki ilmu pengetahuan tradisional yang secara empirikal adalah nilai-nilai yang dipercayai dan diyakini oleh sesuatu komuniti itu sebagai ilmu pengetahuan bersama (common knowledge) dan persekitaran alamnya. Kearifan lokal dalam sesuatu komuniti itu mempunyai fungsi-fungsi tertentu. Antaranya :
  1. Penanda identiti sesuatu komuniti.
  2. Unsur perekat antar-anggota, antar-agama dan antar-kepercayaan.
  3. Unsur kultur yang bugar dan berkembang hidup dalam masyarakat tanpa paksaan.
  4. Unsur kebersamaan bagi sesuatu komuniti.
  5. Mekanisme bersama bagi mempererat hubungan sesama komuniti dan mempertahankan kepentingan bersama.
  6. Kearifan lokal juga merupakan ilmu pengetahuan lokal yang tercipta hasil daripada adaptasi sesuatu komuniti yang berasalkan daripada pengalaman hidup yang dikomunikasikan daripada satu generasi kepada satu generasi yang seterusnya.

            Justeru, kearifan lokal ialah ilmu pengetahuan lokal yang oleh komuniti atau masyarakat lokal untuk kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam suatu persekitaran yang bersatu dengan sistem kepercayaan, norma, budaya, dan diekspresikan dalam tradisi dan mitos yang dianuti dalam jangka waktu yang panjang

Kearifan Lokal dan Teks Sastera
                       Menurut S. Prasetyo Utomo (2008), teks sastera yang dicipta sasterawan dengan kearifan lokal tidak hanya memberi nuansa sosial – budaya, bagaimanapun, juga mengekspresikan idiom-idiom estetika di dalamnya. Teks sastera tidak dicipta dengan keeksotikan semata-mata. Bukan hanya warna subkultur yang kuat mewarnai karya sastera, sebagaimana teks sastera dekade 80-an, tetapi juga berkembang eksplorasi bahasa dan stail untuk mencapai nilai estetik.

            Justeru, kearifan lokal tidak dengan sendirinya membentuk sastera lokal, yang diminati masyarakat setempat dalam kurun waktu yang terbatas. Kearifan lokal yang menjadi obsesi sasterawan yang tajam perenungannya, boleh menjadi teks sastera yang digemari pembaca secara lintas waktu. Cukup banyak teks sastera yang ditulis dengan kekuatan kearifan lokal seperti itu, dan menjadi bacaan yang tidak hanya laris, melainkan bermuatan nilai estetik.
Gao Xingjian dalam Pidato Nobelnya pada 7 Disember 2000 yang bertema “Persoalan Bagi Sastera” (2006),antara lain berbicara tentang hakikat sastera : Daripada pengalaman saya menulis—dapat saya katakan bahawa sastera itu adalah penegasan manusia atas nilai dirinya, dan bahawa ini sahih selama menulis—karya sastera lahir utamanya dari keperluan untuk kecukupan diri penulisnya. Kuat lemah pengaruhnya kepada masyarakat akan terlihat setelah selesainya suatu karya, dan pengaruh itu pasti tidak ditentukan oleh keinginan penulisnya...sastera bukanlah hiasan untuk kekuasaan atau komoditi yang harus mengikut trend sosial, sastera memiliki kriteria guna kendiri: kualiti estetiknya. Nilai estetiknya yang berhubungan dengan emosi-emosi manusia adalah satu-satunya kriteria yang harus ada dalam karya sastera.

            Kesusasteraan menurut SN Shahnon Ahmad (2008) ialah keperihalan manusia yang signifikan dalam berbagai-bagai latar dan situasi lewat pengucapan pengarang dengan berbagai-bagai kaedah, bergantung pada kekuatan daya kreativitinya, melalui kepelbagaian gaya bahasa figuratif, bertujuan meninggalkan kesan kompak  lagi bermakna.
Karya sastera adalah merupakan hasil kreativiti sasterawan, yakni sebagai hasil ekspresi dan artikulasi dalam dirinya dalam bentuk hasil seni. Hasil ekspresi dan artikulasi itu adalah bersumber daripada gabungan dua unsur utama, iaitu kehidupan nyata dan imaginasi pengarangnya. Lewat karya sastera itulah para pengarang mengekspresikan, mengartikulasikan dan menyampaikan gagasan-gagasannya, pemikiran-pemikirannya, pandangan hidupnya dan tanggapan pengarang (yang juga memanifestasikan pandangan dan tanggapan masyarakat) terhadap aneka fenomena kehidupan serta permasalahan-permasalahan dalam masyarakat.

            Budaya mahupun kearifan lokal yang terdapat dalam persekitaran dan lokasi masyarakat tertentu sesungguhnya dapat mempengaruhi pembentukan keperibadian seseorang. Hubungan antara persekitaran dapat mempengaruhi seseorang, dan seseorang juga dapat mempengaruhi persekitarannya.

            Kumpulan sosial yang mempunyai identiti budaya yang paling jelas, menurut Robert Escarpit (2008), ialah kumpulan budaya (kultur). Menurutnya lagi, kategori “berbudaya” salanya adalah makna kesusasteraan itu sendiri. Orang-orang “sastera” beliau definisikan sebagai mereka yang telah memperoleh pembinaan intelektual dan pendidikan estetika yang cukup mendalam sehingga dapat memberikan penilaian sastera secara peribadi, memiliki cukup waktu luang untuk membaca, dan mempunyai sumber kewangan yang memungkinkannya membeli buku secara teratur. Seterusnya belau menegaskan :

..Banyak  orang yang “sastera” tidak mempunyai pendapat tentang sastera, tidak pernah membaca dan tidak pernah membeli buku, tetapi sebenarnya mereka memiliki kemungkinan untuk melakukannya.

            Lewat karya-karya sastera, dan dalam konteks makalah ini, cerpen, para pengarang menyampaikan nilai-nilai seperti kearifan lokal yang menurutnya akan memberikan manfaat bagi para pembaca yang menikmati karya-karya sastera yang mereka ciptakan.

