Selasa, 1 November 2011

Utusan Malaysia Online - Semua pihak perlu bantu DBP perkasa bahasa Melayu


YB Datuk Yussof Mahal (dua dari kiri) ketika melancarkan novel sempena majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

LABUAN 31 Okt. - Semua pihak perlu membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini dan menjadikannya sebagai bahasa pengantar dalam semua urusan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal berkata, ia selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

"Semua pihak seharusnya berganding bahu membantu DBP memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan memilihnya sebagai bahasa pilihan serta perantaraan bagi semua urusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Pada majlis itu, Yussof menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada DBP dan juga RM3,000 kepada Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila).

Selain itu, beliau turut melancarkan empat novel kendalian Perwila iaitu Ini Buku Setia Mengalir, Peluru Cinta Victoria, Aarrgghh Kantoinya Aku dan Syakur Pejuang Dua Dunia.

Yussof berkata, dalam usaha untuk memperluaskan konteks penggunaan dan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar, DBP memerlukan kerjasama daripada institusi politik, kewangan, perhotelan, pihak swasta dan agensi kerajaan.

"Apabila wujud tanggungjawab bersama antara semua sektor, ia akan memudahkan DBP memantapkan satu citra atau jenama Malaysia yang menunjangi jati diri rakyat dalam pembinaan negara ini mengikut acuan sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Yussof turut menyeru peniaga supaya memasang papan tanda iklan perniagaan mereka dalam bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris dan Mandarin.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai menggunakan bahasa Melayu dengan baik pada majlis-majlis rasmi supaya ia boleh dicontohi oleh generasi muda terutama pelajar sekolah.

Tiada ulasan:

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA