Jumaat, 28 Jun 2013

PENULIS LAMA PERLU DIBERIKAN PERHATIAN SEWAJARNYA

Kertas Kerja Sempena Dialog Borneo-Kalimantan Ke XI 2013
Oleh:
Jasni Matlani (BAHASA)
PENDAHULUAN

Tajuk kertas kerja yang disediakan oleh Urus Setia Dialog Borneo Kalimatan Ke 11 kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) sebenarnya terlalu umum, kurang akademik, dan pada sisi lain pula terdedah kepada skop dan ruang lingkup yang luas. Bagaimana pun penulis berusaha memenuhi kehendak berkenaan dengan menyediakan kertas kerja ini dan memberikan definisi tentang penulis lama, membincangkan tentang konteks dan kedudukan “Penulis Lama” yang dimaksudkan, memerikan jenis perhatian yang perlu diberikan, seterusnya mengaitkan Datuk R M Jasni sebagai model perbincangan, sesuai dengan tajuk yang diberikan.

DEFINISI PENULIS LAMA

Setiap ada yang baru, pasti ada yang lama. Ini lumrah kehidupan dan hukum alam. Tidak ada sesuatu yang kekal, melainkan semua tertakluk kepada perubahan dan terperangkap dalam sistem putaran kehidupan. Kereta yang baru dibeli hari ini akan menjadi buruk beberapa tahun kemudian. Rumah yang indah dan warnanya berseri- seri hari ini akan bertukar menjadi suram dan pudar warnanya beberapa tahun kemudian. Begitu juga kehidupan kita sebagai manusia yang dikategorikan sebagai “Penulis” mengalami proses yang sama. Pada peringkat awal pembabitan kita dalam bidang penulisan, kita pasti diaktegorikan sebagai “Penulis Baru”, “Penulis Muda” atau apa juga label yang diberikan kepada kita. Namun hakikatnya kita akan menulis berdasarkan masa, tempat, sejarah, budaya yang khas dan sesuai dengan konteks, kedudukan dan zaman kita, seperti kata  Stuart Hall (1994:342)

…we all write and speak from a particular place and time, from a history and a culture which is specific, what we say, is always ‘in context’, ‘positioned’.

Namun seiring dengan peredaran waktu, penulis muda akan memasuki gerbang kedewasaan. Selapas itu memasuki satu peringkat yang biasanya disebut sebagai “Penulis Lama” atau “Penulis Tua” atau “Penulis Veteran”. Hakikatnya, peringkat ini adalah peringkat terakhir dalam perjalanan atau kembaranya sebagai penulis. Tidak ada lagi peringkat selepas itu dalam kehidupan biologinya, kecuali mati.

Justeru, kertas kerja ini berusaha memperjelaskan definisi “Penulis lama” yang diguna pakai penulis, (sesuai dengan kehendak pihak urus setia), dengan andaian istilah “Penulis Lama” itu lebih beralas, atau lebih santun dan bertimbang berbanding misalnya kalau disebutkan “Penulis Veteran” apatah lagi jika disebutkan “Penulis Tua”.

Berapakah usia seseorang penulis yang secara biologinya dikategorikan sebagai “Penulis lama”? Ada yang berkata usia 40 tahun merupakan pintu gerbang bagi seseorang penulis memisahkan dirinya daripada kelompok dan kategori “Penulis Muda”. Pendapat lain pula mengatakan usia 50 adalah peringkat umur paling tepat bagi seseorang penulis itu diaktegorikan sebagai “Penulis lama”.

Namun demikian jangka hayat rakyat Malaysia hari ini semakin panjang. Malah tahap kasihatan mereka juga masih baik dalam jangka umur antara 50 hingga 70 tahun. Dalam lingkungan umur ini mereka masih boleh bekerja dengan baik secara fizikal dan mempunyai daya pemikiran atau kognitif yang cergas dan mampu berfikir positif, lebih matang, kreatif, serta mempunyai pertimbangan yang jauh lebih baik berbanding ketika mereka berusia dalam lingkungan 30-an atau 40-an.

