Selasa, 22 November 2016

4 Judul Buku PERWILA Dilancarkan Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan


Ahli PERWILA bergambar bersama pihak DBP.
Sebanyak 4 judul buku terbitan PERWILA dilancarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan bersempena pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 19 November 2016.
Sebahagian penulis bergambar semasa pelancaran buku terbitan PERWILA.

Tiga daripada buku tersebut adalah karya individu manakala sebuah lagi adalah antologi. Buku berjudul Mawar Merah (Norgadis Labuan) dan Membongkok Senja Tua (Suili Bakar @ Suili ANS) merupakan kumpulan puisi  manakala Cinta Tania adalah novel yang ditulis oleh Haji Othman Mahali. Antologi puisi 30 Tahun PERWILA berjudul Doa Buat PERWILA turut dilancarkan dalam majlis tersebut.

Turut dilancarkan adalah kumpulan puisi Gabriel Kim berjudul Benang Merah.

Membongkok Senja Tua/Suili Bakar @ Suili ANS

Cinta Tania/Othman Mahali

Doa Buat PERWILA/PERWILA
Mawar Merah/Norgadis Labuan

Buku-buku ini boleh diperolehi dengan menghubungi PERWILA (016-8023456) atau melalui Facebook PERWILA.

Rabu, 16 November 2016

Penerbitan Antologi Sempena Sambutan Hari Sastera Ke-17

Hari Sastera Ke-17 dijangka akan dilangsungkan di Wilayah Persekutuan Labuan pada 17-20 Mac 2017. Bersempena dengan itu sebuah buku antologi puisi dan antologi cerpen akan diterbitkan. Penulis-penulis dari seluruh Malaysia dialu-alukan untuk menghantar karya baru (sebuah cerpen atau sebuah puisi).

Semua karya untuk dimuatkan dalam antologi berkenaan hendaklah dihantar melalui e-mel di alamat jasnimatlani{@}yahoo.com selewat-lewatnya pada 15 Januari 2016 (Ahad). Karya yang diterima selepas hari tersebut tidak akan dimuatkan dalam antologi ini.

Isnin, 26 September 2016

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI KEMERDEKAAN KE-30, 2016

MAKLUMAT DAN SYARAT PENYERTAAN

PENGENALAN

GAPENA telah diberi mandat oleh Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan (JSBK) mulai tahun 1987 untuk menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan  Kemerdekaan (SDPBK), Peringkat Negeri dan Kebangsaan. Bermula dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan lain-lain. Penganjuran bertujuan menanamkan rasa cinta dan semangat patriotik terhadap tanah air.

Penganjuran sayembara ini telah meluas bukan sahaja di negeri-negeri, malahan di Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah mendapat sambutan yang amat membanggakan dan telah melahirkan ribuan deklamator di seluruh tanah air.

Pada tahun 2006, penganjuran SDPBK diambil alih oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA). Sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-53, tahun 2010, telah diumumkan oleh JSBK bahawa SDPK tidak lagi dianjurkan tetapi diganti dengan pengucapan puisi.

Namun sejak tahun 2010 itu juga, atas kesedaran semangat patriotik dan memartabatkan sastera tanah air, GAPENA bersetuju meneruskan SDPK dengan kemampuan yang tersendiri dan  pada tahun ini ia diteruskan lagi dengan format dan kemampuan yang sama.


TUJUAN

  1. Meneguhkan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi
  2. Memperkasakan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia melalui pengucapan puisi
  3. Menyerikan Sambutan Perayaan Kemerdekaan pada setiap tahun melalui pengucapan puisi


PENYERTAAN

  1. Penyertaan adalah terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 17 tahun keatas. Johan SDPK Peringkat Kebangsaan (1987 – 2015) tidak dibenar menyertai.
  2. Setiap   peserta   hanya   dibenarkan  menyertai  saringan/pemilihan/pertandingan akhir peringkat negeri TIDAK LEBIH DARI SEKALI. Ini bermakna, mana-mana peserta yang telah menyertai saringan/pemilihan/pertandingan akhir peringkat negeri di sesebuah negeri TIDAK DIBENARKAN  menyertai saringan/pemilihan/pertandingan akhir  peringkat negeri di negeri lain. Peserta yang didapati melanggar syarat dan peraturan ini akan menyebabkan penyertaan atau kemenangannya TERBATAL  dengan sendirinya.
  3. Setiap peserta mestilah mematuhi semua syarat dan peraturan  sayembara seperti yang yang ditetapkan oleh GAPENA. Semua keputusan hakim dan/atau pihak penganjur adalah muktamad. Setiap peserta hendaklah menjaga nama baik GAPENA dan tidak akan melakukan apa jua tindakan yang memudaratkan atau menjejaskan nama baik GAPENA atau sayembara ini sama ada secara lisan, melalui media cetak, media elektronik, media sosial atau apa jua lain-lain media. Peserta yang melanggar mana-mana syarat dan peraturan sayembara ini dan melakukan apa jua tindakan yang memudaratkan atau menjejaskan nama baik GAPENA atau sayembara ini akan menyebabkan penyertaan atau kemenangan peserta tersebut TERBATAL dengan sendirinya. 