Senario Penulisan Cerpen di Sarawak
            Orang  Sarawak, khususnya orang-orang yang terpelajar mula bergiat aktif dalam bidang penulisan bermula pada tahun 1930 apabila terbitnya akhbar berbahasa Melayu yang pertama di negeri itu, yakni akhbar Fajar Sarawak. Namun demikian, pertumbuhan kesusasteraan Melayu dalam bentuk cetak  sudah bermula sejak tahun 1876 apabila terbitnya  buku berjudul Hikayat Panglima Nikosa yang dikarang oleh Ahmad Shawal Abdul Hamid. Tradisi penulisan karya-karya sastera itu terus berkembang, kendatipun banyak hambatan dari segi dana penerbitan dan media penampungan karya-karya tersebut, di samping kekangan dari aspek politik.

            Yang dinamakan sastera akhbar itu tumbuh segar dan mekar di negeri Sarawak lantaran wujudnya pelbagai akhbar di negeri itu yang turut menyediakan ruang untuk menyiarkan karya-karya sastera, terutamanya genre puisi dan cerpen. Selain Fajar Sarawak (1930) pernah juga hadir akhbar Utusan Asas (1948) yang ditukar namanya kepada Utusan Sarawak pada tahun 1949 (Jaraiee Sawal, 1988). Kedua-dua akhbar yang walaupun tidak bertahan lama ini, ada menyiarkan karya-karya sastera, khususnya puisi. 
            Penulisan cerpen di Sarawak dikatakan telah bermula pada tahun-tahun 1930-an, yakni sebelum zaman Perang Dunia Kedua. Menurut Hamzah Hamdani (2004), Mohammad Bujang atau nama penanya Melati Sarawak menulis cerpen yang pertama yang disiarkan dalam akhbar Warta Malaya pada tahun 1937, dan tidak pula dinyatakan judul cerpen tersebut. Cerpen-cerpen Mohammad Bujang juga disiarkan dalam akhbar Warta Ahad dan Warta Jenaka.
Jaraiee Sawal (1988) antara lain menegaskan:..dalam penulisan cerpen, barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dari tahun 1949 hingga 1963, apa-apa yang termuat dalam Utusan Sarawak sungguh mengecewakan. Untuk selama lebih sepuluh tahun itu tidak sebuah cerpen pun disiarkan. Sebagaimana ketandusan puisi untuk beberapa tahun, ketandusan cerpen ini juga sukar difahami.

            Pada hemat pemakalah, permasalahan itu mungkin disebabkan selepas Perang Dunia Kedua, wujud gerakan penentangan yang hebat terhadap kolonialisme serta tercetusnya peristiwa pembunuhan Gabenor Sir Duncan Stewart pada tahun 1949 yang menyebabkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu tidak berani menyiarkan cerpen-cerpen yang bertemakan semangat nasionalisme kerana takut ditangkap dan dipenjarakan dengan dikaitkan sebagai bersekongkol dengan para pejuang kemerdekaan pada waktu. 

            Kegiatan penulisan cerpen di Sarawak tidaklah begitu menggalakkan , khususnya pada tahun-tahun 1950-an, bagaimanapun, perkembangan yang agak rancak dapat diperhatikan pada tahun-tahun 1960-an hingga kini dengan wujudnya pelbagai media seperti Utusan Sarawak, Mingguan Sinar, Cermin Rakyat (sudah tidak diterbitkan), Mingguan Malaysia, Berita Minggu, The Borneo Post (kini dalam Utusan Borneo), majalah Dewan Sastera , majalah Tunas Cipta dan pelbagai surat khabar serta majalah-majalah yang lain.

            Karya-karya kesusasteraan yang termuat dalam Utusan Sarawak khasnya semenjak tahun 1968 memang banyak dan amat menggalakkan. Bermula dengan keluar 20 Mei 1968, Utusan Sarawak menyediakan ruangan khas untuk puisi dan cerpen yang berterusan hingga penerbitannya diberhentikan dalam tahun 1971 (Jaraiee Sawal, 1988).

            Nawawi Abdul Rahman ( Utusan Sarawak, 23 Mei 1970) lewat rencananya berjudul “Cerpenis Kita Masih Berorientasikan Persoalan Diri Sendiri” mengartikulasikan :
...Penulis-penulis muda kita masih begitu rajin mempersoalkan tentang persoalan diri sendiri. Masih begitu terpesona dengan kisah cinta dan peristiwa cinta dan lain-lain yang pernah menggores hati nubarinya. Hal ini disebabkan kemampuan berfikir dan mencari bahan-bahan fikiran tidak ada pada diri mereka. Hampir setiap ciptaan cerpen yang dimuat dalam akhbar ini bersikap demikian...Harus disesuaikan dengan keadaan kita sekarang yang penuh dengan seribu satu macam persoalan hidup yang bertalian mendakap penghidupan kita. Tidak kurang pula soal pembangunan dan kemasyarakatan yang minta diselongkar.  

Rencana Nawawi Abdul Rahman itu memperjelaskan memang wujud beberapa cerpenis muda dalam tahun-tahun awal 1970-an yang giat menulis, bagaimanapun, cerpen-cerpen mereka dari segi kualiti tidak begitu membanggakan—ini mungkin disebabkan dalam tahun-tahun sebelum 1977, para penulis, termasuklah para cerpenis tidak begitu menguasai kiat atau selok-belok menulis cerpen dalam bahasa kebangsaan (bahasa Melayu baku) yang persis dan benar.

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pada tahun 1977 telah membuka lembaran baharu dalam ranah penulisan cerpen di negeri Sarawak—melalui pelbagai bengkel penulisan cerpen, sayembara penulisan cerpen dan aneka bentuk hadiah serta anugerah cerpen seperti  Peraduan Menulis Sastera Kreatif, Hadiah Sastera Perdana (peringkat nasional) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) kegiatan penulisan cerpen semakin menyerlah dan semarak.

Kini para cerpenis Sarawak (yang dimaksudkan penulis atau cerpenis Sarawak ialah mereka yang merupakan penduduk asal negeri Sarawak serta memiliki kad pengenalan diri rakyat negeri itu, dan bukannya orang Semenanjung Malaysia, Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan yang bermastautin di Sarawak) bukan sahaja berkarya pada peringkat negeri Sarawak, malah ikut serta merancakkan dan menyemarakkan perkembangan sastera kebangsaan pada peringkat nasional. Bahkan, ada yang berkarya lewat media alternatif, alam maya dan siber.