Sebab itu tempoh pencen bagi seseorang kakitangan awam dan swasta, beberapa tahun sebelum ini dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun, kemudian 58 tahun dan sekarang dilanjutkan lagi kepada 60 tahun. Semua ini dilakukan dengan alasan, pemikiran atau kognitif, pengalaman dan tenaga biologi golongan lama atau tua atau veteran ini masih boleh diguna pakai dan mampu menyumbang sesuatu yang bermakna kepada bangsa dan negara.
Justeru, begitu juga golongan penulis dan dalam konteks kertas kerja ini, skop tempoh hayat bagi seseorang penulis yang sesuai dikategorikan sebagai penulis lama ialah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Biasanya mereka masih aktif dalam kegiatan persatuan, gerakan sastera, berseminar dan mampu menulis secara produktif sehingga umur 65 tahun. Namun, jika mereka masih boleh menulis aktif dalam lingkungan usia antara 65 tahun hingga 80 tahun, maka itu adalah bonus. Sebagai contoh penulis lama di Sabah yang masih aktif dalam lingkungan umur antara 65-80 tahun ini ialah Datuk R M Jasni. Beliau masih aktif menulis sehingga kini. Sebuah cerpen dan puisinya disiarkan dalam majalah WADAH terbitan DBP Cawangan Sabah yang terbaru. Sementara novelnya yang berjudul “Kasih sepanjang jalan” bakal diterbitkan DBP dalam tempoh yang terdekat.

APAKAH PERHATIAN YANG DIPERLUKAN PENULIS LAMA?

Sesuai dengan kehidupan biologi manusia, seseorang itu akan kembali menjadi seperti kanak-kanak di peringkat akhir hayatnya. Ini adalah fitrah manusia. Maka di peringkat berkenaan seseorang itu memerlukan perhatian dalam semua aspek kehidupan. Jika tidak diberikan perhatian, berkemungkinan lahir sikap jauh atau rajuk hati yang menyukarkan kehidupannya dan juga orang lain. Ketika itulah mula timbul pelbagai masalah dan kerenah. Hal ini turut mendapat perhatian para pengkaji dalam bidang psikologi. Tahap kognitif beliau menurun dan pada peringkat tertentu diserang sindrom mudah lupa. Datuk R M Jasni misalnya pernah memberitahu penulis bahawa ada ketika dalam usia pertengahan 70-an, seseorang itu diserang penyakit “Lupa yang akut”. Ini dialami beliau sendiri. Ketika itu pemikirannya kosong. Mujurlah situasi itu berlaku dalam tempoh yang singkat, tetapi cuba bayangkan jika sindrom penyakit “Lupa yang akut” itu menyerang dalam tempoh yang lama. Apa yang akan berlaku? Sudah pasti secara biologinya, seseorang itu memerlukan perhatian orang lain dan pastinya pada skala yang lebih besar lagi.

          Dalam konteks kertas kerja ini ada beberapa jenis atau bentuk perhatian yang wajar diberikan kepada penulis lama. Pertama, perhatian dari segi kebajikannya. Kedua, dari segi memberikan peluang kepadanya berkarya, berkreatif dan juga terlibat dalam mana-mana kegiatan sastera sebagai penceramah atau pemakalah sesuai dengan pengalamannya, dalam mana-mana seminar, simposium dan kongres yang dianjurkan pelbagai pihak. Ketiga, memberikannya penghargaan sesuai dengan sumbangan yang diberikannya dalam bidang sastera dan penulisan.

          Perhatian dari segi kebajikan memang jelas, kerana golongan penulis yang tidak mempunyai kerja hakiki dalam jabatan kerajaan selain daripada menulis, maka mereka tidak menerima sebarang wang pencen bagi membantu mereka menampung kehidupan pada hari tua. Justeru, mereka  berkemungkinan hidup melarat dan tidak mempunyai rumah. Tidak mustahil juga mereka tinggal di rumah jagaan orang tua, jika diabaikan anak-anak. Sebab itu elok jika sekiranya kerajaan memikirkan cara dan mekanisme apa yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan golongan penulis ini sekurang-kurangnya memiliki rumah sendiri sesuai dengan sumbangan intelektualnya kepada bangsa dan negara.

Misalnya kerajaan menyediakan taman perumahan untuk penulis dan golongan seniman, di mana penulis dan seniman yang menulis atau melakukan kerja seni sepenuh masa dan tidak mempunyai “Slip Gaji” yang boleh dicagar kepada bank, boleh memiliki rumah dengan jumlah bayaran tertentu dan termampu kepada satu badan yang diurus kerajaan tanpa merujuk kepada bank sebagai pemodal. Tujuannya supaya mereka ini dapat menikmati kehidupan masa tua yang sama baik dengan rakyat Malaysia yang lain sesuai dengan sumbangannya.
Mereka juga boleh diberikan pelbagai kemudahan lain seperti kemudahan insuran kemalangan percuma. Rawatan percuma di hospital kerajaan. Malah mereka juga sewajarnya diberikan perhatian dengan diberikan kad diskaun bagi mana-mana kedai rakyat yang dipilih kerajaan bagi memboehkan mereka mendapat harga berpatutan atau harga lebih rendah dan disubsidi kerajaan. Mereka juga wajar menerima sumbangan khas warga tua setelah mencecah umur 60 tahun ke atas. Inilah antara perhatian yang perlu diberikan kepada penulis lama dari segi kebajikan mereka.

Kedua, ialah dari segi memberikan peluang kepada mereka berkarya, berkreatif dan terlibat dalam mana-mana kegiatan sastera sebagai penceramah atau pemakalah sesuai dengan pengalaman, dalam mana-mana seminar, simposium dan kongres yang dianjurkan pelbagai pihak. Hal ini sering dipersoalkan pelbagai pihak (termasuk dalam program Dialog Borneo-Kalimantan) ini kerana sering terlepas pandang dalam penganjuran program atau kegiatan sastera atau penulisan yang dianjurkan di wilayah Borneo ini. Kita sering bercakap atau berbelanja besar tentang memperkasa golongan muda termasuk dalam bidang penulisan. Puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk membangun golongan muda, tetapi pada masa yang sama kita tidak ada program khas kepada golongan penulis lama. Hal ini mesti dikaji semula bagi member keadilan kepada mereka.

Di negeri Sabah usaha ini memang dilakukan melalui persatuan BAHASA. Kita menghargai dan menghormati golongan penulis lama dan memberi mereka peluang aktif dan terlibat dalam program sastera yang dianjurkan. Sebagai contoh yang terbaharu, BAHASA melibatkan Datuk R M Jasni salah seorang penulis lama di Sabah sebagai panel forum dalam program “Simposium Cerpen Antarabangsa” sempena perasmian pembukaan Bulan Penulis Negeri Sabah 2013 kemudian membentangkan Kertas Kerja dalam program “Kongres Puisi Borneo Utara” sempena majlis penutupan Bulan Penulis Negeri sabah 2013 yang diadakan di Daerah Tenom.

Dari segi penghasilan karya kreatif, penulis memastikan hasil karyanya diperbaiki terlebih dahulu di peringkat kumpulan BAHASA sebelum dihantar ke mana-mana penerbitan, kerana sebagai penulis lama, mungkin berlaku kes di mana langgam bahasa dalam karyanya masih terikat dengan gaya penulisan tahun 19650-an dan 1960-an, jadi penulis memperbaikinya supaya sesuai dengan gaya dan langgam penulisan masa kini. Justeru apabila kita menghantarnya ke penerbitan, maka peratus karya untuk ditolak adalah kecil. Kita boleh menjadi agen penulis kepada penulis lama ini seperti yang berlaku di Barat, walau pun tanpa sebarang habuan. Bagi penulis bukan soal habuan yang utama, tetapi apa yang penting dapat membantu penulis lama ini menerbitkan karya dan karya itu pula sesuai dengan keperluan dan selera masyarakat hari ini.

Dengan melakukan hal sedemikian, sudah pasti penulis lama ini tidak merasa tersisih daripada arus perdana kegiatan dan perkembangan sastera domestic dan serantau. Kita tidak boleh mengabaikan mereka. Malah, jika penulis lama ini masih berkeupayaan, bawa mereka menyertai program penulisan atau pertemuan penulis yang diadakan dalam dan luar negara supaya mereka rasa dihargai. BAHASA misalnya membawa Datuk R M Jasni menghadiri pertemun penulis di Miri, Kuala Lumpur, di Jakarta dan malah menghadiri program Seminar Ikatan Rakyat Sastera Budaya Indonesia-Malaysia di Medan Indonesia pada 24-27 Mei 2013 lalu.
Yang terakhir sekali golongan penulis lama itu bukan sahaja mesti dijaga dari segi kebajikan atau dari segi penyertaannya dalam program sastera, tetapi mesti juga diberikan penghargaan sewajarnya. Kerajaan mesti memberikan pelbagai anugerah sesuai dengan sumbangan mereka terhadap khazanah dan ketamadunan bangsa dan negaranya. Nampaknya Kerajaan Negeri Sabah masih terlepas pandang terhadap hal ini. Malah kerajaan negeri bukan sahaja tidak memberikan anugerah kepada penulis lama, penulis muda juga tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan. Bagaimana pun BAHASA terus menyuarakan hal ini di pelbagai peringkat, termasuk mendesak pemimpin dan wakil rakyat membawanya untuk dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah, seperti yang dilakukan BAHASA ketika mendesak kerajaan untuk menganjurkan Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah dan akhirnya dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, yang kemudian diserahkan kepada Lembaga kebudayaan Negeri Sabah bagi tujuan pelaksanaannya. 