TARIKH / TEMPAT

Dewan  Bahasa  dan Pustaka  akan  memilih seorang (1) peserta sahaja  yang mewakili negeri. Saringan akan diadakan di seluruh negara ditetapkan pada  29 September 2016 hingga 3 Oktober 2016 di lokasi-lokasi yang ditetapkan oleh DBP dan badan gabungan GAPENA.

PERWILA selaku badan gabungan akan mengadakan saringan di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan akan diadakan seperti pada ketetapan berikut;

     Tarikh: 01 Oktober 2016 (Sabtu)
    
      Masa: i) 9:00 - 1:00 petang (Saringan awal)
               ii)3:00 petang - 5:00 petang (pemilihan wakil W. P. Labuan)
    
      Tempat: Perpustakaan, Kolej Matrikulasi Labuan

Manakala Peringkat Kebangsaan  akan  berlangsung  di  Auditorium, Dewan  Bahasa  dan  Pustaka Kuala Lumpur pada  15 - 16 Oktober 2015 (Sabtu - Ahad).



PUISI PILIHAN

Para peserta dikehendaki mendeklamasikan salah satu (1) puisi yang terdapat dalam antologi puisi Lentera Zaman terbitan GAPENA 2014. Antologi puisi ini boleh didapatkan di Rumah Gapena, Kuala Lumpur, di enam pejabat-pejabat wilayah/cawangan DBP atau di 18 buah pengedar sah DBP di seluruh negara. 

Format penghakiman berdasarkan format yang dikeluarkan oleh GAPENA. Peserta dilarang membawa alat-alat muzik semasa mendeklamasikan puisi. Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan tidak dibenarkan menyertai sayembara.


HADIAH

Johan Sayembara Kebangsaan menerima piala pusingan Tun Ghafar Baba, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, wang tunai RM5,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Naib Johan menerima wang tunai RM3,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Tempat Ketiga menerima wang tunai RM2,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Peserta yang berjaya ke Peringkat Kebangsaan dan tidak berjaya akan menerima saguhati wang tunai RM300.00, hadiah iringan serta sijil penyertaan


BORANG PENYERTAAN

Borang penyertaan boleh diperolehi sejurus sebelum saringan dimulakan.

Walaubagaimanapun, pendaftaran awal adalah digalakkan dengan menghubungi / pesanan teks ke nombor 016-8023456 (Francis Labi). Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan tajuk puisi yang dipilih dari buku berjudul Lantera Zaman.

Ahad, 31 Julai 2016

WACANA PUISI: INSPIRASI DAN MOTIVASI KE ARAH PEMBENTUKAN SAHSIAH DIRI



Wacana puisi tidak lagi terhad untuk persembahan pentas dan bacaan khalayak semata-mata malahan peranan genre ini harus dilihat dalam dimensi yang lebih besar dan meluas. Pembinaan genre puisi dalam apa jua bentuk sama ada sajak, syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya amat menekankan aspek pemaknaan yang ingin disampaikan kepada khalayak bagi tujuan mendidik.

Genre sajak contohnya mengalami proses tertentu dalam proses penghasilannya. Proses ini terhasil daripada pengalaman dan pemerhatian halus yang dilakukan oleh penulis seterusnya mencerna idea untuk mereka membina kata-kata. Larikan kata-kata ini boleh digarap secara tersirat mau pun tersurat yang dijalinkan dengan permainan diksi secara puitis. Namun masih lagi membawa tujuan yang sama iaitu untuk mendidik pembaca terhadap mesej yang ingin disampaikan penyajak.

Latif Mohiddin contohnya mengumpamakan proses membina sajak seumpama membina sebuah perigi yang memerlukan susunan batu-bata selapis demi selapis sehinggalah menjadi perigi yang kukuh buatannya untuk kegunaan pengembara jalanan singgah melepaskan dahaga. J.M Aziz pula lewat sajaknya ‘Mutiara Bahasa’ melihat sajak sebagai sebuah laut yang mengandungi kepelbagaian hidupan. Perlambangan hidupan laut itulah yang memberikan pemaknaan kepada unsur-unsur kehidupan sebenar dalam luahan sajaknya.