Penulis-penulis Sarawak mengarang dalam pelbagai genre sama ada puisi, cerpen, novel, naskhah drama ataupun esei kritikan—paling tidak seorang penulis menekuni dua genre, puisi dan cerpen, novel dan cerpen, cerpen – naskhah teater ataupun cerpen – esei kritikan. Bagaimanapun, bagi maksud makalah ini, hanya mereka yang menekuni genre cerpen secara serius dan sudah terbukti dan terserlah bobot mereka dalam penulisan cerpen sahaja yang akan dikategorikan sebagai cerpenis negeri Sarawak. Memang ada penulis yang memiliki kekuatan penulisan yang seimbang dalam pelbagai genre itu seperi Awangku Merali Pengiran Mohamad (cerpen dan naskhah teater), Jong Chian Lai (cerpen dan novel), Abdillah S.M. (puisi dan cerpen), Jais Sahok (cerpen, novel dan esei kritikan) dan Abang Patdeli Abang Muhi (cerpen dan esei kritikan).

Penulis-penulis seperti Majuni Palira, Hajijah Jais, Ratnawati Jamil, Roslan Jomel, Abang Median Abang Said, Rafaie Ismail, Lucas Takip, Jiso Rutan, Norasmah Othman Pawi dan Sriwati Labot memang menekuni genre cerpen secara serius, dan dalam genre lain mereka tidak begitu menonjol. Sayangnya, beberapa orang daripada mereka tidak begitu aktif—yang masih bertahan hingga kini ialah Majuni Palira (arwah), Hajijah Jais dan Roslan Jomel, manakala, yang lainnya kemunculan mereka tenggelam-timbul.

Nama-nama lain dalam dunia penulisan cerpen di Sarawak ialah Zakeria Embi, Douglas Jaga, Dahiri Saini, Livis Empanang Taka,  Nur Ain, Roziah Taib, Rabian Ahim, Azeman Jarani, Robin Junang, Iqmal Hisham Ahmad Dolek, Khatem Ariffin, Jamilah Morshidi, Abdul Malek Haji Bedu, Beb Sabariah, Noami Patrick, Laminang Chamong, Harun Siji, Jaya Ramba, Adha Sarbini, David Belulok, Poul Nagang, Naziah Naziri, Zaini Ozea, Saiee Driss, Latifah Haji Shebli, Kahmis Salleh, Jeniri Amir, Mohamad Sebli, Mohtadi Morshidi, Norasmah Pawi dan Shahri Abdul Rahman—penulis-penulis seperti Dahiri Saini, Robin Junang, Jaya Ramba dan Beb Sabariah, sekadar menyebut beberapa nama, masih giat menulis cerpen hingga kini.

Yang jelas, dunia penulisan cerpen didominasi oleh penulis-penulis lelaki, bagaimanapun, kehadiran cerpenis seperti Hajijah Jais dan Ratnawati Jamil cukup terasa kehadiran mereka dalam dunia penulisan cerpen di negeri itu, malah pada peringkat nasional—karya-karya mereka turut dibicarakan dan dikritik oleh para pengkritik yang berwibawa dalam dunia sastera di Malaysia.
          
  Cerpenis-cerpenis Sarawak, khususnya dalam era 1980-an dan hingga kini sudah cukup prolifik dan produktif. Malahan, kualiti cerpen-cerpen mereka mencapai tahapan yang cukup tinggi, dan banyak sudah menembusi dada-dada media pada peringkat nasional yang bergengsi;berprestij dan berpengaruh, seperti majalah Dewan Sastera.

Para penulis-penulis veteran dan mapan terus berkarya, manakala penulis-penulis baharu terus tumbuh segar dan mekar—mereka seiring dan sejalan menyemarakkan dunia penulisan cerpen di negeri itu, malah sudah cukup ramai yang menempatkan diri dalam arus perdana sastera kebangsaan (mainstream literature).
Kini, para penulis, khususnya cerpenis Sarawak yang multi-etnik itu bukan lagi mereka terpinggir dan dipinggirkan daripada sastera arus perdana atau kanon sastera (mainstream)—mereka sudah cukup berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan—zaman meminta-minta ataupun merayu-rayu untuk diberikan ruang dan peluang khas ataupun kuota khusus untuk penulis dan karya-karya penulis Sarawak oleh media-media cetak arus perdana sudah lama berakhir.

Sesungguhnya masyarakat Sarawak yang multi-etnik itu telah menjadi sumber inspirasi yang utama kepada para cerpenis Sarawak—negeri itu didiami oleh etnik Melayu Sarawak, Iban, Cina, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Lun Bawang, Melanau, Penan, Lara, Selakau, Jawa, Bugis, Tanjong, Kejaman, Sihan, Narum, Jatti Miriek, Lahanan dan pelbagai etnik yang lain. Kaum Bidayuh pula dibahagikan kepada pelbagai sub-etnik yang lain seperti Bidayuh Biatah, Jagoi, Singgai dan Bukar Sadong, manakala, suku Melanau pula terdiri daripada antaranya sub-etnik Mukah, Rajang, Seduan, Dalat dan Matu.  

Cerpenis mapan dan versatil seperti Awangku Merali mengungkapkan tema tentang weltanshauung Melayu, selain permasalahan suku kaum Penan. Jong Chian Lai pula banyak menulis tentang dunia kehidupan suku kaum Iban.
        
    Justeru, segala kegiatan penulisan dan penciptaan cerpen adalah bersumberkan hidup serta kehidupan, keagamaan, kepercayaan dan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu, selain mengungkapkan pelbagai tema dan persoalan yang sejagat sifatnya seperti soal politik, ekonomi, sains, teknologi, persekitaran dan kasus-kasus globalisasi—apa pun, cerpen-cerpen para penulis Sarawak amat kaya dengan warna-warna lokal, dan kini sudah mula menerokai dan menggarapkan tema-tema yang lebih mencabar serta lebih meluas dimensi dan perspektifnya.

Dalam kegiatan kepengarangan mereka itu, ia banyak bergantung pada pengalaman mereka yang sekali gus merupakan pengalaman dan denyut nadi kehidupan masyarakatnya—mereka menulis untuk mempertinggi darjat dan harkat kehidupan manusia, sekali gus mengungkapkan apa juga masalah dan permasalahan manusia dan kemanusiaan secara jujur.

Kearifan Lokal dalam Cerpen Penulis Sarawak
             Cerpen ialah salah satu genre karya sastera yang memiliki unsur-unsur intrinsik sesungguhnya adalah merupakan fragmen sebuah dunia—dunia aneka kemungkinan yang dihuni oleh pelbagai watak dengan aneka perwatakan dan permasalahannya. Watak-watak dengan pelbagai perwatakan, permasalahan dan pengalaman hidup itu pula memerlukan aneka latar tempat atau ruang, latar waktu dan latar suasana seperti halnya kehidupan manusia dalam realiti hidup yang sebenar.