Namun BAHASA bersama-sama GAPENA dalam usahanya memberikan perhatian sewajarnya kepada para penulis lama negeri Sabah, pernah memberikan anugerah Tokoh Penyair GAPENA kepada Datuk Jamdin Boyung sempena Hari Puisi Nasional yang diadakan di Membakut Sabah pada 9-11 Februari 2012. Begitu juga DBP Cawangan Sabah pernah memberikan anugerah khas kepada dua tokoh penulis negeri Sabah yang terkemuka dan berjasa terhadap pembangunan sastera negeri Sabah iaitu Hajah Dayang Salmah Salam dan Datuk Haji Mohd. Arifin Haji Mohd. Arif dalam satu majlis yang sunguh bermakna di Hotel Berjaya Palace di Kota Kinabalu pada tahun 2012.

DATUK R M JASNI, PENULIS LAMA GIGIH BERKARYA MERENTAS USIA

Sementara itu, Datuk R M Jasni mempunyai kedudukan yang istimewa dalam konteks sastera di negeri Sabah. Usianya sudah mencecah 77 tahun tetapi masih mempunyai kekuatan dalam melakukan sesuatu yang baik bagi perkembangan bahasa dan sastera negeri Sabah. Seperti kata-kata yang beliau selalu ungkapkan bagi memotivasikan diri sendiri agar terus menulis, berkarya dan bekerja, “Kita sebenarnya sentiasa muda, hanya terperangkap dalam tubuh badan yang tua”

          Beliau bukan sahaja mendapat perhaatian penulis yang lebih muda daripadanya, malah beliau sendiri banyak membantu golongan penulis di negeri Sabah meski pun dalam usia yang lanjut. Beliau masih berkeupayaan turun ke Kota Kinabalu dan ada kalanya memandu sendiri dan menemui penulis hanya semata-mata bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan penerbitan, program sastera, pembangunan penulis dan sebagainya. Semuanya beliau lakukan demi untuk kebaikan golongan penulis di negeri Sabah, dan itulah Datuk R M Jasni. Beliau bukan sahaja tidak disisihkan daripada perkembangan sastera, malah mengambil bahagian yang aktif dalam membangunkan dunia penulisan di Sabah.

Suatu hari beliau pernah memberi tahu penulis bahawa segala apa yang  beliau lakukan itu bukanlah untuk dirinya. Sekali-kali tidak. Tidak ada apa yang dapat dituai bagi seorang penulis yang seusia dirinya. Masa terlalu cemburu untuk dirinya, tetapi selagi boleh bergerak dengan kudrat empat keratnya, beliau terus membantu apa yang terdaya. Beliau gembira sekiranya golongan penulis di negeri Sabah akhirnya mendapat pengiktirafan, penghormatan dan jasa mereka dikenang di peringkat yang tertinggi. Beliau sentiasa mahu melihat lebih banyak buku ditulis berkaitan negeri Sabah, sama ada dalam bidang kreatif atau non kreatif, kerana dengan cara itu sahaja ramai golongan penulis negeri Sabah mendapat manfaat daripada bidang penulisan yang diceburinya. Beliau mahu melihat golongan penulis mendapat sedikit nikmat kehidupan daripada anugerah yang Allah berikan kepada mereka, supaya mereka terus menyumbang dan memberikan lebih banyak lagi untuk negara dan ketamadunan bangsanya.

Beliau mahu melihat, golongan penulis dan aktivis seni negeri Sabah ini sekurang-kurangnya mempunyai satu pusat dokumentasi penulis, atau pusat bahasa dan sastera, di mana mereka boleh berkumpul, membuat latihan, perbincangan yang santai sambil menghasilkan karya kreatif. Beliau mengimpikan biarlah pusat itu menjadi tumpuan golongan penulis dan karyawan bukan sahaja di negeri Sabah, malah di peringkat kebangsaan dan serantau. Satu pusat yang di dalamnya ada ruangan pengumpulan dan pameran dokuemntasi para penulis yang berjasa di negeri Sabah. Ada tempat menganjurkan forum dan seminar, malah menyediakan tempat penginapan bagi mana-mana penulis dan aktivis yang mahu berkarya atau berkumpul bagi merancang segala kegiatan seni bahasa dan sastera mereka dalam kos yang munasabah. Jika pusat dokumentasi ini menjadi kenyataan, BAHASA mencadangkan supaya ia diberi nama “Pusat Dokumentasi Datuk R M Jasni” sebagai penghargaan BAHASA dan penulis negeri Sabah terhadap sumbangannya.

“Pusat Dokumentasi Penulis dan Pusat  Budaya” itu nanti adalah bagi manfaat golongan penulis dan karyawan di negeri Sabah, dan jika menjadi kenyataan pusat itu bukan sahaja menjadi pusat sehenti atau “One stop centre” yang penting kepada golongan penulis, tetapi menjadi pusat tumpuan pelancongan di negeri Sabah. Malah mungkin kegiatan, “Sambutan Bulan Penulis” yang sudah pun dianjurkan kali kedua pada tahun 2013 dan insyallah akan dianjurkan secara berterusan setiap tahun di negeri Sabah, boleh diadakan di pusat ini.

          Inilah antara impian Datuk R M Jasni yang mungkin terlalu besar untuk direalisasikan, tetapi jika ada kesungguhan daripada pelbagai pihak, maka ia bukanlah sesuatu yang mustahil, kerana seperti yang selalu ditegaskannya, jika ada kemahuan dan komitmen, serta kesedaran akan pentingnya dunia penulisan sebagai perakam kegemilangan tamadun bangsa, harapan untuk kita melihat impian ini menjadi kenyataan bakal tercapai di negeri Sabah.

          Justeru, BAHASA bukan sahaja memberikan perhatian, malah menghormati Datuk R M Jasni, kerana beliau adalah tokoh penulis dan mentor ramai penulis muda dalam bidang penulisan.

Beliau telah menghasilkan sejumlah buku dan hasil karya yang besar dan penting bagi negeri Sabah. Beliaulah anak tempatan yang pertama menulis buku tentang sejarah negeri Sabah, beliau juga menulis buku yang berjudul “Semangat perjuangan Paduka Mat Salleh dan Saham Kaum Dusun Menentang Penjajah”, seterusnya menulis buku tentang suku kaum Murut yang berjudul “Sejarah Pemberontakan Antanom”. Selain itu beliau juga menulis buku biografi yang berjudul “Anak Sisa Peperangan” yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2006.

          Malah tidak ramai yang mengetahui bahawa dalam usia beliau yang sudah mencecah pertengahan 70-an itu, beliau masih terus gigih menulis. Beliau kini sedang menyiapkan sebuah novel berlatar-belakangkan kehidupan dan alam Maliau Basin, yang mungkin berada di pasaran dalam tempoh terdekat. Beliau juga bercita-cita menulis sambungan buku biografinya, seterusnya gigih menghasilkan sejumlah puisi dan cerpen yang mungkin boleh dibukukan suatu hari nanti. Malah penulis, bersama-sama beliau dan Dr. Chacho Haji Bulah, kini sedang gigih menyiapkan di peringkat akhir proses penulisan sebuah buku berkaitan sejarah dan pembangunan semasa era pemerintahan parti BERJAYA antara tahun 1976 hingga tahun 1984 di negeri Sabah. Buku itu berjudul “Sejarah Parti BERJAYA” dan bakal diterbitkan Penerbit Iris Publishing & Distributor. Sebuah novelnya yang terbaru berjudul “Kasih Sepanjang Jalan” juga bakal diterbitkan DBP dalam tempoh terdekat.

PENUTUP

Semoga kerajaan dan semua pihak termasuk badan-badan penulis, agensi bahasa dan sastera seperti DBP, suatu hari nanti menghargai jasa penulis lama negeri Sabah yang tidak ternilai itu. Kita juga mengharapkan para penulis lama ini terus diberikan perhatian, sama ada dari segi kebajikan, peluang penerbitan karya, atau mendapat pengiktirafan dan penghargaan dari kerajaan.

          Diharapkan juga kertas kerja ini dapat memberikan definisi yang betul dan tepat tentang istilah “Penulis lama” seterusnya dapat memerikan jenis perhatian yang wajar terhadap penulis lama seperti Datuk R M Jasni Datuk Jamdin Boyung, Hajah Dayang Salmah Salam, Emin Madi, Tuan Haji Hussein Qasau, Azmah Nordin, Hajah Rubiah Nordin, Ramli A R, Abdul Karim Gullam, Hassan Saprin, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Hajah Zaiton Haji Ajamain, Arifin Arif (sekadar menyebut beberapa nama). Sekali lagi, semoga mereka ini terus mendapat limpah kurnia-Nya, dihargai, diberikan perhatian, dan malah diberikan imbalan sewajarnya sesuai dengan sumbangan mereka selama ini.


Tiada ulasan:

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA