Selasa, 9 Jun 2009

DIALOG TELUK V1 2008

14 - 16 November 2008

Labuan (PERWILA) telah menganjurkan Dialog Teluk VI, pada 14 – 16 November 2008, dengan tema “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau”.

Mengikut sejarah, program Dialog Teluk pada awalnya diberi nama Dialog Penulis Teluk dan dirintis oleh PERWILA pada tahun 1987 (24-26 Disember) sebagai wadah kepada bahan-bahan kebahasaan dan kesusasteraan di kawasan wilayah persisir Teluk Brunei. Program yang mendapat kerjasama GAPENA ini kemudian dilanjutkan pula oleh ASTERAWANI pada 24-26 Disember 1988 di Bandar Seri Begawan. Nama program ini kemudian ditukar kepada Dialog Teluk Brunei. Selepas itu ia diteruskan oleh Badan Seni Budaya Limbang pada Jun 1990. Dan sekali lagi nama program bertukar menjadi Dialog Teluk sahaja. Badan Bahasa dan Sastera Sabah Cawangan Kuala Penyu, BAHASA yang sepatutnya mengelolakan program ini berikutnya menghadapi masalah dana dan kemudian, pada tahun 1997 (10-14 Julai) BAHASA Pusat mengambil alih dan melangsungkan di Kota Kinabalu. Manakala Dialog Teluk ke-5 pula diselanggarakan oleh Majlis Bahasa dan Sastera Negeri Sabah pada 10-12 November 2001 yang berlangsung di Pekan Sipitang.

Program ini seperti Dialog Utara, Dialog Pantai, Dialog Selatan di Semenanjung Malaysia, telah dapat menghimpun para pengarang, penulis, karyawan dan budayawan malah dapat menjalinkan kerjasama dan mengerat-rapatkan tali silaturrahim. Maka ini di antara matlamat dialog ini diwujudkan selain dapat memperkenalkan adat budaya masyarakat setempat. Para peserta terutama penulis-penulis baru menjadi wadah dan peluang berkenalan dengan para pengarang yang sudah jauh lebih ke hadapan dalam berbagai bidang penulisan. Ini sudah sewajarnya menjadi pendorong dan penyuntik semangat untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Adalah menjadi harapan Ketua Satu PERWILA Dr. Harun Haji Pudin, agar ianya dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Diharap juga badan-badan kerajaan yang berkaitan untuk memperkasa bahasa, sastera dan budaya dan pihak swasta yang bersimpati akan terus memberi perhatian dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh persatuan-persatuan untuk meneruskan program yang bermanafaat ini.

Antara aktiviti Dialog Teluk VI 2008 ialah pembentangan kertas kerja dari pembentang Labuan, Sabah Sarawak, Brunei DS dan GAPENA, Lawatan ke Kampung Patau-Patau Satu, persembahan kebudayaan, perasmian dan pelancaran buku Lambaian Teluk, antologi puisi penulis-penulis Labuan.

Dialog Teluk yang disertai oleh Labuan, Sabah, Sarawak dan Brunei DS telah memasukkan Miri sebagai rakan Dialog kali ini. Mudah-mudahan Dialog Teluk akan menjadi pemangkin perpaduan persaudaraan serantau, tema program dialog 2008.

Acara perasmian Dialog Teluk VI, 2008 dan pelancaran buku Lambaian Teluk telah disempurnakan oleh Ahli Perliman Labuan YB. Datuk Hj. Yussof Hj. Mahal yang turut menyumbangkan 10k untuk aktiviti PERWILA.





Tiada ulasan:

PERWILA

Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) ditubuhkan pada 18 Mei 1985. Persatuan ini dianggotai oleh budayawan, penulis, peminat sastera dan bahasa yang bermastautin di wilayah ini.

Yuran seumur hidup hanya RM50.00 dan pendaftaran RM2.00 sahaja. Keahlian masih terbuka, sila hubungi AJK PERWILA