            Latar-latar itu dalam realiti kehidupan yang sebenar mencakupi permasalahan sosiobudaya, sosiopolitik dan sosioekonomi yang membawa kepada terbentuknya sesebuah cerpen sebagai suatu genre sastera. Justeru, pemahaman terhadap kearifan lokal dalam sesebuah cerpen itu tidak dipisahkan daripada latar dan persekitarannya, kebudayaannya dan peradabannya.
           
            Kebudayaan adalah unsur ekstrinsik yang harus ada dalam sesebuah karya sastera. Edward B. Tylor (dalam A. Aziz Deraman, 2001) menegaskan bahawa : Kebudayaan adalah keseluruhan kompleks yang mengandungi antaranya pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, moral, adat resam, dan apa-apa juga kebolehan serta kebiasaan (tabiat) yang didapati oleh manusia ahli sesebuah masyarakat.

            Setiap kebudayaan dapat tumbuh dan berkembang sejajar dengan nilai, norma, aturan dan ilmu pengetahuan masing-masing. Latar memberikan identiti, ciri, sifat dan kekhasan sesuatu masyarakat. Kearifan lokal adalah merupakan suatu bentuk kebudayaan, dan ia adalah merupakan adat-istiadat, norma dan kebiasaan yang telah mentradisi dalam sesebuah masyarakat yang mengamalkannya secara turun-temurun.

            Dari perspektif Islam, perkahwinan adalah sunah yang seboleh mungkin ditunaikan. Bagi sesetengah suku kaum pula, perkahwinan dianggap sebagai sesuatu yang sakral. Betapa indahnya kehidupan manusia dunia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosannya kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya mahupun perempuan semuanya. Justeru, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan adalah merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan.

            Dalam masyarakat Melayu silam malah hingga kini, lelaki mahupun perempuan yang tidak berkahwin hingga ke usia yang lanjut akan ditanggapi dengan pelbagai persepsi yang sarat dengan prejudis. Mereka dicap sebagai bujang terlajak, bujang tua, lalo (dalam bahasa Melayu Sarawak), anak dara tua atau andartu, dan pelbagai tanggapan negatif yang lain. Dari aspek kearifan lokal,perkahwinan itu perlu diteruskan sebagai tradisi yang menjadi landasan untuk membentuk keluarga dan rumah tangga. Daripada institusi keluarga ia akan berkembang menjadi institusi sosial dan akhirnya menjadi institusi negeri dan negara. Kehidupan berumah tangga tidak selalunya indah, khususnya apabila usia perkahwinan dan pasangan masing-masing kian lanjut. Justeru, institusi keluarga yang harmoni harus dipertahankan.

            Kearifan lokal dalam hubungannya dengan institusi kekeluargaan dan hubungan sesama manusia ini amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Hajijah Jais dalam cerpennya “Lalo” (Ketipung Bunga Jambu, 1995) secara bijak menyirat perihal kearifan lokal ini :
Dia hanya mampu tersenyum. Dulu dia memang tidak ingin kahwin. Namun setelah melewati usia tiga puluhan, kecenderungannya berbeza. Keinginannya untuk hidup berteman dan berkeluarga bagaikan menjadi tanggungjawab yang belum tertunai. Teringat dia akan hari tuanya. Sampai bila dia harus berharap pada keluarganya atau pada pembantu rumahnya. Mereka pun mempunyai keluarga sendiri, tanggungjawab sendiri...Ibunya sering meleterinya. Baik ketika orang tua itu datang mengunjunginya ke bandar atau ketika dia pulang ke kampung...

            Masyarakat Bidayuh juga kaya dengan adat-istiadatnya, khususnya yang berkaitan dengan rumah. Secara tradisi, mereka lebih gemar membina rumah daripada kayu-kayu yang terdapat di hutan-hutan yang berdekatan dengan perkampungan mereka. Rumah bagi mereka adalah maruah dan harga diri mereka, terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga yang seharusnya mempunyai rumahnya sendiri. Kerja-kerja mendirikan rumah secara bergotong-royong memang menjadi amalan masyarakat itu sedari dahulu hingga kini.
            Lewat cerpennya “Rumah Baru Gergaji Rantai” (Ketipung Bunga Jambu, 1995), Jiso Rutan menggarapkan:
Yang penting, segala kayu yang diperlukan nanti mesti cukup. Jangan sampai Jumet dan Dikeng berkompromi dengan tidak memasang palang atau lelangit yang mencukupi. Atau mereka mengurangkan saja pintu atau tingkat atas alasan kayu tidak cukup. Rumahnya, kalau dibina, biarlah sempurna. Sekurang-kurangnya sempurna ikut rumah taraf kampungnya.

            Kearifan lokal dalam kalangan orang-orang Melayu Sarawak dapat ditinjau dalam puisi-puisi tradisional dan seni persembahan seperti tradisi begendang (paluan gendang oleh dua atau lebih perempuan mengikut irama tertentu sambil berpantun)  dan bemukun (berbalas-balas pantun secara spontan antara pemain gendang dengan penandak) yang masih lagi diteruskan tradisi itu hingga kini. Berbalas-balas atau berjual beli pantun secara spontan Tradisi begendang dan bemukun ini jelas memperlihatkan kebijaksanaan dan kecerdikan orang Melayu.
            Ratnawati Jamil lewat cerpennya “Bergendang” (Menganyam Kedukaan, 2000) secara sedar mengangkat kearifan lokal masyarakat Melayu Sarawak :

...Bagi mak, apalah cacatnya kalau Nek Sebah dijemput untuk bergendang. Nek Sebah tokoh gendang. Tiada siapa yang dapat melawannya berpantun. Panggillah jaguh pantun dari mana pun, Nek Sebah tak akan gentar. Mak yakin orang ramai akan datang menyaksikan Nek Sebah bergendang malam esok.