Apa gunanya sesebuah sajak dibina sekiranya hanya terperuk di perut khutub khanah semata-mata dan tidak sampai kepada khalayak pembaca? Dunia juga sedang mengalami perubahan yang pesat waima dalam apa jua bidang sekalipun. Bidang pendidikan khususnya dilihat sebagai bidang terpenting dalam proses sosio budaya dan pembinaan tunas generasi pelapis. Peringkat akar ini harus dididik agar peradaban generasi bangsa dapat dibina bersesuaian dengan aliran perubahan semasa. Kepelbagaian masalah yang timbul dalam kalangan pelajar sekolah juga agak menggerunkan sekiranya tiada tindakan serius diambil secara tuntas. Atas

kesedaran inilah jalinan kolaboratif telah dibina oleh beberapa orang penulis yang bernaung di bawah nama BeTA (Bersama Terbitkan Antologi) bersama-sama Persatuan Penulis Wilayah Pesekutuan Penulis Labuan (PERWILA), Kolej Matrikulasi Labuan, Kumpulan Media Karangkraf dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai untuk mengadakan satu program motivasi kepada pelajar-pelajar bertajuk “Wacana Puisi : Inspirasi dan Motivasi Ke arah Pembentukan Sahsiah Diri”. 
 

Menariknya, program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Pulau Labuan pada 27 Jun lalu telah menjadikan sajak sebagai elemen utama dalam menyampaikan motivasi kepada pelajar. Seramai hampir 900 orang murid dan guru sekolah berkenaan telah mengikuti program berkenaan. Antara barisan penulis yang hadir dalam program tersebut adalah Othman Mahali (Ketua Satu PERWILA), Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar, Ilhami Hisham, Wacana Minda, Melor Shamsazila, Aya Rohaiyah, Azizah Mds, Ummu Atifi Ilhami dan beberapa orang penulis lagi dari PERWILA.


Kedatangan delegasi penulis yang disambut dengan tarian tradisional oleh penari-penari sekolah berbusana melayu tradisional lengkap agak mengujakan. Dalam ucapan perasmian, Sahar Misron selaku Pengetua sekolah yang turut memegang teraju sebagai Ketua Dua PERWILA melahirkan rasa gembira dan teruja kerana program seumpama ini julung-julung dikali diadakan. Penggunaan wacana puisi sebagai wadah baharu untuk memotivasikan pelajar amat menarik perhatian beliau dan warga pendidik di sekolah berkenaan. 

Dato’ Dr. Ibrahim Ghaffar memulakan wacana puisi dengan berkongsi pengalaman beliau menulis semenjak tahun 1970-an. Cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh beliau ketika zaman itu telah menjadikan beliau seorang penulis yang tabah dan tidak mudah mengalah. Bukan sekadar penulis tetapi juga sebagai seorang pejuang dalam kehidupan sebenar.
 

Wacana puisi yang disampaikan oleh penulis dan penyair, Wacana Minda ini telah mengenengahkan tiga konsep kepada audien iaitu ‘Persepsi, Inspirasi & Motivasi dan Konklusi’. Dalam segmen pertama yang menyentuh tentang ‘Persepsi’, khalayak diajak berfikir untuk memberikan takrifan berkaitan orang seni. Apa yang mereka faham dan fikir bila minda mereka membayangkan tentang orang seni. Seperti pendapat seorang murid yang mengatakan orang seni adalah manusia yang tidak terurus dari segi personaliti tetapi mempunyai hati dan perwatakan yang positif. Wacana Minda juga telah berkongsi beberapa buah sajak dalam buku kumpulan puisinya ‘Laki-Laki’ untuk berkongsi inspirasi dan bagaimana proses menghasilkan sajak-sajak tersebut. 

Penulis dan penyair lain turut berkongsi pengalaman bersama-sama pelajar dan mendapat sambutan yang hangat daripada khalayak. Melor Shamsazila dan Aya Rohaiyah telah membacakan sajak dan membimbing pelajar mendeklamasikan sajak dengan baik dan penataran emosi yang berkesan. Azizah Mds pula bijak menarik perhatian pelajar dengan membacakan beberapa baris sajak dan meminta pelajar mencipta judul sajak berkenaan. Ummu Atifi Ilhami seterusnya berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang wartawan dengan pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar agak bertuah kerana turut menerima sumbangan cenderamata daripada Kumpulan Media Karangkraf dan GPS Bestari.

Program yang dijalankan kira-kira dua jam ini dilihat amat berkesan sebagai wahana perkongsian berwajah baru untuk memotivasikan pelajar-pelajar sekolah. Melalui respon beberapa orang pelajar, mereka agak gembira kerana dapat bertemu secara dekat dengan penulis dan penyair. Kedatangan barisan penulis dan penyair juga dilihat dapat menyemarakkan lagi minat dan kecenderungan diri mereka untuk menceburi diri dalam bidang penulisan. Pemikiran jernih yang dipupuk ini diharapkan mampu meningkatkan kemenjadian murid ke arah pembentukan sahsiah diri yang lebih cemerlang . “Usaha jalinan pintar sebegini seharusnya lebih kerap diadakan untuk memberi manfaat kepada khalayak, inilah kehidupan sebenar sebagai seorang penulis dan bukannya hidup di dalam dunianya yang tersendiri sahaja,” kata Othman Mahali.

WACANA MINDA
SINAR HARIAN – 31 Julai 2016



PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA