Ahad, 31 Julai 2016

WACANA PUISI: INSPIRASI DAN MOTIVASI KE ARAH PEMBENTUKAN SAHSIAH DIRI



Wacana puisi tidak lagi terhad untuk persembahan pentas dan bacaan khalayak semata-mata malahan peranan genre ini harus dilihat dalam dimensi yang lebih besar dan meluas. Pembinaan genre puisi dalam apa jua bentuk sama ada sajak, syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya amat menekankan aspek pemaknaan yang ingin disampaikan kepada khalayak bagi tujuan mendidik.

Genre sajak contohnya mengalami proses tertentu dalam proses penghasilannya. Proses ini terhasil daripada pengalaman dan pemerhatian halus yang dilakukan oleh penulis seterusnya mencerna idea untuk mereka membina kata-kata. Larikan kata-kata ini boleh digarap secara tersirat mau pun tersurat yang dijalinkan dengan permainan diksi secara puitis. Namun masih lagi membawa tujuan yang sama iaitu untuk mendidik pembaca terhadap mesej yang ingin disampaikan penyajak.

Latif Mohiddin contohnya mengumpamakan proses membina sajak seumpama membina sebuah perigi yang memerlukan susunan batu-bata selapis demi selapis sehinggalah menjadi perigi yang kukuh buatannya untuk kegunaan pengembara jalanan singgah melepaskan dahaga. J.M Aziz pula lewat sajaknya ‘Mutiara Bahasa’ melihat sajak sebagai sebuah laut yang mengandungi kepelbagaian hidupan. Perlambangan hidupan laut itulah yang memberikan pemaknaan kepada unsur-unsur kehidupan sebenar dalam luahan sajaknya.

Apa gunanya sesebuah sajak dibina sekiranya hanya terperuk di perut khutub khanah semata-mata dan tidak sampai kepada khalayak pembaca? Dunia juga sedang mengalami perubahan yang pesat waima dalam apa jua bidang sekalipun. Bidang pendidikan khususnya dilihat sebagai bidang terpenting dalam proses sosio budaya dan pembinaan tunas generasi pelapis. Peringkat akar ini harus dididik agar peradaban generasi bangsa dapat dibina bersesuaian dengan aliran perubahan semasa. Kepelbagaian masalah yang timbul dalam kalangan pelajar sekolah juga agak menggerunkan sekiranya tiada tindakan serius diambil secara tuntas. Atas

kesedaran inilah jalinan kolaboratif telah dibina oleh beberapa orang penulis yang bernaung di bawah nama BeTA (Bersama Terbitkan Antologi) bersama-sama Persatuan Penulis Wilayah Pesekutuan Penulis Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan, Kumpulan Media Karangkraf dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai untuk mengadakan satu program motivasi kepada pelajar-pelajar bertajuk “Wacana Puisi : Inspirasi dan Motivasi Ke arah Pembentukan Sahsiah Diri”. 
 

Menariknya, program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Pulau Labuan pada 27 Jun lalu telah menjadikan sajak sebagai elemen utama dalam menyampaikan motivasi kepada pelajar. Seramai hampir 900 orang murid dan guru sekolah berkenaan telah mengikuti program berkenaan. Antara barisan penulis yang hadir dalam program tersebut adalah Othman Mahali (Ketua Satu PERWILA), Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar, Ilhami Hisham, Wacana Minda, Melor Shamsazila, Aya Rohaiyah, Azizah Mds, Ummu Atifi Ilhami dan beberapa orang penulis lagi dari PERWILA.


Kedatangan delegasi penulis yang disambut dengan tarian tradisional oleh penari-penari sekolah berbusana melayu tradisional lengkap agak mengujakan. Dalam ucapan perasmian, Sahar Misron selaku Pengetua sekolah yang turut memegang teraju sebagai Ketua Dua PERWILA melahirkan rasa gembira dan teruja kerana program seumpama ini julung-julung dikali diadakan. Penggunaan wacana puisi sebagai wadah baharu untuk memotivasikan pelajar amat menarik perhatian beliau dan warga pendidik di sekolah berkenaan. 

Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar memulakan wacana puisi dengan berkongsi pengalaman beliau menulis semenjak tahun 1970-an. Cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh beliau ketika zaman itu telah menjadikan beliau seorang penulis yang tabah dan tidak mudah mengalah. Bukan sekadar penulis tetapi juga sebagai seorang pejuang dalam kehidupan sebenar.
 

Wacana puisi yang disampaikan oleh penulis dan penyair, Wacana Minda ini telah mengenengahkan tiga konsep kepada audien iaitu ‘Persepsi, Inspirasi & Motivasi dan Konklusi’. Dalam segmen pertama yang menyentuh tentang ‘Persepsi’, khalayak diajak berfikir untuk memberikan takrifan berkaitan orang seni. Apa yang mereka faham dan fikir bila minda mereka membayangkan tentang orang seni. Seperti pendapat seorang murid yang mengatakan orang seni adalah manusia yang tidak terurus dari segi personaliti tetapi mempunyai hati dan perwatakan yang positif. Wacana Minda juga telah berkongsi beberapa buah sajak dalam buku kumpulan puisinya ‘Laki-Laki’ untuk berkongsi inspirasi dan bagaimana proses menghasilkan sajak-sajak tersebut. 

Penulis dan penyair lain turut berkongsi pengalaman bersama-sama pelajar dan mendapat sambutan yang hangat daripada khalayak. Melor Shamsazila dan Aya Rohaiyah telah membacakan sajak dan membimbing pelajar mendeklamasikan sajak dengan baik dan penataran emosi yang berkesan. Azizah Mds pula bijak menarik perhatian pelajar dengan membacakan beberapa baris sajak dan meminta pelajar mencipta judul sajak berkenaan. Ummu Atifi Ilhami seterusnya berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang wartawan dengan pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar agak bertuah kerana turut menerima sumbangan cenderamata daripada Kumpulan Media Karangkraf dan GPS Bestari.

Program yang dijalankan kira-kira dua jam ini dilihat amat berkesan sebagai wahana perkongsian berwajah baru untuk memotivasikan pelajar-pelajar sekolah. Melalui respon beberapa orang pelajar, mereka agak gembira kerana dapat bertemu secara dekat dengan penulis dan penyair. Kedatangan barisan penulis dan penyair juga dilihat dapat menyemarakkan lagi minat dan kecenderungan diri mereka untuk menceburi diri dalam bidang penulisan. Pemikiran jernih yang dipupuk ini diharapkan mampu meningkatkan kemenjadian murid ke arah pembentukan sahsiah diri yang lebih cemerlang . “Usaha jalinan pintar sebegini seharusnya lebih kerap diadakan untuk memberi manfaat kepada khalayak, inilah kehidupan sebenar sebagai seorang penulis dan bukannya hidup di dalam dunianya yang tersendiri sahaja,” kata Othman Mahali.

WACANA MINDA
SINAR HARIAN – 31 Julai 2016



PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi:

Ketua Satu,

Tuan Haji Othman Mahali

Kios HOM Enterprise, No 1,
Terminal Ferry Antarabangsa,
Wilayah Persekutuan Labuan (016-8321065)

Ketua Dua,

Saudara Sahar Misron

SMK Pantai W.P Labuan (012-9128609)



AJK PERWILA 2015/2017

AJK PERWILA 2015/2017