Ratnawati Jamil lewat watak emaknya mengungkapkan pantun kasih ini :
Sayang Labuan pulau di laut,
Khabar berita pulau yang tumbuh;
Kasih tuan saya menyambut,
Sambut dengan bersungguh-sungguh.
            Orang-orang Melayu mahupun Iban amat menitikberatkan soal menghormati orang-orang tua. Tidak menghormati orang-orang tua seperti mengutuk, berkata-kata dengan kasar, bersikap biadab dan kurang ajar dengan orang-orang tua akan menyebabkan seseorang itu tulah atau ketulahan—ditimpa kemalangan kerana melanggar larangan atau melakukan  sesuatu yang kurang baik terhadap orang tua-tua. Malah dengan hanya memanggil nama orang tua-tua tanpa budi bahasa atau dengan sapaan yang berabad pun dianggap tulah. Abdillah SM dalam cerpennya “Ke Dalam Raflesia” (Mingguan Sarawak, 21 Mei 2000) lewat watak Penghulu Kubu,antara lain mengungkapkan perihal tulah ini:

Libau, kau ini bapa saudara kamu. Tulah kamu nanti!Jangan kamu main-main dengan makan minum aku. Janganlah sebab kamu tidak kahwin dengan Bulan kamu benci aku seburuk ini. Selama ini kamu hormat aku kerana bersebab. Kalau kamu dah nak sangat jadi penghulu,silalah.”

Kebanyakan suku kaum di Sarawak masih lagi percaya bahawa anak-anak lelakilah waris mereka yang akan meneruskan keturunan mereka, sekali gus yang akan mewariskan segala adat-resam dan cara hidup tradisi yang bermanfaat untuk generasi-generasi mereka yang akan datang. Sebagai waris keturunan mereka juga dituntut untuk kenal akan adat-resam sendiri, bersopan-santun dan berbudi bahasa. Suku kaum Kenyah pun begitu seperti yang diungkapkan oleh Jais Sahok dalam cerpennya “Lawai”(Utusan Sarawak, 27 Februari 2001):
...dan kemudian lahirlah Lawai, anak lelakinya yang tunggal itu dan anak yang mendukung harapan tingginya untuk menyambut warisnya sebagai bapa dan keturunan awalnya, bapanya, datuknya dan datuknya lagi sebelum itu...dan paling penting dapat difikirkannya dan dibayangkannya, Lawai, sebagai anak keturunan Kenyah yang tebal adat-resam, sopan santun dan cara hidup tradisinya harus kelihatan seperti lelaki Kenyah kerana memang menjadi harapannya terhadap anak lelakinya yang tunggal itu...

            Masyarakat Melayu amat benci akan kemunafikan atau hipokrit. Umat Melayu walaupun sudah berkembang maju tidak suka dikongkong kebebasannya untuk menyuarakan sesuatu tentang keadilan dan kebenaran. Kelembutan hati budi Melayu tidak bererti pasrah, dan mengalah. Orang Melayu yang bijaksana akan menunggu masa dan suasana yang sesuai untuk mengekspresikan diri mereka. Orang Melayu tidak akan bersubahat dengan segala macam kejelikan yang dilakukan oleh orang-orang yang hipokrit sebab orang Melayu amat mementingkan maruah dan harga diri. Ada waktunya orang Melayu harus setia seperti Tuah, dan ada ketikanya orang Melayu harus berani seperti Jebat.

            Awangku Merali Pangeran Mohamed dalam cerpennya “Tuan Direktur Bikin Filem di Mallywood” (Dewan Sastera, Ogos 2001) dengan sinis mengartikulasikan : TD meletakkan telefon. Dia tidak ingin didera oleh kemunafikan. TD ingin bikin filem di Mallywood, mengiku suara hati dan cita rasa seninya. Barangkali bukan sekarang. Masanya belum tiba atau dia yang belum bersedia.

            Masyarakat Melayu Sarawak terkenal dengan upacara pengubatan tradisionalnya berantu. Masyarakat Iban dengan upacara kelingkang. Manakala, masyarakat Melanau likou (masyarakat Melanau yang bukan Islam dan yang masih mempercayai animisme) pula masih mengamalkan upacara bebayoh. Pengaruh bebayoh ini meskipun sudah semakin kurang diamalkan, namun, tetap menjadi ciri khas upacara pengubatan bagi suku kaum Melanau yang membezakannya dengan suku-suku kaum lain. Bahkan masih ada yang mempercayainya sebagai salah satu kaedah pengubatan alternatif selain pengubatan cara moden. Pun ada juga yang menganggapnya sebagai tahyul, khususnya dalam kalangan orang Melanau likou yang sudah menjadi penganut agama Islam.

            Lewat cerpen “Senaing di Ares Vallis” (Utusan Sarawak, 15 Mei 2002), Lucas Takip berhipotesis : Aris, haiwan yang menyerupai anjing itu dipanggil Gamang. Menurut catatan dalam bahan rujukan klasik, Gamang adalah haiwan jelmaan “tow-tow” (hantu jembalang menurut kepercayaan suku kaum Melanau) atau iblis. “Senaing” dan Gamang adalah berkaitan rapat. Seandainya seseorang itu “senaing” dan gamang bermakna   rohnya sudah diintai Sang Gamang. Kalau tidak dirawat secara “bebayoh”, seseorang itu akan tumpas dalam kuasa ghaib “tow-tow”, dan apabila sudah tenat keadaannya seseorang itu akan mati beragan atau maut dalam kemalangan yang aneh kerana rohnya sudah dalam cengkaman Sang Gamang!

            Suku kaum Iban memang terkenal dengan adat-istiadat mereka. Malah, kehidupan mereka dari sejak di dalam perut ibu lagi hingga kepada kematian mereka, dinaungi oleh adat-istiadat. Orang-orang Iban dari dahulukala hingga kini, tetap mempercayai roh si mati atau gemulah harus ditenangkan dengan tangisan oleh tukang tangis yang pintar dan berpengalaman Tangisan itu pula hendaknya mengikut ketokohan dan kedudukan si mati itu. Salah satu upacara yang diadakan untuk si mati adalah menangisi kematian, dan kematiannya harus ditangisi oleh para tukang tangis atau sengai’ ai mati yang pandai dalam seruan-seruan yang indah dan menusuk kalbu, dan berpengalaman dalam upacara itu, jika tidak mereka sendiri yang menerima nasib yang celaka.

            Dalam cerpen “Sengai’ Ai Mata” (Dewan Sastera, Januari, 2003), Jaya Ramba mengungkapkan : ...Tangisan mereka bukan tangisan seperti tangisan biasa. Bahasa yang digunakan amat dalam dan indah, tanpa cacat cela. Melepaskan tangisan itu bukan untuk main-main. Tidak sekali untuk gurauan kerana kesannya memudaratkan nyawa manusia. Kesan tangisan akan mengungkai apa-apa sahaja tentang si mati. Begitu juga kepada mereka yang lama sudah pergi. Ia dijadikan satu peringatan, satu petanda bahawa ketokohannya di dunia akan kekal di dunia lain. Maka ketokohannya akan diagungkan oleh saudara-mara dan sahabat handai baharunya. Seruan begitu juga menjadi bekalan keselamatan agar tidak ditinjau ujian yang dahsyat.

Sedikit Tentang Cerpenis Kalimantan Timur
             Catatan ringkas tentang para cerpenis Kalimantan Timur disandarkan pada pernyataan yang ditulis dalam halaman Pendahuluan buku antologi cerita pendek “Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia” (2011) yang antara menyebut:

Kelahiran, pertumbuhan dan perkembangan cerita pendek di Kalimantan Timur agak sulit dilacak karena sedikitnya bahan tertulis yang terdokumentasi secara akurat dan bersinambungan. Hal ini disebabkan penerbitan karya-karya para cerpenis di wilayah ini kebanyakan dilakukan secara sporadis dan kurang terdokumentasi, baik karya-karya yang diterbitkan di Kalimantan Timur sendiri maupun yang diterbitkan di media massa di luar Kalimantan Timur.

            Pada peringkat awal perkembangan penulisan cerpen di Kalimantan Timur, nama-nama seperti Achmad Noor, Djumri Obeng, dan Awang Shabriansyah adalah merupakan perintis penulis cerita pendek di wilayah itu dengan menerbitkan karya-karya mereka di media massa bergengsi di Jawa dan Sumatera. Juga dicatatkan bahawa Djumri Obeng dan Awang Shabriansyah pada awal 1960-an telah menembus majalah Sastra yang dipimpin oleh H.B. Jasin di Jakarta.  

            Dalam Pendahuluan buku antologi cerita pendek “Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia” (2011) juga menyatakan bahawa :

            Sejak kelahiran sastera moden Indonesia di Kalimantan Timur, hingga saat ini, tercatat sekitar 100-an cerpenis yang sudah memberi andil dalam publikasi cerita pendek di wilayah itu (mahupun yang diterbitkan di daerah lain oleh cerpenis Kalimantan Timur). Antara mereka yang cukup produktif pada masanya ialah M. Ardin Katung, Djumri Obeng, Awang Shabriansyah, Bachrin Masjhoer, Hasan Asphani, Syafruddin Pernyata, Herman A, Salam, Habolahasan Asyari, Nanang Rijono, Karno Wahid, Sukardi Wahyudi, Zulhamdani As, Herry Trunajaya BS, Sari Azis, Try Lestari Soemariyono, Mira Nurhayati(eMen), Daian, Tri Wahyuni Rahmat, Hermiyana, Atik Sulistyowati, Atik Sri Rahayu, Amien Wangsitalaja, Misriani (Misri AN), Sunaryo Broto, Nala Arung, Santhined, Rama Dira, dan ramai lagi. Antara nama-nama ini, Syafruddin Pernyata, Sukardhi Wahyudi, Tri Wahyuni Rahmat, dan Rama Dira telah menerbitkan kumpulan cerita pendek dalam buku tersendiri, di samping yang diterbitkan dalam antologi bersama.

Kearifan Lokal dalam Cerpen Penulis Kalimantan Timur
             Dr. H. Awang Faroek Ishak dalam kata-kata sambutan buku antologi “Kalimantan Timur dalam  Cerpen Indonesia” (2011) antara lain mengatakan :

Dengan banyak cerpenis yang bergabung dalam satu buku, ditemukan juga aneka tema dan cara ungkap yang unik dan berharga. Itu sebabnya membaca buku ini seperti kita bercakap-cakap dengan aneka macam orang, menemukan beragam cerita yang segar dan menyegarkan, dan berdialog dengan berbagai-bagai kearifan yang berfalsafah. Itulah sebabnya membaca fiksyen tak pernah membosankan, kerana kita seolah-olah bercakap-cakap dengan banyak orang atau orang seorang yang memberikan berbagai-bagai penghujahan fikiran dan renungan yang berharga.

            Para penulis dari Kalimantan Timur tidak banyak bezanya dengan para penulis dari Sarawak, aneka tema dan beragam-ragam persoalan tentang masyarakat di kedua-dua wilayah itu digarapkan dalam cerpen masing-masing. Cerpen-cerpen yang mereka hasilkan adalah berlatarkan hidup dan kehidupan masyarakat masing-masing, meskipun ada peristiwa yang berlaku di luar daripada wilayah ataupun daerah asal mereka.

            Kearifan lokal dalam kalangan pelbagai suku dan kaum di Kalimantan Timur diungkapkan oleh para penulis cerpen mereka dengan pelbagai teknik dan stail. Salah satu jenis kearifan lokal berbentuk puisi tradisional yang masih cuba ditampilkan oleh cerpenis Kalimantan Timur ialah syair. Syair yang berasal daripada Parsi ialah sejenis puisi berlagu yang sudah diubahsuaikan mengikut nuansa Bahasa Melayu Klasik. Syair merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud sejak sekian lama, dan masih digemari hingga kini.

            Atik Sri Rahayu dalam cerpennya “Senja” (2011) dengan sedar menampilkan tradisi bersyair lewat watak Gusti yang memang bukan pahlawan puisi, melainkan pahlawan perang:

Lupakan kekurangku demi kelangsungan cintaku
Jangan menyanggah kala marahku sedang memuncak.
Hati-hatilah menabuh genderang dalam diriku
Karena kau tak tahu apa yang terpendam di dalam hati.
Jangan selalu mengeluh agar tidak sirna rinduku padamu
Sungguh, hati manusia berubah-ubah.
Kulihat cinta dan gangguan tak mungkin bersatu
Bila keduanya bertemu, cinta pun pergi menjauh.

            Masyarakat Muslim di Kalimantan Timur seperti juga masyarakat Melayu dan Muslim di Sarawak amat menitikberatkan keluarga yang relatif bahagia—kasih sayang yang jitu antara suami isteri dan anak-anak adalah jauh lebih penting daripada kekayaan harta-benda. Malah dalam masyarakat tradisional pun, soal memelihara hubungan kekeluargaan ini amat dititikberatkan.Ini tidak bermakna kesenangan hidup dari aspek kekayaan material itu tidak penting, dan harus diabaikan. Namun, yang dipentingkan adalah keghairahan mengejar kekayaan dan kesenangan hidup di dunia itu tidak sampai menghancurkan kebahagiaan berumah tangga, dan masing-masing tanggungjawab suami isteri seperti mana yang telah difitrahkan. Suami mahupun isteri harus bijak dalam menguruskan rumah tangga dan keluarga.

            Cerpen “Tak Ada Si Malakama”oleh Halimah Taslima (2011) mengungkapkan peri perlunya suami isteri menyedari hakikat betapa kebahagiaan dan kepentingan keluarga itu diutamakan:
Ya, Tuhan, aku tidak ingin biduk rumah tangga kami karam, kerana aku lebih mengutamakan prinsip hidupku. Aku tidak ingin hidup sendiri, tanpa Wisnu, dan kedua anakku yang telah menjelma menjadi dua bidadari cantik, di mataku, saat ini. Betapa egoisnya, kerana sering kali tak memahami bahawa rintihan suamiku adalah jeritan hatinya yang terluka oleh ulahku.”

            Salah bentuk kearifan lokal yang masih berkembang mekar dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Melayu, ialah pelbagai jenis tarian tradisional. Zapin atau “jepen” bagi masyarakat Indonesia adalah salah satu daripada tarian tradisional yang masih dilestarikan hingga kini. Tarian zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional yang diilhamkan oleh peranakan Arab, dan dikatakan berasal daripada Yaman. Tarian ini telah menular luas dalam kalangan penggemar seni tari di Nusantara, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang bergiat aktif dari dahulu hingga sekarang seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Di Kalimantan Timur, tarian zapin atau istilah Kalimantan Timurnya “jepen” masih digemari, dan berjaya dipersembahkan di luar negara seperti Jepun.   

            Nuansa kearifan lokal ini dapat kita temukan dalam cerpen Hanafi Koetai “Jejak Kasih” (2011). Lewat cerpen itu Hanafi mengartikulasikan:

Dena tertawa riang, sambil terus memeragakan gerakan-gerakan tari jepen dan kemudian beralih menjadi gadis dayak yang dengan anggunnya bak enggang yang begitu eloknya. Kedua orang tuanya bertepuk tangan mengiringi gerakan demi gerakan Dena. Sementara Helda hanya mengikuti dengan canggung. Bahkan tak jarang Helda salah gerakan, dan membuatnya terjatuh...Sejak TK, Dena memang suka menari. Beragam tari ia kuasai dengan baik. Kelas 2 SMP, ia sudah terlibat dalam event besar seperti Erau.

            Waima semaju dan semoden mana pun sesuatu masyarakat itu, sikap saling peduli dan prihatin senantiasa menjadi amalan. Itulah ramuan kehidupan bermasyarakat yang harmoni yang masih menjadi norma kehidupan masing-masing masyarakat. Meski sistem kehidupan moden yang individualistik semakin mendominasi sistem sosial masyarakat moden, namun masih ada insan yang berhati mulia yang masih ambil tahu dan peduli akan penderitaan orang lain. Sikap peduli dan prihatin adalah merupakan nilai-nilai  murni yang memperlihatkan elemen kearifan lokal itu terus diwarisi oleh generasi kini.

            Korrie Layun Rampan dalam cerpennya “Jantur Mapan” (2011) antara lain mengekspresikan kearifan lokal yang tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan itu :
...Aku bertekad nanti malam aku harus mampu membujuk Fatimah kembali ke Jakarta. Paling tidak, aku ingin ia keluar dari rumah bordil itu, dan kami dapat membangun rumah tangga. Tak mengapa ia sudah terjerumus ke dalam lumpur hitam, bukankah itu hanya salah satu jalan beronak-duri yang ia lewati. Ia masih banyak kesempatan untuk memperbaiki diri. Apa lagi kalau ia sudah menjadi istri.

            Salah kearifan lokal yang masih diyakini oleh masyarakat hingga kini adalah bahawa setiap perbuatan jahat itu pasti menerima pembalasan yang setimpal dengan kejahatan yang dilakukannya. Justeru setiap anggota masyarakat harus berusaha menghindarkan diri daripada melakukan sebarang bentuk kejahatan, khususnya penganiayaan terhadap orang lain. Apalagi terhadap insan yang lemah yang sesungguhnya memerlukan pembelaan.

            Dalam cerpen “Dendam Bulan” (2011), Naga Pamungkas mengingatkan betapa perbuatan jahat itu pasti menerima pembalasan yang sewajarnya :
Kini orang-orang warga kampung kami tahu, bahwa roh Bulan, masih penasaran. Gentayangan. Dia ingin mencari laki-laki yang memiliki andil atas kehamilannya. Lelaki yang pernah menikmati Bulan, menghancurkan hidup Bulan. Bulan terus bergentayangan. Aku peringatkan kepada yang pernah berhubungan dengan Bulan, terutama lelaki yang pernah merasakan kemontokan Bulan, bersiap-siaplah untuk menyambut kedatangannya dengan dendam dan pembalasan kematian. Termasuk aku!.

            Kearifan lokal ada hubungannya ketahanan dan kekentalan sesuatu masyarakat peribumi dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup, sekali gus mendepani pengaruh-pengaruh persekitaran, menjadikan mereka manusia yang lurus, jujur dan reda. Ada waktunya tabiat atau fiil demikian menjadikan mereka pasrah (dibaca reda) dengan apa juga bentuk musibah yang menimpa diri dan keluarga mereka, sekali gus mereka berserah kepada-Nya dengan rela hati dan reda untuk membalas budi baik mereka yang telah membantu mereka. 

            M. Saipul melalui watak Bi Minah dalam cerpennya “Cahaya dari Tepian Mahakam” (2011) mengujarkan :

Den Rietsky, Bibi menitipkan Lastri kepada Aden, tolong dijaga dan dibimbing yang baik ya Den, Bibi sangat senang sama kalian berdua, Bibi senang kalau kalian menjadi suami-istri, kalian berdua sangat baik sama Bibi, Bibi juga mengucapkan terima kasih mau menjaga Bibi waktu sakit, ini ada cincin kawin Bibi, cincin ini Aden berikan kepada calon istri Aden nanti ya? Kalau Bibi pergi kalian tidak boleh sedih, kalian harus sabar, dan jangan lupa sholat ya Den, Lastri juga diingatkan kalau lupa.

                        Kearifan lokal dalam kebanyakan cerpen dalam buku antologi “Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia” yang sempat diteliti sekilas pandang ini, memang ada menyentuh perkara itu, baik secara implisit mahupun eksplisit. Penelitian yang lebih lanjut daripada pelbagai aspek an dimensi terhadap cerpen-cerpen itu, dan membandingkannya dengan cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh para penulis Sarawak wajar dilakukan dari semasa ke semasa demi melihat pemikiran-pemikiran para sasterawan kedua-dua provinsi tersebut.
  
Renungan Terakhir
 Sapardi D. Damono memperjelaskan tanggapan terhadap sastera pada suatu masa dahulu :

...Sastra adalah kristalisasi keyakinan, nilai-nilai,dan norma-norma yang disepakati masyarakat—setidaknya begitulah yang terjadi pada zaman lampau ketika kepengarangan tidak dipermasalahkan dan berbagai-bagai jenis tradisi lisan dimiliki lisan dimiliki beramai-ramai oleh masyarakat, tidak oleh individu. Pada waktu itu produksi, penyebarluasan, konsumen, dan sebagainya boleh dikatakan non-issue, hal yang tak perlu digunjingkan karena berlangsung begitu saja. Pada waktu itu pula, dengan demikian, apresiasi sastera dalam pengertian kita sekarang ini tidak pernah terpikirkan (Sosiologi Sastra, 2008). 

            Dalam pengertian sekarang, sastera dilihat sebagai cerminan masyarakat. Sasterawan dan penulis adalah juga sebahagian daripada masyarakat yang terikat dengan status sosial dan nilai-nilai serta normal sosial tertentu. Sastera ialah institusi sosial lantaran bahasa ialah mediumnya. Sastera mengartikulasikan permasalahan-permasalahan kehidupan yang merupakan hakikat sosial yang meliputi sistem hubungan antar-masyarakat, antar-manusia, antar-budaya, antar-peristiwa dan antar-daerah.

            Sasterawan dan penulislah yang akan menjamin adanya produksi sastera seperti novel, cerpen, puisi dan drama. Untuk menghasilkan karya sastera pula, para sasterawan dan penulis harus menjanakan, merekayasa dan mengolah bahan-bahan cerita sama ada dalam bentuk peristiwa-peristiwa mahupun fenomena-fenomena sosial, budaya, politik, ekonomi, alam dan persekitaran yang ada di sekeliling mereka, ataupun yang mereka garap daripada daya imaginasi, pemerhatian dan pencernaan mereka yang tajam.

            Dalam karya sastera wujud pelbagai unsur ekstrinsik lantaran mengarang itu merupakan suatu proses yang panjang. Yang dimaksudkan dengan unsur-unsur ekstrinsik itu, termasuklah latar belakang kehidupan pengarang, weltanschauung atau pandangan hidup pengarang, kondisi dan persekitaran sosial serta budaya yang melatari kelahiran karya-karya berkenaan. Kearifan lokal tercakup dalam faktor-faktor budaya dan kebudayaan tersebut. 
Cerpen-cerpen yang dihasilkan para penulis Sarawak dan Kalimantan Timur yang sempat diteliti oleh penulis jelas memperlihatkan mereka juga memanfaatkan aneka unsur kearifan lokal seperti tradisi dan mitos untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bernilai seni dan estetik sastera yang relatif mengesankan. 

            Akhirulkalam, amat diharapkan penelitian yang sepintas lalu tentang kearifan lokal ini akan dapat merangsang penelitian lebih lanjut dalam domain yang berkenaan.


Makalah ini dibentangkan dalam Dialog Borneo – Kalimantan XI di Wilayah Persekutuan Labuan, 27 -29 Jun 2103
  
Senarai Bacaan

A. Aziz Deraman. Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.2001.

A. Karim Haji Abdullah (penyelenggara). Pemimpin dan Sasterawan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1993.

Hajijah Jais & Abg. Patdeli Abg. Muhi (Penyelenggara).Ketipung Bunga Jambu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.1995.

Hamzah Hamdani (penyelenggara). Wajah Sastera Sarawak. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1988.
Hamzah Hamdani. Pertumbuhan dan Perkembangan Sastera Melayu di Sarawak. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2004.
Henry Guntur Tarigan. Prinsip-prinsip Dasar Sastra. Penerbit Angkasa Bandung. 1984.

Jeniri Amir. Arus Mutakhir Sastera Kenyalang. JA Communications & Publication, Kuching. 1994.
Jiso Rutan (penyelenggara).Karya Penulis Sarawak Dalam Esei. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1990.

Jiso Rutan (Penyelenggara).Menganyam Kedukaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.2000.

Korrie Layun Rampan (ed.).Kalimantan Timur dalam Cerpen Indonesia. Pustaka Spirit, Jakarta.2011.

Othman Puteh. Landas Kreativiti Penulisan Cerpen. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1997.

Robert Escarpit. Sosiologi Sastra. Yayasan Obor Indonesia, Jakarta. 2008.

Shahnon Ahmad. Weltanschauung Suatu Perjalanan Kreatif. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.2008.

Umar Junus. Fiksyen dan Sejarah Suatu Dialog. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.1989.

Zen RS (Editor). Pengakuan Para Sastrawan Dunia Pemenang Nobel. PINUS Book Publisher, Yogyakarta. 2006.
Pautan
tal4mbur4ng.blogspot.com/2010/07/kearifan-lokal-guna-pemecahan-masalah.html (dimuat turun pada 14/06/2013)
hutanwisatawonosadi.wordpress.com/category/uncategorized/ (dimuat turun pada 14/06/2013)
naskahesai.blogspot.com/2013/05/sekayu-karya-nh-dini-sebagai-catatan.html (dimuat turun pada 14/06/2013)
garasikeabdian.blogspot.com/2013/03/pendidikan-berbasis-kearifan lokal.html (dimuat turun pada 14/06/2013)

warisanmelayujohor.blogspot.com/2011/05/tarian-zapin.html(dimuat turun pada 18/06/2013)

ms.wikipedia.org/wiki/Syair (dimuat turun pada 18/06/2013)













Tiada ulasan:

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi:

Ketua Satu,

Tuan Haji Othman Mahali

Kios HOM Enterprise, No 1,
Terminal Ferry Antarabangsa,
Wilayah Persekutuan Labuan (016-8321065)

Ketua Dua,

Saudara Sahar Misron

SMK Pantai W.P Labuan (012-9128609)



AJK PERWILA 2015/2017

AJK PERWILA 2015/2017